Pasukan ragbi wanita negeri Terengganu bagi skuad Sukan Malaysia(SUKMA) Johor 2020 kini di bawah kendalian jurulatih berpengalaman besar; Nik Mohd Shahiddan Mohd Zain. Beliau juga merupakan bekas jurulatih bagi pasukan ragbi lelaki dan wanita Serdang Angels yang berpusat di Universiti Putra Malaysia.
Anak jati Besut ini merupakan bekas pemain ragbi kebangsaan yang pernah beraksi di University Games Russia 2014, Asian University Games Singapore 2015, Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Kapten Pasukan Ragbi Wanita Terengganu Skuad SUKMA 2020
Nur Aisyah Khumaira Razaman merupakan kapten pasukan ragbi wanita negeri Terengganu bagi skuad Sukan Malaysia(SUKMA) Johor 2020 kini giat bersama ahli pasukan menjalani latihan bagi menghadapi kejohanan sulung pertama mereka di Kejohanan KRS Ladies 7s pada 13 & 14 Julai 2019 nanti. Menjadikan atlet ragbi wanita kebangsaan; Rozliana Mohd Ridwan sebagai idola untuk meraih kejayaan bersama ahli pasukan ragbi wanita Terengganu ini.
Pasukan Ragbi Wanita Terengganu Skuad SUKMA 2020
Skuad Sukan Malaysia(SUKMA) Johor 2020 bagi pasukan ragbi wanita negeri Terengganu kini giat menjalani latihan untuk menghadapi Kejohanan KRS Ladies 7s pada 13 & 14 Julai 2019 nanti. Kejohanan ini merupakan pertandingan sulung yang bakal disertai untuk menguji kemampuan pasukan setelah mengikuti program persiapan pasukan sejak April lepas. Skuad di bawah kendalian jurulatih berpengalaman besar iaitu Nik Mohd Shahiddan Mohd Zain yang juga merupakan bekas jurulatih bagi pasukan ragbi lelaki dan wanita Serdang Angels yang berpusat di Universiti Putra Malaysia.
PRNT Sampaikan Perutusan Hari Raya
Perutusan Hari Raya AidilFitri 1440H/2019M yang disampaikan oleh Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu Amir Amri Muhammad juga merangkap naib presiden Kesatuan Ragbi Malaysia dan terkini selaku pengurus pasukan Bunga Raya 15 sepasukan membawa cabaran Kejohanan Ragbi Asia (ARC) yang sedang berlangsung.
PRNT Ungguli Anugerah Ragbi Kebangsaan 2019(ARK 2019)

Kejayaan pasukan ragbi 7 sepasukan wanita Terengganu Hanelang mencipta fenomena muncul juara dalam ketiga-tiga siri penganjuran Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan 2018 sekaligus melayakkan Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) selaku badan induk peringkat negeri untuk dinobatkan sebagai Pasukan Ragbi Wanita Terbaik Kebangsaan dalam majlis sulung Anugerah Ragbi Kebangsaan 2019(ARK 2019).
Penganjuran yang pertama kali memperkenalkan format permainan untuk setiap pasukan mengharungi tiga siri kejohanan di mana pasukan ragbi wanita Terengganu Hanelang terpaksa menjelajah jauh ke beberapa negeri untuk berentap. Bermula dengan langkah kanan di Stadium Hang Tuah, Melaka untuk membelasah pasukan Selangor berkeputusan 39 berbalas 07 dalam perlawanan pembukaan. Sekaligus menjadi kutipan mata tertinggi sepanjang kejohanan siri 1 ini.
Seterusnya bertempat di Stadium Educity, Johor untuk siri kedua penganjuran pasukan ini terus mengukuhkan penguasaan setelah menewaskan beberapa pasukan pilihan. Padang Ipoh, Perak menjadi pentas terakhir untuk pasukan ini mengukir sejarah untuk muncul juara selaku kuasa besar pasukan ragbi wanita 7 sepasukan kebangsaan.

Pada majlis ini juga, YDP PRNT Encik Amir Amri Muhammad turut diberi penghormatan setelah kejayaan pasukan di temasya Sukan SEA 2017 di bawah kendalian beliau selaku pengurus pasukan merangkul Anugerah Khas Pencapaian Pasukan Ragbi Lelaki 7 Sebelah Negara 2019 ini. Menambah manis, pemain import yang setia beraksi bersama pasukan Piala Agong negeri ini Timochi Vonimoku Anugerah Pemain Import Terbaik Peringkat Antarabangsa 2019.
Sebanyak 27 anugerah telah dipertandingkan dalam Majlis ARK 2019 yang pertama kali diperkenalkan ini di mana telah berlansung dengan penuh gemilang di ibu kota.
Ragbi: Hala Tuju & Penjenamaan Semula Bersama Kerajaan Negeri Terengganu

Bertempat di Wisma Darul Iman, Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) telah mengadakan perbincangan bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu tentang hala tuju masa depan sukan ragbi di negeri Terengganu dan penjenamaan semula PRNT. Perbincangan ini telah dipengerusikan oleh Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu(Belia, Sukan dan NGO); Encik Mohd Rahimee bin Mohd Ramli manakala dari pihak persatuan dihadiri oleh Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu; Encik Amir Amri Muhammad dan Enche Mohd Amirulmukminin bin Sulaiman selaku ahli jawatankuasa PRNT.
Perbincangan ini telah menyentuh tentang beberapa perancangan hala tuju untuk memperkasakan sukan ragbi di negeri ini pada tahun 2019 nanti. Antara topik dibincangkan adalah:
a)Permohonan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu untuk PRNT mengadap Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu
b) Persediaan program pembangunan akar umbi sukan ragbi negeri Terengganu
c) Persediaan pasukan bagi menghadapi kejohanan Piala Agong, Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan dan Sukan Malaysia(SUKMA) 2020 di Johor nanti.
d) Memperkasakan Akademi Ragbi Negeri Terengganu
e) Mewujudkan Akademi Ragbi Perempuan Negeri Terengganu
f) Penjenamaan semula Persatuan Ragbi Negeri Terengganu

a)Permohonan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu untuk PRNT mengadap Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu
Pada 2 Oktober 2018, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Yang di-Pertuan Muda Terengganu telah pun memperkenankan untuk menjadi Penaung Persatuan Ragbi Negeri Terengganu melalui satu surat rasmi yang telah dikeluarkan (SUK.TR.410/111-(67) bertarikh 2 Oktober 2018). Oleh yang berkenaan pada hari ini pihak PRNT secara rasmi telah melakukan perbincangan bersama pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu(Bahagian Pengurusan Majlis dan Protokol) untuk sebarang keperluan rasmi yang perlu dilakukan bersama. Oleh yang sedemikian, PRNT melalui pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu ingin memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu untuk PRNT mengadap Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu.
Untuk rekod, Yang Dipertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin turut telah memperkenankan untuk turut sama beraksi membantu pasukan ragbi negeri Terengganu dalam Kejohanan Ragbi Piala Agong 2017.
b) Persediaan program pembangunan akar umbi sukan ragbi negeri Terengganu
Rentetan kejayaan demi kejayaan yang telah dicipta oleh pasukan ragbi negeri Terengganu sejajar dengan perkembangan ragbi tanah air semasa yang mula mendapat perhatian, PRNT kini mengorak langkah dalam persediaan melaksanakan program pembangunan akar umbi sukan ragbi di negeri ini. Program pembangunan akar umbi ini penting untuk memastikan bakat-bakat muda anak jati negeri Terengganu ini tidak disia-siakan. Melalui program ini juga sudah pasti merupakan platform persediaan buat pasukan negeri untuk berentap di pentas kejohanan tertinggi sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
c) Persediaan pasukan bagi menghadapi Kejohanan Piala Agong, Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan, Kejohanan Ragbi Liga Super Kesatuan Ragbi Malaysia dan Sukan Malaysia(SUKMA) 2020 di Johor nanti.
Pihak PRNT sememangnya memerlukan sokongan penuh dari pihak Kerajaan Negeri Terengganu dalam membuat persediaan pasukan bagi mewakili negeri Terengganu ke peringkat kebangsaan mahupun yang lebih tinggi. Hasrat PRNT adalah untuk melakukan transformasi dari satu pasukan bertaraf amatur pada pasukan profesional. Pencapaian memberansangkan dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini dengan persediaan pasukan mengikut kemampuan membuktikan pasukan negeri ini mampu untuk pergi lebih jauh. Oleh yang sedemikian PRNT memerlukan sokongan penuh dari pelbagai pihak khususnya Kerajaan Negeri dalam memperkasakan pasukan seperti memberi sokongan dan kemudahan untuk program-program latihan berprestasi tinggi dan lain-lain aspek persediaan pasukan.
d) Memperkasakan Akademi Ragbi Negeri Terengganu
Akademi Ragbi Negeri Terengganu (ART) yang mula beroperasi sejak 2015 kini dalam proses transformasi untuk memastikan terus kukuh menjadi platform pembangunan sukan ragbi di negeri ini. Sekolah Menengah Sultan Sulaiman bertempat di Batu Buruk merupakan pusat operasi dan latihan sepenuh masa bagi pelatih akademi ini yang dibarisi para pelajar sekolah itu seawal usia 13 tahun sehingga 17 tahun. PRNT telah merangka satu plan jangka panjang untuk memberi kesinambungan dan masa depan para pelatih akademi ini setelah tamat persekolahan. Langkah ini perlu demi memastikan masa depan bakat-bakat pelatih yang telah menjalani latihan sekian lama agar tidak disia-siakan begitu sahaja tanpa perhatian dari pihak berwajib.
e) Mewujudkan Akademi Ragbi Wanita Negeri Terengganu
Rentetan fenomena kejayaan pasukan ragbi wanita di pentas Sukan SEA 2017 dan kejayaan pasukan ragbi wanita negeri Terengganu menjadi johan di pentas Kejohanan Ragbi Wanita 7 Sepasukan 2018, PRNT melihat prospek yang tinggi bagi keperluan untuk mewujudkan akademi ragbi wanita di negeri ini. Buat masa ini, belum ada mana-mana akademi ragbi wanita di peringkat negeri telah ditubuhkan melainkan hanya di peringkat kelab. Oleh yang sedemikian menjadi tanggungjawab PRNT selaku badan induk sukan ragbi di negeri ini untuk menyediakan platform bagi atlet ragbi wanita.
f) Penjenamaan semula Persatuan Ragbi Negeri Terengganu
Sejak sekian lama penubuhan Persatuan Ragbi Negeri Terengganu pada 13 Mei 1980, kini PRNT perlu melakukan perubahan besar-besaran sama ada dari peringkat bawah termasuk proses penjenamaan semula persatuan sukan ragbi induk di negeri ini. Penjenamaan semula ini adalah secara lansung untuk memberi transformasi persatuan sukan yang dilihat sebagai persatuan sukan bertaraf amatur kepada profesional.
Untuk rekod, Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu; Encik Amir Amri Muhammad juga merupakan Naib Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia. Setelah menimba pengalaman untuk terlibat dalam pengurusan persatuan induk peringkat kebangsaan kini sudah sampai masanya untuk memberi fokus penambahbaikan bagi persatuan ragbi negeri ini.
Oleh yang sedemikian dalam proses penjenamaan semula PRNT, pihak persatuan sedang merancang untuk mengadakan satu kejohanan ragbi peringkat antarabangsa yang akan diadakan di negeri Terengganu pada tahun 2019 nanti.
PRNT Sambut Baik Hasrat Kerajaan Negeri Terengganu

