ANAK JATI KUALA TERENGGANU MUNCUL JUARAI CEI 2* 120KM PIALA YANG DI-PERTUAN MUDA TERENGGANU

DARI KIRI – Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja (Datuk Tengku Farok Hussin bin Tengku Abdul Jalil), Setiausaha Kerajaan Terengganu, Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, pelumba pasukan State of Terengganu Endurance Team(STET) Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Saa’ri, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, pengurus pasukan State of Terengganu Endurance Team(STET) Wan Mohd Kamaluddin Wan Yussof dan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu Hishamuddin Abdul Karim.

Pelumba pasukan tuan rumah State of Terengganu Endurance Team(STET), Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Saa’ri mencipta sensasi kejuaraan Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu edisi kali ke-6 untuk dinobatkan selaku juara kategori tumpuan CEI*2 120KM setelah menamatkan perlumbaan kuda lasak jarak jauh dengan catatan masa keseluruhan 6 jam 5 minit 5 saat.

Manakala tempat kedua bagi kategori CEI 2* 120KM ini dirangkul oleh Mohd Nor Syafriman Zazlan dari pasukan Royal Kelantan Endurance dengan catatan masa 6 jam 50 minit 29 saat dan tempat ketiga milik pelumba wanita Nadiah Mohamad dari pasukan Khalifah Arabian Endurance Team dengan catatan masa 7 jam 36 minit 59 saat.





Pasukan State of Terengganu Endurance Team(STET) merangkul tiga kejuaraan kuda lasak Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu edisi ke-6 2024 bagi kategori CEI 2* 120KM yang telah berlangsung bermula 26 Julai sehingga 28 Julai 2024 bertempat di Terengganu International Endurance Park yang terletak di Lembah Bidong, Setiu.
Keputusan perlumbaan kuda lasak kategori CEI 2* 120KM Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu edisi ke-6 2024 bagi tempat pertama sehingga ke-4.

“Walaupun beraksi di laman sendiri dan bukan pertama kali untuk saya berlumba di Lembah Bidong ini, keadaan cuaca yang tidak menentu di sini merupakan cabaran terbesar buat setiap pelumba dan juga kemampuan kuda itu sendiri untuk menamatkan perlumbaan. Malah ada di antara pelumba tidak dapat menamatkan perlumbaan disebabkan oleh kuda itu sendiri. Boleh saya katakan untuk berlumba di sini adalah peluang sama rata buat setiap mereka yang bertanding.

“Kemenangan ini juga memberi motivasi yang terbaik untuk saya memberi fokus pada perlumbaan seterusnya pada Oktober nanti.” ujar anak jati Kuala Terengganu Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Saa’ri yang membawa pulang Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu dan hadiah wang tunai bernilai RM 9,075.00.

Menambah menarik, kuda milik Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Saa’ri bernama Sch Va El Tercero ini juga turut dinobatkan sebagai Kuda Terbaik sekaligus layak untuk menerima hadiah wang tunai bernilai RM 5000.00.

Pengurus Pasukan State of Terengganu Endurance Team(STET) Wan Mohd Kamaluddin Wan Yusoff(kiri) bersama Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Saa’ri ditemui Penyu Sukan sejurus merangkul kejuaraan kuda lasak Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu edisi ke-6 2024 bagi kategori CEI 2* 120KM yang telah berlangsung bermula 26 Julai sehingga 28 Julai 2024 bertempat di Terengganu International Endurance Park yang terletak di Lembah Bidong, Setiu.

Mengulas lanjut, pengurus pasukan STET Wan Mohd Kamaluddin Wan Yusoff memberi gambaran bahawa kemenangan ini merupakan penanda aras terbaik buat pasukan yang memberi peluang kepada pelumba-pelumba muda anak jati negeri ini beraksi.

“Pelumba-pelumba muda ini lahir dari program pembangunan yang dikawal selia oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu selaku pemegang taruh utama. Ianya bukan perjalanan singkat buat setiap pelumba untuk capai setiap kejayaan sama ada di pentas kebangsaan mahupun antarabangsa. Malah buat Faris Haikal sendiri pernah meraih tempat kedua terbaik dunia pada Kejuaraan Dunia Kuda Lasak 2021 yang lalu.” jelas Wan Mohd Kamaluddin Wan Yusoff.

Turut dipertandingkan pada hari terakhir perlumbaan adalah kategori CEI 1* 100KM dan CEN 80KM di mana menyaksikan Ahmad Haziz Farhan Ahmad Faris dari pasukan STET muncul juara bagi kategori CEI 1* 100KM, diikuti oleh pelumba Nanostix Endurance Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman dan di tempat ke-3 oleh pelumba wanita Viktoriyia Melnikava dari Belarus yang mewakili pasukan Khalifah Arabian Endurance Team.

Bagi kategori CEN 80KM, Iskandar Vasilevskiy Shahabudeen Jalil yang mewakili pasukan Nanostix Endurance berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan diikuti oleh Mohammad Hafizuddin Azman dari pasukan Ikhwan Equesterian di tempat kedua dan Nur Qasrina Amani Zakaria dari pasukan UPM Best.

Pada hari terakhir kejuaraan, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli untuk menyampaikan sendiri hadiah kepada setiap pemenang dan pasukan bertanding. Turut hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah adalah Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja (Datuk Tengku Farok Hussin bin Tengku Abdul Jalil), Setiausaha Kerajaan Terengganu bersama Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu Hishamuddin Abdul Karim.

Kejuaraan kuda lasak yang mempertaruhkan Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu ini telah berlangsung selama tiga hari perlumbaan bermula selama tiga hari bermula 26 Julai sehingga 28 Julai 2024 bertempat di Terengganu International Endurance Park yang terletak di Lembah Bidong, Setiu. Seramai 206 pelumba termasuk penyertaan dari negara Singapura, Thailand, Indonesia, China dan Belarus berentap dalam 4 kategori utama yang dipertandingkan iaitu CEI 2* 120KM, CEI 1* 100KM, CEN 80KM dan CEN 40KM termasuk beberapa acara sampingan yang turut berlangsung.


Lihat sepenuhnya di – https://youtu.be/cT34-ABOrJs?si=DC1BpVT1kuRKTJP8

KEPUTUSAN PENUH KEJUARAAN KUDA LASAK PIALA YANG DI-PERTUAN MUDA TERENGGANU

KATEGORI CEI 2* 120KM
#1 MOHD FARIS HAIKAL BIN MOHD HASSAN SAA’RI (6:05:05)
#2 MOHD NORSYAFRIMAN BIN ZAZLAN (6:50:29)
#3 NADIAH BINTI MOHAMAD (7:36:59)

KATEGORI CEI 1* 100KM
#1 AHMAD HAZIQ FARHAN BIN AHMAD FARIS (5:41:12)
#2 SHAHABUDEEN JALIL BIN KAMARUL JAMAN (5:43:19)
#3 VIKTORIYIA MELNIKAVA (8:22:11)

KATEGORI CEN 80KM
#1 SKANDAR VASILEVSKIY BIN SHAHABUDEEN JALIL (5:11:40)
#2 MOHAMMAD HAFIZUDDIN BIN AZMAN (5:21:13)
#3 NUR QASRINA AMANI ZAKARIA (5:45:46)

KATEGORI CEN 40KM GROUP A
#1 WAN AKMAL BIN WAN MAHMOOD (2:36:51)
#2 MUHAMMAD AIMIN AZFAR BIN NAZULKI (2:37:11)
#3 DAFFA ATHAYA WIDYANANTA (2:37:21)

KATEGORI CEN 40KM GROUP B
#1 MOHAMMAD YAAKUB YUSRA (2:30:03)
#2 KHAIROL AMRAN BIN ANNUAR (2:30:52)
#3 MOHD HAFIZI BIN ARIF (2:30:53)

KEJOHANAN KUDA LASAK PIALA SULTAN MIZAN 2024
24 OKTOBER 2024

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

SUMBANGAN

SUMBANGAN IKHLAS BAGI MENAMPUNG KOS OPERASI MENYAMPAIKAN BERITA SUKAN SEGENAP NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN.

november, 2024

01novalldayTerengganu 4x4 Rainforest Challenge 2024

15novalldayMalaysia Iconic Rally Championship 2024 - Pusingan Pertama

X