STADIUM RAGBI TENGKU MUHAMMAD ISMAIL KEMBALI GEGARKAN NATIONAL 7s

Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu kembali menjadi venue Kejohanan Ragbi 7s Kebangsaan 2026 untuk kali ke-3 berturut-turut sejak 2024.

KUALA NERUS – Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail kekal menjadi medan perebutan gelaran ragbi tujuh sebelah kebangsaan buat tahun ketiga berturut-turut apabila Kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s) 2026 membuka tirai di Kuala Nerus, Jumaat ini.

Sebanyak 38 pasukan tempatan dijadualkan berentap selama tiga hari sehingga 15 November ini dalam empat kategori yang dipertandingkan iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki Bawah 21 Tahun dan Wanita Bawah 21 Tahun.





Kategori Lelaki Terbuka dijangka menjadi tumpuan dengan penyertaan 15 pasukan yang bukan sahaja memburu kejuaraan, malah merebut Piala Amir Amri yang diperkenalkan sebagai trofi baharu menggantikan Piala Ung Khek Cheow.

Juara bertahan, Kelantan pastinya berdepan tugas mencabar apabila diundi dalam kumpulan sama dengan Johor, Selangor dan Pahang, sekali gus menjadikan saingan peringkat kumpulan antara yang menarik untuk diperhatikan.

Kelantan muncul juara pada edisi lalu selepas menewaskan Johor 17-12 dalam perlawanan akhir, manakala Johor kini mempunyai misi untuk merampas semula gelaran yang terlepas.

Kehadiran semula beberapa pasukan yang tidak menyertai edisi terdahulu turut menambah kekuatan saingan apabila Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kedah kembali mempertaruhkan pasukan dalam kategori Lelaki Terbuka.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (Malaysia Rugby), Amir Amri Mohammad berkata, kepulangan pasukan berkenaan dijangka memberikan cabaran berbeza memandangkan mereka kini lebih bersedia hasil pelaburan dalam pembangunan pemain muda.

“Kehadiran beberapa pasukan yang kembali ke pentas National 7s tahun ini bakal memberikan cabaran berbeza berbanding edisi terdahulu. Kebanyakan mereka telah membuat pelaburan besar dalam pembangunan pemain muda dan kini lebih bersedia untuk bersaing dalam kategori utama,” katanya.

Selain 15 pasukan dalam kategori Lelaki Terbuka, saingan Wanita Terbuka membabitkan lima pasukan, manakala kategori Lelaki Bawah 21 Tahun dan Wanita Bawah 21 Tahun masing-masing disertai 10 dan lapan pasukan.

Menariknya, Terengganu selaku tuan rumah dan Johor menjadi dua negeri yang menghantar pasukan dalam kesemua empat kategori, manakala Selangor yang memenangi kedua-dua kategori wanita pada edisi lalu hanya menyertai kategori Wanita Bawah 21 Tahun kali ini.

Mengulas persiapan penganjuran ketika Terengganu memasuki fasa Monsun Timur Laut, Amir Amri berkata keadaan cuaca ketika ini tidak menimbulkan kebimbangan utama, namun pihaknya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau berkata, kedudukan stadium dalam kawasan Kompleks Sukan Negeri Terengganu yang bebas banjir serta lokasi penginapan kebanyakan pasukan dan pegawai di sekitar venue dijangka membantu mengurangkan risiko gangguan terhadap perjalanan kejohanan.

YOUTUBE - PENYU SUKAN

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

KALENDAR SUKAN

november, 2026

13novalldayGRAND FINAL PGT JUNIOR MEDAL

27novalldayTERENGGANU SURF FESTIVAL 2026

MENGENAI KAMI

Penyu Sukan adalah sebuah entiti agensi berita sukan subsidiari kepada GOMBUGDOTNET (Suruhanjaya Syarikat Malaysia – TR0109982-D) memfokuskan berita perkembangan atlet, pasukan mahupun persatuan dan sebarang penganjuran acara sukan tempatan.

Hubungi kami: sukan@penyusukan.com

TINGKAT 1, TERENGGANU DIGITAL 1303(TD1303),
JALAN SULTAN ZAINAL ABIDIN,
20000 KUALA TERENGGANU,
TERENGGANU DARUL IMAN.

X