Persatuan Ragbi Negeri Terengganu menyambut baik hasrat kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu tentang sebarang aktiviti sukan yang perlu mematuhi hukum syariah secara menyeluruh. Perkara itu telah dizahirkan oleh YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri(DUN) Ke-14 hari ini.
Kenyataan Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu; Encik Amir Amri Mohamad:
“Setelah mengikuti perbahasan Sidang DUN pagi ini, saya selaku Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu membuat keputusan untuk memastikan persatuan induk ragbi di negeri ini menyahut seruan kerajaan negeri di bawah slogan ‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’. Oleh yang sedemikian kesemua para pemain dan pegawai pasukan sama ada lelaki mahupun perempuan wajib berpakaian menutup aurat dalam semua acara kejohanan anjuran pihak persatuan sama ada di kejohanan dalam negeri mahupun peringkat kebangsaan.
Langkah pertama perlaksanaan seruan ini akan bermula bersempena dengan penganjuran Karnival Liga Ragbi 15 Sepasukan Terengganu 2018 yang dijadualkan berlansung pada 29 November sehingga 1 Disember 2018 nanti. Perlaksanaan ini menjadi sebahagian dari peraturan kejohanan di mana sekiranya terdapat pemain yang melanggar peraturan maka pemain tersebut tidak dibenarkan untuk beraksi mewakili pasukan mereka nanti.”
Untuk rekod, Karnival Liga Ragbi 15 Sepasukan Terengganu 2018 bakal berlansung selama 3 hari bertempat di padang ragbi Kompleks Sukan Negeri Terengganu Gong Badak, Kuala Nerus.
Kenyataan ini juga turut mendapat reaksi positif dari Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT); Encik Ibni Amin Busu:
“Terapkan nilai keikhlasan dan kerana Allah kepada atlte-atlet negeri ini agar apabila mereka mewakili negara mahupun beraksi di pentas tertinggi nanti amalan ini tetap diteruskan, bukan sekadar untuk program di bawah kendalian pihak berwajib sahaja.”
Dalam pada itu, YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah turut memberikan kenyataan di laman Facebook beliau (https://www.facebook.com/ustazwansukairi4wakafmempelam/)
Kerajaan Terengganu sentiasa pentingkan sukan mematuhi syariah, pendekatan dan strategi yang harmoni dan tidak tergesa-gesa akan diambil. Sebagai permulaan semua pemain bolasepak di bawah naungan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang beragama Islam akan memakai pakaian menutup aurat pada tahun hapadan.
YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO.
Ucapan penuh YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri(DUN) Ke-14 hari ini boleh dilihat di –
https://www.facebook.com/TvDI3/videos/481157389061757/
Persatuan Ragbi Daerah Besut Cipta Sejarah

Persatuan Ragbi Daerah Besut(PRB) membuka catatan baharu perkembangan sukan ragbi negeri Terengganu untuk menjadi persatuan peringkat daerah yang pertama di negeri ini bernaung di bawah Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT). Persatuan Ragbi Daerah Besut atau ringkasnya disebut PRB seperti mana telah dalam perlembagaan persatuan secara rasmi telah didaftarkan dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia pada 7 Februari 2017. Seramai 17 ahli terawal telah berdaftar memberi gambaran positif pada hala tuju persatuan yang baharu ditubuhkan ini.
Sebagai persatuan di peringkat daerah meletakkan halatuju untuk bernaung di bawah persatuan induk peringkat negeri adalah langkah tepat perlu dilakukan sewajarnya untuk mendapat pengiktirafan bagi setiap program yang dianjurkan. Pengiktirafan dalam sesuatu program mahupun penganjuran adalah penting bagi memastikan setiap perkara tersebut tidak dilakukan dengan sia-sia khususnya masa depan atlet yang dinaungi. Perkara ini sering dipandang remeh oleh sesetengah penggiat sukan yang akhirnya hanya merugikan mereka sendiri.
Untuk rekod, PRB merupakan merupakan organisasi sukan ragbi kedua dalam negeri ini telah berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia di mana sebelum itu adalah Kuala Terengganu Rugby Club(KTRC). Namun hanya PRB yang secara rasmi merupakan organisasi pertama berdaftar dengan PRNT untuk bernaung. PRNT adalah selaku badan induk di peringkat negeri Terengganu yang turut bernaung di bawah Kesatuan Ragbi Malaysia(KRM) selaku badan induk di peringkat kebangsaan.

Berpusat di Jerteh, persatuan ini menyasarkan sebarang aktiviti meliputi program pembangunan dan menggiatkan penganjuran kejohanan sukan ragbi di sekitar daerah Besut tanpa mengira peringkat usia. Perkembangan ini sudah pasti bakal memberi peluang kepada belia-belia untuk beraksi di pentas kejohanan yang lebih tinggi sama ada di dalam negeri mahupun mewakili negeri Terengganu. Program pembangunan tidak hanya memfokuskan kepada atlet mahupun pasukan ragbi itu sendiri malah turut melibatkan kejurulatihan dan pengurusan untuk pegawai-pegawai sukan ini.
Keahlian Persatuan Ragbi Daerah Besut terbahagi kepada beberapa kategori iaitu Ahli Gabungan, Ahli Individu, Ahli Bersekutu dan Ahli Kehormat. Ahli Gabungan adalah ahli terdiri dari kelab-kelab sukan ragbi yang sah berdaftar di Pejabat Pesuruhjaya Sukan manakala Ahli Individu adalah terbuka kepada mana-mana individu yang berminat untuk bergiat di dalam sukan ini.
Ahli Bersekutu membawa maksud dari persatuan, kelab dan pertubuhan berdaftar secara sah di sisi undang-undang yang menjalankan pelbagai aktiviti sukan selain dari sukan ragbi. Ahli Kehormat merupakan individu-individu yang dilantik oleh Jawatankuasa Induk kepada mereka yang pernah berjasa kepada persatuan atau individu-individu yang boleh memberi sumbangan kepada persatuan.

Karnival Ragbi Besut 7s telah berlansung pada 19 Ogos 2017 melibatkan penyertaan 12 buah sekolah dari negeri Terengganu dan Kelantan menjadikan 244 atlet dan 24 pegawai sukan merupakan penganjuran sulung untuk menguji kemampuan jentera pengurusan persatuan ini. Bertitik tolak dari kejayaan penganjuran itu, PRB terus mengorak langkah kejayaan dengan penganjuran Karnival Ragbi Pantai Timur 2018 yang baharu menutup tirai pada 27 Oktober 2018 yang lalu. Karnival ini telah melibatkan 33 pasukan ragbi terdiri dari 25 pasukan lelaki dan 8 pasukan perempuan dari pelbagai negeri.
Kepada mereka yang berminat untuk menjadi ahli persatuan atau menyertai sebarang program yang dianjurkan oleh pihak PRB boleh menghubungi melalui email – per.ragbi.besut@gmail.com atau di talian 012 909 7374.
PRB juga turut mempunyai akaun Facebook rasmi yang boleh dilawati di https://www.facebook.com/PERSATUANRAGBIBESUT
PERSATUAN RAGBI DAERAH BESUT
*Berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia pada 7 Februari 2017. No. Pendaftaran – 8605/2017
|
BIL.
|
JAWATAN
|
NAMA
|
| 1. | PRESIDEN | MOHD HILMI BIN MOHAMED YUSOFF |
| 2. | TIMBALAN PRESIDEN | KAMAL ASYRAFF BIN NODIN |
| 3. | SETIAUSAHA | MOHD SAFWAN BIN IBRAHIM |
| 4. | PENOLONG SETIAUSAHA | DARULSSALAM BIN AB. RAHMAN |
| 5. | BENDAHARI | WAN MOHD SAIFULTERA BIN WAN JUSOH |
|
AHLI JAWATANKUASA
|
||
| 6. | MOHD FAEZ BIN MOHAMAD | |
| 7. | AHMAD KHAIRI BIN JUSOH | |
| 8. | MAKHIZU BIN MUSTAPHA | |
| 9. | MUHAMMAD AMAR HIDAYATULLAH BIN ZULKEFLI | |
| 10. | MOHD ZANI @ MOHD ZAN BIN AWANG | |
| 11. | NIK MOHD SHAHIDDAN BIN MOHD ZAIN | |
Ragbi Piala Agong 2018: Terengganu Melangkah Suku Akhir Ulangi Sejarah Bertemu Kelantan

Pasukan ragbi negeri Terengganu sekali lagi berjaya mara ke perlawanan suku akhir kejohanan ragbi Piala Agong 2018 edisi ke-36 malah turut mengulangi sejarah untuk bertemu Kelantan di peringkat ini seperti mana pada edisi terdahulu(2017). Terengganu berada di tangga kedudukan ke-3 dalam kumpulan Premier setelah mengharungi 3 perlawanan peringkat kumpulan. Untuk rekod, pada edisi lalu di peringkat suku akhir Terengganu berjaya menewaskan Kelantan dengan berkeputusan 43 berbalas 26 dan berjaya mara ke peringkat akhir menentang Johor.
Kelantan kini berada di tangga kedudukan pertama dalam kumpulan Divisyen 1 setelah berjaya menewaskan Negeri Sembilan pada perlawanan ke-3 peringkat kumpulan. Untuk rekod pasukan Kelantan kali terakhir mara ke pusingan separuh akhir pada tahun 2014 di mana pada 2015, 2016 dan 2017 telah terkandas di peringkat suku akhir.
Kedua-dua pasukan ini dijadualkan untuk berentap pada 18 November 2018 nanti bertempat di Stadium Universiti Pertahanan Nasional Malaysia(UPNM) di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Tshirt Edisi Khas Buat Peminat Ragbi

Rentetan di atas permintaan dari kalangan para peminat dan penyokong ragbi negeri Terengganu, maka Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) dengan berbesar hati menawarkan jualan tshirt edisi khas semperna kejohanan ragbi Piala Agong 2018 ke-36 yang sedang berlansung kini. Tshirt edisi khas ini menggunakan fabrik ‘micro fiber eyelet’ dibuka untuk jualan pada harga RM50.00 sehelai tidak termasuk kos penghantaran.
Tempahan terhad tshirt ini akan ditutup pada 31 Oktober 2018 nanti dan dijangka siap sepenuhnya selepas 7 hari bekerja dari tarikh tempahan ditutup. Tambahan RM10.00 untuk kos penghantaran bagi mereka yang memerlukan.
Kejohanan Piala Agong merupakan kejohanan ragbi paling berprestij dan tertinggi di peringkat kebangsaan di mana pasukan negeri Terengganu tidak pernah terlepas untuk menyertai sejak 2012. Pada kejohanan Piala Agong edisi lalu, PRNT berjaya memberi kejutan untuk mara ke pusingan akhir bertemu Johor. Kejayaan ini sekali gus meletakkan pasukan ragbi negeri ini di antara pasukan yang mampu memecah dominasi kuasa sukan ragbi tanah air.

Malah kejayaan mara ke pusingan akhir juga sejajar dengan perkembangan dan pencapaian yang dicipta oleh pasukan negeri ini pada tahun-tahun sebelum itu di pelbagai peringkat kejohanan. Selain pencapaian di pentas Piala Agong, terkini pasukan ragbi negeri ini juga telah berjaya merangkul pingat perak di pentas Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 yang telah berlansung baru-baru ini.

Untuk tempahan tshirt edisi khas ini, sila jelaskan bayaran kepada:
BANK: CIMB
NO AKAUN: 7610 7732 59
PENAMA: NAJIHAH JUSOH
Setelah bayaran dilakukan, sila berikan maklumat berikut:
a) Nama
b) No. Telefon
c) Saiz
d) Kuantiti
e) Resit salinan bank sebagai bukti pembayaran
dan hantar melalui WhatsApp atau hubungi – 0139871415
Tempahan tshirt edisi khas ini akan ditutup pada 31 Oktober 2018 nanti dan dijangka siap sepenuhnya selepas 7 hari bekerja dari tarikh tempahan ditutup. Tambahan RM10.00 untuk kos penghantaran bagi mereka yang memerlukan.
Piala Agong 2018: Jurang ‘2 Try’ Jadi Pemisah

Beraksi dalam cuaca hujan lebat seawal permainan sedikit sebanyak menambah cabaran dan tekanan kepada kedua-dua pasukan yang berentap dalam perlawanan tumpuan minggu ke-2 kejohanan Piala Agong 1018 ini. Terengganu turun selaku pasukan pelawat di Stadium Sultan Abdul Halim bertemu Kedah berjaya mendahului permainan pada separuh masa pertama namun 2 try di minit-minit terakhir pasukan tuan rumah menjadi pemisah.
Kedah di antara pasukan menjadi sebutan pada musim ini mengejutkan pasukan pelawat seawal minit ke-5 untuk kutipan mata try pertama oleh Mohd Akmal bin Abdul Manaf. Tendangan conversion pertama permainan mudah disempurnakan oleh Muhammad Faizal bin Md Tahir sekali gus 7 mata berjaya dikutip. 10 minit kemudian pasukan tuan rumah sekali lagi berjaya mengutip 7 mata penuh permainan setelah pasukan Terengganu masih tercari rentak permainan. Sememangnya minit-minit awal permainan Kedah berjaya mendominasi penguasaan bola di atas padang.

Ketua jurulatih Terengganu; Mohd Mazuri Sallehudin tidak menunggu lama untuk mengatur taktikal di mana pemain gantian import Fiji Osea Navori Naiova dibawa masuk ke padang pada minit ke-16 permainan. Minit demi minit permainan pasukan pelawat kian dapat membaca rentak lawan di mana hasil dorongan cantik oleh Timoci Vunimoku memberi peluang kepada Stanly Sedry Stephen untuk jatuhan try pertama di minit ke-22. Terengganu mengekalkan taktikal yang sama untuk memberi tekanan dan berhasil mendapat kutipan mata seterusnya melalui 2 try dan 1 tendangan conversion dalam masa yang singkat sekali gus mendahului permainan di separuh masa pertama.
Babak separuh masa kedua menyaksikan pasukan tuan rumah membuat beberapa gantian pemain sekali gus memberi tenaga kepada pasukan untuk menguasai permainan. Kedah mula memperbaiki permainan setelah mengenal pasti kelemahan taktikal pasukan pelawat di mana Mohd Syahmi Afiq bin Edan berjaya menambah 5 mata buat pasukan melalui jatuhan try. Menambah duka buat pasukan Terengganu apabila pemain hooker Azam Fakhrullah Abd Razak terpaksa dihantar keluar padang setelah mengalami kecederaan di minit ke-55 permainan.

Asakan demi asakan oleh Kedah dalam suasana hujan lebat berjaya memberi tekanan kepada Terengganu untuk melakukan kesilapan di mana pasukan tuan rumah terus menambah mata hasil dari tendangan penalti. Terengganu kembali memperkemaskan taktikal permainan seperti di separuh masa pertama dan seterusnya berjaya menambah mata try yang disempurnakan oleh pemain flyhalf Aliff Sazrie Azmi.
Aliff Sazrie juga turut berjaya menyempurnakan tambahan 2 mata melalui tendangan conversion untuk memberi peluang kepada pasukan mendahului permainan. Namun Kedah tidak menunggu lama untuk terus membalas dengan 2 jatuhan try berturut-turut disempurnakan oleh pemain fullback Muhammad Faizal bin Md Tahir sekali gus menamatkan permainan berkeputusan 37 berbalas 24.

Terengganu sekali lagi bakal menjadi tumpuan dalam perlawanan seterusnya menentang Johor selaku tuan rumah pada 20 Oktober 2018 bertempat di Stadium Mini Kota Tinggi. Kedua – dua pasukan ini merupakan finalis pada edisi lalu di mana Johor selaku penyandang juara turut telah tewas kepada Kedah dalam perlawanan pembukaan minggu lalu.
Ragbi Piala Agong Ke-36: Penyu Belasah Seladang

Finalis edisi lalu, pasukan ragbi negeri Terengganu bermula cemerlang dalam perlawanan sulung kejohanan ragbi Piala Agong 2018 edisi ke-36 setelah membelasah Perak berkeputusan 65 berbalas 14. Kutipan mata yang diterjemahkan melalui 11 try dan 5 conversion berjaya disempurnakan oleh pasukan negeri ini di bawah kendalian Mohd Mazuri Sallehudin selaku ketua jurulatih. Skuad Penyu yang beraksi di laman sendiri bermula garang apabila berjaya memperolehi jatuhan try pertama seawal minit ke-3 disempurnakan oleh Muhammad Haikal bin Ibrahim.

Minit demi minit permainan bermula dapat dilihat penguasaan penuh rentak permainan pasukan tuan rumah walaupun berlansung dalam cuaca panas di padang Mini Stadium Kompleks Sukan Negeri Terengganu. Pasukan lawan kian hilang menambah duka apabila 2 pemain turut memperolehi kutipan kad kuning pertama dalam perlawanan pembukaan di separuh masa pertama. Kutipan mata 7 try dan tambahan 4 tendangan conversion yang berjaya disempurnakan sekaligus berjaya menafikan tanpa sebarang kutipan mata oleh pasukan Seladang pada separuh masa pertama.

5 minit setelah bermula separuh masa kedua, Stanly Sedry Stephen sekali lagi berjaya menambah mata melalui larian pantas untuk jatuhan try ke-3 permainan di sudut padang. Walaupun pemain flyhalf; Aliff Sazrie bin Azmi kurang bernasib baik untuk menambah mata melalui tendangan conversion namun selang 4 minit kemudian pemain gantian Muhamad Faiz Izzuddin bin Azmi berjaya menambah mata melalui try. Kutipan mata try pertama buat pasukan Seladang hadir di minit ke-56 permainan melalui pemain gantian Mohd Shah Irwan bin Nordin setelah kesilapan mudah oleh pasukan tuan rumah. Kesilapan mudah itu juga turut memudahkan pasukan Seladang ini menambah mata melalui tendangan conversion.

Asakan demi asakan padu barisan pemain hadapan skuad Penyu menebuk pertahanan lawan akhirnya memberi ruang kepada Lawrence Petrus untuk menyempurnakan kutipan mata try ke-10 di minit ke-69 permainan. Aliff Sazrie bin Azmi menyempurnakan tugasnya dengan melengkapkan tambahan 2 mata lagi melalui tendangan conversion. Walaupun skuad Penyu mendahului selesa untuk menguasai perlawanan, Muhammad Haikal bin Ibrahim yang telah mengutip 2 mata try juga turut mengutip kad kuning pertama buat pasukan di minit ke-72 permainan. Turut bersama berkongsi kerusi sinbin adalah pemain import Fiji Timoci Vunimoku yang turut menyimpan kad kuning di minit-minit akhir permainan ini. Skuad tuan rumah yang beraksi dengan 13 pemain dimanfaat sepenuhnya oleh Seladang untuk menambah try dan conversion.

Namun layangan kad kuning bukan noktah buat skuad Penyu ini apabila kutipan mata try terakhir berjaya disempurnakan oleh Stanly Sedry Stephen di minit-minit akhir permainan. 4 try berjaya dilakukan meletakkan pemain ini pengutip mata terbesar buat pasukan bagi sepanjang perlawanan ini. Untuk rekod, Stanly Sedry Stephen bersama Muhammad Haikal bin Ibrahim, Azam Fakhrullah bin Abd Razak dan Muhammad Faris bin Abdullah di dalam skuad Piala Agong ini juga turut telah beraksi mewakili negeri Terengganu di pentas Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 pada September lalu.
Seterusnya skuad Penyu dijadualkan untuk bertemu pasukan Kedah dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan Premier ini pada 13 Oktober ini bertempat di Stadium Sultan Abdul Halim. Kedah selaku pasukan di tempat ke-4 pada edisi lalu meraih kemenangan pertama dalam perlawanan pertama di tempat lawan setelah menentang Johor. Manakala pasukan Perak selaku pasukan di tempat ke-3 pada edisi lalu bakal menjadi tuan rumah untuk aksi kedua mereka menentang Johor selaku penyandang juara.

Kejohanan Ragbi Piala Agong 2018 Ke-36
*Senarai pemain negeri Terengganu Darul Iman bagi perlawanan menentang Perak
|
BIL.
|
POSISI
|
NAMA
|
| 1. | PROP | LAWRENCE PETRUS ** |
| 2. | HOOKER | AZAM FAKHRULLAH BIN ABD RAZAK |
| 3. | PROP | CARL DYLAN HUBERT |
| 4. | LOCKS | MUHAMMAD SAMEER BIN M. SANI SUNDER |
| 5. | LOCKS | AVIEN AZREEN BIN PERMAN |
| 6. | FLANKER | MUHAMMAD FARIS BIN ABDULLAH ** |
| 7. | FLANKER | MUHAMMAD HANIS BIN MOHAMMAD ** |
| 8. | NO. 8 | TIMOCI VUNIMOKU |
| 9. | SCRUM HALF | MOHAMAD NASHARUDDIN BIN ISMAIL * |
| 10. | FLY HALF | ALIFF SAZRIE BIN AZMI *** |
| 11. | INSIDE CENTER | SEVANAIA NATUITAGALUA NAITONICAGI ** |
| 12. | OUTSIDE CENTER | MUHAMMAD HAIKAL BIN IBRAHIM ** |
| 13. | INSIDE WINGER | STANLY SEDRY STEPHEN ** |
| 14. | OPEN WINGER | MUHAMMAD AZIZUL HAKIM BIN CHE OON |
| 15. | FULLBACK | AKMAL NASHREN BIN ABD. MALIK |
|
PEMAIN GANTIAN
|
||
| 16. | LOCKS | MOHD SHUKRI BIN LORDIN |
| 17. | PROPS | CAPHRYAN DHANNY GISANG |
| 18. | PROPS | MUHAMMAD SUFFI MUSTAQIM BIN OTHMAN |
| 19. | PROPS | MUHAMMAD AMIRUL AZAMUDDIN BIN ADAM |
| 20. | BACKS | MUHAMMAD HAKIMIE BIN BADRUL HISHAM |
| 21. | BACKS | MOHAMAD FARIS BIN PEAD |
| 22. | BACKS | MUHAMAD FAIZ IZZUDDIN BIN AZMI ** |
| 23. | BACKS | OSEA NAVORI NAIOVA |
* – Kapten pasukan
** – Berjaya mendapat kutipan mata try
*** – Berjaya mendapat kutipan mata tendangan conversion
Ragbi Piala Agong Ke-36: Terengganu Tuan Rumah Membuka Tirai

Finalis edisi lalu, Terengganu bakal membuka gelanggang selaku tuan rumah dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Piala Agong edisi penganjuran ke-36 pada 6 Oktober 2018 nanti. Mini Stadium Kompleks Sukan Negeri Terengganu sekali lagi kembali menjadi pentas untuk pasukan ragbi 15 sebelah negeri ini untuk berentap bersama Perak pada perlawanan pembukaan. Padang ini juga merupakan venue perlawanan akhir pada edisi lalu di mana pasukan negeri Terengganu mara ke pusingan akhir bertemu Johor.
Saingan kejohanan kali ini bakal memperlihatkan percaturan lebih mencabar berbanding edisi terdahulu memandangkan beberapa negeri lain turut giat mempersiapkan pasukan dengan lebih mantap berbanding dahulu. Terengganu selaku finalis edisi lalu telah diundi bersama pasukan negeri Johor, Kedah dan Perak untuk berada dalam kumpulan Premier yang menjadi kumpulan maut dalam saingan melibatkan tiga kumpulan.
Rekod pencapaian kian cemerlang sejak layak beraksi di pentas Piala Agong pada 2013 meletakkan pasukan ini sebagai salah satu pasukan dari pantai timur yang digeruni oleh lawan. Terkini rentetan kejayaan negeri Terengganu menjadi finalis di temasya Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 baru-baru ini sedikit sebanyak mampu dijadikan ukuran penguasaan ragbi di peringkat kebangsaan.

Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) turut telah membuat kejutan apabila melantik bekas pemain kebangsaan yang juga jurulatih berpengalaman Mohd Mazuri Sallehudin untuk mengemudi pasukan negeri ini. Lantikan ini mendapat perhatian positif di kalangan para peminat dan pasukan lawan sehingga menjadi perbualan. Beliau kini turut menjawat jawatan sebagai pengurus besar kelab ragbi KL Saracens di mana sebelum ini telah menjawat sebagai pengurus besar Kesatuan Ragbi Malaysia. KL Saracens adalah sebahagian dari Saracens F.C. iaitu kelab ragbi profesional dari London. Mohd Mazuri Sallehudin yang lebih mesra dikenali sebagai ‘Kobau’ di persada sukan ragbi ini dilihat menjadi satu kelebihan buat pasukan di mana mempunyai reputasi yang baik di kalangan para pemain.
Beberapa pemain tempatan yang beraksi pada edisi lalu telah dikenal pasti masih setia untuk berentap bersama pasukan ragbi negeri Terengganu di antaranya Aliff Sazri, Azam Fikrullah, Azizul Hakim dan Lawrence Petrus. Selain pemain tempatan, dua pemain import Fiji penuh berpengalaman iaitu Timoci Vunimoku dan Sevanaia Natuitagalua juga turut masih terus setia untuk membadai kempen Piala Agong musim ini. Untuk rekod, Timoci Vunimoku turut pernah menyarung jersi kebangsaan dalam aksi kejuaraan Ragbi Asia Divisyen 1 2017 dan seterusnya mara ke Divisyen Premier pada 2018. Sevanaia Natuitagalua pula kembali menyarung jersi negeri untuk tahun ke-3 di pentas Piala Agong ini sejak 2016.
Muat turun jadual penuh Kejohanan Piala Agong 2018 Ke-36 – http://penyusukan.com/download/Ragbi/PenyuSukandotocom-JadualKejohananRagbiPialaAgong2018Ke-36-Kemaskini-25Sept2018.pdf
Ragbi: 5 Try Perlawanan Persahabatan

Menjelang kempen kejohanan ragbi Piala Agong 2018 edisi ke-36 yang bakal bermula pada 6 Oktober 2018 nanti, Terengganu telah giat mempersiapkan pasukan dengan mengadakan satu perlawanan persahabatan bersama pasukan negeri Selangor. Perlawanan yang telah berlansung dalam cuaca hujan lebat seawal permainan sehingga tamat, Terengganu berjaya memperolehi 5 jatuhan try sekaligus mendominasi perlawanan ini. Padang Utara, Petaling Jaya menjadi padang pertama buat pasukan ini untuk memperkemaskan persiapan pasukan.
Mohd Mazuri Sallehudin selaku ketua jurulatih pasukan ragbi negeri Terengganu memperlihatkan optimis terhadap keserasian pasukan walaupun pertama kali digandingkan di atas padang. Pada persiapan awal pasukan terdapat dua kumpulan pemain menjalani latihan iaitu di Kuala Terengganu dan di Universiti Putra Malaysia. Hal ini adalah kerana terdapat sebahagian pemain ragbi negeri ini merupakan pelajar di universiti tersebut dan sekitar lembah Klang. Perlawanan ini juga turut memperlihatkan aksi pemain import Fiji; Osea Navori yang pertama beraksi bersama pasukan ini.

Walaubagaimanapun menurut ketua jurulatih ini masih banyak perkara yang perlu diperkemaskan khususnya taktikal permainan dan keupayaan pemain itu sendiri untuk berentap di pentas Piala Agong ini. Kejohanan Piala Agong merupakan kejohanan paling berprestij di dalam kalendar ragbi kebangsaan di mana setiap negeri yang bertanding sudah pasti membuat perlaburan besar untuk muncul juara. Perlawanan persahabatan ini juga turut dibarisi beberapa pemain senior negeri ini yang turut memberi aksi kepada pasukan kelahiran mereka.
Ragbi: Hafiizh Zainal Umum Persaraan

Persatuan Ragbi Negeri Terengganu dalam satu majlis ringkas telah meraikan Mohd Hafiizh Zainal yang bersara selaku jurulatih sulung bagi Akademi Ragbi Negeri Terengganu. Mohd Hafiizh Zainal yang mula berkhidmat sejak awal penubuhan akademi ragbi ini pada tahun 2014 kini bakal memulakan karier baharu sebagai seorang guru di negeri Sarawak pada 1 Oktober 2018 nanti.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Mohd Hafiizh Zainal di atas komitmen dan pengorbanan yang telah diberikan dari awal penubuhan akademi sehingga ke hari ini. Banyak hasil kejayaan para pelatih ragbi telah diperolehi sepanjang 4 tahun ini meletakkan akademi ragbi negeri ini setaraf dengan pasukan dan akademi ragbi di luar sana. Mohon kemaafan sekiranya jika ada kekurangan dari pihak PRNT(Persatuan Ragbi Negeri Terengganu).”; ujar Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu merangkap Naib Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia; Amir Amri Muhammad.

“Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya sepanjang 4 tahun ini. Banyak perkara saya pelajari khususnya menukar diri saya dari pemain kepada jurulatih dan bagaimana untuk melatih pelatih yang terdiri dari pelajar sekolah. Terima kasih kerana memberi peluang”; ujar Mohd Hafiizh Zainal yang bakal bergelar guru.
Turut hadir di majlis ini adalah Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu Encik Che Mohd Zulkarnain, Penyelaras Akademi Ragbi Negeri Terengganu Mohd Fazli bin Yusof, Syamsuri Ab Talib dan Aidil Adam.
Kami dari PenyuSukan.com percaya bahawa ‘persaraan’ ini bukan titik nokhtah buat beliau dan juga perkembangan ragbi di negeri Terengganu ini. Sudah tentu negeri ini sentiasa menanti kepulangan beliau nanti. Semoga selamat maju jaya diucapkan kepada saudara Hafiizh Zainal.

PROFIL BEKAS JURULATIH AKADEMI RAGBI NEGERI TERENGGANU
NAMA: MOHD HAFIIZH ZAINAL
TARIKH LAHIR: 6 FEBRUARI 1988
TEMPAT LAHIR: KUALA TERENGGANU
PENGALAMAN/JAWATAN SEBAGAI ATLET –
a) SMK SULTAN SULAIMAN 2005
b) SUKAN MALAYSIA(SUKMA) 2006, 2008 & 2010
c) KELAB RAGBI COBRA 2008
d) PASUKAN NEGERI TERENGGANU – KEJOHANAN PIALA AGONG 2016
d) PASUKAN KEBANGSAAN – NEW DELHI COMMONWEALTH GAMES 2010
e) PASUKAN KEBANGSAAN – HSBC ASIAN 5 NATIONS 2012
f) PASUKAN KEBANGSAAN – GLASGOW COMMONWEALTH GAMES 2014
PENGALAMAN/JAWATAN SEBAGAI JURULATIH –
a) PASUKAN NEGERI TERENGGANU SUKAN MALAYSIA(SUKMA) 2013
b) AKADEMI RAGBI NEGERI TERENGGANU 2014
SIJIL KELAYAKKAN:
a) INTERNATIONAL RUGBY BOARD COURSE LEVEL 1 & 2 2010
b) SAINS SUKAN MAJLIS SUKAN NEGARA TAHAP 1 & 2 2017
Ragbi: Ketua Jurulatih Skuad Piala Agong Diumumkan

Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) dalam satu hebahan di laman Facebook rasmi persatuan telah mengumumkan pelantikan ketua jurulatih untuk membimbing skuad pasukan negeri ini ke cabaran Kejohanan Piala Agong 2018 edisi ke-36 yang akan bermula pada 6 Oktober 2018 nanti. Bekas pengurus besar Kesatuan Ragbi Malaysia(KRM) dan juga jurulatih berpengalaman besar Mohad Mazuri Sallehudin atau lebih mesra dikenali sebagai ‘Kobau’ secara rasmi dipilih sebulat suara oleh pihak PRNT setelah membuat penilaian ke atas beberapa calon yang dicadangkan.
Kobau yang telah menyandang jawatan selaku pengurus besar KRM bermula pada tahun 2013 sehingga Mac 2018 kini disambar oleh pasukan KL Saracens untuk jawatan yang sama. Bekas pemain kebangsaan berpengalaman besar ini juga turut memiliki beberapa sijil kelayakan dan kejurulatihan dari World Rugby(dahulu dikenali sebagai International Rugby Board – IRB) selaku badan induk dunia sukan ini. Terkini ketua jurulatih ini juga baru sahaja menamatkan kursus kejurulatihan (World Rugby Trainer Course) di Dubai pada September lalu. Sebelum itu, anak jati Negeri Sembilan ini telah memulakan kerjaya sebagai pemain ragbi sejak tahun 1998 sehingga 2010 bersama pasukan NS Wanderers.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Geologi) dari Universiti Malaya ini bakal memulakan tugas selaku ketua jurulatih seawal hujung minggu ini(29 September 2018) untuk membuat penilaian pemilihan pemain di kalangan anak jati negeri Terengganu. Persiapan pasukan akan disegerakan memandangkan perlawanan pertama bakal membuka tirai tidak lama lagi dan negeri Terengganu bakal menjadi tuan rumah untuk menentang pasukan negeri Perak nanti.

PROFIL KETUA JURULATIH NEGERI TERENGGANU SKUAD RAGBI PIALA AGONG 2018
NAMA: MOHD MAZURI SALLEHUDIN
TARIKH LAHIR: 13 SEPTEMBER 1976
TEMPAT LAHIR: RANTAU, NEGERI SEMBILAN.
PENCAPAIAN SUKAN RAGBI:
SELAKU PEMAIN MUNCUL JUARA –
a)PIALA AGONG BERSAMA PASUKAN NEGERI SEMBILAN BAGI TAHUN 2000 SEHINGGA 2003.
b) 7 SEPASUKAN KEBANGSAAN BERSAMA PASUKAN NEGERI SEMBILAN BAGI TAHUN 2002 DAN 2003
SELAKU JURULATIH MUNCUL JUARA –
a) 7 SEPASUKAN KEBANGSAAN BERSAMA PASUKAN NEGERI SEMBILAN BAGI TAHUN 2011
PENGALAMAN/JAWATAN SEBAGAI JURULATIH
a) TAYLORS COLLEGE 2010
b) UNIVERSITI MALAYA 2011
c) UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA 2012
d) MALAYSIA U23 7s 2012
e) MALAYSIA 15s 2013
SIJIL KELAYAKKAN:
a) WORLD RUGBY EDUCATOR
b) WORLD LEVEL 2 RUGBY STRENGTH & CONDITIONING
c) WORLD RUGBY LEVEL 2 7s COACHING
d) WORLD RUGBY LEVEL 3 15s COACHING
Ragbi: Pencarian Anak Jati Ke Pentas Kebangsaan

Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) kini dalam usaha pembentukan pasukan untuk mengharungi kempen kejohanan ragbi paling berprestij peringkat kebangsaan iaitu Kejohanan Piala Agong Edisi Ke-36 yang akan bermula tidak lama lagi. Oleh yang sedemikian pihak PRNT sedang giat mencari pemain-pemain ragbi yang berpotensi di kalangan anak jati negeri Terengganu untuk menyarung jersi kebanggaan untuk skuad Piala Agong 2018.
Tiada sebarang syarat minima diletakkan kecuali bagi mereka yang masih berumur bawah 18 tahun perlu mendapat surat pelepasan tanggungan dari ibu bapa atau penjaga. Namun peluang ini tidak tertakluk kepada anggota tentera dan polis tidak di mana mereka perlu mewakili pasukan masing – masing di pentas kejuaraan ini seperti mana menurut peraturan pertandingan yang disediakan oleh Kesatuan Ragbi Malaysia selaku badan induk.

“Mutakhir ini pasukan ragbi negeri Terengganu berjaya meletakkan satu penanda aras pencapaian di pentas sukan ini. Rentetan maklum balas yang diterima oleh pihak persatuan, maka sewajarnya kami memberi peluang kepada anak jati negeri Terengganu untuk beraksi. Mungkin ada di pemain berpotensi di luar sana yang berada diluar pemerhatian dan pengetahuan maka peluang ini seharusnya dimanafaatkan oleh mereka. Kami tidak pernah menafikan ruang dan peluang untuk anak jati negeri ini beraksi namun mereka perlu membuktikan yang mereka benar-benar mampu untuk beraksi di pentas Piala Agong ini. Peluang mereka tidak hanya terhenti di sini sahaja malah untuk kejohanan – kejohanan seterusnya.”; ujar Enche Mohd Amirulmukminin bin Sulaiman selaku pengurus pasukan skuad Piala Agong 2018 edisi ke-36 ini.
Setiap pemain terpilih bakal berpeluang untuk beraksi dalam kejohanan ini yang akan membuka tirai pada 6 Oktober 2018 nanti. Terengganu menjadi pasukan tuan rumah pada perlawanan pembukaan sebelum beraksi sebagai pelawat pada minggu-minggu seterusnya di negeri Kedah dan Johor dalam peringkat kumpulan. Edisi kali ini, pasukan Terengganu selaku finalis edisi lalu telah diundi bersama pasukan negeri Johor, Kedah dan Perak untuk berada dalam kumpulan Premier yang menjadi kumpulan maut dalam saingan melibatkan tiga kumpulan.
Peluang dan ruang yang diberikan oleh pihak PRNT tidak hanya untuk persiapan kejohanan Piala Agong sahaja malah setiap pemain turut berpeluang untuk mewakili skuad negeri ini dalam beberapa kejohanan lain di masa hadapan. PRNT yang kini dalam proses penjenamaan semula tidak hanya memfokuskan pada kejayaan malah secara menyeluruh termasuk pembangunan sukan ragbi dan memberi peluang sebaiknya kepada anak jati negeri ini.
Berikut maklumat tentang program pemilihan pemain:
TARIKH : 29 SEPT 2018 (SABTU)
MASA: 4.30 PETANG
TEMPAT : PADANG RAGBI (D) KOMPLEKS SUKAN NEGERI TERENGGANU, GONG BADAK, K.NERUS
Sebarang maklumat lanjut dan pertanyaan boleh menghubungi melalui Facebook – https://www.facebook.com/PRAGBINT/
SUKMA 2018 Ragbi: Terengganu & Kelantan Tempah Slot Akhir

Pasukan ragbi lelaki Terengganu Hanelang dan Kelantan mencipta status kedua-dua negeri dari pantai timur ini untuk menjadi kuasa besar penentu juara untuk merangkul satu-satu pingat emas yang menjadi rebutan di pentas Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 ini. Terengganu layak untuk mara ke pusingan akhir setelah menewaskan pasukan Wilayah Persekutuan berkesudahan 14-12 dalam perlawanan separuh akhir yang telah berlansung di Stadium Ragbi Perak.
Perlawanan serba sengit itu turut menyaksikan kapten pasukan Terengganu Hanelang Muhammad Haikal bin Ibrahim terpaksa akur menerima dua layangan kad kuning sekaligus memadamkan peluang untuk beraksi dalam perlawanan akhir nanti. Kapten pasukan yang lebih mesra dikenali sebagai Cemek ini sememangnya menjadi tulang belakang jentera pasukan untuk mencipta rentak pasukan sepanjang kejohanan ini berlansung. Dua jatuhan try oleh Muhammad Amir Shafiq bin Rahamad Ali dan Azam Fakhrullah bin Abd Razak dan kutipan mata tendangan conversion sepenuhnya Abdul Latiff bin Said memastikan skuad Terengganu Hanelang ini menempah ke slot pusingan akhir dalam misi memburu emas.
Manakala buat pasukan Kelantan yang menempah tiket ke slot pusingan akhir nanti setelah membelasah pasukan Negeri Sembilan berkesudahan 26-00 dalam perlawanan separuh akhir ini. Pasukan Kelantan juga turut diperkasakan oleh pemain yang berpengalaman penuh di pentas antarabangsa iaitu Muhammad Azwan Zuwairi bin Mat Zizi yang menjadi tunjang kekuatan pasukan ini. Untuk rekod, pasukan Kelantan merupakan juara bertahan di pentas SUKMA ini setelah merangkul kejuaraan pada SUKMA Kuala Lumpur 2013 edisi ke-16 yang menjadi penganjuran terakhir sukan ini dipertandingkan.

Hari Ke-2 Acara Sukan Ragbi Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 edisi ke-19 (16 Sept | Ahad)
*Keputusan peringkat separuh akhir Cup
Separuh Akhir Cup (Lelaki)
Separuh Akhir Cup 1 : Terengganu vs W. Persekutuan 14-12
Separuh Akhir Cup 2 : Kelantan vs Negeri Sembilan 26-00

Muat turun keputusan rasmi:
Separuh Akhir Cup (Lelaki) – Terengganu vs W. Persekutuan – http://penyusukan.com/download/SUKMA2018/Ragbi/20180916-KeputusanSUKMAPerak2018-RagbiLelaki_SeparuhAkhir-TerengganuvsWilayahPersekutuan.pdf
SUKMA 2018 Ragbi: Belasah Perlis Mara Separuh Akhir

Pasukan ragbi lelaki skuad Terengganu Hanelang membelasah Perlis dalam perlawanan pertama untuk hari kedua peringkat suku akhir ini berkesudahan dengan kutipan mata 31 tanpa balasan untuk terus padu mara ke pusingan separuh akhir kejohanan ragbi 7 sepasukan di pentas temasya Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018. Beraksi dalam padang yang basah setelah cuaca hujan lebat di awal pagi seolah-olah memberi kelebihan buat pasukan negeri Terengganu untuk penguasaan penuh di atas padang sepanjang perlawanan.
Terengganu Hanelang bermula dengan garang setelah sepak mula oleh Abdul Latif bin Said gagal dikawal kemas oleh pasukan lawan. Situasi rucking yang memihak kepada pasukan ini dengan pantas pemain berjersi nombor 9 Muhammad Nur Hakim bin Che Rusli mengeluarkan bola kepada kapten pasukan Terengganu Hanelang Muhammad Haikal bin Ibrahim untuk terus melakukan larian laju sekaligus berjaya mendapatkan kutipan mata jatuhan try pertama perlawanan seawal saat ke-20 mula perlawanan. Tendangan conversion oleh Abdul Latif bin Said melengkapkan mata penuh pertama di minit awal permainan.
Tiga minit kemudian pemain berjersi nombor 10 yang juga selaku penendang bola dalam pasukan; Abdul Latif bin Said berjaya mendapatkan jatuhan try kedua setelah pasukan berjaya mengeluarkan bola dari situasi scrum yang dihadiakan kepada pihak lawan. Walaupun beliau gagal menambah 2 mata untuk menyempurnakan tendangan conversion namun 5 mata jatuhan try tersebut amat memberi kelebihan kepada pasukan.

Pemain bernombor 8 Muhammad Faris bin Abdullah bijak mengambil peluang pantas sepak mula untuk membuat larian solo sejauh hampir 50meter dari tengah padang berjaya menafikan tiga pemain lawan untuk jatuhan try ketiga di minit ke-5 permainan. Tendangan conversion serong jauh dari sudut padang berjaya disempurnakan dengan baik oleh Abdul Latif bin Said sekaligus menambah kutipan mata untuk mendahului separuh masa pertama yang berakhir dengan 19 mata tanpa balasan.
Sebaik separuh masa kedua bermula, Abdul Latif bin Said sekali lagi menambah duka buat pasukan lawan dengan jatuhan try di hujung padang untuk menambah 5 mata seterusnya menjadikan 24 mata semasa. Pasukan lawan yang kian tertekan cuba untuk mengasak padu namun kian melakukan kesilapan demi kesilapan memberikan kelihan buat skuad Terengganu Hanelang ini. Berbaki dua minit sebelum tamat perlawanan hasil dorongan cantik dari kapten pasukan kepada pemain bernombor 14; Stanly Sedry Stephen berjaya diterjemahkan untuk jatuhan try terakhir penuh bergaya di sisi tiang gol setelah melepasi beberapa pemain lawan. Tendangan conversion mudah sudah pasti memastikan mata penuh berjaya dikutip dengan kemas sekaligus terus mengheret hingga ke akhir perlawanan dengan mata kemenangan 31-00.
5 jatuhan try dan 3 tendangan conversion yang berjaya disudahkan menjadi tiket buat pasukan ragbi negeri Terengganu untuk mara ke pusingan seterusnnya. Skuad Terengganu Hanelang ini bakal berentap bersama pasukan Wilayah Persekutuan dalam aksi peringkat separuh akhir Cup manakala pasukan Perlis bakal meneruskan cabaran dalam aksi separuh akhir Plate untuk menentang pasukan Kedah.
Hari Ke-2 Acara Sukan Ragbi Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 edisi ke-19 (16 Sept | Ahad)
*Keputusan peringkat suku akhir
Suku Akhir (Lelaki)
Suku Akhir 1 : Terengganu vs Perlis 31-00
Suku Akhir 2 : W. Persekutuan vs Kedah 12-10
Suku Akhir 3 : Negeri Sembilan vs Selangor 33-10
Suku Akhir 4 : Kelantan vs Perak 22-07
Suku Akhir (Wanita)
Suku Akhir 1: Sabah vs W. Persekutuan 24-00
Suku Akhir 2: Johor vs Perak 10-05
Suku Akhir 3: Kedah vs Sarawak 22-10
Suku Akhir 4: Selangor vs Terengganu 12-05

Muat turun keputusan rasmi:
Suku Akhir Lelaki – Terengganu vs Perlis – http://penyusukan.com/download/SUKMA2018/Ragbi/20180916-KeputusanSUKMAPerak2018-RagbiLelaki_SukuAkhir-TerengganuvsPerlis.pdf
Suku Akhir Wanita – Terengganu vs Selangor – http://penyusukan.com/download/SUKMA2018/Ragbi/20180916-KeputusanSUKMAPerak2018-RagbiWanita_SukuAkhir-TerengganuvsSelangor.pdf
SUKMA 2018 Ragbi: Skuad Wanita Kandas Peringkat Akhir

Hasrat skuad ragbi wanita Terengganu Hanelang untuk mara ke pusingan akhir pentas temasya Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 telah dinafikan oleh pasukan Selangor dalam perlawanan suku akhir yang berlansung setelah hujan lebat membasahi padang Stadium Ragbi Perak. Perbezaan tipis kutipan mata hasil dari 2 jatuhan try dan 1 tendangan conversion oleh pasukan Selangor menjadi jurang pemisahan kejohanan. Walaubagaimanapun skuad wanita Terengganu Hanelang tidak memberi laluan mudah kepada pasukan lawan di mana berjuang sehabis-habisan hingga tamat permainan.
Sepanjang temasya ini, skuad wanita bermula dengan penuh berkeyakinan setelah mengikat keputusan seri 05-05 setelah berentap bersama pasukan Johor yang menjadi pasukan pilihan untuk temasya ini. Hampir separuh permainan pada separuh masa pertama pasukan ini mampu memberi tekanan kepada pasukan Johor yang gagal untuk membawa bola keluar dari kawasan pertahanan mereka dalam perlawanan pembukaan di hari pertama temasya dwitahunan ini. Tekanan yang diberikan juga turut menyaksikan pasukan ragbi wanita Johor menjadi pasukan pertama mendapat layangan kad kuning di pentas SUKMA Perak 2018 ini.

Saingan sengit diterima oleh skuad wanita Terengganu Hanelang dalam perlawanan kedua yang mencatat kekalahan pertama sewaktu menentang pasukan Sarawak yang berakhir dengan keputusan 21 berbalas 05. Terengganu Hanelang juga turut dikejutkan seawal minit pertama apabila pemain bernombor 11 Najwa binti Mohamad Nazri terpaksa dihantar keluar padang setelah mengalami kecederaan. Sekaligus pasukan Sarawak juga turut dikenakan kad kuning di atas kekasaran yang telah berlaku. Saat akhir permainan menyaksikan pemain berjersi nombor 10 Terengganu Hanelang; Claire Gabriel berjaya memecah kebuntuan pasukan untuk mendapatkan jatuhan try pertama.
Berbekalkan keputusan seri dan kalah dari dua perlawanan peringkat kumpulan masih memberi peluang untuk skuad wanita ini mara ke pusingan suku akhir. Bertemu pasukan Selangor yang berakhir dengan kekalahan berkeputusan 12 berbalas 05 sekaligus memadamkan hasrat pasukan negeri ini untuk mara ke pusingan akhir. Berbekalkan kekalahan ini seterusnya mara dalam pusingan separuh akhir plate untuk kembali bertemu pasukan Sarawak setelah berentap kali pertama di peringkat kumpulan pada hari pertama kejohanan. Namun sekali lagi Sarawak berjaya menafikan kemenangan kepada skuad ragbi wanita Terengganu Hanelang yang berakhir dengan keputusan 19 berbalas 10.
Keputusan Penuh Sukan Ragbi Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 edisi ke-19
*Skuad ragbi wanita Negeri Terengganu sahaja
PERINGKAT KUMPULAN – KUMPULAN C
TERENGGANU vs Johor 05-05
TERENGGANU vs Sarawak 05-21
PERINGKAT AKHIR – SUKU AKHIR
TERENGGANU vs Selangor 05-12
PERINGKAT AKHIR – SEPARUH AKHIR PLATE
TERENGGANU vs Sarawak 10-19

Muat turun keputusan rasmi:
PERINGKAT KUMPULAN
TERENGGANU vs Johor – http://penyusukan.com/download/SUKMA2018/Ragbi/20180915-KeputusanSUKMAPerak2018-RagbiWanita-TerengganuvsJohor.pdf
TERENGGANU vs Sarawak – http://penyusukan.com/download/SUKMA2018/Ragbi/20180915-KeputusanSUKMAPerak2018-RagbiWanita-TerengganuvsSarawak.pdf
PERINGKAT AKHIR – SUKU AKHIR
TERENGGANU vs Selangor – http://penyusukan.com/download/SUKMA2018/Ragbi/20180916-KeputusanSUKMAPerak2018-RagbiLelaki_SukuAkhir-TerengganuvsPerlis.pdf
PERINGKAT AKHIR – SEPARUH AKHIR PLATE
TERENGGANU vs Sarawak – http://penyusukan.com/download/SUKMA2018/Ragbi/20180916-KeputusanSUKMAPerak2018-RagbiWanita_SeparuhAkhir_Plate-TerengganuvsSarawak.pdf
SUKMA 2018 Ragbi: Terengganu Mara Ke Pusingan Suku Akhir

Pasukan ragbi lelaki dan wanita Terengganu kini layak untuk mara ke pusingan suku akhir kejohanan di pentas temasya Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 edisi ke-19 setelah seharian berentap hebat di hari pertama kejohanan. Pada perlawanan pembukaan kontijen Terengganu Hanelang bagi sukan ragbi ini telah didahului oleh pasukan wanita yang berjaya mengikat Johor untuk memperolehi keputusan seri 05-05. Manakala pasukan lelaki tewas tipis kepada penyandang juara temasya SUKMA iaitu Kelantan berkesudahan 17-19.
Pasukan lelaki negeri ini yang beraksi dalam kumpulan A bersama dengan pasukan negeri Kelantan kini layak untuk mara ke pusingan seterusnya manakala Johor dan Melaka terkandas di dalam kumpulan ini. Skuad lelaki Terengganu Hanelang yang beraksi dalam kumpulan maut di peringkat kumpulan ini telah mencatatkan 2 kemenangan dan 1 kekalahan dalam aksi 3 perlawanan di hari pertama kejohanan. Untuk rekod, pasukan negeri Kelantan merupakan penyandang juara bagi temasya ini setelah kali terakhir acara ini dipertandingkan pada tahun 2013 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Pasukan Kelantan juga merupakan di antara disebut menjadi pasukan pilihan untuk mara ke pusingan akhir kejohanan temasya kali ini.
Berbeza dengan skuad wanita Terengganu Hanelang di mana rezeki masih berpihak ditangan mereka untuk mara ke pusingan seterusnya mereka setelah mencatatkan keputusan seri dan tewas dalam 2 perlawanan peringkat kumpulan. Namun mereka harus bekeje keras dan memperbaiki segala kesilapan mereka demi memastikan misi mereka pulang dengan pingat tercapai. Pasukan ini dilihat mampu untuk membuktikan prestasi sebenar mereka setelah berjaya memberi tekanan kepada pasukan Johor dalam aksi perlawanan pembukaan mereka di mana pasukan wanita Johor turut menjadi sebutan sebagai pasukan wanita pilihan kejohanan memandangkan persiapan yang telah dilakukan. Namun rezeki sekadar mampu untuk mengikat perlawanan berkeputusan seri 05-05.
Perlawanan pusingan kedua peringkat suku akhir yang berlansung pada hari kedua kejohanan ini, pasukan lelaki dijadualkan untuk bertemu Perlis manakala pasukan wanita akan berentap bersama Selangor.
Hari Ke-2 Acara Sukan Ragbi Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 edisi ke-19 (16 Sept | Ahad)
Suku Akhir (Wanita)
Suku Akhir 1: Sabah vs W. Persekutuan
Suku Akhir 2: Perak vs Johor
Suku Akhir 3: Sarawak vs Kedah
Suku Akhir 4: Selangor vs Terengganu
Separuh Akhir (Wanita)
Separuh Akhir 1 vs Separuh Akhir 2
Separuh Akhir 3 bs Separuh Akhir 4
Suku Akhir (Lelaki)
Suku Akhir 1 : Terengganu vs Perlis
Suku Akhir 2 : W. Persekutuan vs Kedah
Suku Akhir 3 : Negeri Sembilan vs Selangor
Suku Akhir 4 : Perak vs Kelantan
Separuh Akhir (Lelaki)
Menang Separuh Akhir 1 vs Menang Separuh Akhir 2
Menang Separuh Akhir 3 bs Menang Separuh Akhir 4
SUKMA 2018 Ragbi Wanita: Terengganu Hanelang Ikat Johor

Pasukan ragbi wanita Terengganu bermula dengan baik dalam perlawanan pertama mereka setelah berjaya mengikat pasukan pilihan kumpulan C iaitu pasukan Johor. Johor diantara pasukan ragbi wanita yang menjadi sebutan bagi sepanjang temasya Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 namun seolah olah hilang rentak di atas padang menyaksikan penguasaan penuh oleh pasukan Terengganu. Hampir 4 minit separuh masa pertama Johor masih gagal untuk membawa bola keluar dari kawasan pertahanan mereka.
Melihat situasi sedemikian, barisan pemain Terengganu Hanelang ini terus memperkasa jentera serangan untuk mencipta ruang dan peluang. Asakan demi asakan padu oleh pemain bertubuh sasa negeri Terengganu; Lorna Cassandra William sentiasa menebuk lubang barisan pertahanan pasukan lawan sememangnya memberi kelebihan buat pasukan ini. Pada minit ke-6 buat pertama kali Johor berjaya mencipta ruang untuk mara ke kawasan pertahanan Terengganu Hanelang namun untuk mencipta peluang.
Bahang matahari pagi mula memberi tekanan kepada setiap pemain di atas padang untuk melakukan kesilapan demi kesilapan merencatkan tempo permainan. Johor gagal memanafaatkan hadiah tendang mula di hadapan gawang setelah Terengganu Hanelang melakukan kesilapan. Terengganu yang bangkit dari kesilapan mula mengasak memberi tekanan sehingga memaksa pemain Johor jersi bernombor 12; Chrismentina Dian Ajis menerima kad kuning pertama dalam temasya SUKMA Perak 2018 ini. Keputusan 0-0 dicapai sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua setelah menerima teguran dari ketua jurulatih Muhammad Firdaus Zakarya; pasukan wanita Terengganu Hanelang ini menukar rentak bermain dengan asakan demi asakan padu namun pasukan lawan seolah dapat membaca gerakan untuk mematahkan serangan. Johor kembali dapat mengucar-ngacirkan jentera Terengganu Hanelang yang akhirnya membuahkan hasil buat pasukan dari selatan tanah air ini apabila Elyia Natasha binti Zamri mendapat jatuhan try pertama di minit ke-9 separuh masa kedua.
Berbaki pada minit-minit terakhir permainan, hasil perancangan bijak Terengganu Hanelang untuk mendapatkan situasi rucking berhampiran garisan try berjaya diterjemah oleh pemain bernombor 17 Florieanna Francis untuk mencuri masuk ke kubu lawan mendapatkan jatuhan try pertama. Mata pertama pasukan Terengganu Hanelang ini juga turut menyumbang kecederaan kepada Florieanna Francis namun tiupan wisel tamat permainan memberi nafas lega kepada pasukan untuk mengikat perlawanan yang berakhir dengan keputusan 5 berbalas 5.
Skuad wanita Terengganu Hanelang akan berentap menentang pasukan Sarawak dalam aksi seterusnya perlawanan peringkat kumpulan C yang dijadualkan pada jam 1140 pagi nanti bertempat di Stadium Ragbi Perak.

Muat turun keputusan rasmi:
PERINGKAT KUMPULAN
TERENGGANU vs Johor – http://penyusukan.com/download/SUKMA2018/Ragbi/20180915-KeputusanSUKMAPerak2018-RagbiWanita-TerengganuvsJohor.pdf
SUKMA 2018 Ragbi: Amanat Terakhir

Berbaki kurang dari 24 jam sebelum perlawanan pertama bagi kedua-dua pasukan lelaki dan wanita Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) untuk saingan di pentas temasya Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018, satu majlis ringkas perjumpaan di antara pihak pengurusan bersama para pemain telah berlansung di perkampungan sukan Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Pada masa yang sama turut berlansung pengumuman kapten bagi setiap pasukan dan pembahagian jersi serta kelengkapan kepada setiap pemain untuk kegunaan bagi setiap perlawanan sepanjang temasya SUKMA Perak 2018 ini berlansung.

Yang Dipertua PRNT Amir Amri Muhammad mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua ahli pasukan agar berentap sehabis habisan dengan semangat “Terengganu Hanelang” yang menjadi azimat perjuangan. Encik Amir juga turut menzahirkan terima kasih kepada semua pasukan khususnya para pemain yang telah memberi komitmen tinggi sejak dari awal sehingga ke hari ini untuk kekal di dalam skuad ini. Beliau juga turut mengingatkan kepada para pemain walaupun telah diundi untuk berada dalam kumpulan maut, tetapi itulah harga yang perlu dibayar setanding dengan nilai persediaan pasukan yang telah dikorbankan oleh pelbagai pihak termasuk para pemain.

Encik Che Mohd Zulkarnain selaku Timbalan YDP PRNT merangkap pengurus pasukan ragbi wanita turut memberi sepatah dua kata dengan menyentuh beberapa perkara yang perlu pemain ketahui hasil dari mesyuarat pengurusan pasukan yang telah berlansung di awal pagi hari ini. Encik Che Mohd Zulkarnain yang lebih mesra dikenali sebagai Che Latt mengingatkan setiap ahli pasukan perlu menjaga kesihatan diri sama ada secara fizikal mahupun mental dan sentiasa mengambil berat setiap pemakanan yang diambil untuk memastikan tidak timbul sebarang isu di saat-saat akhir ini.

Manakala Enche Mohd Amirulmukminin bin Sulaiman selaku pengurus pasukan ragbi lelaki telah membuat kejutan di dalam majlis ini apabila mengumumkan nazar sekiranya pasukan ragbi negeri ini memperolehi kejayaan pingat emas akan beliau korbankan seekor lembu untuk membuat majlis kesyukuran bagi warga persatuan ragbi negeri ini termasuk para pemain bersama anak-anak yatim.

Selain itu beliau juga turut mengingatkan kepada setiap pemain agar mendapat restu dari ibu bapa masing-masing sebelum bermulanya perlawanan pertama nanti. Sesungguhnya komitmen sepenuh masa yang telah diberikan daripada setiap pemain kepada pasukan mungkin telah menjarakkan hubungan kekeluargaan. Tiada guna meraih sebarang kejayaan tanpa restu dari mereka berdua ujar pengurus pasukan ragbi lelaki ini.
Majlis serba ringkas yang dipengerusikan oleh penolong Setiausaha PRNT; Encik Mohd Izwan Ismail secara tidak lansung telah memberi motivasi kepada para pemain di tahap yang terbaik dalam waktu-waktu yang makin meruncing ini. Rata-rata pemain yang ditemui turut menzahirkan perasaan terima kasih ke atas pihak pengurusan di atas pengorbanan yang telah diberikan.
Pasukan ragbi wanita negeri ini bakal membuka gelanggang bagi negeri dalam perlawanan pertama mereka menentang pasukan Johor yang dijadualkan pada jam 0840 pagi. Manakala pasukan ragbi lelaki akan berentap pada jam 0920 pagi menentang pasukan Kelantan. Semua acara sukan ragbi 7 sepasukan ini berlansung di Stadium Ragbi Perak bermula pada 15 September dan berakhir pada 16 September 2018.
SUKMA 2018 Ragbi: Semua Pasukan Siap Sedia!

Bertempat di Wisma Majlis Sukan Negeri Perak, Kompleks Sukan Bandaraya Ipoh telah berlansung mesyuarat pengurus pasukan dari setiap kontijen negeri yang bertanding di dalam acara sukan ragbi 7 sepasukan bagi temasya Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 ini. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh En. Fahmi Jalil selaku ketua deligasi teknikal bagi temasya SUKMA Perak 2018 ini bertujuan untuk penyampaian sebarang maklumat terkini kejohanan dan juga untuk memberi peluang bagi setiap pasukan untuk memberi maklumbalas akhir yang diperlukan sebelum kejohanan ini berlansung pada 15 & 16 September 2018.
Beberapa perkara telah dibincangkan termasuk peringatan akhir & maklumat terkini dari pihak penganjur, urusan logistik pasukan, peraturan-peraturan format permainan terkini dan maklumat sokongan perubatan bagi setiap pasukan yang bertanding.

Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Perak; Encik Shamsul Munir Zaini yang turut hadir selaku wakil dari persatuan ragbi di peringkat negeri dalam mesyuarat ini juga turut menzahirkan ucapan selamat datang kepada pasukan-pasukan yang bertanding ke negeri Perak Darul Ridzuan ini. Rata-rata pasukan yang ditemui berpuas hati dengan persediaan tuan rumah yang diterajui oleh Kesatuan Ragbi Negeri Perak dan badan induk sukan ragbi iaitu Kesatuan Ragbi Malaysia(KRM). KRM yang sememangnya berpengalaman penuh dalam setiap penganjuran sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa dan sentiasa membantu ahli gabungan dalam setiap penganjuran yang dijalankan. Selain itu, pihak KRM juga turut menghulurkan sokongan dari segi kepengadilan dan perubatan yang berkelayakan untuk sukan berprestasi tinggi ini.
6 pengadil yang berkelayakan dan turut telah mendapat pengiktirafan dari badan induk dunia sukan ini(World Rugby) di samping berpengalaman besar di pentas antarabangsa telah dipilih untuk sepanjangan acara sukan ini berlansung. Barisan pengadil ini juga turut akan menjalankan tugas sebagai pembantu pengadil bagi memastikan setiap keputusan perlawanan dilakukan dengan tepat untuk mengelakkan sebarang kesilapan yang mungkin berlaku. Umumnya tugas pembantu pengadil yang sentiasa berada di garisan luar padang dibarisi oleh pengadil-pengadil muda.

