Gergasi hoki wanita pantai timur; Terengganu Ladies Hockey Team(TLHT) membuat kejutan di saat-saat akhir penentuan perlawanan penuh dramatik untuk tidak pertama kali mengecewakan penyokong-penyokong di laman sendiri. Dorongan laju pukulan sudut penalti di hadapan gawang lawan oleh Fazilla Sylvester Silin di minit ke-60 memecah kebuntuan perlawanan amat memberi tekanan kepada para penyokong sendiri setelah banyak peluang terpaksa dibazirkan oleh pasukan tuan rumah. 3 mata liga yang dikutip ini sekaligus mendahului pasukan pelawat; PDRM Blues Warriors di tangga kedudukan terkini Liga Hoki Wanita Malaysia 2020(LHWM 2020).
Kudrat pemain kebangsaan Fazilla Sylvester Silin yang beraksi di posisi tengah pasukan terpaksa berhempas pulas dari awal permainan bersama pasukan untuk sentiasa mencipta ruang dan peluang yang mampu direncanakan oleh jentera serangan. Namun beberapa kesilapan mudah merencatkan segala taktikal permainan yang telah dirancangan oleh Mohd Nasihin Nubli Ibrahim ketua jurulatih bagi musim ini.
“Lima minit awal amat memberi tekanan buat pasukan dengan keadaan matahari cuaca petang yang panas. Setelah berehat suku pertama permainan baru dapat mengawal permainan dengan baik. Pengalaman besar pemain-pemain kebangsaan dalam pasukan ini amat membantu pemain muda untuk beraksi pada hari ini. Musim ini banyak perlawanan hadir selaku pasukan pelawat sedikit sebanyak menganggu persediaan pasukan khususnya untuk latihan bersama.”; ujar anak jati Wakaf Tembesu, Kuala Nerus; Tuan Nur Hidayah Tuan Ismail yang baru menyambut hari kelahiran pada 13 Januari lalu kini telah bersama TLHT sebanyak 3 musim.
Stamina yang dimiliki oleh pasukan pelawat memaksa pasukan tuan rumah terpaksa membuat beberapa pertukaran pemain seawal minit ke-3 permainan. PDRM Blues Warriors yang hanya dibarisi seramai 3 pemain bertaraf kebangsaan dan 2 pemain import dilihat mampu untuk memberi tekanan kepada penyandang juara Liga Hoki Wanita Malaysia 2019 dan juga pemilik Piala Vivian May musim lalu namun masih tumpul di jentera penyudah.
Menambah duka di minit ke-42 permainan, jaringan kencang oleh Fatin Naimah Zaki terpaksa dibatalkan oleh pengadil sekaligus mengembalikan penguasaan padang kepada pasukan pelawat. Sehingga tamat permainan, sememangnya pujian harus diberikan kepada Fazilla Sylvester Silin yang membantu pasukan di saat akhir agar para penyokong tidak pulang dengan kecewa.
“Perlawanan ini memang mendebarkan kerana kita perlu mendapat 3 mata penuh di tempat sendiri. Saya amat teruja bermain di Batu Buruk ini kerana mempunyai penonton yang sentiasa hadir untuk memberi sokongan. Jika bercerita tentang hoki, peminat dan penyokong di Terengganu ini memang terbaik berbanding lain-lain negeri!” ujar Fazilla Sylvester Silin yang kini berusia 33 tahun sebagai pegawai bomba di Wilayah Persekutuan Putrajaya. Fazilla juga membuat penampilan kedua bersama TLHT sebagai pemain tengah pada musim ini. Beliau yang berasal dari Mukah, Sarawak telah membuat penampilan pertama bersama pasukan kebangsaan dan turut membawa pulang pingat emas sewaktu misi ke Sukan SEA 2007 di Nakhon Ratchasima, Thailand.
Aksi siri perlawanan ke-3 LHWM 2020 ini juga merupakan buat pertama kali pasukan TLHT beraksi di laman sendiri sejak membuka tirai musim ini pada 11 Januari lalu. Perlawanan ini juga turut tidak dicemari dengan insiden layangan kad kepada pemain. Seterusnya bagi aksi ke-4 LHWM 2020 yang dijadualkan pada 22 Januari nanti, TLHT bakal berkunjung selaku ‘tuan rumah’ ke Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil untuk membelasah Mutiara Impian-MSSPP-PSHA yang kini berada di tangga tercorot liga. Sehingga kini pasukan dari Pulau Pinang ini masih berjaya mengekalkan rekod kalah sepenuhnya setelah mengharungi 3 perlawanan.
KEPUTUSAN LIGA HOKI WANITA MALAYSIA 2020
*TLHT sahaja
17.01.2020 1700 | 015 GROUP | Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil
TERENGGANU LADIES HOCKEY TEAM vs PDRM BLUE WARRIORS 01-00
JARINGAN GOL
TLHT
Fazilla bt Sylvester Silin 60″