Terdahulu, perlawanan yang berlansung dalam cuaca matahari terik sebelah petang di Stadium Hoki Batu Buruk menyaksikan gol pertama tuan rumah seawal minit ke-2 berjaya disempurnakan melalui pukulan sudut penalti oleh penyerang sensasi kebangsaan Faizal Saari.
Seterusnya gol kedua hasil dari pukulan sudut penalti pada saat-saat akhir suku pertama permainan diterjemahkan oleh pemain import dari Korea Selatan; Jang Jonghyun yang kembali menyarung jersi THT untuk musim ini.
Setelah rehat suku pertama, Ketua Jurulatih UniKL Arul Selvaraj memasukkan penjaga gol import mereka yang juga merupakan penjaga gol terbaik dunia dari Ireland, David John Harte menggantikan Andrian Andy Albert yang sebelum itu sudahpun bolos dua kali. Percaturan Arul seterusnya mula membuahkan hasil apabila gol pertama pasukan ini hadir pada minit akhir sebelum rehat suku kedua permainan menerusi pukulan sudut penalti oleh Muhammad Razie bin Abd Rahim. Tanpa menunggu lama, 5 minit setelah suku ke-3 permainan bermula sekali lagi Muhammad Razie meledakkan gol kedua peribadi buat pasukan UniKL juga melalui pukulan sudut penalti. UniKL berjaya mengikat keputusan seri 02-02 sehingga tamat permainan memaksa penentuan kejuaraan Piala Sumbangsih ini menerusi pukulan penalti shootout.
Faizal Saari membuka gelanggang shoout dengan cemerlang untuk gol pertama sekaligus menaikkan semangat juang rakan sepasukan yang disambut sokongan penuh oleh peminat yang hadir. Seterusnya pukulan tepat dari Jang Jonghyun memastikan gol kedua terus dikutip kemas. Manakala pukulan terakhir mengesahkan kemenangan berjaya dihasilkan oleh Fitri Saari dengan penuh dramatik.
Kredit juga wajar diberikan kepada penjaga gol kedua THT Mohamad Hazrul Faiz bin Ahmad Sobri setelah berjaya menggagalkan tiga dari empat pukulan penalti shootout yang dicari oleh UniKL.
Majlis penyerahan trofi sulung Piala Sumbangsih 2019 kepada THT telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu; YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah. Turut disaksikan peristiwa bersejarah ini adalah Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu; Encik Ibni Amin Busu bersama Presiden Persatuan Hoki Terengganu, Mohammad Saberi Salleh.