Momentum merangkul Piala Sumbangsih pada hari perlawanan pembukaan Liga Hoki Malaysia(MHL 2025) terus kekal cemerlang buat Terengganu Hockey Team(THT) untuk meraih tiga kemenangan berturut-turut di awal musim ini.
Menambah menarik kemenangan ketiga milik THT berjaya dilakar di laman sendiri setelah menafikan UiTM HA-KPT yang berkesudahan 3-1 di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Gol pertama perlawanan berjaya diraih pada suku kedua permainan melalui pukulan sudut penalti oleh pemain tuan rumah Muhammad Arif Syafie Ishak di minit ke-18.
Babak separuh masa kedua menyaksikan tambahan dua gol lagi milik pasukan tuan rumah berjaya disempurnakan oleh pemain kebangsaan Mohamad Akhimullah Anuar Esook melalui jaringan gol padang di minit ke-32 permainan.
Manakala gol ke-3 milik dihadiahkan oleh kapten THT Mohd Fitri Saari yang berjaya diterjemah baik bersama jentera pukulan sudut penalti di hadapan gol lawan.
Pasukan pelawat hanya mampu mencuri jaringan gol tunggal melalui pukulan sudut penalti yang dijaringkan oleh Muhammad Idris Samad di minit ke-51 permainan.
Sehingga tamat permainan, THT menoktahkan kemenangan ketiga berturut-turut dalam kempen MHL 2025 untuk meraih 9 mata liga sekaligus meletakkan pasukan ini di tangga teratas kedudukan semasa.
Seterusnya, Stadium Hoki Batu Buruk masih menjadi destinasi perlawanan ke-4 buat THT yang dijadualkan untuk bertemu TNB Thunderbolts pada 12 Januari 2024 jam 0400 petang.
Untuk rekod, pada musim lalu tiada sebarang perlawanan melibatkan THT di laman sendiri.