Setiap perlawanan yang berlansung juga turut akan dipantau oleh 20 juri kepengadilan bagi membantu para pengadil yang bertugas selain membuat keputusan bagi setiap bantahan yang diterima dari setiap pasukan yang bertanding. Oleh yang sedemikian bagi pentas penganjuran berprestij tinggi ini sebarang kesilapan perlu disifarkan agar setiap pasukan dapat berentap dengan adil dan profesional.
Selain sokongan pasukan perubatan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun(HRPB) dan agensi berkaitan yang disediakan oleh pihak penganjur, pihak KRM juga memberikan sokongan tambahan dari pegawai perubatan yang turut mendapat kelayakan dari World Rugby(suatu ketika dulu dikenali sebagai International Rugby Board). Dr. Mohammad Hazwan Khair wakil dari pihak perubatan KRM yang turut hadir di dalam mesyuarat ini menekankan tidak akan berkompromi terhadap pasukan khususnya bagi aspek keadaan kecederaan para pemain. Untuk rekod, pihak perubatan KRM ini juga mempunyai hak untuk membuat keputusan menentukan keadaan semasa pemain itu berhak bermain atau dihantar ke luar padang. Sekiranya keadaan kecederaan amat kritikal, para pemain itu akan direhatkan dari sebarang perlawanan selama 3 minggu seperti mana yang telah diperuntukkan dalam undang-undang yang disediakan oleh World Rugby.

“Tiada apa yang perlu dirisaukan di mana segala persiapan sama ada dari segi venue dan teknikal berada di tahap yang terbaik. Kita semua di sini saling mengenali dan memahami tugasan masing-masing untuk kejohanan ini namun kita perlu sentiasa bersedia dengan setiap peraturan dan maklumbalas yang perlu diberikan kepada pihak penganjur utama iaitu Majlis Sukan Negara. Setiap pasukan mahukan pingat emas, tiada pasukan mahukan pingat perak mahupun gangsa. Selamat bertanding!”; ujar En. Fahmi Jalil selaku ketua deligasi teknikal bagi temasya SUKMA Perak 2018 ini dan juga selaku Pengarah Pertandingan Kesatuan Ragbi Malaysia kepada semua pengurus pasukan.

Sementara itu Che Mohd Zulkarnain selaku pengurus pasukan ragbi wanita negeri Terengganu turut mengulas yang pasukan ragbi kini berada di tahap terbaik untuk memberi cabaran. Pasukan ragbi wanita dan lelaki negeri ini bersama pihak persatuan turut berkampung di perkampungan sukan di Politeknik Ungku Omar, Ipoh juga tidak mempunyai sebarang masalah di mana pihak tuan rumah telah menyediakan kemudahan yang sepatutnya.
Jadual Acara Sukan Ragbi 7 Sepasukan SUKMA Perak 2018

Jadual Acara Sukan Ragbi 7 Sepasukan Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018
Venue: Stadium Ragbi Perak
Tarikh Acara: 15 & 16 September 2018
Kumpulan Pasukan Ragbi 7 Sepasukan Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018
*Pasukan Negeri Terengganu sahaja
|
BIL.
|
PASUKAN LELAKI – KUMPULAN A
|
| 1. | TERENGGANU |
| 2. | KELANTAN |
| 3. | JOHOR |
| 4. | MELAKA |
|
BIL.
|
PASUKAN WANITA – KUMPULAN C
|
| 1. | TERENGGANU |
| 2. | JOHOR |
| 3. | SARAWAK |

Jadual Acara Sukan Ragbi 7 Sepasukan Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018
*Pasukan Negeri Terengganu sahaja
|
PASUKAN LELAKI
|
||
|
BIL.
|
WAKTU
|
PERLAWANAN
|
|
HARI PERTAMA – 15 SEPTEMBER 2018
|
||
| 1. | 0920 Pagi | Terengganu vs Kelantan |
| 2. | 1200 Tengah Hari | Terengganu vs Johor |
| 3. | 0300 Petang | Terengganu vs Melaka |
|
HARI KE-2 – 16 SEPTEMBER 2018
|
||
| 4. | 0920 Pagi | Suku Akhir Kumpulan A |
| 5. | 1040 Pagi – 0140 T/Hari | Separuh Akhir Lelaki |
| 6. | 0200 Petang – 0220 Petang | Tempat ke-9 hingga ke-14 |
| 7. | 0320 Petang | Tempat ke-5 & ke-6 |
| 8. | 0400 Petang | Tempat ke-3 & ke-4 |
| 9. | 0440 Petang | Perlawanan Akhir |
|
PASUKAN WANITA
|
||
|
BIL.
|
WAKTU
|
PERLAWANAN
|
|
HARI PERTAMA – 15 SEPTEMBER 2018
|
||
| 1. | 0840 Pagi | Terengganu vs Johor |
| 2. | 1140 Pagi | Terengganu vs Sarawak |
|
HARI KE-2 – 16 SEPTEMBER 2018
|
||
| 3. | 0840 Pagi | Suku Akhir Kumpulan C |
| 4. | 1100 Pagi -1200 T/Hari | Separuh Akhir Wanita |
| 5. | 0240 Petang – 0320 Petang | Tempat ke-6 hingga ke-9 |
| 6. | 0340 Petang | Tempat ke-3 & ke-4 |
| 7. | 0420 Petang | Perlawanan Akhir |
Muat turun jadual sepenuhnya – http://penyusukan.com/download/PenyuSukandotcom-JadualAcara_Ragbi_7Sepasukan_SukanMalaysia_SUKMAPerak2018.pdf
Ragbi: Skuad SUKMA Dirai Bersama Jabatan Angkat

Berbaki beberapa hari lagi sebelum temasya Sukan Malaysia(SUKMA) di Perak bakal berlansung, pasukan ragbi negeri Terengganu telah berkesempatan diraikan bersama Pegawai Daerah Kuala Terengganu; Tn. Hj. Azmi Bin Razik yang juga merupakan wakil dari jabatan angkat bagi sukan ini dalam satu majlis makan malam yang telah berlansung. Kata-kata semangat diberikan oleh Tn. Hj. Azmi Bin Razik turut mendapat tepukan gemuruh daripada seluruh pasukan di mana beliau turut berkongsi pengalaman beliau bermain ragbi suatu ketika dahulu.

Pertemuan mesra pertama kali melibatkan keseluruh pemain dan pegawai pasukan bersama jabatan angkat sukan ragbi telah berlansung meriah memandangkan komitmen latihan kedua-dua pasukan sebelum ini sukar untuk dihimpunkan dalam satu majlis. Kedua-dua pasukan yang kini berkampung di negeri ini sejak 1 September yang lalu meneruskan siri latihan pusat terakhir sebelum bertolak ke negeri Perak pada 13 September ini. Sebelum ini hanya pasukan lelaki menjalankan program latihan sepenuh masa di sini manakala pasukan wanita mejalankan program latihan berpusat di Lembah Klang. Hal ini adalah disebabkan oleh rata-rata pemain ragbi wanita yang mewakili negeri Terengganu berada di sekitar Lembah Klang.

Padang ragbi yang kini telah dinaik taraf sebagai Stadium Ragbi Perak, Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh merupakan venue rasmi untuk temasya SUKMA Perak 2018 di mana perlawanan hari pertama dijadualkan pada 15 September 2018 seawal jam 0800 pagi bagi perlawanan pembukaan. Pasukan ragbi lelaki negeri Terengganu bakal menentang Kelantan manakala pasukan ragbi wanita negeri ini bakal menentang Johor dalam perlawanan pertama mereka di hari pertama kejohanan.

Untuk rekod, pasukan lelaki telah diundi di dalam kumpulan A bersama negeri Kelantan, Melaka dan Johor manakala pasukan wanita berada di dalam kumpulan C bersama negeri Johor dan Sarawak. Manakala program bapa angkat dan jabatan angkat ini telah diperkenalkan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu bagi membantu persiapan yang diperlukan setiap pasukan mengikut sukan yang dipertandingkan di peringkat SUKMA ini. Jabatan angkat yang dipertanggungjawabkan kepada pasukan ragbi negeri Terengganu ini diterajui oleh Pejabat Daerah Kuala Terengganu manakala bapa angkat disandang oleh YB. Haji Wan Hapandi bin Wan Nik merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Sura.
SUKMA 2018: Fasa Akhir Skuad Ragbi Wanita

Berbaki kurang dari 50 hari menjelang temasya Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 kini skuad ragbi wanita negeri Terengganu telah memasuki fasa akhir persiapan pasukan. Skuad penyu yang mula dibentuk pada hujung tahun 2017 kini telah bersiap sedia untuk memastikan mereka pulang dengan pingat kemenangan. Rata-rata pemain dalam pasukan ini adalah bakat baharu digilap malah ada diantara pemain lansung tidak mempunyai pengalaman bermain sukan ini. Namun berinspirasikan pembentukkan skuad wanita kebangsaan di Sukan SEA 2017 lalu cabaran ini digalas padu oleh jurulatih berpengalaman Muhammad Firdaus Zakarya.
Muhammad Firdaus Zakarya bersama pihak pengurusan pasukan telah merangka satu program latihan yang jitu sebelum pembentukkan pasukan bermula untuk memastikan pasukan dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Muhammad Firdaus Zakarya atau lebih mesra dengan panggilan Pidot turut dibantu oleh dua pembantu jurulatih berpengalaman iaitu Abbygale Rayone Michael Lojinggu dan Chalara Patrick.

Latihan padang setiap hari bersama aktiviti di dalam gimnasium adalah rutin yang ditempuh oleh pasukan wanita ini. Padang Timur yang terletak di Petaling Jaya, Lembah Klang menjadi venue latihan rasmi bagi skuad dari negeri pantai timur ini. Hal ini adalah disebabkan oleh rata-rata pemain yang mewakili negeri Terengganu berada di sekitar Lembah Klang. Walaupun segalanya nampak sempurna, komitmen kerjaya dan sebagai pelajar sepenuh masa di kalangan para pemain merupakan di antara halangan yang mematangkan pasukan ini.
Selain program latihan yang padat, pasukan ini juga turut diberikan beberapa pendedahan kejohanan untuk memastikan mereka mengutip pengalaman yang berkualiti. Terkini pasukan ini baru selesai berentap dengan beberapa pasukan persediaan SUKMA yang lain dalam kejohanan sulung KRS Ladies 7s 2018.

Kejohanan ini menjadi satu pentas terbaik buat setiap pasukan persediaan SUKMA untuk melihat sejauh mana prestasi mereka dan penanda aras untuk mereka memperbaiki pasukan. Rentetan kejohanan ini, pengurusan pasukan melihat saingan dari negeri Selangor dan Sabah harus diberi perhatian untuk SUKMA Perak 2018 nanti.
Untuk rekod, walaupun pasukan ragbi wanita negeri Terengganu muncul juara di Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan 2018 namun tiada seorang pun pemain terlibat dalam skuad persiapan SUKMA ini. Hal ini adalah kerana rata-rata pemain yang beraksi di peringkat kebangsaan itu melebihi had umur yang ditetapkan bagi temasya dwi tahunan ini. Oleh yang sedemikian, temasya SUKMA ini merupakan pentas terbaik untuk memastikan para atlet yang terhasil dari program pembangunan mempunyai peluang untuk berentap.

“Tidak kira emas, perak atau gangsa. Kami akan pastikan pasukan ini berada di podium. Setiap pasukan yang bakal bertanding dilihat seimbang untuk memberi saingan. Pasukan Selangor dan Sabah dijangka bakal memberi tentangan sengit kepada kami. Namun kami tetap mempunyai perancangan tersendiri untuk mereka.”; ujar Muhammad Firdaus Zakarya selaku jurulatih berpengalaman yang turut mempunyai sijil kejurulatihan ragbi 7 sepasukan dari World Rugby tahap 2.
KVWT Kuasa Besar Ragbi Kejuaraan VOKTEK

Muncul juara buat kali ke-5 sekaligus mengukuhkan dominasi pasukan ragbi Kolej Vokasional Wakaf Tembesu(KV Wakaf Tembusu) selaku kuasa besar dalam sejarah penganjuran di Kejohanan Vokasional Teknik (VOKTEK 7s). Terkini pasukan pelajar kolej vokasional yang rata-rata dibarisi anak-anak muda di bawah usia 18 tahun berjaya menewaskan musuh tradisi mereka yakni KV Arau dalam perlawanan akhir bertempat di SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS). Sememangnya kedua-dua pasukan ini sering dijadikan pasukan pilihan untuk berentap di pusingan akhir kejohanan ragbi 7 sepasukan ini. Jurang 5 mata dalam perlawanan akhir dengan kutipan mata 15 berbalas 10 ternyata bukan laluan mudah bagi pasukan ini untuk memburu kejayaan.

