Terengganu FC Sdn. Bhd.(TFC Sdn Bhd) selaku pemegang taruh utama pasukan bola sepak negeri ini telah mementerai perjanjian kerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZA) dalam rangka untuk memperkukuhkan kualiti pasukan bola sepak dalam mengharungi kempen Liga Malaysia.
Kerjasama bagi tempoh selama 7 tahun yang melibatkan 10 bidang utama termasuk akan membenarkan Terengganu FC(TFC) menggunakan infrastruktur dan fasiliti sukan yang dimiliki oleh UniSZA di samping membantu perkembangan akademik dan penguasaan bahasa Inggeris kepada pelatih akademi.
UniSZA melalui Fakulti Sains Kesihatan dan Fakulti Pengurusan Perniagaan menjadi pemegang taruh untuk perlaksanaan di mana setiap hasil yang dilakukan akan dikongsi bersama pasukan bola sepak ini. Selain menawarkan kepakaran sains sukan, kejuruteraan dan perubataan, UniSZA juga turut akan bekerjasama dalam pemasaran dan penjanaan pendapatan buat entiti bola sepak yang baru diswastakan ini. Selain TFC, UniSZA juga turut pernah menjalinkan kerjasama berkaitan bersama Majlis Sukan Negara(MSN) dan Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) sejak 2016.
“Ianya satu situasi memihak kepada semua pihak, UniSZA sendiri memperolehi kemahiran-kemahiran dan data-data tertentu yang sangat berguna kepada komuniti akademik termasuk para penyelidik dan pelajar itu sendiri. Pendekatan ini boleh menjadi bahan rujukan dalam bentuk penulisan dan artikel-artikel akademik yang dihasilkan. Pada masa yang sama sudah tentu pendekatan secara saintifik ini amat berguna kepada pasukan bola sepak negeri Terengganu. Sebenarnya pendekatan ini telah lama diwujudkan melibatkan sukan berprestasi tinggi di luar negara.” ujar Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada PenyuSukan.com
Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara kedua-dua pihak ini yang telah berlangsung di Wisma Darul Iman telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn. Bhd., Ab Rasid Jusoh manakala UniSZA diwakili Naib Canselor UniSZA Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.
Berikut maklumat yang disediakan kepada media oleh penganjur:
Q&A BERSAMA YAB MENTERI BESAR
TETAMU: YAB DR SAMSURI MOKHTAR, PRESIDEN PBSNT
TEMPAT: WISMA DARUL IMAN
TARIKH: 6 JANUARI 2021
WAKTU: 11:30 PAGI
PERKARA: MEMORANDUM ANTARA TFC DAN UNISZA
1.Bagaimanakah boleh tercetusnya idea untuk menjalinkan kerjasama dan terhasilnya memorandum ini?
Cetusan ini hadir setelah idea oleh YAB Presiden dalam usaha untuk meningkatkan kualiti dari sudut teknikal, pengurusan dan nilai komersial kelab ke peringkat lebih tinggi selari dengan pelan tindakan yang telah dirancang bagi meluaskan lagi jaringan Kerjasama bagi memastikan kelab mampu untuk maju dan berdaya saing dalam era perubahan yang semakin mencabar lebih-lebih lagi setelah proses penswastaan yang telah disarankan oleh Malaysia Football League (MFL) menjadi Terengganu FC Sdn Bhd.
2.Apakah objektif yang disasarkan oleh TFC Sdn Bhd setelah memilih UniSZA untuk menjalinkan kerjasama ini?
Cadangan kerjasama ini telah disambut baik oleh pihak UniSZA dan dalam tempoh 7 tahun kersama yang telah ditetapkan, UniSZA yang telah berkembang dan memiliki 4 kampus (Gong Badak, Tembila, Kampus Perubatan, Kampus Antarabangsa) dilihat mempunyai beberapa kriteria khidmat sokongan yang mampu untuk menambah baik kecemerlangan pendidikan bagi warga UniSZA dan juga perkembangan TFC Sdn Bhd. Hal ini juga bersesuaian dengan nilai teras UniSZA yang antaranya menekankan aspek kepimpinan, keusahawanan, transformasi dan juga inovasi.
3.Apakah kepentingan yang diperoleh menerusi memorandum ini kepada TFC Sdn Bhd?
Terdapat hampir 10 bidang kerjasama yang telah dimetrai kedua-dua pihak antaranya ialah UniSZA telah pun bersetuju untuk membenarkan penggunaan infrastruktur dan fasiliti sukan yang mereka miliki dan juga membantu perkembangan para pelatih akademi dari sudut akademik dan penguasaan Bahasa Inggeris. Pembangunan bolasepak TFC juga akan disokong menerusi kepakaran dari bidang saintis sukan, kejuruteraan dan perubatan di UniSZA. Selain itu beberapa lagi kepakaran yang telah ditawarkan oleh UniSZA adalah dari sudut pemasaran, penjanaan pendapatan, psikologi, nutrisi, fisioterapi dan juga analisis pencapaian.
4.Apakah manfaat yang diperolehi UniSZA, apabila menjalinkan kerjasama dalam MoU bersama TFC ini?
Bagi pihak UniSZA pula, TFC Sdn Bhd telah bersetuju akan membuka ruang dan menyediakan peluang bagi para pelajar mereka di bidang berkaitan untuk melakukan Latihan Industri di bawah penyeliaan TFC Sdn Bhd. Ruang yang tersedia ini semestinya amat dinantikan oleh para pelajar untuk mengalami sendiri bagaimanakah cara sebuah organisasi swasta yang berkaitan dengan sukan bola sepak itu berfungsi. Tambahan pula, dengan kewujudan kerjasama ini, hal-hal yang berkaitan dengan program pembangunan dan pengkomersialan sukan bolasepak di UniSZA akan turut dibantu oleh TFC Sdn Bhd.
5.Apkah harapan dan pesanan YAB setelah kejayaan usahasama di antara TFC dan UniSZA ini?
Saya berharap dengan kerjasama yang telah disepakati ini akan dapat membuka lebih ruang bagi kedua-dua pihak iaitu TFC Sdn Bhd dan UniSZA untuk maju ke peringkat yang lebih baik dan dikenali secara lebih meluas di pringkat global dalam visi yang sama untuk memberikan lebih nilai kepada masyarakat setelah mengambil kira sukan bolasepak merupakan sukan nombor 1 di Malaysia secara amnya. Mungkin juga dengan usahasama ini akan mampu untuk memberikan contoh yang terbaik kepada masyarakat umum bahawa bidang akademik dan sukan perlu bergerak seiringan bagi mencipta kejayaan yang lebih cemerlang.