

Tempuhi perjalanan sejauh lebih 100km dari bandaraya Kuala Terengganu ke Kemaman menjadi titik tolak buat pasukan lumba jentera lasak pacuan empat roda, GG 4×4 sebagai persediaan ke kejuaraan antarabangsa Rainforest Challenge Grand Final (RFC 2025) pada November ini.
Pasukan kerdil yang berpangkalan di Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payung, Marang meletakkan sasaran awal untuk meraih podium yang dilihat mempunyai prospek memandangkan Malaysia menjadi tuan rumah untuk menutup kalendar RFC yang dijadualkan untuk berlangsung di beberapa negeri dalam negara.
Situasi cuaca yang tidak menentu di negeri Terengganu ini, menjadikan laluan ekstrem ke Jeram Dinding yang terletak di Padang Kubu, Kemaman menjadi pilihan terbaik bagi pasukan kerdil ini untuk menempuhi cabaran selama 48 jam ini.
Selain memfokuskan keupayaan jentera pacuan empat roda dan lain-lain masalah teknikal yang perlu diselesaikan, komunikasi berpasukan turut menjadi faktor yang ditekankan sebelum ujian sebenar sewaktu perlumbaan nanti.
“Meletakkan cabaran dalam tempoh 48 jam merupakan satu penanda aras untuk memperbaiki setiap kelemahan dalam pasukan di mana fokus sebenar kami adalah untuk menguji ketahanan mental dan fizikal termasuk komunikasi di antara setiap ahli pasukan sewaktu menempuhi setiap cabaran bersama jentera 4×4 ini.
“Jeram Dinding di Padang Kubu, Kemaman ini sememangnya mempunyai cabaran yang tersendiri khususnya sewaktu musim cuaca tidak menentu ini di mana kami menjangkakan situasi sebenar pada hari perlumbaan nanti,” ujar Tengku Khairul Tengku A Rahman yang akan memandu Land Rover Defender Series 3 88 bersama juruarah Muhammad Nasrul Aiman Mohd Azili di pentas kejuaraan RFC Grand Final 2025 ini nanti.
GG 4×4 yang telah membuat penampilan pertama di pentas kejuaraan RFC ini pada tahun 2013 dan kekal konsisten hadir memberi cabaran pada tahun-tahun berikutnya sebelum momentum pasukan ini terhenti berikutan pandemik COVID-19 pada tahun 2020 yang melanda seluruh dunia.
Bagi penyertaan kali ke-6 buat edisi kali ini, GG 4×4 akan mempertaruhkan Land Rover Defender Series 3 88 sebagai jentera taruhan utama buat pasukan bersama lain-lain jentera lumba yang akan turut serta dari negeri Terengganu ini.
Untuk rekod, penganjuran Rainforest Challenge(RFC) ini telah diilhamkan oleh anak Malaysia, Luis Jee Ah Wee di mana edisi penganjuran pertama pada tahun 1997 telah disertai oleh 6 pasukan antarabangsa ketika itu.
Sehingga kini penganjuran ini telah menjadi salah satu siri perlumbaan jentera lasak pacuan empat roda paling mencabar di pentas dunia yang dijenamakan sebagai RFC Global Series telah menjelajah di beberapa negara di seluruh dunia seperti Itali, China, India, Rusia dan Australia.
Seterusnya Malaysia yang melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan negeri Selangor menjadi destinasi terakhir untuk menutup kalendar perlumbaan musim ini di mana dijadualkan untuk berlangsung pada 28 November sehingga 10 Disember pada akhir tahun ini.