Pertama kali berentap pada 2010 sekaligus terus cemerlang untuk merangkul kejuaraan dan mempertahankan kejuaraan dalam edisi seterusnya pada 2011. Walaupun pada 2012 tuah tidak memihak kepada pasukan ini namun mereka bangkit pada 2013 untuk muncul juara. 2014 masih mengulang episod duka apabila KV Arau sekali lagi menafikan kejuaraan buat pasukan dari negeri Terengganu ini. KV Wakaf Tembusu terus memperkasakan pasukan dan sudah pasti kejuaraan pada 2015 menjadi milik mereka.
Namun pada 2016, KV Tawau menjadi pasukan yang tidak dijangka menafikan tuah KV Wakaf Tembusu untuk mempertahankan kejuaraan. Kegagalan seterusnya pada 2017 apabila pasukan-pasukan lain kian sengit berentap membuatkan jurulatih pasukan ini perlu merombak semula formula pasukan. Maka pada tahun 2018 ini, KV Wakaf Tembusu sekali lagi berjaya merentap kejuaraan setelah para pemain dengan penuh berdisiplin berjaya menterjemahkan perancangan di dalam padang. Kemenangan yang diraih kali ke-5 ini juga secara tidak lansung merupakan pasukan yang paling banyak merangkul juara buat masa ini.
Sebenarnya pasukan KV Wakaf Tembusu ini dibarisi oleh para pemain yang tidak pernah lansung mengenali bola ragbi sebelum mereka menjejak kaki ke kolej ini. Para pemain yang juga pelajar seawal usia 16 tahun telah diasuh dengan program latihan setiap hari dan pendedahan kepada beberapa kejohanan di dalam negara secara tidak lansung mematangkan pasukan ini. Sebelum ini juga mereka turut pernah berentap dengan pelbagai pasukan seluruh negara di Kejohanan Ragbi 1Malaysia COBRA 15s U19 yang telah berlansung di Lembah Klang.
Hasil program pembangunan dan latihan yang mantap sejak tahun 2006 di bawah kendalian jurulatih berpengalaman; Zulkarnain Mohd Zawawi atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Stopa kini meletakkan pasukan ini antara pasukan yang digeruni. Untuk rekod, Cikgu Stopa ini juga turut memperolehi kelayakan sebagai jurulatih dan kepengadilan apabila berjaya menyempurkan kursus Sijil Kejurulatihan Ragbi Tahap 3 dan Sijil Kepengadilan Ragbi Tahap 3. Salah satu produk ragbi KV Wakaf Tembusu yang menjadi kebanggaan apabila dua pemain telah terpilih untuk menyarung jersi kebangsaan di mana salah seorangnya adalah ialah Mohd Haikal Ibrahim yang kini mewakili pasukan Bunga Raya untuk Sukan Asia 2018 nanti.

“Perlawanan akhir bertemu KV Arau sememangnya sengit. Kami bernasib baik kerana mendapat kutipan mata try di masa tambahan untuk menamatkan permainan. Pasukan lawan sememangnya pasukan yang sentiasa meningkat naik memberi cabaran. Ada dikalangan pemainnya turut akan mewakili pasukan Kedah dalam temasya Sukan Malaysia di Perak nanti. “; ujar Zulkarnain Mohd Zawawi selaku jurulatih dan juga guru di KV Wakaf Tembusu ini sewaktu dihubungi.
Anak jati Kuala Terengganu ini juga turut menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada mantan Pengarah KV Wakaf Tembusu Tuan Haji Abdul Rahman Hassan yang banyak memberikan sumbangan dan dedikasi kepada pasukan ragbi ini sejak sekian lama. Begitu juga kepada rakan-rakan guru yang banyak membantu dalam program pembangunan dan pembentukan pasukan selama ini.
Kejohanan Vokasional Teknik (VOKTEK 7s) 2018
*Keputusan KV Wakaf Tembusu sahaja
|
BIL.
|
PERLAWANAN
|
KEPUTUSAN
|
| 1. | FINAL CUP KV Wakaf Tembusu vs KV Arau |
15-10 |
| 2. | SEMI FINAL CUP KV Wakaf Tembusu vs KV Batu Pahat |
05-00 |
| 3. | SUKU AKHIR CUP/PLATE KV Wakaf Tembusu vs KV Rompin |
24-00 |
| 4. | PERINGKAT KUMPULAN KV Wakaf Tembusu vs KV Tanjung Puteri |
17-07 |
| 5. | KV Wakaf Tembusu vs KV Sibu | 55-00 |
| 6. | KV Wakaf Tembusu vs KV Port Dickson | 38-05 |
| 7. | KV Wakaf Tembusu vs KV Beaufort | 38-00 |
Ragbi Perlukan Kesinambungan Sokongan Kerajaan Negeri

Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) di antara persatuan sukan negeri ini yang memerlukan kesinambungan sokongan dari pihak kerajaan negeri Terengganu baharu setelah Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini. PRNT yang diketuai oleh Presiden Persatuan Ragbi Terengganu; Amir Amri Mohamad bersama ahli jawatankuasa persatuan yang lain melakukan kunjungan hormat menemui Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu; YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah di Wisma Darul Iman pada 7 Jun lepas.
Kunjungan tersebut demi menyampaikan hasrat persatuan untuk memohon peruntukan bagi membiayai persiapan pasukan di peringkat kebangsaan khususnya Kejohanan Ragbi Piala Agong bagi musim 2018 yang bakal menjelang tiba. Pada edisi lalu dikhabarkan sebanyak RM 220,000.00 telah dibelanjakan untuk persiapan pasukan di mana sebahagian dari jumlah itu sebanyak RM 60,000.00 adalah sumbangan dari Majlis Sukan Negeri Terengganu.
Bagi saingan musim ini dijangka YM Tuanku Raja Muda Terengganu; Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bakal kembali menyarung jersi pasukan setelah membuat penampilan pertama kali pada tahun lalu. Pada edisi lalu, pasukan negeri ini telah mara ke pusingan akhir bertemu pasukan Johor namun tewas dengan kutipan mata 32 berbalas 29. Selain itu, PRNT juga turut menyampaikan hasrat agar Stadium Mini Gong Badak dipertingkatkan fasiliti stadium untuk kemudahan bagi pasukan yang bertanding seperti bilik persalinan dan perubatan, tempat duduk VVIP dan juga lain-lain keperluan untuk penganjuran kejohanan.
Pada masa yang sama juga pihak persatuan turut memaklumkan perkembangan terkini persiapan pasukan lelaki dan wanita dalam misi untuk memburu pingat emas di temasya Sukan Malaysia(SUKMA) di Perak nanti. Untuk rekod, sepanjang bulan Ramadhan ini juga pasukan ragbi 7 sepasukan untuk ke SUKMA nanti giat meneruskan latihan pada sebelah malam di Stadium Mini Gong Badak manakala bagi pasukan wanita menjalankan sesi latihan di Lembah Klang.

“Satu kunjungan positif buat persatuan ragbi negeri ini. Sememangnya kami amat memerlukan sokongan dari pihak kerajaan negeri khususnya dalam persiapan pasukan di peringkat kebangsaan nanti. Sasaran kami untuk menghadiahkan kejuaraan pertama kali dalam saingan Piala Agong edisi ke-36 dan pingat emas di SUKMA nanti kepada kerajaan negeri Terengganu baharu ini”, ujar Presiden Persatuan Ragbi Terengganu yang turut menyandang Naib Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia; Amir Amri Mohamad
Ragbi: Skuad SUKMA Cemerlang di Hatyai 7s

Skuad ragbi 7 sepasukan Terengganu mempamerkan aksi cemerlang di kejohanan ragbi PSU Hatyai International Rugby 7s 2018 apabila layak ke pusingan akhir kejohanan. Skuad persediaan ke temasya Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 telah berjaya menafikan pasukan tuan rumah(Prince of Songkla Rugby Club) di peringkat kumpulan setelah meraih kutipan mata 33 berbalas 5. Namun tewas kepada pasukan All For One dengan kutipan mata 12 berbalas 21 di perlawanan akhir.
Pada hari pertama kejohanan, skuad Penyu telah berjaya menewaskan pasukan Taiping Tigers Legends dengan keputusan 29 berbalas 05. Setelah menewaskan pasukan tuan rumah dalam perlawanan kedua sekaligus menang dalam semua perlawanan di peringkat kumpulan, skuad Penyu mara ke pusingan suku akhir untuk menewaskan pasukan Perlis dan seterusnya menewaskan pasukan UM Blues dalam perlawanan separuh akhir.

Tewas kepada pasukan yang dibarisi pemain kebangsaan Thailand sepenuhnya di peringkat akhir kejohanan merupakan satu pengalaman amat berharga buat pasukan ini. Skuad pimpinan Izami Zainuddin selaku ketua jurulatih yang membawa misi ke SUKMA Perak nanti sememangnya sentiasa dahagakan sebarang kejohanan yang berkualiti untuk memantapkan pasukan. Ternyata kejohanan antarabangsa ini sememangnya menjadi pentas terbaik khususnya buat para pemain itu sendiri untuk mengutip pengalaman.
SUKMA: Skuad Ragbi Terengganu Dalam Persiapan

Perjalanan yang panjang buat skuad ragbi 7 sepasukan Terengganu untuk memastikan kejuaraan di temasya Sukan Malaysia(SUKMA) 2018 nanti. Untuk pembentukan pasukan ini, seawal tahun 2017 pihak pengurusan telah bermula dengan menyertai Kejohanan Liga Ragbi Kesatuan Ragbi Malaysia Divisyen 2 2017. Rata-rata pemain muda berusia bawah 20 tahun telah berentap dalam kejohanan ragbi 15 sepasukan kebangsaan berprestasi tinggi ini untuk menjadi titik tolak pembentukan pasukan di Perak nanti.
Seramai 35 pemain telah disenarai awal pada awal tahun 2017 untuk program persediaan SUKMA 2018 ini dan kini tinggal 23 pemain setelah menjalani proses saringan. Pihak pengurusan akan melakukan proses saringan terakhir di jangka pada bulan Jun 2018 nanti untuk memastikan pasukan ini bersedia sepenuhnya untuk fasa terakhir persiapan pasukan. Hanya para pemain yang berkualiti memiliki ciri-ciri pemain ragbi 7 sepasukan menjadi kriteria pemilihan akhir nanti demi memastikan misi kejuaraan tercapai.
Percaturan membariskan pemain muda di pentas kebangsaan untuk bersaing dengan peringkat umur lebih tinggi sudah pasti mampu memberi impak kepada pasukan yang dibentuk ini. Pemain paling muda di dalam skuad ini yang berusia 18 tahun ketika ini turut dipertaruhkan agar mampu memberi aksi di kejohanan sebenar nanti. Namun isu komitmen dalam pelajaran dan peluang bercuti untuk di kumpulkan bersama menjalani latihan di kalangan pemain yang rata-rata adalah para pelajar pasti sedikit sebanyak memberi cabaran membentuk pasukan yang mantap.

Jangka masa persediaan awal yang panjang sudah pasti memberi kelebihan kepada jurulatih berpengalaman Izami Zainuddin yang menggalas tanggungjawab selaku ketua jurulatih. Beliau juga turut membimbing pasukan negeri Terengganu sewaktu Kejohanan Liga Ragbi Kesatuan Ragbi Malaysia Divisyen 2 2017 yang lalu di mana berjaya meraih tempat ke-2 setelah tewas tipis kepada ATM Navy Orca dalam perlawanan akhir. Namun dengan beberapa masalah yang menggusarkan ketua jurulatih ini dijangka dapat diselesaikan lebih awal sebelum temasya SUKMA 2018 bermula.
“Kami mempunyai bakat-bakat berkualiti di kalangan anak muda Terengganu ini. Ianya satu kelebihan buat skuad negeri ini untuk bertandang ke Perak nanti. Namun beberapa kekangan awal di kalangan pemain yang rata-rata adalah para pelajar sedikit sebanyak program persiapan pasukan harus dirancang dengan teliti. Kami juga harus berwaspada dengan negeri-negeri lain yang menjadi kuasa besar dalam temasya SUKMA 2018 ini.”, ujar Izami Zainuddin selaku ketua jurulatih skuad ragbi 7 sepasukan negeri Terengganu bagi SUKMA 2018 nanti.
Untuk rekod pada edisi SUKMA 2008, skuad ragbi 7 sepasukan Terengganu telah pertama kali merangkul pingat emas sejak dipertandingkan pada tahun 2004 di mana ketika itu negeri Terengganu Darul Iman menjadi tuan rumah. Pada 2010 sekali pasukan ini mengekalkan kejuaraan merangkul pingat emas dalam temasya yang sama diadakan di negeri Melaka. Namun bagi edisi 2011 dan 2013 hanya sekadar meraih di tempat ke-4.
Menjelang temasya kejohanan SUKMA 2018 nanti sebanyak 369 acara bakal dipertandingan terdiri dari 26 jenis sukan di mana 16 sukan berstatus wajib dipertandingankan yang merupakan sukan teras manakala baki 10 jenis sukan lagi adalah sukan pilihan ditentukan oleh tuan rumah.

