Ragbi Wanita: Skuad SUKMA 2020 Kutip Pengalaman Sulung

Barisan pasukan ragbi wanita negeri Terengganu sewaktu mengutip pengalaman pertama kejohanan sewaktu menyertai Kejohanan KRS Ladies 7s 2019 bertempat di Padang Astaka, Petaling Jaya. Kejohanan ini merupakan kejohanan yang pertama kali disertai oleh pasukan ragbi wanita negeri ini yang rata-rata dibarisi oleh pemain yang baru digilap tanpa sebarang pengalaman bermain ragbi. Pasukan ragbi wanita negeri Terengganu telah ditubuhkan pada 1 April 2019 dalam misi ke temasya Sukan Malaysia(SUKMA) 2020 di Johor nanti. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Pasukan ragbi wanita 7 sepasukan negeri Terengganu dalam persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia(SUKMA) Johor 2020 mengutip pengalaman berharga setelah pertama kali turun menyertai kejohanan sejak pasukan ini ditubuhkan.

Kejohanan Ragbi Wanita 7 Sepasukan Kesatuan Ragbi Selangor 2019 atau turut dikenali sebagai KRS Ladies 7s 2019 merupakan kejohanan pertama membuka tirai program persiapan dan pembangunan sukan ragbi wanita di bawah kendalian jurulatih Nik Mohd Shahiddan Mohd Zain. Pasukan yang telah ditubuhkan sejak 4 bulan lalu dibarisi oleh rata-rata pemain yang tidak pernah berpengalaman bermain ragbi.

Noorzahidah Mahmud(memegang bola) merupakan antara pemain bakat baru yang digilap untuk persediaan pasukan ragbi wanita negeri Terengganu untuk menghadapi temasya Sukan Malaysia(SUKMA) 2020 di Johor nanti. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Turun selaku bukan pasukan pilihan telah diundi untuk bersama pasukan Singapore U20, Johor Ladies 2, WIPERS dan SUKMA Kedah bagi saingan Kumpulan B dan seterusnya menentang pasukan SUKMA Perak dalam perlawanan peringkat akhir merebut tempat ke-5 kejohanan. Walaupun mencatat kekalahan dalam semua perlawanan, namun dengan semangat juang yang tinggi dari setiap pemain ragbi wanita negeri Terengganu berjaya mengekang penguasaan pasukan lawan mengutip mata perlawanan bagi perlawanan peringkat kumpulan.

Untuk rekod, pasukan WIPERS adalah pasukan persediaan ragbi skuad SUKMA Johor 2020 yang dibarisi sepenuhnya oleh pemain ragbi wanita Wilayah Persekutuan Labuan. Wilayah Persekutuan Labuan sememangnya terkenal dengan program pembangunan ragbi wanita khususnya bermula dari peringkat sekolah. Johor Ladies adalah pasukan wanita yang dibarisi sebahagian besar bekas pemain ragbi kebangsaan penuh berpengalaman. Manakala pasukan SUKMA Kedah masih mempunyai 5 pemain senior bagi menghadapi SUKMA di Johor nanti. Singapore U20 merupakan pasukan pembangunan sukan ragbi di mana satu-satunya pasukan bertaraf antarabangsa yang hadir memberi saingan dalam kejohanan ini.

Bekas atlet kebangsaan penuh berpengalaman di pentas antarabangsa yang juga anak jati Besut; Nik Mohd Shahiddan Mohd Zain menggalas tanggungjawab bermula pada 1 April 2019 sebagai ketua jurulatih untuk membentuk pasukan sulung ragbi wanita negeri Terengganu dalam misi ke temasya Sukan Malaysia(SUKMA) 2020 di Johor nanti. Kredit Foto – PenyuSukan.com

“Kejohanan KRS Ladies 7s 2019 ini adalah kejohanan yang pertama disertai oleh pasukan yang baru dibentuk ini. Rata-rata pemain adalah mereka yang baru mengenali sukan ragbi ini. Agak kucar-kacir dalam beberapa perlawanan awal namun mereka mampu untuk menyerap tekanan. Saya berpuas hati dengan mereka yang pertama kali berentap di pentas perlawanan. Walaupun tewas sepenuhnya namun tidak memberi ruang sepenuhnya kepada pasukan lawan yang lebih berpengalaman untuk membelasah kami. Kita boleh lihat usaha mereka sehabis-habisan hingga memberi tekanan kepada pasukan yang berpengalaman besar. Pengalaman menjadi ukuran di sini.”; ujar Nik Mohd Shahiddan Mohd Zain selaku ketua jurulatih kepada PenyuSukan.com

Pasukan ragbi wanita negeri Terengganu yang julung kali dibentuk di negeri Terengganu pada 1 April 2019 di bawah kendalian bekas atlet kebangsaan penuh berpengalaman di pentas antarabangsa; Nik Mohd Shahiddan Mohd Zain untuk misi ke temasya Sukan Malaysia(SUKMA) 2020 di Johor nanti. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Pasukan ragbi wanita negeri Terengganu bagi skuad Sukan Malaysia(SUKMA) Johor 2020 kini di bawah kendalian jurulatih berpengalaman besar; Nik Mohd Shahiddan Mohd Zain. Beliau juga merupakan bekas jurulatih bagi pasukan ragbi lelaki dan wanita Serdang Angels yang berpusat di Universiti Putra Malaysia. Anak jati Besut ini merupakan bekas pemain ragbi kebangsaan yang pernah beraksi di University Games Russia 2014, Asian University Games Singapore 2015, Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Barisan pasukan ragbi wanita negeri Terengganu sewaktu mengutip pengalaman pertama kejohanan sewaktu menyertai Kejohanan KRS Ladies 7s 2019 bertempat di Padang Astaka, Petaling Jaya. Kejohanan ini merupakan kejohanan yang pertama kali disertai oleh pasukan ragbi wanita negeri ini yang rata-rata dibarisi oleh pemain yang baru digilap tanpa sebarang pengalaman bermain ragbi. Pasukan ragbi wanita negeri Terengganu telah ditubuhkan pada 1 April 2019 dalam misi ke temasya Sukan Malaysia(SUKMA) 2020 di Johor nanti. Kredit Foto – PenyuSukan.com

KEPUTUSAN KRS LADIES 7S 2019
*Keputusan pasukan Terengganu sahaja

SUKMA TERENGGANU vs WIPERS 00-31
SUKMA TERENGGANU vs JOHOR LADIES 00-41
SUKMA TERENGGANU vs SUKMA KEDAH 00-22
SUKMA TERENGGANU vs SINGAPORE U20 00-20

*Perlawanan akhir merebut tempat ke-5
SUKMA TERENGGANU vs SUKMA PERAK 00-15
SUKMA TERENGGANU vs SUKMA PERAK 00-22

YDP PRNT Dilantik Timbalan Presiden KRM Baharu

Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu; Amir Amri Muhammad(empat dari kiri) sejurus setelah diumumkan untuk menggalas tugasan Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia bagi penggal 2019-2022 bersama kepimpinan baharu yang telah dilantik di Kompleks Sukan Majlis Olimpik Malaysia, Wisma MOM. Kredit Foto – NSTP/Owee Ah Chun

Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu; Amir Amri Muhammad terus diberi mandat menerajui kepimpinan induk Kesatuan Ragbi Malaysia(KRM) setelah dipilih untuk menggalas tugas sebagai timbalan presiden untuk pemilihan badan induk baharu bagi penggal 2019-2022.

Kerusi Timbalan Presiden KRM menyaksikan perebutan satu lawan satu di mana Amir Amri berjaya menewaskan pencabar tunggal iaitu Datuk Tamunif Mokhtar dengan perbezaan sebanyak 9 undi menjadikan jumlah keseluruhan undi sebanyak 27 milik wakil dari Persatuan Ragbi Negeri Terengganu ini.

