Setelah tewas tiga kali berturut-turut sejak perlawanan pembukaan Liga Hoki Remaja Malaysia 2019 (LHRM 2019), MSNT-PHT-MSST berjaya meraih kemenangan sulung penuh bergaya di laman sendiri berkeputusan 7 gol berbalas 2 gol oleh MSSPP-PSHA. Pada perlawanan ke-4 LHRM 2019 yang telah berlangsung di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu ini, pemain tuan rumah Nukman Hakim bin Mohammad membuat kejutan untuk mendapat gol pertama permainan melalui jaringan gol padang pada minit ke-29.
Pemain tuan rumah berjersi nombor 17; Muhammd Irfan Mirza S. Irwadi turut mencipta sensasi perlawanan setelah berjaya mengutip hatrik menerusi dua jaringan melalui pukulan penalti dan satu jaringan pukulan sudut penalti. Selebihnya jaringan melalui pukulan penalti turut disempurnakan oleh Muhammad Alif Fakrulnizam Mohd Rawi, Wan Muhammad Ikram Wan Mohd Tamizi dan satu jaringan gol padang oleh Muhammad Yusri bin Jusoh.
Sebelum tamat permainan, pasukan pelawat dari Pulau Pinang ini turut berjaya membawa pulang satu jaringan pukulan sudut penalti pada minit ke-51 dan satu jaringan pukulan penalti pada minit ke-58.
“Alhamdullilah, kita gembira tercapai apa yang kita terlepas pada perlawanan sebelum ini. Permulaan agak perlahan untuk perlawanan ini namun saya berpuas hati dengan persembahan anak buah saya. Saya tahu kemampuan para pemain saya. Saya sebagai jurulatih perlu memberi keyakinan kepada mereka.” ujar Chairil Anwar Aziz kepada PenyuSukan.com
Kemenangan ini meletakkan pasukan di bawah kendalian ketua jurulatih Chairil Anwar Abdul Aziz untuk berada di tangga ke-9 kedudukan liga dengan kutipan 3 mata liga setelah mengharungi empat perlawanan padat sejak 21 Jun 2019 lepas.
Seterusnya MSNT-PHT-MSST dijadualkan untuk bertemu pasukan BJSS Thunderbolts pada 30 Jun 2019 bertempat di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.