Berbaki kurang dari 7 bulan lagi menjelang penganjuran sukan dwi tahunan edisi ke-20 temasya Sukan Malaysia(SUKMA) Johor 2020, persiapan skuad ragbi 7 sepasukan lelaki dan wanita negeri Terengganu kini bakal memasuki fasa seterusnya seperti mana yang telah dirancang bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu.
Pelan Induk Pembangunan Sukan 10 Tahun Negeri Terengganu yang menjadi teras bagi sebarang program persiapan pembangunan dan persiapan pasukan menjadi penanda aras terbaik buat kontijen buat negeri Terengganu untuk berentap dalam pelbagai kejohanan bertaraf tinggi.
Sebanyak 3 fasa persediaan pasukan menjadi kerangka bagi sepanjang program persediaan pasukan ragbi negeri Terengganu iaitu fasa persediaan, fasa pra pertandingan dan fasa pertandingan. Fasa persediaan melibatkan proses awal pembentukan pasukan di mana untuk mengenal pasti bakat-bakat atlet anak jati negeri Terengganu untuk diserap ke dalam pasukan bagi menjalani latihan sepenuh masa. Program latihan tidak hanya didedahkan pada corak latihan taktikal dan kekuatan fizikal daripada tenaga jurulatih semata-mata malah turut melibatkan elemen sains sukan yang dikendalikan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu.
“Kini pasukan ragbi lelaki berada dalam fasa pra pertandingan. Kita mencari pertandingan peringkat senior di mana matlamat utamanya untuk mematangkan pemain dan menambah keyakinan untuk bersedia hadapi pertandingan bawah 21 tahun di SUKMA nanti. Kemenangan bukan sesuatu yang kita hendak capai ketika ini. Keyakinan diri pemain dan tahap penguasaan permainan menjadi keutamaan buat masa sekarang.”; ujar Izaimi Zainuddin selaku ketua jurulatih pasukan ragbi lelaki ke pentas SUKMA Johor 2020 nanti.
“Pasukan ragbi wanita ini baru ditubuhkan pada April lalu yang dibarisi oleh anak jati kelahiran negeri ini yang langsung tidak mengenali sukan ragbi. Mengutip pengalaman yang amat berharga pada penyertaan kejohanan pertama kali pada Julai lalu walaupun tewas dalam semua perlawanan namun hari ini kita boleh lihat berada di tahap yang amat memberansangkan bagi fasa pertama ini. Pada fasa kedua menyasarkan jumlah pemain adalah seramai 18 atlet di mana sehingga kini pasukan ragbi wanita ini hanya seramai 17 atlet. Oleh itu pemilihan atlet untuk membentuk pasukan masih dibuka kepada mereka yang layak.” ujar anak jati Besut; Nik Mohd Shahiddan Mohd Zain yang menggalas tanggungjawab bermula pada 1 April 2019 sebagai ketua jurulatih untuk membentuk pasukan sulung ragbi wanita negeri Terengganu dalam misi ke temasya SUKMA Johor 2020.
Fasa pra pertandingan adalah program latihan melibatkan pendedahan situasi sebenar pertandingan di mana kedua-dua pasukan ragbi ini akan dihantar untuk menyertai beberapa kejohanan berprestasi tinggi yang telah dikenal pasti. Pemilihan kejohanan berprestasi tinggi menjadi penanda aras terbaik buat pasukan bagi mengenal pasti sebarang kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum menjelang kejohanan yang sebenar. Berbaki tiga bulan terakhir sebelum penganjuran SUKMA Johor 2020 merupakan fasa terakhir dalam persiapan pasukan ini iaitu fasa pertandingan. Fasa pertandingan adalah memberi fokus untuk mengekalkan prestasi pasukan ditahap optimum setelah menerima pendedahan hasil dari fasa pra pertandingan sebelum itu.
Untuk rekod, terkini Pelan Induk Pembangunan Sukan 10 Tahun Negeri Terengganu yang telah dirangka sejak 10 tahun lalu telah dikemaskini pada Julai lalu bagi perancangan tahun 2021 sehingga 2030. Kemaskini terkini adalah memfokuskan pada 43 jenis sukan yang ada di negeri Terengganu di mana berlainan sepenuhnya berbanding pelan terdahulu yang memfokuskan keseluruhan sukan.