Kalendar penganjuran perlumbaan berbasikal lebuhraya di negeri Terengganu untuk tahun 2019 dibuka dengan jayanya setelah berlansung MJM bmcc Amateur Race 2019. Seramai 285 peserta dari seluruh negeri ini dan juga turut disertai oleh pelumba sejauh dari Pahang dan Kelantan dilihat mampu untuk mengangkat status penganjuran walaupun penganjuran ini mensasarkan pelumba bertaraf amatur. Sebanyak 3 kategori perlumbaan dipertandingkan iaitu Road Bike Open, Road Bike Amateur dan MTB Open dengan jumlah jarak kayuhan sejauh 44 KM.
Matlamat penganjuran yang tidak membenarkan penyertaan dari pelumba bertaraf profesional dan atlet pelumba negeri sepenuh masa dilihat tepat untuk memberi ruang kepada pelumba amatur beraksi merebut podium.
Selain itu perlumbaan ini turut juga disertai oleh sebahagian besar pelumba veteran dan beberapa bekas-bekas pelumba berpengalaman secara tidak lansung menambah kemeriahan penganjuran.
Turut menyertai adalah bekas jurulatih kebangsaan; Syed Hussein Syed Mazlan yang kini berusia 41 tahun. Walaupun telah berusia untuk kudrat kayuhan, namun berkat pengalaman yang besar beliau masih lagi ditagih untuk menabur jasa sebagai ketua jurulatih pasukan berbasikal negeri Terengganu sehingga kini. Selain itu penganjuran ini turut juga disertai oleh bekas pelumba kebangsaan Azizul Azli atau lebih mesra dikenali sebagai Bujoe yang meraih tempat ke-3 dalam kategori Road Bike Open.
“Alhamdullilah, penganjuran ini pada awalnya kita hanya suka-suka sahaja tapi kita tidak menyangka penyertaan hampir 300 peserta. Kita membuka ruang kepada pelumba amatur untuk merasai suasana perlumbaan seperti mana pelumba profesional yang lain.”, Ujar Ahmada Sabri Mustaffa atau lebih mesra dikenali sebagai Timbir selaku penganjur bersama Team BMCC(Batangan MTB Cycling Club).
“Untuk penganjuran ini saya sangat-sangat berpuas hati dan amat berharap agar penganjuran seperti ini diadakan setiap bulan kerana kami semua amat dahagakan untuk berlumba di Terengganu.”, berkata pelumba veteran Zulkiffli bin Abdul Ghani yang berusia 47 tahun dari pasukan Team Rempit Kemaman.
Pelumba veteran ini secara serius terlibat dalam perlumbaan sejak 4 tahun lepas dan kini menyertai pasukan Team Rempit Kemaman yang dianggotai seramai 15 pelumba yang berpengkalan di Kemaman. Pasukan ini juga turut pernah menyertai beberapa perlumbaan sama ada di dalam negeri mahupun di luar negara.
Penganjuran sulung di daerah Marang ini juga adalah turut melibatkan kerjasama dari pihak Pejabat Daerah Marang, Persatuan Lumba Basikal Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu.