NATIONAL 7S 2026: TERENGGANU, JOHOR, SELANGOR DAN PERAK TEMPAH SLOT SEPARUH AKHIR

Skuad Terbuka Lelaki Terengganu raih tiket separuh akhir setelah menewaskan PDRM berkeputusan 14-05 dalam saingan suku akhir Kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan(National 7s 2026). Terdahulu pasukan tuan rumah ini mencatat dua kemenangan berturut-turut pada hari pertama aksi peringkat kumpulan.

KUALA NERUS – Empat pasukan termasuk tuan rumah, Terengganu, mengesahkan tempat ke separuh akhir kategori Terbuka Lelaki Kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s 2026) selepas masing-masing melepasi cabaran suku akhir di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Terengganu, di sini.

Terengganu meneruskan langkah positif di hadapan penyokong sendiri apabila menyingkirkan PDRM pada aksi suku akhir selepas terlebih dahulu menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan kemenangan 31-7 ke atas ATM.





Dua kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian bekas pemain kebangsaan, Hafiizh Zainal, terus berada dalam landasan memburu kejuaraan yang berlangsung di gelanggang sendiri.

Bagaimanapun, cabaran lebih getir menanti apabila mereka bakal berdepan Selangor yang hadir dengan keyakinan tinggi selepas mencipta kejutan menewaskan juara bertahan, Kelantan, pada peringkat kumpulan.

Hafiizh berkata kemenangan Selangor ke atas Kelantan perlu diberi perhatian serius kerana keputusan itu membuktikan kemampuan lawan untuk mencabar mana-mana pasukan.

“Untuk Selangor menewaskan Kelantan selaku penyandang juara memberi kekuatan moral kepada mereka dan mungkin menjadi amaran awal buat kami.

“Kami perlu kekal berwaspada serta mengurangkan kesilapan komunikasi dalam pasukan menjelang perlawanan separuh akhir nanti,” katanya.

Sementara itu, Johor turut mengesahkan kemaraan selepas menewaskan Sarawak 24-5, manakala Perak menyingkirkan Kedah 26-5.

Selangor pula melengkapkan senarai empat pasukan terbaik apabila menundukkan Wilayah Persekutuan Putrajaya 15-0.

Sebanyak 39 perlawanan melibatkan semua kategori berjaya diselesaikan pada hari kedua kejohanan termasuk aksi suku akhir Terbuka Lelaki.

Dalam kategori Terbuka Wanita, empat pasukan terbaik daripada lima pasukan yang mengambil bahagian turut mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Kejohanan selama tiga hari itu melabuhkan tirai hari ini menerusi perlawanan akhir bagi semua kategori yang dijadual berlangsung pada sebelah petang.

SENARAI PASUKAN MARA KE SEPARUH AKHIR:

SEPARUH AKHIR TERBUKA LELAKI
Selangor vs Terengganu
Perak vs Johor

SEPARUH AKHIR TERBUKA WANITA
Terengganu vs Melaka
PDRM vs Johor

SEPARUH AKHIR BAWAH 21 TAHUN LELAKI
Negeri Sembilan vs Selangor
W.P Kuala Lumpur vs Johor

SEPARUH AKHIR BAWAH 21 TAHUN WANITA
Johor vs Terengganu
Kedah vs Selangor

YOUTUBE - PENYU SUKAN

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

KALENDAR SUKAN

november, 2026

27novalldayTERENGGANU SURF FESTIVAL 2026

MENGENAI KAMI

Penyu Sukan adalah sebuah entiti agensi berita sukan subsidiari kepada GOMBUGDOTNET (Suruhanjaya Syarikat Malaysia – TR0109982-D) memfokuskan berita perkembangan atlet, pasukan mahupun persatuan dan sebarang penganjuran acara sukan tempatan.

Hubungi kami: sukan@penyusukan.com

TINGKAT 1, TERENGGANU DIGITAL 1303(TD1303),
JALAN SULTAN ZAINAL ABIDIN,
20000 KUALA TERENGGANU,
TERENGGANU DARUL IMAN.

X