Penolong Setiausaha PRNT; Encik Mohd Izwan Ismail(kiri), Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu Encik Che Mohd Zulkarnain(tengah) bersama Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia 2019-2022 merangkap Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu; Amir Amri Muhammad yang hadir ke Padang Astaka, Petaling Jaya memberi sokongan kepada pasukan ragbi wanita Terengganu(Skuad SUKMA 2020) yang sedang berentap dalam Kejohanan Ragbi Wanita 7 Sepasukan Kesatuan Ragbi Selangor(KRS Ladies 7s 2019) sejurus setelah tamat pemilihan jawatan kuasa badan induk Kesatuan Ragbi Malaysia bagi penggal 2019-2022. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Untuk rekod, pada penggal terdahulu Amir Amri dengan jayanya memikul tanggung jawab sebagai naib presiden bagi penggal 2016 sehingga 2019. Selain itu beliau juga turut dilantik sebagai pengurus pasukan bagi pasukan ragbi lelaki 7 sepasukan di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan kini baharu sahaja menamatkan tugas selaku pengurus pasukan bagi pasukan ragbi lelaki 15 sepasukan yang berentap dalam Kejohanan Ragbi Asia 2019.

Amir Amri Muhammad sejurus tamat pemilihan kepimpinan baharu Kesatuan Ragbi Malaysia hadir ke Padang Astaka, Petaling Jaya untuk memberi sokongan kepada pasukan ragbi wanita Terengganu(Skuad SUKMA 2020) yang sedang berentap dalam Kejohanan Ragbi Wanita 7 Sepasukan Kesatuan Ragbi Selangor(KRS Ladies 7s 2019). Kredit Foto – PenyuSukan.com

“Terima kasih di atas kepercayaan yang telah diberikan untuk saya terus berada di dalam kepimpinan Kesatuan Ragbi Malaysia. Kejayaan ini tidak semestinya hanya untuk saya malah sudah tentu untuk masa depan sukan ragbi di negeri Terengganu ini juga. InsyAllah, dengan segala perancangan terdahulu mahupun yang akan datang sudah pasti demi kemajuan sukan ragbi negeri ini juga”; ujar Amir Amri Muhammad kepada PenyuSukan.com sejurus tamat pemilihan kepimpinan baharu Kesatuan Ragbi Malaysia sewaktu ditemui di Kejohanan KRS Ladies 7s yang berlangsung di Padang Utara, Petaling Jaya.

Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu; Amir Amri Muhammad menewaskan calon tunggal; Datuk Tamunif Mokhtar dalam perebutan kerusi Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia bagi penggal 2019-2022. Kredit Foto – Kesatuan Ragbi Malaysia
Jawatan Kuasa Kesatuan Ragbi Malaysia
Penggal 2019 – 2022

Presiden
YB Dato Shahrul Zaman Bin Yahya

Timbalan Presiden
En. Amir Amri Bin Mohamad

Naib Presiden
1. En. Mohamad Fahmy Bin Abd Jalil
Pengarah Pertandingan

2. En. Mohd Zaki Bin Shahran
Pengarah Publisiti & Pemasaran

Ahli Majlis
1. En. Lee Nyuk Fah
Pengarah Kejurulatihan

2. Dr. Ahmad Naim Bin Ismail
Pengarah Prestasi Tinggi

3. En. Mohd Khairunizam Bin Mohd Isa
Pengarah Pembangunan

4. En. Ahmad Effendy Bin Abd Razak
Pengarah Pengadilan

Naib Presiden Kehormat
1. YBhg. Tan Sri Dato Wira Hj Abd Halim Bin Hj Karim
2. En. Velayuthan Tan Kim Song
3. En. Louis Jarau
4. SAC Abdul Ghani Bin Mohd Ji

Setiausaha Agung Kehormat
1. En. Amrul Hazarin Bin Hamidon


Penolong Setiausaha Agung Kehormat
1. En. Mohd Khairulizuan Bin Shuhaimi

Bendahari Kehormat
1. YBhg. Datuk Ahmad Zaki Zahid

Ahli Lembaga Pengarah
1. Mr. Louis Jarau
Pengarah Perundangan & Peraturan

2. YB Tuan Noor Amin Ahmad (MP Kangar)
Pengarah Perhubungan Kerajaan

3. Dr Nik Haziman bin Wan Hamat
Pengarah Kebajikan Pemain & Perubatan

4. Cik Hazeline Aasyiqeen Binti Jaafar
Pengarah Ragbi Wanita

5. En. Norhisham bin Ibrahim
Pengarah Latihan & Pendidikan

KVWT Kuasa Besar Ragbi Kejuaraan VOKTEK

Pasukan ragbi Kolej Vokasional Wakaf Tembesu muncul juara di Kejohanan Vokasional Teknik (VOKTEK 7s) 2018. Kredit Foto - Zulkarnain Mohd Zawawi

