AUG 2022: Kontijen Malaysia Capai Sasaran Menerusi Emas Taekwondo

Pingat emas ke-35 dari kem taekwondo yang disumbangkan oleh Nurul Hidayah Abdul Karim sekaligus mencapai sasaran kutipan pingat bagi kontijen Malaysia di pentas Sukan Universiti ASEAN (AUG 2022) di Ubon Ratchathani, Thailand pada 2 Ogos 2022. Kredit Foto – Agensi

Selepas berjuang selama lapan hari pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022, kontinjen Malaysia akhirnya berjaya menemui pingat emas yang ke-35, sekali gus mencapai sasaran yang telah mereka tetapkan. Emas ke-35 itu dihasilkan oleh atlet taekwondo, Nurul Hidayah Abdul Karim.
Acara taekwondo yang membuka gelanggang hari ini, memperlihatkan permulaan yang baik buat skuad negara apabila mereka menamatkan saingan pada hari pertama dengan pencapaian satu pingat emas dan dua perak.

Lebih menarik, pingat emas yang diraih oleh Nurul Hidayah Abdul Karim itu merupakan emas yang ke-35, sekali gus memenuhi sasaran kontinjen negara pada temasya kali ini. Kemenangan Nurul Hidayah itu diperoleh menerusi acara poomsae individu wanita selepas mencatat 8,383 mata yang sudah cukup untuknya menewaskan atlet Thailand yang memungut 8,350 mata.





Nurul turut meraih pingat perak dalam acara beregu campuran bersama pasangannya Jason Loo Jun Wei. Kredit Foto – Agensi

“Saya berasa puas kerana berjaya menyumbangkan pingat yang ditunggu-tunggu oleh kontinjen negara. Alhamdulillah kemenangan ini membolehkan kita mencapai sasaran 35 emas pada temasya AUG kali ini,” jelas Nurul Hidayah.

Mereka berjaya memungut 8,533 mata, namun tidak cukup untuk mengatasi pungutuan mata yang diperoleh atlet Thailand iaitu 8,616. Jason yang beraksi dalam acara individu lelaki turut meraih pingat perak selepas tewas kepada lawannya dari Thailand, Sianglio Worapol. Worapol mengutip 8,233 mata manakala Jason sekadar meraih 8,116 mata.

Regu putri yang dibarisi Atiqah Fakhira Shaiful Azli, Nur Husnina Abdul Hamid dan Nurmunirah Zaharuddin. Kredit Foto – Agensi

Acara pencak silat juga membuat permulaan yang baik hari ini dengan pencapaian satu pingat emas menerusi regu putri yang dibarisi Atiqah Fakhira Shaiful Azli, Nur Husnina Abdul Hamid dan Nurmunirah Zaharuddin. Trio negara itu tampil dengan aksi yang sangat memukau, sekali gus memperoleh 460 mata untuk menewaskan Thailand yang sekadar meraih 449 mata. Selain satu emas, skuad silat turut menyumbangkan tiga pingat perak dan satu gangsa.

Pingat perak dihasilkan menerusi acara regu putra yang dibarisi Muhammad Amirul Haiqal Muhamad Yusof, Muhammad Faiz Danial Mohd Dahalam dan Muhammad Nur Hafiz Yusof Khalid manakala gandingan Luqman Nul Hakim Che Abdullah dan Muhammad Ammar Sufi Muhammad Rosli melakukannya dalam acara ganda putra.

Satu lagi pingat perak skuad silat dijelmakan oleh Mohamad Nur Syahmi Rohamidi menerusi acara putra tunggal. Gangsa disumbangkan Mirsha Nurathiqa Mirnawan dalam acara tunggal putri.

Acara-acara lain yang berlangsung hari adalah sepak takraw yang menyaksikan Malaysia menang mudah 3-0 ke atas Laos dalam kategori berpasukan.
Skuad petanque pula gagal meneruskan kemaraan untuk penentuan pingat emas dan perak, dan mereka akan kembali beraksi esok untuk memburu gangsa. Acara tersebut dihentikan petang ini akibat hujan lebat.

Skuad futsal pula tewas kepada Thailand 1-4 dalam perlawanan penentuan untuk ke final. Skuad bola keranjang wanita juga tewas kepada Thailand 58-88 dalam perlawanan peringkat kumpulan. Acara bola sepak yang dihentikan hampir 40 minit akibat hujan lebat, menyaksikan skuad negara tewas 1-2 kepada Laos, namun mereka berjaya melangkah ke final Jumaat ini untuk berdepan Thailand. Kali terakhir skuad bola sepak menempah tiket ke final adalah pada AUG 2008.

Selepas selesai perjuangan hari ini, kontinjen negara kini sudah memungut 36 pingat emas, 58 perak dan 28 gangsa.

SUKMA XXI SARAWAK 2024
17-24 OGOS 2024

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

SUMBANGAN

SUMBANGAN IKHLAS BAGI MENAMPUNG KOS OPERASI MENYAMPAIKAN BERITA SUKAN SEGENAP NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN.

march, 2024

29feballdayKejohanan Kuda Lasak Piala YAB Menteri Besar Terengganu 2024

01maralldayMONSUN OMBAK CHALLENGE 2024

X