Kejayaan mempertahankan gelaran penyandang juara sebanyak 8 kali di peringkat kebangsaan sekali gus memperlihatkan kemampuan persatuan ini untuk terus maju berdaya saing. Malah persatuan ini juga terbukti mampu untuk bergerak sendiri tanpa mengharapkan bantuan sepenuhnya dari badan induk untuk menentukan hala tuju masa depan mereka. Kemampuan persatuan ini juga tidak hanya terbukti di peringkat pengurusan malah turut di peringkat pembangunan sukan dan pembentukan sahsiah di kalangan setiap atlet mereka.
Saban tahun persatuan ini sentiasa melakukan program pencarian bakat baru di serata negeri untuk diserapkan ke dalam program pembangunan harus dipuji. Berbanding persatuan sukan lain yang mungkin mengharapkan para atlet mereka hadir dari pihak lain khususnya di peringkat sekolah. TEJA juga tidak hanya membentuk para atlet mereka semata-mata untuk memburu kejayaan malah turut membentuk sahsiah diri melalui penerapan nilai-nilai kerohanian sejajar dengan disiplin tinggi sukan ini.
Pada edisi AST yang lalu, ketua jurulatih Persatuan Judo Terengganu iaitu Marjan Abdullah turut merangkul anugerah Jurulatih Terbaik. Kejayaan itu tidak hanya terhenti di situ apabila seterusnya turut dilantik sebagai pengurus pasukan dan ketua jurulatih skuad negara di Sukan SEA Ke-29 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kemampuan barisan jurulatih dan persatuan ini juga turut diberi kepercayaan di peringkat negara apabila Terengganu dipilih sebagai pusat latihan utama skuad negara dalam persediaan Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 ini.
Malah beberapa hari sebelum menerima anugerah Persatuan Sukan Terbaik ini, TEJA juga telah meraih kejayaan terkini di Kejohanan Judo Remaja Kebangsaan Ke-23 2018 yang baru berakhir di Universiti Putra Malaysia.
“Kejayaan demi kejayaan membanggakan khususnya 3 tahun kebelakangan ini sedikit sebanyak keringat peluh semua warga persatuan malah para atlet terbalas. Kejayaan ini tidak hanya terhenti di sini malah ianya membakar semangat kami untuk terus bekerja keras. Terima kasih kepada pihak penganjur khususnya Majlis Sukan Negeri Terengganu. Akan kami terus berjuang untuk memastikan misi ‘Win Back Mission’ di SUKMA Perak nanti tercapai sebagai tanda terima kasih dari kami.” ujar Mukhtar Bin Wahid yang telah berkhidmat selama tiga tahun sebagai setiausaha Persatuan Judo Terengganu.
Penganugerahan penuh berprestij yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu untuk menghargai warga sukan negeri ini pertama kali telah diadakan sejak tahun 1973. Namun pada tahun 1974-1978, 1981, 1984-1987 dan 1997 sehingga 2003 tiada sebarang majlis penganugerahan diadakan.
AST edisi ke-19 kali ini turut dihadiri oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Razif Abdul Rahman bersama 900 tetamu jemputan lain yang telah berlansung di Wisma Darul Iman. Selain piala iringan anugerah Persatuan Sukan Terbaik, TEJA juga turut membawa pulang ganjaran wang tunai RM1000.00 bersama sijil kepujian.