Yakult Buka Peluang TFC Ke Jepun


Klik untuk lihat video – https://youtu.be/d-_wgtvTnDs

Pemain-pemain muda bola sepak negeri Terengganu bakal menerima pendedahan program latihan bola sepak di negara Jepun hasil kerjasama yang telah dimenterai oleh Terengganu FC(TFC) bersama Yakult Malaysia Sdn Bhd.

Perkara ini telah dizahirkan oleh Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada sewaktu hadir ke majlis mementerai perjanjian kerjasama bernilai RM 380 ribu bersama Terengganu FC bagi musim 2021 yang telah berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 21 Januari 2021.

Dari kiri – Hiroshi Hamada(Pengarah Urusan Yakult Malaysia) dan Mohd Zuki Deraman(Pegawai Media Yakult Malaysia) sewaktu hadir ke majlis mementerai perjanjian kerjasama bernilai RM 380 ribu bersama Terengganu FC bagi musim 2021 yang telah berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 21 Januari 2021.

“Setelah perbincangan bersama CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) dan (Ketua Pegawai Operasi) TFC Sdn Bhd, dimaklumkan yang TFC juga turut memfokuskan program pembangunan bola sepak akar umbi di negeri ini. Oleh sedemikian maka kerjasama ini terjalin di mana kami turut ingin memberi peluang kepada pemain-pemain muda negeri ini untuk menjalani latihan di Jepun. Hala tuju ini juga merupakan misi buat syarikat Yakult untuk menyumbang dalam idustri bola sepak tanah air khususnya program pembangunan bola sepak di peringkat generasi muda.

Dari kiri – Pengarah Urusan LK Properties – Amirul Ikhwan Mazlan, Pengarah Urusan Yakult Malaysia – Hiroshi Hamada dan Pegawai Media Yakult Malaysia – Mohd Zuki Deraman sewaktu hadir ke majlis mementerai perjanjian kerjasama bernilai RM 380 ribu bersama Terengganu FC bagi musim 2021 yang telah berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 21 Januari 2021.

“Sama ada kita bawa semua pemain-pemain muda ke Jepun atau kita bawakan jurulatih dari Jepun ke Terengganu.. atau paling kurang seorang pemain dari Terengganu akan ke sana..bergantung pada situasi. Kami berharap situasi pandemik COVID-19 akan segera berakhir agar perancangan ini dapat dilaksanakan..”, ujar Hiroshi Hamada kepada PenyuSukan.com

Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd Ab Rasid sewaktu menyempurnakan majlis mementerai perjanjian kerjasama bernilai RM 380 ribu bersama Terengganu FC bagi musim 2021 yang telah berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 21 Januari 2021.

Perkembangan ini disambut baik oleh Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd Ab Rasid yang menyifatkan ianya satu petanda positif bagi jangka masa panjang dalam pembangunan bola sepak yang bermula dari peringkat akar umbi negeri Terengganu.

Selain memperkasakan program pembangunan bola sepak akar umbi di negeri ini, Yakult juga turut akan menyediakan pentas selaku penganjur buat pasukan-pasukan seluruh negara bagi beraksi dalam beberapa cabaran seperti Yakult Global Cup dan Yakult Asian Dream Team Project.

TFC-Yakult Jalin Kerjasama Bernilai RM380 Ribu


Selepas menjalinkan kerjasama strategik bersama Kelab Bola Sepak Kelantan United pada Disember lalu, pengeluar minimum probiotik terkemuka dunia, Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd, sekali lagi membuktikan mereka serius dalam membangunkan dan menyumbang dalam industri bola sepak Malaysia dengan menjalinkan kerjasama bersama pasukan Liga Super Malaysia, Terengganu FC.

Persetujuan kerjasama ini dicapai hasil daripada perbincangan pihak Yakult Malaysia yang diwakili oleh Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada bersama Pengurusan Terengganu FC yang menyaksikan nilai tajaan sebanyak tiga ratus lapan puluh ribu (RM 380,000.00) dan beberapa perancangan program-program pembangunan bola sepak akar umbi bersama Terengganu FC.

Dari kiri – Pegawai Media Yakult Malaysia Mohd Zuki Deraman, Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd(TFC Sdn Bhd) Ab Rasid Jusoh dan Ketua Pegawai Operasi TFC Sdn Bhd Mohd Sabri Abas setelah mementerai perjanjian kerjasama bernilai RM 380 ribu bagi musim 2021 dalam satu majlis yang telah berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 21 Januari 2021. Kredit Foto – Facebook.com/footballclubterengganu

Yakult Malaysia menerusi Pengarah Urusannya, Hiroshi Hamada berkata, ‘Selaras dengan falsafah korporat Yakult iaitu menyumbang kepada kesihatan dan kebahagiaan orang ramai di seluruh dunia, Yakult sememangnya amat menyokong kepada segala program dan aktiviti yang dapat membina kesihatan yang baik selain daripada mewujudkan persekitaran yang baik.’, ujar Hamada.

Mengulas mengenai pemilihan Terengganu FC bagi kerjasama ini, Hamada berkata, ‘Terengganu FC telah mempamerkan prestasi yang baik dan membanggakan pada tahun sebelumnya hingga menyaksikan mereka layak untuk beraksi pada Kejohanan Piala Asia 2021. Ini membuktikan pasukan ini berkualiti dan mempunyai misi besar pada musim ini dan Yakult mahu menjadi sebahagian kecil yang menyumbang kepada kejayaan pasukan ini pada masa akan datang’.

Selain itu, Terengganu FC juga mempunyai sistem pembangunan bola sepak akar umbi yang baik. Bermula dari peringkat umur 7 tahun hingga peringkat umur 21 tahun, Terengganu FC sememangnya telah membuktikan pembangunan bola sepak di negeri Terengganu berjaya menghasilkan pemain-pemain yang berkualiti. Buktinya, beberapa tahun kebelakangan ini, pasukan bawah 19 tahun dan 21 tahun mereka sering berada dalam kedudukan tiga teratas bagi keduadua kejohanan peringkat umur tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd(TFC Sdn Bhd) Ab Rasid Jusoh(tengah) sewaktu majlis mementerai perjanjian kerjasama di antara Yakult Malaysia bernilai RM 380 ribu bagi musim 2021 dalam satu majlis yang telah berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 21 Januari 2021. Kredit Foto – Facebook.com/footballclubterengganu

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Terengganu Football Club Sdn Bhd menyifatkan kerjasama dengan Yakult adalah satu permulaan yang baik untuk musim ini. Ianya juga satu petanda baik untuk kerjasama jangka masa panjang dalam pembangunan akar umbi bola sepak di Negeri Terengganu.

“ Kerjasama dengan pihak Yakult Malaysia hari ini adalah satu permulaan yang baik bagi TFC bagi menghadapi saingan liga musim ini. Selain dari itu, ianya akan dapat membawa faedah yang besar kepada pembangunan bola sepak akar umbi di Terengganu ini melalui program-program yang akan di laksanakan bersama nanti. Pihak TFC sangat menghargai usaha ini dan berterima kasih kepada pihak
Yakult atas sokongan ini”.

Reaksi Presiden PBSNT: TFC-UniSZA Jalin Kerjasama


Klik untuk lihat video – https://youtu.be/3-t-4wQNfqc

Reaksi Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu merangkap Menteri Besar Negeri Terengganu Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sewaktu selesai majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Terengganu FC Sdn. Bhd.(TFC Sdn Bhd) dan Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZA) yang telah berlangsung di Wisma Darul Iman pada 6 Januari 2021.

Kerjasama bagi tempoh selama 7 tahun yang melibatkan 10 bidang utama termasuk akan membenarkan Terengganu FC(TFC) menggunakan infrastruktur dan fasiliti sukan yang dimiliki oleh UniSZA di samping membantu perkembangan akademik dan penguasaan bahasa Inggeris kepada pelatih akademi.

Baca sepenuhnya di – http://penyusukan.com/v1/tfc-unisza-jalin-kerjasama-perkukuh-pasukan/

TFC-UniSZA Jalin Kerjasama Perkukuh Pasukan

Kerjasama termenterai di antara Terengganu FC Sdn. Bhd. dan Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZA) bagi tempoh selama 7 tahun tanpa melibatkan sebarang kos bagi kedua-dua pihak.

Terengganu FC Sdn. Bhd.(TFC Sdn Bhd) selaku pemegang taruh utama pasukan bola sepak negeri ini telah mementerai perjanjian kerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZA) dalam rangka untuk memperkukuhkan kualiti pasukan bola sepak dalam mengharungi kempen Liga Malaysia.

Kerjasama bagi tempoh selama 7 tahun yang melibatkan 10 bidang utama termasuk akan membenarkan Terengganu FC(TFC) menggunakan infrastruktur dan fasiliti sukan yang dimiliki oleh UniSZA di samping membantu perkembangan akademik dan penguasaan bahasa Inggeris kepada pelatih akademi.

UniSZA melalui Fakulti Sains Kesihatan dan Fakulti Pengurusan Perniagaan menjadi pemegang taruh untuk perlaksanaan di mana setiap hasil yang dilakukan akan dikongsi bersama pasukan bola sepak ini. Selain menawarkan kepakaran sains sukan, kejuruteraan dan perubataan, UniSZA juga turut akan bekerjasama dalam pemasaran dan penjanaan pendapatan buat entiti bola sepak yang baru diswastakan ini. Selain TFC, UniSZA juga turut pernah menjalinkan kerjasama berkaitan bersama Majlis Sukan Negara(MSN) dan Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) sejak 2016.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu merangkap Menteri Besar Negeri Terengganu Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sewaktu hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZA) yang telah berlangsung di Wisma Darul Iman pada 6 Januari 2021.

“Ianya satu situasi memihak kepada semua pihak, UniSZA sendiri memperolehi kemahiran-kemahiran dan data-data tertentu yang sangat berguna kepada komuniti akademik termasuk para penyelidik dan pelajar itu sendiri. Pendekatan ini boleh menjadi bahan rujukan dalam bentuk penulisan dan artikel-artikel akademik yang dihasilkan. Pada masa yang sama sudah tentu pendekatan secara saintifik ini amat berguna kepada pasukan bola sepak negeri Terengganu. Sebenarnya pendekatan ini telah lama diwujudkan melibatkan sukan berprestasi tinggi di luar negara.” ujar Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada PenyuSukan.com

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara kedua-dua pihak ini yang telah berlangsung di Wisma Darul Iman telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn. Bhd., Ab Rasid Jusoh manakala UniSZA diwakili Naib Canselor UniSZA Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Berikut maklumat yang disediakan kepada media oleh penganjur:

Dari kiri – Ketua Pegawai Operasi TFC Sdn. Bhd Mohd Sabri Abas, Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn. Bhd Ab Rasid Jusoh, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Naib Canselor UniSZA Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Exco Sukan Terengganu YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pendaftar UniSZA Ismail Musa. Kredit Foto – https://www.trdi.my/

Q&A BERSAMA YAB MENTERI BESAR
TETAMU: YAB DR SAMSURI MOKHTAR, PRESIDEN PBSNT
TEMPAT: WISMA DARUL IMAN
TARIKH: 6 JANUARI 2021
WAKTU: 11:30 PAGI
PERKARA: MEMORANDUM ANTARA TFC DAN UNISZA

1.Bagaimanakah boleh tercetusnya idea untuk menjalinkan kerjasama dan terhasilnya memorandum ini?
Cetusan ini hadir setelah idea oleh YAB Presiden dalam usaha untuk meningkatkan kualiti dari sudut teknikal, pengurusan dan nilai komersial kelab ke peringkat lebih tinggi selari dengan pelan tindakan yang telah dirancang bagi meluaskan lagi jaringan Kerjasama bagi memastikan kelab mampu untuk maju dan berdaya saing dalam era perubahan yang semakin mencabar lebih-lebih lagi setelah proses penswastaan yang telah disarankan oleh Malaysia Football League (MFL) menjadi Terengganu FC Sdn Bhd.

2.Apakah objektif yang disasarkan oleh TFC Sdn Bhd setelah memilih UniSZA untuk menjalinkan kerjasama ini?
Cadangan kerjasama ini telah disambut baik oleh pihak UniSZA dan dalam tempoh 7 tahun kersama yang telah ditetapkan, UniSZA yang telah berkembang dan memiliki 4 kampus (Gong Badak, Tembila, Kampus Perubatan, Kampus Antarabangsa) dilihat mempunyai beberapa kriteria khidmat sokongan yang mampu untuk menambah baik kecemerlangan pendidikan bagi warga UniSZA dan juga perkembangan TFC Sdn Bhd. Hal ini juga bersesuaian dengan nilai teras UniSZA yang antaranya menekankan aspek kepimpinan, keusahawanan, transformasi dan juga inovasi.

3.Apakah kepentingan yang diperoleh menerusi memorandum ini kepada TFC Sdn Bhd?
Terdapat hampir 10 bidang kerjasama yang telah dimetrai kedua-dua pihak antaranya ialah UniSZA telah pun bersetuju untuk membenarkan penggunaan infrastruktur dan fasiliti sukan yang mereka miliki dan juga membantu perkembangan para pelatih akademi dari sudut akademik dan penguasaan Bahasa Inggeris. Pembangunan bolasepak TFC juga akan disokong menerusi kepakaran dari bidang saintis sukan, kejuruteraan dan perubatan di UniSZA. Selain itu beberapa lagi kepakaran yang telah ditawarkan oleh UniSZA adalah dari sudut pemasaran, penjanaan pendapatan, psikologi, nutrisi, fisioterapi dan juga analisis pencapaian.

4.Apakah manfaat yang diperolehi UniSZA, apabila menjalinkan kerjasama dalam MoU bersama TFC ini?
Bagi pihak UniSZA pula, TFC Sdn Bhd telah bersetuju akan membuka ruang dan menyediakan peluang bagi para pelajar mereka di bidang berkaitan untuk melakukan Latihan Industri di bawah penyeliaan TFC Sdn Bhd. Ruang yang tersedia ini semestinya amat dinantikan oleh para pelajar untuk mengalami sendiri bagaimanakah cara sebuah organisasi swasta yang berkaitan dengan sukan bola sepak itu berfungsi. Tambahan pula, dengan kewujudan kerjasama ini, hal-hal yang berkaitan dengan program pembangunan dan pengkomersialan sukan bolasepak di UniSZA akan turut dibantu oleh TFC Sdn Bhd.

5.Apkah harapan dan pesanan YAB setelah kejayaan usahasama di antara TFC dan UniSZA ini?
Saya berharap dengan kerjasama yang telah disepakati ini akan dapat membuka lebih ruang bagi kedua-dua pihak iaitu TFC Sdn Bhd dan UniSZA untuk maju ke peringkat yang lebih baik dan dikenali secara lebih meluas di pringkat global dalam visi yang sama untuk memberikan lebih nilai kepada masyarakat setelah mengambil kira sukan bolasepak merupakan sukan nombor 1 di Malaysia secara amnya. Mungkin juga dengan usahasama ini akan mampu untuk memberikan contoh yang terbaik kepada masyarakat umum bahawa bidang akademik dan sukan perlu bergerak seiringan bagi mencipta kejayaan yang lebih cemerlang.

TFC Sdn Bhd Perhalusi Pemilihan Pengarah Teknikal


Klik untuk lihat video – https://youtu.be/4hQ0M4_cmao

Menjelang pembukaan tirai kalendar sukan bola sepak musim baharu tidak lama lagi, Terengganu FC Sdn. Bhd. (TFC) selaku pemegang taruh utama skuad Penyu kini dalam proses fasa akhir penilaian untuk melantik Pengarah Teknikal pasukan.

Ketua Pegawai Eksekutif CEO Terengganu FC Sdn Bhd Ab Rasid Jusoh

“Untuk pengarah teknikal kita ada cadangan dua tiga nama sebagai contoh Haji Man Ibrahim, cuma kita menunggu jawapan dari pengarah teknikal ini untuk..tengok keadaan..sepatutnya kita dah lantik pengarah teknikal sebelum pertengahan bulan dua belas ini.”, ujar Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC Sdn. Bhd. Ab Rasid Jusoh kepada PenyuSukan.com

Bekas jurulatih skuad kebangsaan yang juga anak jati negeri ini, Abdul Rahman Ibrahim di antara calon-calon akhir yang telah dikenal pasti layak untuk memegang posisi itu. Beliau yang kini berusia 74 tahun turut pernah membimbing skuad penyu pada 1983, 1998 dan 2014 dengan pencapaian terbaik mara ke pentas akhir Piala Malaysia pada 1998.

Penampilan terkini bekas jurulatih bola sepak Terengganu Abdul Rahman Ibrahim yang kini berusia 74 tahun (lahir 13 April 1946) sewaktu hadir ke Majlis Jalinan Kasih Lagenda Bola Sepak Negeri Terengganu yang telah berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 31 Oktober 2020.

Manakala sewaktu menggalas tanggungjawab selaku ketua jurulatih kebangsaan, pada Sukan SEA 1987 berjaya merangkul pingat perak dan membawa pasukan ke tempat ketiga bagi Piala Tiger pada tahun 2000 yang kini dikenali sebagai Piala Federasi Bola Sepak ASEAN (AFF).

Walaubagaimanapun TFC perlu segera melantik secara rasmi Pengarah Teknikal memandangkan pasukan perlu dipersiap sebelum perlawanan pusingan kelayakkan pertama kejohanan Piala AFC 2021 yang dijadualkan bakal bermula pada Januari depan sebelum melabuhkan tirai pada November 2021.

Penyu Ikat ‘Mickey’ Ke Pentas AFC

Pemain kelahiran Seberang Jaya, Pulau Pinang; Muhammad Faisal Abdul Halim(tengah) berusia 22 tahun(lahir pada 7 Januari 1998) merupakan produk Sekolah Sukan Negeri Pulau Pinang SMK Mutiara Impian merupakan pemain pertama yang mengikat kontrak bersama Terengganu FC bagi musim 2021. Kredit Foto – Terengganufc.com

Penyerang muda, Muhammad Faisal Abdul Halim menjadi pemain sulung yang diikat untuk bersama Terengganu FC(TFC) bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia(Liga M) musim hadapan. Pemain kelahiran Pulau Pinang yang lebih dikenali sebagai ‘Mickey’ menjadi pilihan pengendali TFC, Nafuzi Zain bagi percaturan selama dua musim bersama pasukan. Mickey juga bakal menyarung jersi bernombor ‘7’ yang ditinggalkan oleh bekas ketua pasukan TFC, Lee Andrew Tuck.

Bekas pemain skuad Bawah 23 tahun kebangsaan itu mula membuat penampilan sulung di pentas Liga M bersama Pulau Pinang pada 2015 sebelum berhijrah ke Pahang setahun kemudian. TFC menjadi pasukan ketiga buat pemain berusia 22 ini setelah 5 tahun bersama Pahang. Sebelum itu dilaporkan pemain ini juga telah menolak tawaran empat pasukan lain termasuk bekas pasukannya, Pahang.

Malah bukan faktor gaji menyebabkan penyerang muda ini menolak ke semua tawaran yang diterima sebaliknya ingin bersama TFC bagi merebut slot kesebelasan utama di pentas Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Piala AFC) nanti.

Andai kata pemain muda ini berjaya mencipta sensasi bersama pasukan di pentas Asia ini, sesungguhnya pilihan untuk bersama TFC pada musim ini bakal menjadi penanda aras terbaik bagi karier bola sepaknya sekaligus memperkukuhkan kedudukan untuk berada di dalam pasukan kebangsaan.

‘Graduan AMD’ – Terengganu FC Tidak Gelojoh

Gergasi bola sepak pantai timur, Terengganu FC (TFC) mengambil pendekatan berbeza untuk tidak gelojoh dalam ‘memborong’ pelatih-pelatih Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari(AMD) seperti mana pasukan-pasukan lain menjelang pembukaan musim hadapan.

Gergasi bola sepak pantai timur, Terengganu FC (TFC) mengambil pendekatan berbeza untuk tidak gelojoh dalam ‘memborong‘ pelatih-pelatih Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari(AMD) seperti mana pasukan-pasukan bola sepak lain menjelang pembukaan musim hadapan. Tidak menafikan ‘graduan-graduan’ generasi kedua AMD mempunyai kualiti yang diidamkan oleh setiap pasukan namun nilai harga yang diletakkan menjadi timbang tara yang perlu diperhalusi sebaik mungkin.

TFC yang kini dalam langkah-langkah penjimatan bagi mengharungi musim hadapan sudah tentu akan memastikan setiap perbelanjaan pasukan bola sepak diteliti dengan sebaik mungkin. Situasi ini secara tidak langsung memanfaatkan sepenuhnya produk pembangunan bola sepak akar umbi oleh pemegang-pemegang taruh tersedia ada untuk beraksi di pentas tertinggi.

Sudah pasti produk yang dihasilkan oleh Sekolah Sukan Malaysia dan Sekolah Sukan Negeri sewajarnya diberi perhatian di mana pemegang taruh ini juga turut menjadi sebahagian dari Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP). Selain dari produk-produk muda yang perlu digilap ini, Terengganu FC juga turut mempunyai 3 pasukan ‘feeder’ yang masih dibarisi sebahagian besar oleh pemain-pemain muda berkualiti untuk diserap dalam pasukan utama nanti. Malah pemain-pemain pasukan ‘feeder’ ini juga sebahagian besar lahir dari program-program pembangunan bola sepak tempatan.

Terdahulu menurut laporan media tempatan, graduan generasi kedua AMD ini menjadi rebutan pasukan JDT dan Selangor untuk persiapan di musim hadapan. Pada musim lalu Selangor menawarkan gaji berharga sekitar RM2,000 sehingga RM5,000 bagi setiap seorang setelah memborong seramai 28 pemain yang rata-rata berusia 18 tahun dari akademi tersebut. Walaupun sedemikian di mana sebelum ini terdapat pihak yang mencadangkan setiap graduan AMD ini mempunyai ‘tanda harga‘ bermula dari USD 2,000.00.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu Hishamuddin Abdul Karim.

“Kita ada pendirian yang berlainan di mana bukan kita tidak berhasrat untuk mengambil pemain-pemain daripada AMD tetapi kita tidak mahu meletak harga pasaran yang terlalu tinggi untuk mereka oleh kerana mereka masih muda dan tidak wajar kita meletakkan pada harga yang tinggi. Jadi pada kita di peringkat Terengganu, kita sudah mempunyai program pembangunan akar umbi yang cukup baik. Jika kita membayar harga yang tinggi untuk pemain AMD sudah pasti akan merosakkan pemain lain. Jadi buat masa ini jika yang daripada AMD itu pemain gred A, kita fokus pada gred B. InsyAllah kita akan bina pemain-pemain ini. Masing-masing ada hak untuk beraksi.”, ujar Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu Hishamuddin Abdul Karim.

Dialog Hala Tuju Bola Sepak Terengganu yang telah berlangsung di Hotel Permai, Kuala Terengganu pada 1 Disember 2020.

Beliau yang ditemui PenyuSukan.com sewaktu hadir ke program Dialog Hala Tuju Bola Sepak Terengganu bersama para penyokong negeri ini turut menjelaskan tiada halangan buat graduan AMD kelahiran negeri Terengganu untuk bersama pasukan lain. Situasi ini secara tidak langsung akan memberi semangat kepada pelatih-pelatih akar umbi yang kini berada dalam program pembangunan bola sepak negeri ini.

Terengganu FC Raih Tiket Piala AFC 2021

Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

Walaupun pembatalan saingan Piala Malaysia merencatkan sasaran piala musim ini buat Terengganu FC(TFC) yang telah mara ke pusingan suku akhir, namun pasukan ini tetap bertuah apabila layak mendapat slot ke kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan. TFC selaku tempat ke-3 dalam saingan Liga Super musim ini layak secara automatik berikutan pembatalan saingan Piala Malaysia ini yang sekaligus memadam peluang pasukan-pasukan lain untuk merebut tiket ke Piala AFC 2021 nanti.

Perkara itu telah disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan bersama pengumuman pembatalan Piala Malaysia sebelum ini. TFC di bawah kendalian Nafuzi Zain sebagai pendatang baharu kejurulatihan di pentas Liga Super menyifatkan bahawa layak ke pentas asia ini merupakan hadiah paling bermakna buat pasukan dan penyokong.

“Kemenangan ini adalah atas usaha setiap pemain saya.” – Nafuzi Zain. Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

“Bagi AFC ini saya macam memberi penghargaan terima kasih lah kepada MFL sebab memberi slot kepada Terengganu sebab itulah macam sasaran daripada kelab terutama dari segi penyokonglah yang ingin kita ke AFC dan target pemain untuk layak ke AFC. Penghargaan yang untuk MFL memberi peluang yang baik untuk kelab dan pemain.”, ujar Nafuzi Zain yang telah membimbing TFC sejak 2019.

Dalam perkembangan lain, Nafuzi berkata beliau masih menunggu keputusan daripada pihak pengurusan TFC Sdn Bhd berhubung kontraknya yang bakal tamat hujung bulan ini.

Tirai kempen kejohanan Piala AFC 2021 edisi ke-18 dijadualkan bakal bermula pada Januari depan dengan perlawanan pusingan kelayakkan pertama sebelum melabuhkan tirai pada November 2021.

Piala Malaysia: TFC Buka Tirai Di Laman Sendiri


Klik untuk lihat video – https://youtu.be/s8QeQzCKmRI

Terengganu FC(TFC) optimis untuk mengharapkan tuah beraksi di laman sendiri tanpa kehadiran penyokong dalam aksi pembukaan tirai kempen kejuaraan Piala Malaysia 2020 untuk bertemu Petaling Jaya City FC(PJ City FC) pada sabtu ini (7 November 2020).

Tempoh rehat yang cukup panjang setelah menamatkan kempen Liga Super yang lalu memberi kelebihan percaturan buat skuad kendalian Nafuzi Zain. Malah buat ketua jurulatih ini juga turut mempunyai pilihan gabungan para pemain yang terbaik daripada pasukan TFC 1 dan TFC 2 yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dalam format perlawanan kalah mati ini.

Berikutan pandemik COVID-19 yang masih belum bernoktah, saingan Piala Malaysia musim ini menyaksikan tiada lagi saingan peringkat kumpulan mahupun aksi timbal balik sebagaimana musim-musim terdahulu.

Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu pada saingan awal Liga Super musim ini di mana Terengganu FC selaku pasukan pelawat berjaya menewaskan PJ City FC berkesudahan 2 gol tanpa balasan. Terengganu FC telah menamatkan kempen Liga Super pada musim ini untuk berada di tangga kedudukan ke-3 liga manakala PJ City FC berada di tangga ke-7.

Mohd Nafuzi Mohd Zain selaku ketua jurulatih pasukan bola sepak Terengganu FC setelah mengambil alih tugasan daripada Irfan Bakti sejak 2019.

“Kalah mati ini adalah kedua-dua pasukan mempunyai peluang. PJ City pun di tangga ke 7 Liga Super tidak jauh beza dengan kita. Maknanya harus manfaatkan peluang yang ada, elakkan melakukan kesilapan. Satu sahaja kalah mati, memang setiap perlawanan itu ibarat perlawanan akhir.”; ujar Mohd Nafuzi Mohd Zain selaku ketua jurulatih Terengganu FC kepada PenyuSukan.com

Pada musim ini sebanyak 15 pasukan layak untuk merebut kejuaraan Piala Malaysia 2020 yang menghimpunkan 10 pasukan Liga Super dan 5 pasukan Liga Premier. Berikutan situasi semasa pandemik COVID-19, Sabah yang turut layak terpaksa akur untuk terus melupakan kempen kejuaraan musim ini berikutan tidak mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara(MKN). Berikutan itu, Sabah terpaksa memberi tiket percuma kepada Kuala Lumpur untuk terus mara ke pusingan suku akhir.

Pusingan pertama kejuaraan Piala Malaysia 2020 dijadualkan berlangsung bermula pada 6 hingga 8 November ini sebelum menutup tirai kempen dengan perlawanan akhir pada 22 November depan.

Hala Tuju Terengganu Football Club Sdn Bhd


Klik untuk lihat video – https://youtu.be/TZxc_KAB00Q

Ulasan yang disampaikan Ab Rasid Jusoh selaku Ketua Pegawai Eksekutif(CEO) tentang hala tuju Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd yang baharu ditubuhkan untuk memenuhi syarat wajib saingan pasukan di musim hadapan mula mengorak langkah dengan merangka ekosistem sukan bola sepak secara menyeluruh bagi negeri Terengganu. Penswastaan pasukan bola sepak negeri ini yang tidak hanya memfokuskan untuk kejuaraan, malah turut perlu melalui proses transfomasi ekosistem bola sepak moden melalui suntikan penjenamaan entiti itu sendiri.

Baca sepenuhnya di – http://penyusukan.com/v1/tfc-rangka-ekosistem-bola-sepak/

Majlis Jalinan Kasih Lagenda Pemain Bola Sepak Negeri Terengganu

Majlis Jalinan Kasih Lagenda Pemain Bola Sepak Negeri Terengganu yang telah dicetus oleh Nor Zaidi Mohamed melalui Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu kepada Ab Rasid Jusoh telah dilantik selaku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd berjaya menarik lebih daripada 70 lagenda bola sepak negeri ini.

Majlis yang telah berlangsung ringkas namun penuh bermakna untuk merapatkan silaturahim sesama mereka telah berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 31 Oktober 2020.

TFC Rangka Ekosistem Bola Sepak

Galeri khas yang akan menempatkan segala infomasi berkaitan sejarah sukan bola sepak Terengganu akan diwujudkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dijangka mampu menjadi daya tarikan bagi sektor pelancongan sukan.

Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd yang baharu ditubuhkan untuk memenuhi syarat wajib saingan pasukan di musim hadapan mula mengorak langkah dengan merangka ekosistem sukan bola sepak secara menyeluruh bagi negeri Terengganu. Penswastaan pasukan bola sepak negeri ini yang tidak hanya memfokuskan untuk kejuaraan, malah turut perlu melalui proses transfomasi ekosistem bola sepak moden melalui suntikan penjenamaan entiti itu sendiri.

Meletakkan moto ‘Win Back Mission’ sebagai azimat yang perlu diterjemahkan oleh barisan pengurusan, dalam usaha untuk memperkukuhkan TFC sebagai jenama pasukan nombor satu di persada bola sepak negara. Selain tanggungjawab mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan di musim hadapan, entiti berstatus sendirian berhad ini juga kini sedang giat mengatur langkah bersama pemegang-pemegang taruh dalam usaha menjana pendapatan kepada pasukan yang menjadi keutamaan. Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang menjadi venue rasmi bagi TFC juga turut bakal menerima tambah nilai tersendiri di mana akan diwujudkan galeri khas yang bakal memberi impak pada sektor pelancongan sukan.

Majlis Jalinan Kasih Lagenda Bola Sepak Negeri Terengganu yang telah berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 31 Oktober 2020 menjadi detik penting permulaan Terengganu Football Club Sdn Bhd selaku entiti badan bola sepak negeri yang diswastakan bagi memenuhi syarat wajib saingan pasukan di musim hadapan.

Perancangan itu telah dizahirkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh pada satu majlis yang telah menghimpunkan bekas pemain -pemain bola sepak negeri ini di era 60an sehingga 2000. Program yang merapatkan hubungan silaturrahim dan berkongsi pandangan serta pengalaman dalam arena bola sepak juga turut menjadi serampang dua mata buat TFC untuk merencanakan program yang dirancang nanti.

Ab Rasid Jusoh telah dilantik selaku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd. bermula pada 26 Oktober 2020. Sebelum itu beliau juga pernah menjawat jawatan yang sama bagi mengemudi pasukan T-Team FC pada 2013 sehingga 2016.

“Perancangan pada masa akan datang kita akan buat stadium ini sebagai stadium tour macam Jeventus sebagai contoh dan sebagainya. Jadi kita tengok black and white ini sinonim dengan Jeventus. Jadi itulah sebabnya kita rasa walaupun kita tidak sampai peringkat JDT tapi kita berusaha ke arah supaya menjadikan stadium ini tempat himpunan anak muda dan sebagainya yang kita akan buat untuk menjana pendapatan TFC itu sendiri lah.”, berkata Ab Rasid Jusoh selaku Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd kepada PenyuSukan.com

CEO TFC Sdn Bhd – Ibarat Sirih Pulang Ke Gagang

Pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Sukan dari Universiti Curtin, Australia; Ab Rasid Jusoh merupakan Ketua Pegawai Eksekutif(CEO) pertama yang dilantik untuk menguruskan Terengganu Football Club Sdn Bhd. Kredit Foto – Facebook.com/footballclubterengganu

Perlantikan Ab Rasid Jusoh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sulung bagi menerajui Terengganu Football Club Sdn Bhd(TFC Sdn Bhd). yang baru ditubuhkan ibarah sirih pulang ke gagang di mana beliau sendiri merupakan ‘orang kuat’ yang mewarnai perkembangan sukan bola sepak di Terengganu. Pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Sukan dari Universiti Curtin, Australia ini juga merupakan bekas pemain bola sepak yang aktif sejak di zaman universiti sebelum secara serius menceburi bidang pengurusan kelab dan persatuan bola sepak.

Bermula selaku Ahli Majlis Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu bagi penggal 2006 sehingga 2008 kemudian kembali mendapat mandat sebagai Naib Presiden bagi penggal 2015 sehingga 2017. Sebelum itu di awal penubuhan pasukan T-Team FC, Ab Rasid Jusoh memperkemaskan pasukan selaku pengurus pasukan bagi penggal 2007 sehingga 2008 sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 2013 sehingga 2016. Untuk rekod sebelum meneruskan tugasan di TFC Sdn Bhd beliau juga merupakan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu yang telah banyak mencipta beberapa penanda aras baharu pelancongan di negeri ini.

TFC Sdn Bhd yang baharu daftarkan ini adalah untuk memenuhi syarat wajib saingan pasukan TFC di musim hadapan di mana entiti berstatus perniagaan ini mula mengorak langkah dengan merangka ekosistem sukan bola sepak secara menyeluruh bagi negeri Terengganu. Penswastaan pasukan bola sepak negeri ini yang tidak hanya memfokuskan untuk kejuaraan, malah turut perlu melalui proses transfomasi ekosistem bola sepak moden melalui suntikan penjenamaan entiti itu sendiri.

Manakala pasukan bola sepak Terengganu FC(TFC) kini akan bergerak sebagai sebuah kelab bola sepak profesional yang diuruskan oleh syarikat berstruktur korporat. Ini adalah merupakan permulaan bagi sesuatu yang baru khususnya dalam arena sukan bola sepak di negeri Terengganu. Ianya memerlukan kerjasama dari semua pihak dalam memastikan TFC bakal bergerak dengan langkah positif dengan berlandaskan pelan atur dan pelan tindakan yang telah dirancang untuk memastikan kelab ini dapat bersaing dan terus membangun maju dari tahun ke tahun.

Kejayaan dalam kejohanan semestinya menjadi keutamaan bagi semua pasukan bola sepak namun di TFC kini kita perlu mula membina penstrukturan pengurusan yang kukuh dari pelbagai sudut kerana itulah kunci untuk kejayaan bagi keseluruhan aspek dalam sesebuah pasukan bola sepak.

