Pelumba Cilik Terengganu Kembali Ke Litar Sepanyol

Pelumba Qabil Irfan Azlan yang kini berusia 12 tahun telah mencipta sensasi sukan permotoran tanah air setelah dinobatkan selaku juara MiniGP Siri Dunia FIM 2023 yang berlangsung pada tahun lalu di Valencia, Sepanyol. Kredit Foto – Agensi

Pelumba cilik kelahiran Kuala Terengganu, Qabil Irfan Azlan yang juga merupakan juara MiniGP Siri Dunia FIM 2023 kini membuka kalendar cabaran perlumbaan buat dirinya untuk menyertai Kejuaraan Motorbike Sepanyol(ESBK) Moto 4 pada April nanti,meskipun berlumba dalam bulan puasa.

Menurut bapanya, Azlan Abd. Rahman, 48, meskipun tiada sasaran diletakkan di bahu Qabil, 12, beliau optimis anak keduanya itu mampu memberi saingan kepada pelumba lain yang lebih berpengalaman.





Azlan menjelaskan, dia dan Qabil akan berada di Sepanyol selama hampir sebulan untuk menyertai ESBK Moto4 itu dan hanya akan pulang ke Terengganu beberapa hari sebelum Aidilfitri.

Pelumba Qabil Irfan Azlan(kiri) bersama bapanya Azlan Abd. Rahman di bengkel milik mereka di Kuala Terengganu. Kredit Foto – Agensi

“Kami akan menyambut Ramadan di bumi asing kali ini tetapi ini adalah antara pengorbanan yang perlu dilakukan jika mahu mengembangkan kariernya lebih jauh lagi dalam dunia permotoran.

“Qabil akan melakukan persediaan awal untuk menyesuaikan diri dengan jentera dan keadaan litar sebelum perlumbaan sebenar di Litar Jerez pada 6 dan 7 April depan,” katanya ketika ditemui.

Jelas Azlan lagi, penyertaan Qabil dalam ESBK Moto4 dianggap pendedahan awal buat pelumba cilik itu yang hadir membawa reputaai juara MiniGP Siri Dunia FIM 2023 di Valencia.

“Pelumba atau pencabar dalam kategori itu lebih berpengalaman kerana mereka memiliki kelengkapan dari segi jentera dan litar yang sesuai untuk berlatih berbanding Qabil.

“Apa pun, ini masa sesuai untuk membuktikan kemampuan dan saya harap semua pihak mendoakan keselamatan serta kejayaan Qabil,” ujarnya lagi ketika ditemui baru-baru ini.

Pada perlumbaan di Litar Jerez itu nanti, Qabil akan beraksi untuk pasukan Sepanyol, VHC Frando Racing dan dijadualkan menyertai ujian pra musim pada 16 dan 17 Mac.

Perlumbaan peringkat pertama akan berlangsung di litar sama pada 6 dan 7 April sebelum peringkat berikutnya pada 1 dan 2 Jun di Litar Valencia.

SUKMA XXI SARAWAK 2024
17-24 OGOS 2024

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

SUMBANGAN

SUMBANGAN IKHLAS BAGI MENAMPUNG KOS OPERASI MENYAMPAIKAN BERITA SUKAN SEGENAP NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN.

april, 2024

No Events

X