Saingan kempen Piala Belia 2022 kini memasuki saingan peringkat separuh akhir di mana dua perlawanan telah berlangsung melibatkan pasukan Terengganu FC IV(TFC IV) bertemu Sri Pahang FC dan Selangor FC bertemu PJ City FC.
Pada aksi perlawanan yang melibatkan kedua-dua pasukan dari pantai timur, Sri Pahang FC hadir selaku pasukan bukan pilihan bagi saingan musim ini membuat kejutan besar untuk menafikan TFC IV berkeputusan 5-1 di laman sendiri.
Bertempat di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pasukan tuan rumah bermula garang untuk mendominasi kawalan bola namun tersentap setelah jaringan pembukaan berjaya disempurnakan oleh kapten pasukan Tok Gajah Muhammad Amirul Razali pada minit ke-9 permainan.
Menambah tekanan buat tuan rumah, selang 16 minit kemudiaan kealpaan penjaga gol TFC IV untuk meninggalkan kawasan gawang dihukum oleh pemain sayap pasukan pelawat Muhammad Khafii Abdul Majib hasil dari jaringan mudah untuk gol ke-2 milik pasukan.
Rentak permainan yang kian dikuasai oleh Tok Gajah terus mencipta jurang untuk menambah gol ke-3 di minit ke-38 separuh masa pertama yang dicipta oleh Muhammad Alif Irfan Norsafidahlan.
Situasi yang merobek emosi pemain-pemain TFC IV hadir selaku pasukan pilihan setelah menjuarai peringkat kumpulan tumpuan menjadi kelebihan buat Sri Pahang untuk terus berpesta menambah gol ke-4 perlawanan pada minit ke-56 sekaligus menjadi jaringan ke-2 peribadi berturut-turut pada separuh masa pertama ini buat kapten pasukan Muhammad Amirul Haikal Razali.
Bersambung pada babak separuh masa kedua permainan, aksi kedua-dua pasukan dilihat seimbang apabila pasukan tuan rumah mampu untuk kembali memberi fokus sekaligus berjaya mendapat jaringan gol pertama milik tuan rumah pada minit ke-70 yang disempurnakan oleh Muhammad Iman Zaidi Sulong.
Rentak TFC IV yang kelihatan terdesak untuk mengejar baki-baki minit permainan untuk merapatkan jurang sekali lagi menghukum skuad penyu ini setelah pemain gantian Abdul Rahman Hasmadi menyumbang gol ke-5 buat Sri Pahang kembali menceriakan barisan penyokong yang hadir.
Jaringan itu juga sekaligus menjadi gol penamat perlawanan meletakkan Sri Pahang kini berada di momentum terbaik bagi kempen Piala Belia musim ini.
“Hampir 10 tahun saya rasa Pahang tidak pernah layak walaupun untuk mara ke peringkat akhir saingan Piala Belia ini. Alhamdullilah, hari ini para pemain telah mencipta satu sejarah untuk pasukan Sri Pahang walaupun kami tidak menjangkakan untuk berada di sini.” ujar ketua jurulatih Sri Pahang Bahazenan Osman yang ditemui PenyuSukan sejurus tamat permainan.
Seterusnya aksi perlawanan timbal balik separuh akhir kempen Piala Belia 2022 untuk perebutan layak ke pusingan akhir buat kedua-dua pasukan ini dijadualkan pada 14 Ogos nanti bertempat di Bandar Muadzam Shah.
Lihat sepenuhnya – https://youtu.be/s_R5MDMWUus