

Terengganu FC (TFC) terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas diikat 2-2 oleh Kuching City FC dalam aksi Liga Super Malaysia 2024/2025 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.
Tuan rumah bermula garang apabila pemain tengah import, Manuel Ott, meledak gol pembukaan seawal minit ke-8 menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti. TFC hampir menambah jaringan menerusi beberapa percubaan Muhammad Syahmi Zamri, namun ketumpulan penyudah menyaksikan kedudukan kekal 1-0 hingga tamat separuh masa pertama.
Babak kedua menyaksikan TFC menggandakan kelebihan pada minit ke-59 apabila Ismaheel Akinade menyudahkan hantaran Ott untuk menjadikan kedudukan 2-0. Namun, kegembiraan tuan rumah tidak bertahan lama apabila dua bekas pemain TFC, Jordan Mintah dan Petrus Shitembi, masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-64 dan 65 untuk menyamakan kedudukan.
TFC cuba bangkit semula di penghujung perlawanan, termasuk satu percubaan Ott yang terkena palang pada minit ke-90, namun keputusan kekal seri hingga wisel penamat.
Keputusan ini menyaksikan TFC kekal di tangga keempat liga dengan 33 mata, manakala Kuching City terus memberi tekanan di belakang dengan 29 mata, menjadikan perebutan tempat ke pentas Asia semakin sengit.