Penantian sejak dicadangkan pada 2010, akhirnya projek pembinaan velodrom pertama di pantai timur yang terletak di Dungun dijadualkan bakal siap sepenuhnya pada April 2022 nanti. Mendapat jolokan ‘Velodrom Azizulhasni Awang’ merupakan aset di bawah kelolaan Majlis Sukan Negara(MSN) dan Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) yang terletak di atas PT 14878(Lot 71834) berhampiran Masjid Balai Besar dan Sekolah Menengah Balai Besar serta Sekolah Kebangsaan Balai Besar dengan jarak lebih kurang 4km dari pusat Bandar Dungun.
Kerja-kerja pembinaan yang bermula sejak 12 Disember 2019 lalu sepatutnya siap pada 8 Disember 2021 tertunda berikutan kekangan Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) sewaktu penularan pandemik COVID-19. Walaupun sedemikian, projek pembinaan yang dijalankan Serada Reality Sdn. Bhd. iaitu kontraktor anak jati Terengganu ini berjaya meneruskan kerja pembinaan dengan jitu sehingga 85 hari lebih awal dari jadual seperti mana laporan yang dibentangkan.
“Setelah 8 tahun kita menunggu, setelah 8 tahun tapak ini diberikan kepada pihak KBS untuk dibangunkan velodrom ini akhirnya pada tahun 2019 kita berjaya memulakan projek ini dan Alhamdullilah sekarang ini sudah nampak rupa dan mudah-mudahan ia akan bakal menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri yang bakal melahirkan ramai lagi atlet seperti Azizulhasni Awang, InsyAllah.”, ujar Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah kepada PenyuSukan.com
Terbinanya velodrom ini sudah pasti mampu untuk memberi manfaat sepenuhnya pada program pembangunan sukan berbasikal negeri Terengganu yang sejak sekian lama berlatih di tempat yang tidak sepatutnya. Selama ini rata-rata atlet negeri ini terpaksa berkayuh ke luar dari negeri sendiri untuk mendapatkan pengalaman kayuhan di dalam velodrom. Selain itu sudah pasti negeri Terengganu ini bakal menjadi destinasi penganjuran sukan perlumbaan berbasikal yang mampu memberi cabaran tersendiri kepada setiap pelumba yang selama ini tiada pilihan untuk berada di velodrome tertentu.
Sehingga kini, sekiranya siap velodrom di Dungun menjadikan venue sukan berbasikal yang ke-5 dibina dalam negara setelah Velodrome Rakyat yang terletak di Ipoh menjadi velodrom yang pertama di bina dalam negara pada 1985, Velodrom Nasional Malaysia yang terletak di Nilai dan sebuah lagi di Johor bagi venue pertandingan Sukan Malaysia Edisi Ke-20 nanti. Manakala Velodrom Cheras yang siap dibina pada tahun 1989 kini dilaporkan dalam proses kerja-kerja perobohan untuk memberi laluan kepada projek pembangunan.
Untuk rekod, Terengganu sememangnya merupakan kuasa besar sukan berbasikal dalam pelbagai disiplin perlumbaan seperti lebuh raya, trek, BMX, Downhill dan MTB di mana kesemuanya di bawah tunjuk ajar jurulatih berpengalaman besar sama ada di arena perlumbaan tempatan mahupun antarabangsa. Program pembangunan yang digarap rapi bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu sentiasa berjalan untuk memastikan kesinambungan pelumba-pelumba yang tersedia ada berterusan.
SENARAI PEMBINAAN VELODROM DALAM NEGARA
Velodrom Rakyat, Ipoh (Dibina pada 1985)
Velodrom Cheras, W.P Kuala Lumpur (Dibina pada 1989)
Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan (Dibina pada 2015)
Velodrom Johor, Iskandar Puteri, Johor (Dibina pada 2019)
Velodrom Dungun, Terengganu (Dibina pada 2019)