

Minggu kedua peringkat kumpulan kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42 menyaksikan aksi penuh debaran buat Terengganu di laman sendiri untuk sekali lagi melakar kemenangan walaupun ketinggalan separuh masa pertama 28 berbalas 13 yang didominasi sepenuhnya oleh Kelantan selaku pasukan pelawat yang bertandang ke Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Terdahulu sebelum sepak mula, kedua-dua pasukan bersama penyokong memberi penghormatan untuk bertafakur selama seminit bagi memperingati pemain pasukan pelawat, Allahyarham Mohamad Khairul Abdillah Ramli atau lebih dikenali sebagai Myko yang telah meninggal dunia pada 10 Mei lalu.
Kelantan yang hadir dengan reputasi besar setelah menewaskan juara bertahan pada perlawanan pembukaan minggu lalu membuat kejutan merobek jentera pertahanan tuan rumah seawal minit pertama untuk 5 mata pertama melalui jatuhan try oleh bekas pemain kebangsaan Mohamad Shah Izwan Nordin dan seterusnya tambahan dua mata melalui tendangan conversion oleh Muhammad Nafis Mohd Salleh sekaligus lengkap 7 mata pertama untuk Kelantan mendahului permainan.
Keghairahan pasukan pelawat untuk penguasaan padang terhukum setelah 3 mata pertama buat Terengganu berjaya dikutip melalui tendangan penalti oleh pemain fullback Muhammad Faizal Md Tahir.
Walaupun Terengganu berjaya menambah 10 mata lagi namun terpaksa akur kepada Kelantan untuk mendahului separuh masa pertama yang berkeputusan 28-13.


Situasi berbeza untuk babak separuh masa kedua yang memihak kepada Terengganu untuk menyerap tekanan lawan sehinggakan berjaya mendahului permainan 39-36 pada minit ke-63 permainana.
Menambah tekanan buat pasukan pelawat, Kelantan terpaksa beraksi kurang seorang pemain yang dihantar ke luar padang setelah pemain import kelahiran Fiji Ratu Etuate Veidreyaki menerima layangan kad kuning di minit ke-67 sekaligus menghadiahkan tambahan 3 mata melalui tendangan penalti untuk Terengganu meletakkan keputusan semasa yang selesa 42-36 mendahului perlawanan.
Namun Kelantan tidak menunggu masa yang lama untuk merobek jentera pertahanan tuan rumah untuk menambah 7 mata penuh melalui jatuhan try dan tendangan conversion sekaligus tipis mendahului perlawanan 43-42.
Berbaki minit-minit akhir permainan, Terengganu mula mengubah taktikal untuk mendominasi penguasaan bola sehinggakan berjaya menambah 3 mata melalui tendangan penalti untuk menamatkan perlawanan kedua peringkat kumpulan yang berakhir dengan 45-43 memihak kepada tuan rumah.

















