Tanggal 25 Disember 2021 menjadi tarikh sejarah yang tidak akan dilupakan oleh sesiapa khususnya pengiat-pengiat mahupun barisan atlet ragbi negeri Terengganu setelah menerima kejutan berita pemergian ketua jurulatih, Izaimi Zainuddin yang telah pergi mengadap Ilahi pada jam 0445 petang Sabtu.
Sesungguhnya pemergian Allahyarham yang lebih mesra dikenali sebagai ‘Cikgu Mie’ dikalangan barisan atlet ragbi negeri ini yang sebahagian besarnya merupakan anak didiknya dan juga dikenali sebagai ‘Bai’ dikalangan arena ragbi tanah air memberi impak yang besar buat setiap insan yang mengenali beliau.
Menurut Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT), Amir Amri Muhammad berkata Allahyarham telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur(HKL) pada Selasa lepas untuk menjalani pembedahan di bahagian keronkong. Setelah selesai pembedahan, tahap kesihatan arwah semakin merosot berikutan jangkitan kuman sehingga terpaksa menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi(ICU) HKL selama dua hari sebelum meninggalkan kita semua.
Jenazah Allahyarham telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara hari ini di mana sebahagian besar penggiat-penggiat ragbi bersama barisan pemain sanggup menempuh perjalanan jauh untuk hadir memberi penghormatan terakhir.
“Sudah tentu kehilangan beliau sebagai ketua jurulatih bagi program sukan ragbi SUKMA ianya sesuatu yang sangat dirasai kehilangnya kerana kita menyasarkan pungutan pingat dan ketika ini sukan ragbi berada di landasan yang begitu baik. Baru-baru ini baru selesai penganjuran kejohanan ragbi yang telah diadakan di Gong Badak dan sudah tentu kita agak terasa kehilangan dan sesuatu yang agak terkesan pada sukan ragbi.
InsyAllah kita yakin dengan asas yang telah dibina oleh Allahyarham itu ia dapat kita kurangkan rasa kehilangan. InsyAllah kita yakin. Jadi saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham kepada balu dan semua anak-anak Allahyargam dan mudah-mudahan Allah Ta’ala menempatkan beliau di kalangan para aulia dan solihin. InsyAllah.”, ujar Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah yang ditemui PenyuSukan.com
Allahyarham yang telah dilahirkan pada 1 Julai 1973 di Tampin, Negeri Sembilan juga merupakan seorang guru di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Terengganu (MRSM KT) amat dikenali dan dihormati sepenuhnya sebagai insan yang berkomited tinggi sanggup berhujan berpanas dalam sebarang program pembangunan sukan ragbi di negeri Terengganu.
Untuk rekod, sesungguhnya jasa-jasa besar Allahyarham tidak hanya dalam lipatan sejarah pembangunan sukan ragbi negeri Terengganu malah di peringkat kebangsaan sewaktu membimbing pasukan remaja 15 sepasukan dan 7 sepasukan negara bermula pada tahun 2011 sehingga 2017. Setelah itu Allahyarham memberi fokus sepenuhnya untuk membimbing skuad SUKMA bagi negeri Terengganu di mana berjaya mara ke pusingan akhir pada SUKMA Perak 2018 untuk merangkul pingat perak setelah dinafikan oleh Kelantan.
Allahyarham Izaimi Zainuddin juga merupakan watak penting selaku ketua jurulatih di sebalik kejayaan Terengganu pada tahun 2019 yang melakar sejarah untuk pertama kali membawa Piala Agong yang merupakan piala kejuaraan ragbi paling prestij dalam negara setelah menewaskan Sabah selaku juara bertahan.
Kehilangan ini juga turut dirasai oleh rakan-rakan media oleh kerana keakraban yang telah terjalin sejak sekian lama untuk membantu pengamal media dalam membuat liputan sukan ragbi tanah air. Terima kasih di atas segalanya dan semoga rohnya dicucuri rahmat juga ditempatkan dikalangan orang beriman. Al Fatihah dari PenyuSukan.