Kem berbasikal Terengganu hari ini melabuhkan tirai pemburuan pingat Sukan Malaysia(SUKMA Sarawak 2024) dengan penuh bergaya setelah merangkul 5 pingat emas, 3 pingat perak dan 4 pingat gangsa untuk menghimpunkan keseluruhan sebanyak 12 pingat di bumi Kenyalang ini.
Pencapaian ini sekaligus meletakkan Terengganu selaku juara keseluruhan acara berbasikal bagi edisi ke-21 yang telah berlangsung selama 8 hari melibatkan 3 disiplin acara perlumbaan dari dua venue pertandingan dalam bahagian Kuching.
“Terbukti Terengganu masih kekal selaku kuasa besar sukan berbasikal di mana kita boleh lihat sepanjang 8 hari perlumbaan ini kita hampir mendominasi ke semua podium bagi acara yang dipertandingkan.
“Namun kejayaan ini bukan hadir dalam tempoh yang singkat di mana setiap pemegang taruh sama ada Majlis Sukan Negeri Terengganu, barisan kejurulatihan malah ibu bapa kepada atlet itu sendiri yang turut sama membentuk acuan buat mereka yang bertanding di sini.
“Seterusnya saya amat mengharapkan momentum kemenangan ini tidak berakhir di sini sahaja khususnya atlet-atlet yang membuat penampilan terakhir berikutan faktor usia yang menjadi syarat pertandingan di pentas SUKMA ini.
“Oleh itu saya mengharapkan semoga atlet-atlet ini mendapat tempat sebagai atlet kebangsaan atau paling kurang berada di dalam kem atlet pelapis kebangsaan.” ujar Datuk Razali Idris selaku pemegang taruh utama skuad berbasikal Terengganu di SUKMA Sarawak 2024 ini.
Untuk rekod, 5 pingat emas telah disumbangkan dari skuad berbasikal lebuhraya lelaki dan BMX lelaki dan 3 pingat perak diraih dari acara kriterium lelaki, down hill individu lelaki dan cross country olympic(XCO) lelaki manakala 4 pingat gangsa dari skuad berbasikal lebuhraya wanita, BMX lelaki dan juga cross country olympic(XCO).
Kedah hadir selaku pasukan berbasikal kedua terbanyak meraih pungutan pingat SUKMA Sarawak 2024 dengan 5 pingat emas, 3 perak dan 2 gangsa menhimpunkan keseluruhan sebanyak 10 pingat manakala Perak dengan 10 pungutan pingat untuk berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 2 pingat emas, 1 perak dan 1 gangsa.