Aksi perlawanan ke-3 buat gergasi hoki pantai timur, Terengganu Hockey Team dikejutkan dengan bolosan gol padang seawal minit ke-3 oleh pasukan bukan pilihan kejohanan iaitu Kedah/Nurinsafi HT yang berjaya dipukul padu oleh Muhammad Azfar Yaqoob.
Tersentak dengan jaringan itu, THT hadir selaku penyandang juara Liga Hoki Malaysia musim lalu pantas mengantur serangan untuk memberi ruang gol padang kepada Muhammad Rashid Baharom bagi memastikan gol penyamaan dikira pada minit ke-5 permainan. Selang dua minit kemudian, THT sekali lagi berjaya menambah gol padang yang disempurnakan oleh Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran.
Selesa mendahului perlawanan seketika sekali lagi THT dihukum dengan dengan jaringan padu gol padang oleh Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi di minit ke-11 permainan untuk mengikat keputusan terikat 2 berbalas 2 sehingga tamat suku pertama permainan.
Hasil percaturan strategi oleh ketua jurulatih THT Muhammad Dhaarma Raj Abdullah sewaktu rehat suku pertama permainan berjaya diterjemahkan sebaik mungkin oleh para pemain bagi mencipta ruang buat pakar pakar pukulan sudut penalti; Jung Manjae untuk menyumbang gol di minit ke-21. Situasi dua pemain Kedah/Nurinsafi HT yang menerima layangan kad hijau merencatkan rentak taktikal pasukan ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Faizal Saari untuk membolos padu hasil jaringan gol padang di minit ke-29.
Penguasaan padang sepenuhnya di ‘laman sendiri’ oleh THT pada minit-minit suku ketiga separuh masa kedua permainan sekali lagi berjaya mencipta jurang perlawanan dengan tambahan dua gol padang hasil pukulan padu oleh Muhammad Sufi Ismat Mr Rohulamin dan Muhammad Azri bin Hassan.
Faizal Saari sekali lagi mencipta sensasi kejohanan di minit ke-48 suku akhir separuh masa kedua permainan dengan menyumbang jaringan gol padang kedua untuk perlawanan ini. Keghairahan THT untuk terus ‘melaukkan’ pasukan pelawat ini telah direntap oleh pengadil yang menghadiahkan kad hijau sulung kepada Jung Manjae di minit ke-49.
Namun berbaki 4 minit sebelum wisel penamat ditiupkan, Luqman Nul Hakim bin Ahmad Shukran sekali lagi menghadiahkan jaringan gol padang sekaligus menjadi gol terakhir menoktahkan Kedah/Nurinsafi HT berkeputusan 8 berbalas 2 jaringan gol yang dikutip.
“Perlawanan hari ini, kita bermula dengan tidak berapa bagus untuk ketinggalan 1-0. Selepas kita mendahului 2-1 pun kita masih melepaskan gol lemah. Mindset untuk perlawanan ini nampak macam leka menyebabkan membawa padah di awal permainan. Setelah menegur para pemain, baru nampak kesungguhan dalam permainan. Kita perlu mengambil situasi ini dengan serius agar tidak berulang pada perlawanan akan datang. ” jelas ketua jurulatih THT, Muhammad Dharma Raj Abdullah.
Seterusnya untuk perlawanan ke-4 buat THT akan bertandang ke Stadium Hoki Tun Razak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selaku ‘tuan rumah’ untuk bertemu pasukan UITM yang dijadualkan pada 17 Januari 2020 jam 0500 petang.
KEPUTUSAN LIGA HOKI MALAYSIA 2020
*THT sahaja
15.01.2020 1700 | 009 GROUP | Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil
TERENGGANU HOCKEY TEAM vs KEDAH/NURINSAFI HT 08-02
JARINGAN GOL
THT
Muhammad Rashid bin Baharom 05″
Luqman Nul Hakim bin Ahmad Shukran 07″
Jung Manjae 21″
Faizal bin Saari 29″
Muhammad Sufi Ismat bin Mr Rohulamin 36″
Muhammad Azri bin Hassan 42″
Faizal bin Saari 48″
Luqman Nul Hakim bin Ahmad Shukran 56″
KEDAH/NURINSAFI HT
Muhammad Azfar Yaqoob 03″
Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi 11″
KAD HIJAU
THT
Jung Manjae 49″
KEDAH/NURINSAFI HT
Syed Sibtain Raza Naqvi 18″
Adam Hafis Hrsikesa Thaitchana Muruthi 21″