Jurang 1 gol di minit-minit akhir ternyata merencatkan rentak Terengganu Ladies Hockey Team(TLHT) untuk mencipta rekod tanpa kalah setelah tewas di minit-minit akhir kepada HOCKADEMY KL berkeputusan 2 berbalas 1. Perhintungan yang menjadi tumpuan pada perlawanan kedua setiap pasukan ini menyaksikan TLHT turun selaku penyandang juara Liga Hoki Wanita Malaysia 2019 dan juga pemilik Piala Vivian May musim lalu manakala HOCKADEMY KL merupakan pendatang baharu yang dibarisi sebahagian besar pemain-pemain berpengalaman besar di pentas antarabangsa.
Menambah menarik pasukan baharu ini adalah di bawah kendalian bekas ketua jurulatih TLHT musim lalu; Iman Gobinathan Abdullah yang berjaya membuat percaturan untuk muncul juara berganda buat gergasi pasukan hoki wanita dari pantai timur ini.
Gol pertama permainan milik TLHT yang disumbangkan melalui pukulan sudut penalti oleh Juliani bt Mohamad Din seawal minit ke-10 permainan namun saingan yang amat sengit dari pasukan lawan sehingga mengheret tamat suku kedua separuh masa pertama permainan tanpa sebarang tambahan jaringan.
Pada suku ketiga separuh masa kedua permainan, penjaga gawang TLHT terpaksa akur untuk melepaskan jaringan penyamaan melalui hantaran gol padang yang disempurnakan oleh Nuramirah Shakirah bt Zulkifli di minit ke-43 permainan. Tekanan mula dirasai buat anak buah Mohd Nasihin Nubli untuk memastikan TLHT kembali mendahului permainan memandangkan masa kian dicuri oleh pengadil perlawanan.
Namun berbaki 2 minit sebelum wisel penamat ditiup, pemain kebangsaan Wan Norfaiezah bt Md Saiuti meranapkan semangat TLHT dengan jaringan gol padang memecah kebuntuan sekaligus menjadi gol terakhir pada perlawanan penuh sengit ini.
Untuk rekod, sepanjang perlawanan TLHT melakukan pertukaran pemain sebanyak 6 pemain yang dimasukkan seawal suku pertama separuh masa perlawanan manakala HOCKADEMY KL hanya melakukan 4 pertukaran pemain pada masa yang sama. Kedua-dua pasukan ini tidak melakukan sebarang pertukaran pemain sehingga ke tamat permainan.
Tiada sebarang layangan kad di bawa pulang oleh setiap pasukan. Keputusan perlawanan ini meletakkan TLHT berada di tangga ke-3 kedudukan semasa liga di atasi HOCKADEMY KL selaku peneraju liga dan PDRM BLUE WARRIORS di tangga kedua.
Terkini PDRM BLUE WARRIORS telah ditewaskan oleh PKS Uniten berkeputusan 2 tanpa balasan. Perbezaan jumlah jaringan gol sepanjang liga juga menjadi penentu kedudukan penentuan di tangga Liga Hoki Malaysia ini walaupun PDRM BLUE WARRIORS dan PKS Uniten masing-masing mencatatkan 1 kemenangan.
Seterusnya bagi aksi perlawanan ke-3, TLHT dijadualkan untuk berentap bersama PDRM BLUE WARRIORS di laman sendiri pada 18 Januari 2020 jam 0500 petang. Stadium Hoki Batu Buruk merupakan venue rasmi kejohanan Liga Hoki Malaysia buat pasukan TLHT dan THT untuk beraksi di laman sendiri.
KEPUTUSAN LIGA HOKI WANITA MALAYSIA 2020
*TLHT sahaja
14.01.2020 1700 | 05 GROUP | Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil
HOCKADEMY KL vs TERENGGANU LADIES HOCKEY TEAM 02-01
TLHT
Juliani bt Mohamad Din 10″
HOCKADEMY KL
Nuramirah Shakirah bt Zulkifli 43″
Wan Norfaiezah bt Md Saiuti 58″
Keputusan penuh perlawanan sila lawati – http://mhccompetitions.com/mhl/index.php?id=1&id2=1&jantina=P&kelas=18&no=05