Kejayaan demi kejayaan meraih sejumlah besar pungutan pingat di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) ini meletakkan pasukan negeri ini menjadi satu kuasa besar di negara ini. Kali terakhir pasukan ini beraksi di pentas SUKMA adalah pada tahun SUKMA Perlis 2014 meraih 14 pingat emas dan 8 pingat perak. Manakala bagi penganjuran SUKMA 2016 di Sarawak dan SUKMA 2018 di Perak, sukan ini tidak dipertandingkan. Walaupun sebanyak dua edisi penganjuran SUKMA yakni hampir empat tahun tidak dipertandingkan, persatuan ini tetap meneruskan rutin latihan dan program pembangunan bertempat di Kuala Ibai dan Pulau Kekabu, Marang sejak sekian lama.
Persatuan yang dikemudikan oleh Encik Dzulkafli Abas selaku presiden turut terus aktif saban tahun menganjurkan beberapa kursus kejurulatihan dan beberapa kursus lain berkaitan sukan ini. Malah turut berjaya dalam beberapa penganjuran yang kini menjadi acara tahunan mula menarik penyertaan ramai seperti Regatta Sprint 200m Kebangsaan dan Monsoon Cup Ombak Challenge.
“Sukan ini amat berpotensi namun tersekat kerana sukan ini bukanlah sukan teras dan berada di kategori B di peringkat kebangsaan. Malah untuk negeri Terengganu ini juga kita mempunyai kelengkapan fasiliti dan program pembangunan yang cukup bagus untuk membentuk satu pasukan yang terbaik”, ujar Dzulkafli Abas, Persatuan Kanu Negeri Terengganu yang ditemuramah tentang masa depan sukan ini.
Dzulkafli Abas juga turut menzahirkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) yang sehingga kini terus memberi sokongan padu khususnya dalam bantuan kewangan walaupun sukan ini kian suram setelah tidak dipertandingkan di SUKMA Sarawak 2016 dan SUKMA Perak pada tahun ini. Bantuan kewangan dari MSNT juga turut meliputi elaun jurulatih-jurulatih sejak mula persatuan ini ditubuhkan sehingga kini secara tidak lansung memastikan program pembangunan berterusan.
Hasrat MSNT agar persatuan negeri ini terus menguasai kedudukan di peringkat kebangsaan dengan program pembangunan dan persiapan atlet tetap diteruskan untuk persiapan mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa. Inisiatif ini secara tidak lansung memberi peluang kepada Persatuan Kanu Negeri Terengganu untuk terus beraksi dalam beberapa kejohanan di dalam negara mahupun di luar negara walaupun tidak dipertandingkan di peringkat kebangsaan khususnya temasya SUKMA.
Berbanding dengan negeri-negeri lain di dalam Malaysia, sudah pasti apabila sukan ini tidak dipertandingkan di peringkat SUKMA maka persatuan sukan kanu di negeri terbabit pasti akan terencat kerana kekangan kewangan dan hala tuju yang kelam. Malah terdapat jurulatih – jurulatih dari beberapa negeri yang pernah menyumbang tenaga sewaktu persedian pasukan untuk edisi SUKMA terdahulu telah diberhentikan kerja kerana persatuan negeri tidak mampu untuk menampung kos operasi.
Sehingga kini hanya negeri Terengganu dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dilaporkan masih aktif meneruskan program sukan ini. Wilayah Persekutuan Putrajaya merupakan satu-satunya negeri di negara ini yang mempunyai kelengkapan fasiliti sukan kanu bertaraf dunia. Johor pula kini giat memperkasakan persatuan kanu mereka dalam rangka persiapan menjadi tuan rumah dalam penganjuran SUKMA pada tahun 2020 nanti.
Persatuan ini juga sentiasa mengalu-alukan kepada orang ramai untuk turut serta menggunakan kemudahan kenu di pusat latihan dengan kadar bayaran RM5 seorang yang akan dimasukkan ke dalam tabung persatuan bermula pada jam 0530 petang sehingga 0700 petang. Oleh yang sedemikian dengan pendekatan ini wajar tidak dilepaskan khususnya para ibubapa untuk memberi pendedahan aktiviti sihat ini kepada anak-anak.