TFC Dikompaun Gagal Patuhi SOP Penganjuran

Kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dato’ Dr. Hjh Kasemani Embong bertarikh 25 November 2021.

KENYATAAN AKHBAR
PENGARAH KESIHATAN NEGERI
TERENGGANU

KEGAGALAN MEMATUHI SOP SEMASA PENGANJURAN PERLAWANAN BOLA SEPAK





Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merujuk isu berkaitan pelanggaran SOP semasa perlawanan bola sepak di antara Terengganu FC dan Johor Darul Takzim FC pada 22.11.2021, 8.00 malam hingga 11.00 malam, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus. Pihak JKNT telah menjalankan siasatan lanjut berkaitan isu ini.

Hasil siasatan yang telah dijalankan mendapati pihak Pengurusan Terengganu FC selaku tuan rumah perlawanan telah mengambil langkah-langkah seperti berikut:

1. Menghadkan bilangan penonton seramai 20,000 (42.6%) orang dari kapasiti sebenar penonton iaitu 47,500 orang.
2. Menyediakan QR Code Mysejahtera, pengambilan suhu dan menyediakan hand sanitizer sebelum memasuki stadium.
3. Membenarkan penonton yang lengkap vaksin sahaja yang boleh memasuki stadium.
4. Menyediakan pasukan kawalan keselamatan seramai 430 orang yang terdiri dari agensi PDRM, RELA, APM, Pertugas Keselamatan Pintu Masuk dan Pertugas Kompleks Sukan.
5. Mewajibkan semua penonton memakai pelitup muka sepanjang perlawanan berlangsung.

Walau bagaimanapun pihak penganjur gagal memastikan pematuhan protokol am dalam pengurusan penonton dan penyokong (penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dengan sempurna) semasa perlawanan berlangsung. Justeru, sejumlah dua (2) kompaun telah dikeluarkan iaitu satu (1) kepada Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (1263131-P) (tuan rumah) dengan nilai RM 10,000.00 dan satu (1) lagi kepada Malaysia Football League (MFL) (penganjur) dengan nilai RM 10,000.00 di bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Setiap individu dikehendaki memainkan peranan dalam memastikan diri masing-masing tidak mendapat jangkitan dan tidak menjangkiti orang lain. Ia adalah penting bagi mencegah berlakunya penularan jangkitan COVID-19 seperti dalam kalangan ahli keluarga, komuniti dan tempat kerja. Selain daripada mendapatkan imunisasi yang lengkap dan dos penggalak bagi mereka yang layak, langkah-langkah pencegahan kesihatan awam asas seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan, pematuhan SOP yang ditetapkan adalah amat penting. Pihak JKNT akan sentiasa memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya bagi memastikan pematuhan SOP dipatuhi sebarang aktiviti yang melibatkan tumpuan ramai.

DATO’ DR. HJH KASEMANI BT EMBONG
PENGARAH KESIHATAN NEGERI
JABATAN KESIHATAN NEGERI TERENGGANU

25 NOVEMBER 2021

SUKMA XXI SARAWAK 2024
17-24 OGOS 2024

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

SUMBANGAN

SUMBANGAN IKHLAS BAGI MENAMPUNG KOS OPERASI MENYAMPAIKAN BERITA SUKAN SEGENAP NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN.

april, 2024

No Events

X