Pasukan ragbi Kolej Vokasional Wakaf Tembesu muncul juara di Kejohanan Vokasional Teknik (VOKTEK 7s) 2018. Kredit Foto - Zulkarnain Mohd Zawawi
Pasukan ragbi Kolej Vokasional Wakaf Tembesu muncul juara di Kejohanan Vokasional Teknik (VOKTEK 7s) 2018. Kredit Foto – Zulkarnain Mohd Zawawi

Muncul juara buat kali ke-5 sekaligus mengukuhkan dominasi pasukan ragbi Kolej Vokasional Wakaf Tembesu(KV Wakaf Tembusu) selaku kuasa besar dalam sejarah penganjuran di Kejohanan Vokasional Teknik (VOKTEK 7s). Terkini pasukan pelajar kolej vokasional yang rata-rata dibarisi anak-anak muda di bawah usia 18 tahun berjaya menewaskan musuh tradisi mereka yakni KV Arau dalam perlawanan akhir bertempat di SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS). Sememangnya kedua-dua pasukan ini sering dijadikan pasukan pilihan untuk berentap di pusingan akhir kejohanan ragbi 7 sepasukan ini. Jurang 5 mata dalam perlawanan akhir dengan kutipan mata 15 berbalas 10 ternyata bukan laluan mudah bagi pasukan ini untuk memburu kejayaan.

Pasukan ragbi Kolej Vokasional Wakaf Tembesu merupakan pasukan dari negeri Terengganu yang terdiri dari kalangan pelajar kolej itu sendiri sepenuhnya. Kredit Foto - Zulkarnain Mohd Zawawi
Pasukan ragbi Kolej Vokasional Wakaf Tembesu merupakan pasukan dari negeri Terengganu yang terdiri dari kalangan pelajar kolej itu sendiri sepenuhnya. Kredit Foto – Zulkarnain Mohd Zawawi

Pertama kali berentap pada 2010 sekaligus terus cemerlang untuk merangkul kejuaraan dan mempertahankan kejuaraan dalam edisi seterusnya pada 2011. Walaupun pada 2012 tuah tidak memihak kepada pasukan ini namun mereka bangkit pada 2013 untuk muncul juara. 2014 masih mengulang episod duka apabila KV Arau sekali lagi menafikan kejuaraan buat pasukan dari negeri Terengganu ini. KV Wakaf Tembusu terus memperkasakan pasukan dan sudah pasti kejuaraan pada 2015 menjadi milik mereka.

Namun pada 2016, KV Tawau menjadi pasukan yang tidak dijangka menafikan tuah KV Wakaf Tembusu untuk mempertahankan kejuaraan. Kegagalan seterusnya pada 2017 apabila pasukan-pasukan lain kian sengit berentap membuatkan jurulatih pasukan ini perlu merombak semula formula pasukan. Maka pada tahun 2018 ini, KV Wakaf Tembusu sekali lagi berjaya merentap kejuaraan setelah para pemain dengan penuh berdisiplin berjaya menterjemahkan perancangan di dalam padang. Kemenangan yang diraih kali ke-5 ini juga secara tidak lansung merupakan pasukan yang paling banyak merangkul juara buat masa ini.

Sebenarnya pasukan KV Wakaf Tembusu ini dibarisi oleh para pemain yang tidak pernah lansung mengenali bola ragbi sebelum mereka menjejak kaki ke kolej ini. Para pemain yang juga pelajar seawal usia 16 tahun telah diasuh dengan program latihan setiap hari dan pendedahan kepada beberapa kejohanan di dalam negara secara tidak lansung mematangkan pasukan ini. Sebelum ini juga mereka turut pernah berentap dengan pelbagai pasukan seluruh negara di Kejohanan Ragbi 1Malaysia COBRA 15s U19 yang telah berlansung di Lembah Klang.

