Pihak Kerajaan Negeri Terengganu merakam ucapan tahniah dan syabas kepada Kontinjen Terengganu yang telah beraksi dengan cemerlang dan berjaya memungut 56 pingat emas, 51 pingat perak dan 53 pingat gangsa seterusnya dinobatkan sebagai juara keseluruhan SUKMA 2018.
Tahniah juga diucapkan kepada Azreen Nabila Binti Alias yang telah menerima Anugerah Atlet Wanita Terbaik SUKMA Perak 2018.
Kejayaan Kontinjen Negeri Terengganu merampas kembali gelaran Juara SUKMA ini sekaligus melunaskan “Win Back Mission” yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan. Tahniah sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat dalam catatan sejarah ini.
Harapan saya dengan kejayaan ini dapat membawakan roh riadah dan menggalakkan lagi aktiviti bersukan kepada rakyat Terengganu dalam menjalani gaya hidup yang sihat dan sejahtera.
Bagi meraikan kejayaan Kontinjen Terengganu di SUKMA 2018, pihak Kerajaan Negeri Terengganu dengan ini mengisytiharkan 30 September 2018 iaitu hari Ahad sebagai cuti peristiwa bagi Negeri Terengganu.
Majlis Meraikan Juara SUKMA 2018 bersama kontinjen atlet serta pegawai juga akan diadakan pada hari Ahad (23 September 2018) jam 5.00 petang di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu.
Terengganu Maju Berkat Sejahtera
Dr Ahmad Samsuri Bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu