MASOC PERKUKUH KOMUNIKASI DIGITAL MENUJU SUKAN SEA 2027

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari(dua dari kiri) bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol(tiga dari kiri) sewaktu menyempurnakan pelancaran laman web Sukan SEA 2027. Foto – Facebook.com/SEAGamesMalaysia202

KUALA LUMPUR – Persiapan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 pada 2027 memasuki satu lagi fasa apabila portal rasmi kedua-dua temasya itu dilancarkan sebagai pusat rujukan digital bagi menyalurkan maklumat kepada masyarakat dan semua pihak berkepentingan.

Portal www.seagamesmalaysia2027.org yang dibangunkan Sekretariat Malaysia SEA Games Organising Committee 2027 (MASOC 2027) itu dilancarkan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari dalam satu majlis di Media Corner Sekretariat MASOC, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, semalam.





Platform berkenaan diwujudkan bagi memudahkan orang ramai mengikuti perkembangan persiapan dan penganjuran temasya, selain memperluas capaian maklumat rasmi kepada atlet, pegawai, kontinjen, persatuan sukan, media serta sukarelawan.

Menurut Mohammed Taufiq, penyampaian maklumat yang pantas, tepat dan mudah diakses penting bagi memastikan masyarakat sentiasa mengikuti perkembangan sukan negara, khususnya menjelang penganjuran dua temasya utama di rantau ASEAN itu.

Portal rasmi Sukan SEA 2027 menjadi penghubung antara penganjur dengan masyarakat dalam menyalurkan perkembangan terkini menjelang temasya.

Beliau turut menegaskan bahawa Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 bukan hanya tertumpu kepada pencapaian atlet serta kutipan pingat, sebaliknya perlu menjadi wadah penyatuan masyarakat dan memperkukuh semangat kesukanan.

Penganjuran kedua-dua temasya itu juga diharap mampu meninggalkan legasi positif terhadap pembangunan sukan negara, selain memberi impak kepada sektor ekonomi, pelancongan, belia dan hubungan serantau.

MASOC 2027 memaklumkan pembangunan portal berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa dengan peringkat awal memberi tumpuan kepada penyediaan maklumat asas temasya, perkembangan persiapan, pengumuman rasmi serta kandungan informatif.

Menjelang temasya, fungsi portal akan dipertingkatkan merangkumi jadual pertandingan, lokasi venue sukan, penyertaan kontinjen, keputusan rasmi, berita dan hebahan semasa serta maklumat berkaitan sukarelawan.

Portal itu juga akan berperanan sebagai platform dokumentasi dan rujukan digital selepas temasya berakhir, sekali gus memastikan maklumat berkaitan penganjuran dapat diakses secara berterusan.

Inisiatif berkenaan mencerminkan usaha MASOC 2027 memanfaatkan teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan komunikasi dan ketelusan penyampaian maklumat sepanjang persiapan Malaysia menjadi tuan rumah.

Selain masyarakat tempatan, platform itu turut dijangka memperluas capaian maklumat kepada khalayak antarabangsa serta membantu memperkukuh imej Malaysia di rantau ASEAN.

Orang ramai, peminat sukan dan semua pihak berkepentingan boleh mengakses portal www.seagamesmalaysia2027.org untuk mendapatkan maklumat serta perkembangan terkini berkaitan Sukan SEA 2027.

YOUTUBE - PENYU SUKAN

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

KALENDAR SUKAN

november, 2026

13novalldayGRAND FINAL PGT JUNIOR MEDAL

27novalldayTERENGGANU SURF FESTIVAL 2026

MENGENAI KAMI

Penyu Sukan adalah sebuah entiti agensi berita sukan subsidiari kepada GOMBUGDOTNET (Suruhanjaya Syarikat Malaysia – TR0109982-D) memfokuskan berita perkembangan atlet, pasukan mahupun persatuan dan sebarang penganjuran acara sukan tempatan.

Hubungi kami: sukan@penyusukan.com

TINGKAT 1, TERENGGANU DIGITAL 1303(TD1303),
JALAN SULTAN ZAINAL ABIDIN,
20000 KUALA TERENGGANU,
TERENGGANU DARUL IMAN.

X