SUKMA SELANGOR 2026: STATUS PELAJAR BUKAN HALANGAN, SHAH JEH’AN DAN FARID BURU EMAS

Penampilan terakhir di pentas Sukan Malaysia(SUKMA Selangor 2026) Farid Redzuan Mohd Zaubidi (kiri) dan Muhammad Shah Jeh’an Syamsul Bahri yang juga kedua-duanya merupakan pelajar Diploma Sains dan Rekreasi di Universiti College TATI (UC TATI).

KUALA TERENGGANU – Tinggal hanya beberapa hari sebelum tirai Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dibuka, dua atlet angkat berat Terengganu, Muhammad Shah Jeh’an Syamsul Bahri dan Farid Redzuan Mohd Zaubidi, kini berada pada fasa terakhir persiapan dengan misi jelas memburu pingat emas.

Apa yang membezakan mereka, kedua-duanya bukan sahaja rakan sepasukan, malah turut berkongsi perjalanan sebagai pelajar sepenuh masa di Universiti College TATI (UC TATI), sekali gus menuntut keseimbangan antara akademik dan komitmen latihan yang semakin memuncak.

Hubungan yang terjalin sejak di bangku sekolah terus menjadi kekuatan utama mereka, dengan pengalaman berlatih bersama sekian lama membantu membentuk keserasian serta sokongan moral menjelang penampilan terbesar dalam karier masing-masing.

Muhammad Shah Jeh’an Syamsul Bahri meningkatkan intensiti latihan dalam usaha memantapkan persiapan akhir menjelang SUKMA Selangor 2026 dengan sasaran emas buat Terengganu.

Muhammad Shah Jeh’an mengakui, cabaran terbesar bukan terletak pada latihan semata-mata, tetapi pengurusan masa yang ketat antara kuliah, tugasan dan jadual latihan intensif.

“Setiap hari memang padat. Kami perlu pastikan kelas tidak terjejas, dalam masa sama kekalkan momentum latihan. Dari awal pengajian lagi kami sudah biasa dengan rutin sebegini.

“Alhamdulillah, pihak UC TATI banyak membantu dengan memberi fleksibiliti kepada atlet. Itu sangat penting supaya kami dapat terus fokus kepada kedua-dua aspek tanpa perlu mengorbankan salah satu,” katanya.

Dalam pada itu, Farid Redzuan melihat sokongan berterusan daripada pengurusan dan pensyarah sebagai faktor penting yang memastikan mereka kekal kompetitif hingga ke pentas SUKMA.

SUKMA Selangor 2026 menjadi peluang terakhir buat Farid Redzuan Mohd Zaubidi untuk menjejakkan kaki ke podium selepas membuat penampilan sulung pada edisi Sarawak dua tahun lalu.

Menurutnya, perjalanan panjang dalam program pembangunan angkat berat negeri sejak beberapa tahun lalu banyak membentuk ketahanan mental, terutama dalam menghadapi tekanan temasya besar.

“Kami bermula bersama, melalui jatuh bangun yang sama. Itu yang jadikan kami lebih kuat. Sasaran kami jelas, mahu hadiahkan emas kepada Terengganu.

“Ini penampilan terakhir kami di SUKMA, jadi kami mahu gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk membalas kepercayaan semua pihak,” katanya.

Farid yang menyertai program angkat berat negeri sejak 2019 dan beraksi buat kali pertama di SUKMA Sarawak 2024 turut mengakui edisi kali ini berkemungkinan menjadi pentas penutup kariernya sebagai atlet.

“Selepas SUKMA nanti, saya belum buat keputusan. Mungkin ini penamat sebagai atlet, jadi saya mahu tinggalkan sesuatu yang bermakna,” katanya.

Pada edisi ke-22 SUKMA di Selangor, kontinjen Terengganu mempertaruhkan 16 atlet angkat berat, terdiri daripada lapan lelaki dan lapan wanita yang dijadualkan beraksi dari 16 hingga 20 Ogos 2026 di Dewan Seri Cempaka, Hulu Langat.

Pusat Latihan Angkat Berat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu menjadi gelanggang rutin buat Farid Redzuan Mohd Zaubidi (kiri) dan Muhammad Shah Jeh’an Syamsul Bahri dalam mengimbangi peranan sebagai atlet dan pelajar Diploma Sains dan Rekreasi UC TATI menjelang SUKMA Selangor 2026.

Prestasi cemerlang pada edisi lalu di Sarawak 2024 menjadi suntikan semangat apabila skuad negeri berjaya meraih empat pingat emas dan dua perak.

Ketika itu, Muhammad Izzan Ismadi mencuri tumpuan apabila memecahkan rekod kebangsaan sebelum menghadiahkan emas dalam kategori 96 kilogram lelaki, manakala Nur Alissa Sofea Mohamadnor Wardi turut menyumbang emas menerusi kategori 71kg wanita dengan jumlah angkatan 166kg.

Rekod tersebut menjadi penanda aras baharu buat skuad angkat berat Terengganu yang kini bertekad untuk mengulangi, malah memperbaiki pencapaian di pentas SUKMA Selangor 2026.

X