Gergasi hoki wanita pantai timur; Terengganu Ladies Hockey Team(TLHT) mencipta kejutan amat bermakna buat penyokong di laman sendiri dengan melunaskan hutang kepada pendahulu Liga Hoki Wanita Malaysia 2020(LHWM 2020) sekaligus mencalarkan rekod tanpa kalah Hockademy KL yang menjadi perhatian musim ini.
Hockademy KL hadir selaku pendatang baharu LHWM 2020 juga merupakan pasukan pilihan pada musim ini memandangkan dibarisi beberapa pemain berkualiti yang juga merupakan pemain-pemain kebangsaan dan juga beberapa bekas pemain TLHT.
Terdahulu di awal musim kedua-dua pasukan ini telah bertemu di mana TLHT selaku pasukan pelawat telah dinafikan untuk tewas nipis berkeputusan 2 berbalas 1.
Sebaik wisel mula permainan ditiup untuk aksi perlawanan ke-6 buat kedua-dua pasukan ini, Hockademy KL mengasak laju untuk penguasaan sepenuhnya di kubu tuan rumah pada suku pertama permainan. TLHT yang seakan hilang rentak di awal permainan mula bangkit pada babak-babak suku permainan seterusnya.
Namun Hockademy KL yang bijak mencuri bola untuk mematahkan serangan demi serangan sekali gus memaksa barisan pertahanan tuan rumah ‘berpeluh jeruk’ di bawah matahari terik membahang Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Kredit sudah tentu seharusnya milik buat penjaga gawang TLHT dari Kazakhstan; Guzal Bakhavaddin yang beraksi cemerlang sepanjang perlawanan ini. Malah mungkin pada perlawanan ini adalah persembahan terbaik sepanjang musim buat Guzal di mana banyak menangkis tepat terjahan-terjahan bola tepat ke dalam gawang dengan percubaan 9 pukulan sudut penalti selain deretan percubaan padang. Ketangkasan Guzal yang kini berusia 25 tahun ini juga turut membuat jentera pukulan sudut penalti Hockademy KL ‘mati kutu’ untuk mencipta ruang dan peluang.
Setelah rentung bergasak, gol sulung perlawanan akhirnya memihak kepada kapten TLHT; Siti Noor Amarina Ruhani yang berjaya diterjemah hasil dari pukulan sudut penalti pada minit ke-37. Menambah menarik jaringan ini juga adalah percubaan kali ke-2 pasukan tuan rumah sepanjang 60 minit permainan di mana perlawanan ini sememangnya dikuasai oleh pendahulu liga sepenuhnya.
Tersentak dengan gol pendahuluan milik TLHT, pasukan pelawat mula mengasak padu sehingga hampir-hampir mencipta jaringan gol padang. Kegopohan Hockademy KL yang kian tertekan di minit-minit akhir permainan kian terserlah apabila pemain kebangsaan berpengalaman besar; Fatin Shafika Mahd Sukri membawa pulang kad hijau pertama untuk musim ini. Namun sudah pasti TLHT perlu mempertahankan penguasaan bola sehingga tamat permainan untuk mencalar rekod tanpa kalah milik pasukan pilihan musim ini.
Seterusnya bagi aksi perlawanan ke-8 yang dijadualkan pada 11 Februari bertempat di di Stadium Hoki Tun Razak nanti TLHT akan kembali bertemu PDRM Blue Warriors yang kini menghuni tangga ke-4 kedudukan LHWM 2020. Sebelum ini kedua-dua pasukan ini pernah bertemu di mana TLHT berjaya meraih 3 mata liga berkeputusan 1 tanpa balasan di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.
KEPUTUSAN LIGA HOKI MALAYSIA 2020
*TLHT sahaja
08.02.2020 1700 | 020 GROUP | Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu
TERENGGANU LADIES HOCKEY TEAM vs HOCKADEMY KL 01-00
JARINGAN GOL
TERENGGANU LADIES HOCKEY TEAM
Siti Noor Amarina bt Ruhani 37″
KAD HIJAU
HOCKADEMY KL – Fatin Shafika bt Mahd Sukri 50″