

Momentum kemenangan pertama di tempat lawan minggu lalu tidak menjamin laluan mudah buat Terengganu apabila mereka bakal berdepan cabaran lebih besar menentang Kelantan dalam aksi kedua peringkat kumpulan Piala Agong di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Terengganu pada Sabtu ini.
Kelantan hadir dengan reputasi besar selepas mencipta kejutan menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM), juara bertahan tiga musim berturut-turut, dengan keputusan 26-24 pada perlawanan pembukaan. Kejayaan itu meletakkan pasukan pelawat sebagai pencabar utama dalam kumpulan B.
Ketua jurulatih Terengganu, Hafiizh Zainal, mengakui kemenangan tipis minggu lalu tidak cukup meyakinkan kerana masih banyak kesilapan mudah dilakukan pemain. Beliau menekankan aspek komunikasi dan disiplin pasukan sebagai fokus utama latihan menjelang perlawanan pertama di laman sendiri musim ini.


“Selaku tuan rumah, tekanan semakin bertambah selepas Kelantan menewaskan juara bertahan. Namun misi kami tetap jelas — untuk menang di laman sendiri,” kata Hafiizh yang pertama kali menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih di pentas Piala Agong.
Setakat ini, Terengganu dan Kelantan berkongsi tiga mata di tangga teratas kumpulan B, manakala Wilayah Kuala Lumpur di tempat ketiga dan PDRM di kedudukan terakhir. Dalam kumpulan A pula, Johor dan Negeri Sembilan sama-sama mengutip tiga mata untuk berada di puncak, diikuti ATM, Kedah dan Putrajaya.

