Hasil program pembangunan dan latihan yang mantap sejak tahun 2006 di bawah kendalian jurulatih berpengalaman; Zulkarnain Mohd Zawawi atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Stopa kini meletakkan pasukan ini antara pasukan yang digeruni. Untuk rekod, Cikgu Stopa ini juga turut memperolehi kelayakan sebagai jurulatih dan kepengadilan apabila berjaya menyempurkan kursus Sijil Kejurulatihan Ragbi Tahap 3 dan Sijil Kepengadilan Ragbi Tahap 3. Salah satu produk ragbi KV Wakaf Tembusu yang menjadi kebanggaan apabila dua pemain telah terpilih untuk menyarung jersi kebangsaan di mana salah seorangnya adalah ialah Mohd Haikal Ibrahim yang kini mewakili pasukan Bunga Raya untuk Sukan Asia 2018 nanti.

Encik Zulkarnain Mohd Zawawi(berbaju biru) selaku jurulatih bawah 19 tahun pasukan Terengganu sewaktu Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan peringkat kebangsaan 2016. Kredit Foto - Sukandaily.com.my
Encik Zulkarnain Mohd Zawawi(berbaju biru) selaku jurulatih bawah 19 tahun pasukan Terengganu sewaktu Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan peringkat kebangsaan 2016. Kredit Foto – Sukandaily.com.my

“Perlawanan akhir bertemu KV Arau sememangnya sengit. Kami bernasib baik kerana mendapat kutipan mata try di masa tambahan untuk menamatkan permainan. Pasukan lawan sememangnya pasukan yang sentiasa meningkat naik memberi cabaran. Ada dikalangan pemainnya turut akan mewakili pasukan Kedah dalam temasya Sukan Malaysia di Perak nanti. “; ujar Zulkarnain Mohd Zawawi selaku jurulatih dan juga guru di KV Wakaf Tembusu ini sewaktu dihubungi.

Anak jati Kuala Terengganu ini juga turut menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada mantan Pengarah KV Wakaf Tembusu Tuan Haji Abdul Rahman Hassan yang banyak memberikan sumbangan dan dedikasi kepada pasukan ragbi ini sejak sekian lama. Begitu juga kepada rakan-rakan guru yang banyak membantu dalam program pembangunan dan pembentukan pasukan selama ini.

Kejohanan Vokasional Teknik (VOKTEK 7s) 2018

*Keputusan KV Wakaf Tembusu sahaja

 BIL. 
PERLAWANAN
KEPUTUSAN
  1.   FINAL CUP
KV Wakaf Tembusu vs KV Arau
15-10
  2.   SEMI FINAL CUP
KV Wakaf Tembusu vs KV Batu Pahat
05-00
  3.   SUKU AKHIR CUP/PLATE
KV Wakaf Tembusu vs KV Rompin
24-00
  4.   PERINGKAT KUMPULAN
KV Wakaf Tembusu vs KV Tanjung Puteri
17-07
  5.   KV Wakaf Tembusu vs KV Sibu 55-00
  6.   KV Wakaf Tembusu vs KV Port Dickson 38-05
  7.   KV Wakaf Tembusu vs KV Beaufort 38-00

Ragbi: Ruggers Brotherhood Cup Buka Tirai 2018

Kejohanan 15 sepasukan ini merupakan kejohanan yang pertama kali dianjurkan dalam siri kejohanan Ruggers Brotherhood Cup.

Kejohanan 15 sepasukan ini merupakan kejohanan yang pertama kali dianjurkan dalam siri kejohanan Ruggers Brotherhood Cup.

Kejohanan ragbi Ruggers Brotherhood Cup telah membuka tirai tahun baru 2018 ini dengan penganjuran ragbi 15 sepasukan yang telah berlansung pada 12 Januari lepas. Padang ragbi di Kompleks Sukan Gong Badak telah menjadi saksi pertembungan dua pasukan di antara Politeknik Terengganu menentang Marang Marlin RC. Malah penganjuran ini juga pertama kali dianjurkan di luar daerah Dungun di mana sebelum ini padang Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) merupakan venue rasmi sejak 2003. Penganjuran ini juga berjaya menarik minat hampir mencecah 100 peminat ragbi tempatan hadir ke padang untuk memberi sokongan.

“Walaupun pada awalnya sebahagaian besar pemain kami tidak dapat turun beraksi namun hari ini kami berjaya melengkapkan satu pasukan untuk berentap. Tiada sebarang latihan awal untuk menjuarai kejohanan ini sekadar bersandarkan pengalaman setiap pemain untuk berikan yang terbaik di atas padang.” berkata Nazri Abdul Ghani berusia 30 tahun berasal dari Banggol Katong selaku pengurus pasukan Marang Marlin RC.

Pengurus pasukan Terengganu di Kejohanan National 7s 2016; Encik Zawawi Zakaria(tiga dari kiri) juga turut hadir untuk memberi pingat kepada semua ahli pasukan yang bertanding.

“Alhamdullilah, ini adalah perlawanan pembukaan bagi tahun ini buat pasukan. Pasukan ini dibarisi para pemain pelajar dan bekas pelajar dari dua generasi yang lahir pada tahun 80an dan 90an mampu untuk memberi saingan sengit kepada pasukan lawan yang lebih berpengalaman.”, ujar Azwan Nawawi berusia 36 tahun dari Johor Bharu selaku pengurus pasukan Kelab Ragbi G-Bauk PSMZA dan juga merupakan seorang pensyarah ukur kejuruteraan di PSMZA. Untuk rekod, pasukan Politeknik Terengganu ini dibarisi pemain dari kelab ragbi PSMZA G-Bauk yang berpusat di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin dan kelab ragbi PKT RedStar dari Politeknik Kuala Terengganu atau dikenali sebagai Poli Kota.

Kedua-dua pengurus pasukan ini turut menyatakan pendapat yang sama di mana untuk tahun ini diharap lebih banyak penganjuran sukan ragbi di negeri Terengganu sejajar dengan kebangkitan sukan ragbi setelah kejayaan pasukan ragbi di Sukan SEA KL 2017 baru ini. Selain itu berharap agar lebih banyak pasukan ragbi di sekitar negeri ini dapat menyertai setiap kejohanan yang dianjurkan agar dapat memberi saingan yang lebih menarik nanti.

Ruggers Brotherhood Cup 15s 2018. Kredit Foto - Haris Hafiy
Aksi pasukan Marang Marlin RC(jersi biru) berentap bersama pasukan Politeknik Terengganu berkesudahan 12 berbalas 7. Foto Kredit – Haris Hafiy

Marang Marlin RC yang dibarisi beberapa pemain berpengalaman telah dinobatkan juara setelah menewaskan pasukan Politeknik Terengganu dengan berkesudahan 12 berbalas 7. Perlawanan diakhiri dengan setiap pemain dari kedua-dua pasukan menerima medal sebagai tanda cenderamata kejohanan.

Kejohanan 15 sepasukan ini merupakan kejohanan yang pertama kali dianjurkan dalam siri kejohanan Ruggers Brotherhood Cup di mana sebelum ini sering menganjurkan kejohanan berformat 10 sepasukan. Kejohanan sulung ini merupakan anjuran bersama Kelab Ragbi G-Bauk PSMZA bersama Kelab Ragbi Marang Merlin di lihat bakal mampu menarik minat kelab-kelab ragbi sekitar negeri ini untuk turut sama berentap di masa hadapan nanti.

Barisan pasukan ragbi Marang Marlin RC(kiri) bersama Politeknik Sultan Mizan Zainal.

PenyuSukan melihat penganjuran ini satu perkembangan yang positif untuk sukan ragbi di negeri Terengganu ini memandangkan ketandusan penganjuran kejohanan ragbi di negeri ini sejak sekian lama. PenyuSukan juga dimaklumkan pada suatu ketika dahulu terdapat lebih dari 20 pasukan ragbi tempatan di sekitar negeri ini namun pasukan-pasukan ini mungkin telah hilang tanpa khabar atau masih tercari-cari sebarang kejohanan di dalam negeri ini yang boleh disertai.

[metaslider id=”170″]

X