

Terengganu sekali lagi kekal menjadi destinasi sukan lasak jentera 4×4 setelah penganjuran selama dua hari yang dijenamakan sebagai Terengganu International GPx4 Offroad Challenge berjaya menarik 174 pelumba untuk 87 jentera lumba dari seluruh negara untuk berkampung di Belukar Bukit, Hulu Terengganu.
Melihat pada momentum jumlah penyertaan dari pasukan-pasukan lumba serata negeri dan prestij penganjuran yang turut disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya(MOTAC) melalui Tourism Malaysia termasuk kerajaan negeri Terengganu, pengarah pertandingan Muhammad Muzammil Mokhetar tidak menolak untuk mengangkat prestij penganjuran pada edisi seterusnya pada tahun hadapan.


“Terengganu merupakah negeri bertuah buat penggiat sukan lasak 4×4 di mana negeri ini masih mempunyai pelbagai bentuk muka bumi yang mampu memberi tambah nilai terbaik buat mereka yang inginkan cabaran yang lebih besar berbanding di lain-lain negeri.
“Begitu juga di negeri ini kita mempunyai banyak pilihan lokasi-lokasi menarik di lain-lain daerah untuk dijadikan sebagai venue pertandingan sekaligus mampu merencanakan penganjuran ini sebagai kerangka pelancongan sukan di landasan yang tepat,” ujar Muhammad Muzammil Mokhetar yang juga merupakan presiden Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah(UT 4×4) selaku jawatankuasa perlumbaan ini.
Pandangan itu disambut baik oleh exco pelancongan Terengganu, Datuk Razali Idris yang melihat penganjuran perlumbaan jentera lasak 4×4 ini tidak hanya berjaya menarik jumlah penyertaan yang besar malah turut memberi tempias pada sosio ekonomi setempat walaupun ianya berlangsung jauh dari bandar.
“Sudah tentu penanda aras sedemikian menjadi matlamat kami di Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu di mana bukan hanya berjaya menarik jumlah kehadiran pelancong melalui penyertaan pasukan-pasukan lumba dari luar Terengganu malah mampu untuk memberi ruang bagi sosio ekonomi penduduk setempat.
“Situasi ini meletakkan Terengganu di landasan yang tepat sebagai negeri pelancongan sukan sekaligus menjadi pentas terbaik untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang berbaki kurang dari dua bulan lagi nanti.
“Tahniah kepada penganjur untuk sekali lagi membuktikan sukan lasak 4×4 ini mempunyai prestij tersendiri untuk di angkat ke peringkat yang lebih tinggi di mana kita boleh melihat di sini juga turut menerima penyertaan dari luar negara,’ berkata Datuk Razali Idris yang hadir menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada setiap pemenang yang telah berlangsung pada malam hari terakhir penganjuran.
Untuk rekod, pada penganjuran ini merupakan hasil kerjasama di antara Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah(UT 4×4) dan Kelab Terjoh 4×4 Terengganu di mana kedua-dua pasukan yang berpangkalan di Kuala Nerus, Terengganu di mana kedua-dua kelab ini telah mencetus sensasi prestij penganjuran sukan permotoran 4×4 tempatan setelah berjaya menganjurkan Cabaran 4×4 Merdeka Challenge 2025 pada Ogos lalu.