 

Ab Rasid Jusoh telah dilantik selaku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd. bermula pada 26 Oktober 2020. Sebelum itu beliau juga pernah menjawat jawatan yang sama bagi mengemudi pasukan T-Team FC pada 2013 sehingga 2016.

PROFIL AB RASID JUSOH
Penglibatan dalam sukan bola sepak

1989-1993 Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM)  -Pemain
1992 University Asian  – Pemain
1997 Majlis Kebajikan Dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia(MAKSAK) – Pemain
1988-1990 Kelab Bola Sepak UKM – Setiausaha
1990-1993 Kelab Bola Sepak UKM – Presiden

2006-2008 Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu(PBSNT) – Ahli Majlis
2015-2017 Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu(PBSNT) – Naib Presiden

2007-2008 T-Team FC – Pengurus Pasukan
2013-2016 T-Team FC – Ketua Pegawai Eksekutif

2020 – ~ Terengganu Football Club Sdn Bhd – Ketua Pegawai Eksekutif

Terengganu FC Kini Berstatus Sdn Bhd

Terengganu FC(TFC) kini merupakan entiti berstatus sendirian berhad yang didaftarkan sebagai Terengganu Football Club Sdn Bhd. Kredit – FAM.org.my

Terengganu FC(TFC) hari ini secara rasmi telah diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM) sebagai sebuah entiti kelab bola yang telah lulus untuk penswastaan sekaligus telah memisahkan pasukan bola sepak ini dari pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu(PBSNT). TFC yang telah didaftarkan berstatus sendirian berhad yakni Terengganu Football Club Sdn Bhd merupakan di antara 12 pasukan Liga Super 2020 yang berjaya diswastakan.

Pada sidang media Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional dan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang telah berlangsung pada 5 Oktober lalu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalinggam menjelaskan bahawa proses penswastaan yang juga merupakan pemisahan pasukan bola sepak dari persatuan bola negeri akan memberi fungsi pada pemilik dan pengarah kelab pada satu entiti yang berlainan dari persatuan negeri sepenuhnya. Situasi ini secara tidak langsung dapat mengelakkan hutang-hutang yang tidak dibayar oleh barisan presiden dan exco dalam persatuan setelah mereka meletak jawatan.

Tinjauan di beberapa laman media sosial penyokong bola sepak Terengganu rata-rata mempersoalkan siapakah pemilik TFC ini kerana tiada sebarang pengumuman sepenuhnya dilakukan. Penyokong beranggapan seharusnya individu-individu di dalam TFC bukan terdiri daripada kalangan ahli persatuan di mana kedua-dua entiti bola sepak ini seharusnya berbeza pengurusan.

BLACKOUT SOLD OUT!

‘Blackout Edition’ habis dijual di dalam talian setelah dilancarkan sehari sebelum ini. Kredit Foto – Al-ikhsan.com

‘Blackout Edition’ – Jersi edisi khas Terengganu FC(TFC) setelah sehari dibuka untuk jualan telah habis dijual dalam talian di laman rasmi Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd (Al-Ikhsan) – https://www.al-ikhsan.com/al-terengganu-fc-2020-blackout-jersey.html. Tinjauan PenyuSukan.com pada laman web tersebut kini tiada lagi sebarang transaksi pembelian boleh dilakukan.

Football Republic merupakan kedai konsep bola sepak premium yang dijenamakan oleh (Al-Ikhsan) di mana bagi jersi ‘Blackout Edition’ ini hanya boleh didapati di cawangan Suria KLCC, Sunway Pyramid dan Kuala Terengganu sahaja. Kredit Foto – Facebook.com/myfootballrepublic

Jersi ekslusif yang hanya terhad kepada 1000 helai ini telah dilancarkan pada 16 May 2020 di mana turut dijual di semua rangkaian kedai barangan sukan Al-Ikhsan Sports seluruh negeri Terengganu, 3 rangkaian kedai konsep bola sepak premium Football Republic dan TFC Merchandise Store.

Hadir dengan warna hitam sepenuhnya ini termasuk logo pasukan dan logo penaja-penaja bagi musim ini dengan menggunakan warna ‘Onyx’ dengan teknologi fabrik ‘smartDRY’ dijual pada harga RM149.00 sehelai. Jersi edisi khas ini di bawah jenama AL merupakan keluaran Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd(aL-ikhsaN) yang merupakan selaku penaja pasukan ini sejak 2019.

Keputusan 3 perlawanan pertama Terengganu FC dalam saingan CIMB Liga Super 2020 sebelum ‘terkandas’ berikutan pandemik COVID-19. Kredit Foto – Malaysianfootballleague.com

Terengganu (TFC) yang kini dalam kempen saingan CIMB Liga Super 2020 namun hanya sempat beraksi dalam 3 perlawanan pertama sebelum dihentikan berikutan penularan wabak COVID-19 yang menjadi isu global masa kini.

Untuk senarai kedai-kedai rasmi yang menjual jersi ekslusif Terengganu FC boleh dibaca di sini – http://penyusukan.com/v1/blackout-edition-jersi-edisi-khas-terengganu-fc/

X