Sebaik sahaja menuai pingat di Sarawak, kayuhan tidak terhenti begitu sahaja malah program latihan terus berjalan seperti biasa dengan meletakkan sasaran untuk edisi SUKMA seterusnya. Persediaan pasukan mengambil masa hampir dua tahun sudah pasti memberi ruang yang cukup sama ada di pihak pengurusan mahupun para pelumba itu sendiri untuk berentap. Berbaki kurang dari tiga bulan sebelum temasya SUKMA 2018 bakal bermula, kini pasukan ini sudah bersedia sepenuhnya di mana para pelumba telah menghampiri fasa terakhir program latihan.
Pelumba seawal usia 16 tahun dan lain-lain pelumba adalah di bawah 20 tahun bakal menjadi taruhan untuk memberi saingan kepada negeri-negeri lain nanti. Malah pelumba Abdul Syazwan Abdul Rahman berusia 19 tahun iaitu adik kepada pemenang pingat emas SUKMA Sarawak 2016 turut memperlengkapkan skuad ini. Seramai 32 pelumba dibarisi 25 pelumba lelaki dan selebihnya wanita telah melepasi saringan akhir di bawah kendalian jurulatih Muhammad Labib bin Mohamed Aripin yang menjadi tulang belakang pasukan ini. Jurulatih berpengalaman berusia 29 tahun ini telah menggalas tugasan ini sejak SUKMA Sarawak 2016 dilihat mampu diterjemahkan oleh para pelumba untuk memburu pingat.
Terkini sebaik sahaja menyambut hari raya Aidilfitri, barisan pelumba telah meneruskan latihan kayuhan di jalan raya dari Kemaman ke seluruh semenanjung Malaysia. Kayuhan yang telah bermula pada 21 Jun lepas dijangka pulang tiba di Kemaman pada 8 Julai nanti. Latihan kayuhan ini juga turut dijalankan bersama para pelumba basikal lebuhraya yang akan berentap di Perak nanti.
“Terlalu banyak latihan telah dijalankan dan ini bukanlah latihan terakhir untuk memastikan para pelumba benar-benar bersedia. Bertahun-tahun persediaan pasukan dilakukan sudah pasti kami menggalas tanggungjawab yang besar untuk mengekalkan kejuaraan dan menamatkan misi ‘Win Back Mission’. Latihan kayuhan jarak jauh ini penting untuk kami mengenal pasti kelemahan pasukan yang perlu diperbaiki segera sebelum SUKMA Perak 2018 bermula nanti.”, ujar Muhammad Labib; jurulatih skuad basikal lasak ke temasya SUKMA Perak 2018 nanti.