Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Penaja dan Pemain Pasukan Terengganu Hockey Team 2021

Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Penaja dan Pemain Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) bagi musim 2021 ini berlangsung secara dalam talian yang dihoskan di laman Facebook dan Youtube TV Darul Iman.





Majlis secara digital ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri YB Ustaz Wan Sukairi bin Abdullah yang turut menyampaikan sepatah dua kata buat pasukan.

Juga wakil-wakil dari pihak penaja THT musim ini juga turut hadir untuk merakamkan majlis bersejarah ini.

 

Berikut adalah ucapan penuh yang telah disampaikan YB Ustaz Wan Sukairi bin Abdullah.

TEKS UCAPAN PERASMIAN

MAJLIS PELANCARAN JERSI DAN MEMPERKENALKAN PENAJA DAN PEMAIN PASUKAN TERENGGANU HOCKEY TEAM (THT) SEMPENA TNB LIGA HOKI MALAYSIA (TNB MHL) 2021

Assalamualaikum w.b.t

SALUTASI

MUKADIMAH
1. Bersyukur kepada Allah swt di atas kesempatan berada bersama dalam Majlis Pelancaran Jersi, Memperkenalkan Penaja Dan Pemain Terengganu Hockey Team (THT) sempena TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2021.

2. Terima kasih kepada Persatuan Hoki Terengganu dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pembentukan pasukan yang telah berjaya mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan.

3. Saya bersyukur dan merasa bangga dapat bersam-sama malam di majlis yang buat pertama kalinya diadakan secara “live” ini.

4. Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia, MKN dan KBS atas kelulusan yang diberikan untuk memulakan latihan bagi pasukan yang akan bersaing dalam TNB MHL 2021 termasuk kebenaran penganjuran kejohanan ini.

KESINAMBUNGAN KEJAYAAN
5. Sebagaimana kita sedia maklum, pasukan THT yang ditubuhkan pada tahun 2013 telah beraksi cemerlang dan meraih kejuaraan berganda dalam Liga Hoki Malaysia sebanyak 4 kali berturut-turut (2014, 2015, 2016 & 2017) dengan membawa pulang Piala TNB dan Piala Liga serta Piala P. Alagendra (2016 & 2017). Walaupun pada tahun 2018 hanya berjaya menjadi juara liga sahaja tetapi pada tahun 2019 THT telah berjaya memenangi Piala Sumbangsih dan Piala TNB. Syabas diucapkan.

6. Walaupun pada tahun 2020, pasukan kita berada di tempat ketiga, namun saya percaya semua pemain pada tahun ini pasti lebih bersemangat untuk merampas kembali kejuaraan yang pernah dikecapi dahulu.

PERSIAPAN PASUKAN
7. Pada tahun ini, pasukan kita dijangka menghadapi saingan yang tidak kurang hebatnya. Ditambah dengan cabaran dan usaha mencegah penularan Covid19 dan pelaksanaan SOP yang telah ditetapkan. Saya juga dimaklumkan bahawa sepanjang tempoh kejohanan pihak KHM akan melakukan ujian calitan Covid-19 (RTK Antigen) untuk memantau keadaan kesihatan pemain dan bagi memastikan semuanya dalam keadaan terkawal.

8. Jadi kita perlu lebih bersedia dari segi mental dan fizikal dalam setiap perlawanan. Tingkatkan semangat sepasukan dan terus berjuang sehingga ke minit terakhir perlawanan.

9. Pengalaman lalu boleh dijadikan bekalan dalam menghadapi lawan dan sedaya upaya elakkan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti kecederaan, kemalangan dan pergaduhan. Bermainlah secara professional dan bijaksana. Serlahkan kemahiran dan kehebatan anda dalam bentuk permainan yang berkualiti dan menggentarkan pasukan lawan.

PEMBANGUNAN SUKAN
10. Saya berharap melalui penyertaan kejohanan yang berprestij ini kita akan lebih fokus dan bersungguh-sungguh dalam usaha melahirkan pemain yang berkaliber dan mampu membawa nama negeri Terengganu ke persada kebangsaan dan antarabangsa.

11. Pembangunan sukan di peringkat akar umbi perlu diperkasakan lagi bukan sahaja oleh Majlis Sukan Negeri tetapi persatuan sukan itu sendiri agar kita boleh berbangga dengan kejayaan-kejayaan yang bakal dicapai nanti.

12. Program penyediaan atlet yang berstruktur dan menyeluruh yang telah dirangka dalam Pelan Induk Pembangunan Sukan 10 Tahun perlu dilaksanakan segera agar kita mencapai sasaran dan pencapaian yang diimpikan bagi tempoh yang telah ditetapkan.

13. Kejayaan yang telah dicapai sebelum ini boleh dijadikan panduan dan ukuran kepada pencapaian akan datang.

14. Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia, MKN, KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) atas kelulusan yang diberikan untuk memulakan latihan bagi pasukan yang akan bersaing dalam TNB MHL 2021 termasuk kebenaran penganjuran kejohanan ini.

HARAPAN
15. Harapan saya pasukan dan pemain yang ada hari ini mampu mencipta sejarah dan menjadi role model serta memberi inspirasi kepada pasukan pembangunan untuk turut sama meraih kejayaan.

16. Saya juga berharap pasukan THT dapat beraksi cemerlang dalam setiap perlawanan sekaligus membawa pasukan hingga ke perlawanan akhir TNB Liga Hoki Malaysia edisi kali ini.

17. Semoga setiap perancangan dan strategi yang telah diatur oleh pihak pengurusan dan pasukan akan berjalan lancar serta membuahkan kejayaan yang melebihi sasaran.

PENUTUP
18. Kepada para Penaja saya mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan terima kasih di atas kolaborasi dengan Kerajaan Negeri dalam memenuhi keperluan pasukan dan memastikan persiapan pasukan di tahap yang terbaik.

19. Saya bagi pihak Kerajaan Negeri akan sentiasa komited dan memberi sokongan padu kepada pasukan negeri dalam apa jua kejohanan dan aktiviti sukan yang menjadi medium penyatuan masyarakat negeri ini.

20. Akhir sekali dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim saya merasmikan Majlis Pelancaran Jersi, Memperkenalkan Penaja Dan Pemain Terengganu Hockey Team (THT) sempena TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2021.

Sekian. Terima kasih

SUKMA XXI SARAWAK 2024
17-24 OGOS 2024

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

SUMBANGAN

SUMBANGAN IKHLAS BAGI MENAMPUNG KOS OPERASI MENYAMPAIKAN BERITA SUKAN SEGENAP NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN.

april, 2024

No Events

X