Bulan Ramadan sama sekali tidak menjadi penghalang buat atlet-atlet sukan ragbi negeri Terengganu untuk turut sama merebut peluang mencari keberkatan dalam melakukan ibadah sekaligus merapatkan jurang dengan komuniti setempat.
Bergotong royong menyediakan bubur lambuk sejak awal pagi menjadi simbolik perpaduan bagi memupuk generasi anak muda di kalangan pemain ragbi ini untuk memahami erti hidup bermasyarakat.
Program yang telah dijalankan bersama selama dua hari ini di antara Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) bersama Persatuan Penduduk Taman Bukit Bayas Indah(PERINDAH) menjadi satu penanda aras terbaik buat komuniti penggiat sukan di negeri ini.
Menambah menarik buat pemain ragbi wanita yang berasal dari Sarawak, Alitia Grace Sigan yang cukup teruja untuk pertama kali menimba pengalaman bersama pasukan untuk turut sama menyiapkan masakan bubur lambuk sehingga lewat petang.
“Ianya satu pengalaman baru dan pertama kali buat saya yang berasal dari Sarawak untuk turut sama bergotong royong menyediakan bubur lambuk ini. Juga ini kali kali saya berpeluang untuk menyelami sendiri pengalaman suasana bulan Ramadan bersama-sama rakan sepasukan ragbi wanita Terengganu ini. Perasaan teruja itu memang tidak dapat dinafikan kerana tidak pernah terpikir menyertai pasukan ragbi ini turut berpeluang menyertai aktiviti kemasyarakatan ini. Program ini secara tidak langsung merapatkan hubungan di dalam pasukan dan saling mengenali barisan pengurusan persatuan itu sendiri.” ujar Alitia Grace anak Sigan.
Beliau yang berusia 18 tahun baru sahaja bersama pasukan ragbi wanita negeri ini menyifatkan program sedemikian secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan di dalam pasukan dan juga jurang di antara pemain dan pengurusan badan induk negeri sukan ragbi ini.
“Alhamdullilah telah selesai program tahunan buat kali-7 yang dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Taman Bukit Bayas Indah(PERINDAH) untuk menyantuni anak-anak yatim dan golongan asnaf di sekitar kawasan kejiranan kami ini. Terima kasih kepada Persatuan Ragbi Negeri Terengganu dan beberapa pihak lagi yang turut sudi bersama-sama bergotong royong sejak dari awal pagi sedikit sebanyak meringankan tenaga kudrat kami di bulan Ramadan ini.
“Kehadiran pemain-pemain ragbi yang rata-rata masih diperingkat usia belia remaja secara tidak langsung mampu untuk menarik lebih ramai remaja setempat di kawasan ini untuk turut sama menyertai dalam sebarang program kemasyarakatan yang dianjurkan di sini.”, ujar Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bukit Bayas Indah(PERINDAH) Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab
Buat Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bukit Bayas Indah(PERINDAH), Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab menzahirkan tanda terima kasih di atas jalinan kerjasama ini yang sedikit sebanyak meringankan tenaga kudrat mereka sewaktu berpuasa. Kehadiran pemain-pemain ragbi yang rata-rata masih diperingkat usia belia remaja untuk program kejiranan ini dilihat secara tidak langsung mampu untuk menarik lebih ramai remaja setempat untuk turut sama menyertai dalam sebarang program yang dianjurkan.
“Alhamdullilah pada hari ini kami dari Persatuan Ragbi Negeri Terengganu.. turut bersama pemain-pemain ragbi lelaki dan wanita untuk turut sama dalam program berbuka puasa bersama-sama dengan anak-anak yatim dan asnaf ini. Ianya satu program tahunan pada bulan Ramadan di mana kami sentiasa mencari sebarang ruang dan peluang program kemasyarakatan yang melibatkan ahli-ahli persatuan khususnya para pemain ragbi negeri ini untuk turut sama merebut peluang mencari keberkatan dalam melakukan ibadah sekaligus merapatkan jurang dengan komuniti setempat.
“Aktiviti bergotong-royong menyediakan bubur lambuk sejak dari awal pagi menjadi satu simbolik untuk memupuk generasi muda di kalangan pemain ragbi untuk memahami erti hidup bermasyarakat.”, berkata YDP Persatuan Ragbi Negeri Terengganu Amir Amri Mohammad kepada PenyuSukan.com
Amir Amri Muhammad juga menjelaskan bahawa badan induk sukan ragbi negeri ini sememangnya menekankan program tanggungjawab sosial menjadi sebahagian dari program pembangunan sahsiah buat ke semua penggiat sukan ragbi negeri ini. Pelbagai program kemasyarakatan termasuk misi kemanusian telah dihulurkan bantuan di mana antara yang terkini adalah membantu mangsa-mangsa banjir di Hulu Terengganu pada Februari lepas.