Menutup kalendar perlumbaan musim 2024 buat satu-satunya pasukan rali dari pantai timur, Eastcoast Rallying membuat kejutan besar di dalam arena perlumbaan rali tempatan untuk memecah dominasi pasukan yang sinonim beraksi dalam kategori pacuan dua roda untuk beralih arah menyertai kategori pacuan 4 roda dalam misi memburu podium pertama mereka di kejuaraan Rali Asahan yang dijaduakan berlangsung pada 21 dan 22 Disember 2024 bertempat di Felda Tun Ghaffar Bukit Senggeh dan Estet Nyalas di Kampung Gubah, Asahan, Melaka.
Menambah kejutan oleh pasukan yang berpangkalan di Kuala Terengganu ini untuk pertama kali mempertaruhkan Subaru Impreza WRX V8 sebagai jentera baru pasukan yang sudah tentu bakal memberi pengalaman baru buat Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki bersama Amir Izham di mana pasangan gandingan ini masih kekal bersama sejak Eastcoast Rallying ditubuhkan pada 2017.
“Sebenarnya keputusan untuk mempertaruhkan jentera Subaru bagi perlumbaan di litar gravel ini bukan satu keputusan mudah buat kami.
“Terdahulu jentera pacuan dua roda Proton Satria menjadi ‘ikon’ buat pasukan kami, namun setelah terlibat kemalangan sewaktu perlumbaan pada tahun 2019 kami mengalami kesukaran untuk mencari penajaan untuk perlumbaan seterusnya.
“Ketika itu prospek penaja-penaja lebih menunjuk minat sekiranya pasukan ini beraksi dengan jentera berjenama yang pernah beraksi di kejuaraan dunia.
“Setelah menimbang dari pelbagai sudut khususnya kos pelaburan yang lebih rendah berbanding jenama lain yang permah beraksi di pentas dunia maka kami memilih Subaru Impreza WRX V8 ini.
“Oleh itu kami ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Terexxa Sdn. Bhd, Impressive Logging Sdn Bhd, R&R Sports Speed Garage, Perotography dan Penyu Sukan yang sanggup memberi kepercayaan selaku rakan penaja bagi jentera baharu kami ini.
“Debaran sudah tentu ada memandangkan ini adalah pertama kali mempertaruhkan jentera pacuan 4 roda setelah hampir selama 8 tahun Eastcost Rallying mewarnai kalendar perlumbaan rali tanah air.” ujar Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki yang telah beraksi bersama jentera Honda Jazz GE6 dan Proton Satria bagi kategori pacuan dua roda sebelum ini.
Manakala rakan sepasukan Amir Izham menyambut baik keputusan Eastcost Rallying untuk mencuba jentera baru tanpa menanti musim baru bagi tahun hadapan.
“Sudah tentu ianya bakal memberi cabaran baru buat kami untuk beraksi di dalam kategori pacuan 4 roda nanti di mana ianya merupakan satu penanda aras baru buat pasukan malah untuk saya juga. Secara teknikal sudah tentu ianya menjadi cabaran baru untuk kami mengutip pengalaman di Asahan nanti.
“Sudah tentu perkembangan ini merupakan satu penanda aras baru buat pasukan dan untuk saya juga secara peribadi oleh itu saya akan buat yang terbaik untuk membantu rakan sepasukan saya.” berkata Amir Izham yang juga merupakan pengasas bersama pasukan East Coast Rallying berpengalaman di arena sukan permotoran jentera lasak sejak 2008.
Kejuaraan Rali Asahan bertempat di Asahan, Melaka ini merupakan siri kedua perlumbaan rali di atas litar gravel yang dijenamakan sebagai Millennium Iconic Rally Championship 2024 di mana siri pertama perlumbaan ini telah berlangsung di Pontian, Johor pada November lalu.
Rali Asahan yang dijadualkan berlangsung selama dua hari penganjuran bermula pada 21 dan 22 Disember ini sehingga kini sebanyak 19 jentera perlumbaan termasuk sebuah jentera rali yang dari luar negara telah mengesahkan penyertaan.
Berdasarkan senarai penyertaan yang telah dikeluarkan oleh penganjur, menjadi perhatian bagi perlumbaan rali kali ini adalah dengan kehadiran jentera Skoda Fabia EVO Rally2 yang akan dipandu oleh pelumba Arjianshah Musa dari Indonesia dengan gandingan pelumba tempatan Sean Gregory selaku pemandu arah yang berpengalaman besar.
Selain itu turut hadir memberi cabaran adalah pelumba muda rali dari India yang pernah beraksi di Kejuaraan Rali Asia Pasifik(APRC), Nikeetaa Takkale yang merupakan satu-satunya pelumba wanita hadir sebagai pelumba bersama gandingan Musa Sherif yang juga merupakan pelumba profesional dari India.
Turut berentap adalah lagenda rali negara Karamjit Singh yang turut mempertaruhkan jentera Subaru Impreza bersama pasukan MRU Motorsports.
Untuk rekod, Rali Asahan ini mempertaruhkan 9 peringkat cabaran(SS) untuk empat kelas perlumbaan(M9,M10,M11 dan M12) bagu dua kategori pacuan iaitu pacuan dua roda sebanyak 11 jentera lumba dan pacuan empat roda dengan penyertaan sebanyak 8 jentera perlumbaan. Penganjuran ini mendapat penyertaan dari luar negara iaitu India dan Indonesia.