Saingan Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas akan membuka tirainya di Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri Kuala Nerus, Terengganu esok. Seperti biasa, kejuaraan terunggul negara itu bakal menyajikan persaingan sengit kerana semua pelumba menaruh harapan untuk berada di podium kemenangan. Saingan di Terengganu sentiasa menarik sejak edisi 2009 lagi kerana tiada pelumba yang mampu mempertahankan kejuaraan.
Juara dalam setiap kategori bersilih ganti dan tiada pelumba yang mampu memegang status sebagai ‘jaguh pantai timur’. Pada aksi Pusingan 5 ini, tiga kategori utama akan dipertandingkan iaitu kelas CP150, CP115 dan juga kelas Wira. Turut diadakan ialah perlumbaan sokongan Mini Cub Prix yang merupakan medan untuk mencungkil bakat baharu dalam sukan permotoran negara.
Selain itu adalah perlumbaan Cabaran Honda Dash 125, Yamaha Petronas Super Series, Petronas Sprinta Pro Am dan juga Cabaran AEON Credit Service Yamaha NVX. Tumpuan sudah pastinya terarah kepada kelas perdana, CP150 yang bakal dibarisi nama-nama besar dalam sukan permotoran negara. Antaranya adalah bekas pelumba Moto2 negara, Md Zaqhwan Zaidi yang akan menggalas cabaran pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing.
Selain Zaqhwan, pelumba lain yang bakal merwarnai saingan di Terengganu kali ini termasuk pendahulu keseluruhan kelas CP150, Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing), Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) dan juga juara Pusingan 5 di Pontian, Md Azhar Abd Jalil (Motul Yamaha YY Pang Racing).
Pelumba pasukan AHM Motorsports Yamaha Racing, Ahmad Fazrul Shah dan juga Md Akid Aziz (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) juga dilihat antara yang mampu mencipta kejutan pada saingan Pusingan 5 kali ini. Apa yang menarik perhatian pada siangan kali ini adalah kehadiran semula Zaqhwan dalam pasukannya.
Pada saingan Pusingan 5, Zaqhwan tidak dapat beraksi kerana terlibat dengan perlumbaan Endurance 8-Hours di Suzuka, Jepun. Kehadirannya pasti membawa khabar gembira buat pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing yang agak tenggelam dalam dua pusingan terakhir. Mereka memulakan dua pusingan awal dengan langkah bergaya selepas menjuarai aksi di Jasin, Melaka dan Batu Kawan, Pulau Pinang namun selepas itu, prestasi jentera mereka berada dalam keadaan yang kurang stabil.
Apa yang berlaku dalam dua pusingan terakhir sudah dilupakan, malah pihak pengurusan pasukan sudah mengambil langkah positif agar rentak cemerlang mereka sebelum ini kembali dipamerkan pada saingan di Kuala Terengganu minggu ini. Menurut pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, dia berharap segala persiapan mereka untuk menghadapi saingan di Kuala Terengganu minggu ini berjalan dengan lancar seperti yang dirancangkan.
“Misi kami adalah untuk kembali bangkit dan sudah pasti kemenangan menjadi sasaran utama.
“Kami telah bekerja keras untuk menyediakan jentera yang terbaik buat para pelumba dan setakat ini semuanya berada dalam keadaan baik.
“Kehadiran Zaqhwan pada aksi di Kuala Terengganu diharap dapat mencetus semangat baharu dalam pasukan.
“Kami juga memerlukan seberapa banyak mata yang boleh, bagi mengukuhkan kedudukan pasukan dalam carta keseluruhan,” jelas Yuzy.
Yuzy juga mengharapkan Azroy kembali memperlihatkan sengatnya seperti mana yang berlaku pada saingan Pusingan 1 dan 2 sebelum ini apabila pelumba asal Selangor itu muncul juara kelas CP150. Menurut Yuzy, walaupun Azroy kurang bernasib baik pada saingan Pusingan 5 di Pontian sebelum ini, namun ia tidak menjejaskan misi mereka untuk memburu kemenangan di Kuala Terengganu minggu ini.
Jelas Yuzy lagi, dia juga berharap pelumba asal Terengganu dalam pasukannya, Md Harith Farhan Baharin mampu mencipta kejutan di hadapan para peminatnya di negeri Pantai Timur itu. Setakat ini, pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing menghuni tangga ketiga keseluruhan dengan meraih 91 mata, ketinggalan satu mata di belakang pasukan yang menghuni tempat kedua, Motul Yamaha YY Pang Racing.
Pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing masih unggul memimpin kedudukan dengan 112 mata. Perlumbaan esok akan bermula dengan sesi latihan bebas diikuti pusingan kelayakan dan perlumbaan sebenar pada hari Sabtu nanti.
Selain itu, acara sampingan yang bakal ditawarkan pada saingan Pusingan 5 ini adalah jualan Cub Prix (CP) Happy Bag bagi membolehkan para penonton menyertai cabutan bertuah. CP Happy Bag itu dijual pada harga RM50 dan boleh didapati di khemah promosi Cub Prix pada hari Jumaat dan Sabtu. Ia terhad kepada 500 penonton terawal dan pemenang hadiah utama cabutan bertuah itu bakal membawa pulang sebuah motosikal Honda Dash 125.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai cabutan bertuah CP Happy Bag itu, para peminat boleh melayari www.malaysiancubprix.com