Kejohanan MyEsports Terengganu 2020 menjadi penanda aras baharu perkembangan komuniti sukan elektronik di negeri ini rentetan maklumbalas positif penganjuran MyStay@HomeChallenge peringkat negeri yang telah dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan(KBS) pada April lepas. Kerjasama strategik di antara Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu(JBSNT) bersama Esports Malaysia Terengganu selaku badan induk sukan elektronik Terengganu sekaligus meletakkan penanda aras prestij penganjuran yang menawarkan ganjaran wang tunai kemenangan.
Seramai 644 atlet elektronik dari seluruh negeri Terengganu melibatkan kategori perseorangan dan berpasukan bagi acara Pro Evolution Soccer 2020 (PES 2020) dan PlayerUnknown’s Battlegrounds(PUBG) telah berentap 11 September lalu. Kemuncak penganjuran bakal melabuhkan tirai elektronik pada 19 September ini di mana ianya turut akan disiarkan secara langsung di laman Facebook JBSNT dan EMT selaku penganjur bersama.
Penganjuran ini yang juga merupakan sebahagian dari program pembangunan sukan elektronik yang dikelolakan oleh JBSNT dalam usaha untuk mencungkil bakat-bakat terpendam khususnya bagi atlet yang berada dari kawasan luar bandar. Melalui program kerjasama ini juga sudah pasti dapat membantu pihak persatuan sukan berkaitan bagi merangka pelbagai program berkaitan masa depan sukan ini.
Menambah menarik, pentas penganjuran ini turut disertai oleh atlet eletronik Terengganu yang kini dalam persiapan ke pentas temasya Sukan Malaysia (SUKMA Johor 2020) pada tahun hadapan. Kesempatan ini diambil memandangkan ketandusan penganjuran kejohanan sedemikian berikutan pandemik COVID-19 yang belum bernoktah sedikit sebanyak telah merencatkan persiapan pasukan.
“Kejohanan ini adalah kesinambungan penganjuran MyStay@HomeChallenge peringkat negeri oleh Kementerian Belia dan Sukan pada April lalu.. jadi pada penganjuran kali ini adalah untuk memberi peluang kepada peserta-peserta yang tidak berkesempatan untuk sekali lagi berentap di peringkat negeri. Melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu selaku penganjur bersama Esports Malaysia Terengganu sudah pasti kejohanan ini sewajarnya menjadi salah satu platform pembangunan sukan elektronik di negeri ini. Malah pada kejohanan ini turut disertai beberapa atlet Terengganu itu sendiri yang kini dalam persediaan ke pentas SUKMA Johor 2020 nanti.”; ujar Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu Mohd Izwandy Ismail kepada PenyuSukan.com
“Pendaftaran Kejohanan MyEsports Terengganu 2020 terpaksa ditutup awal memandangkan sambutan yang amat memberansangkan sehingga memenuhi kuota pertandingan. Satu penanda aras yang terbaik bagi penganjuran ini. Sesungguhnya kami tidak menjangkakan. Sudah pasti sambutan ini memberi maklum balas jelas agar pertandingan sebegini akan diteruskan di masa hadapan”, berkata Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu Muhammad Shafiq Ahmad Said selaku pegawai penyelaras Kejohanan MyEsports Terengganu 2020.
“Sebarang usaha kerjasama penganjuran berkaitan belia melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu tidak semestinya memfokuskan kejohanan pertandingan sukan elektronik sahaja. Pelbagai program berkaitan sukan ini telah dianjurkan dan banyak lagi program akan datang yang telah dirangka. Sukan ini bukan hanya memfokuskan kepada permainan mahupun pertandingan itu sendiri.. malah melalui sukan elektronik ini juga banyak peluang kerjaya mampu diterokai yang boleh kita hebahkan kepada masyarakat.”, berkata Setiausaha Esports Malaysia Terengganu Syed Afif Hakimi Tengku Abdillah
“Kejohanan ini sangat penting buat kami atlet SUKMA Terengganu yang kini dalam persediaan ke pentas SUKMA Johor 2020 nanti. Hanya melalui kejohanan yang kompetitif mampu untuk kami mengetahui sebarang kelemahan mahupun kesilapan yang perlu kami perbaiki. Sejak PKP(Perintah Kawalan Pergerakan) berikutan pandemik COVID-19 ini, prestasi kami agak terumbang ambing kerana kurang pendedahan dalam sebarang pertandingan sama ada di dalam negeri mahupun luar negara berikutan tiada penganjuran. Kami akan manfaatkan segala peluang dan ruang untuk mengekalkan momentum menjelang SUKMA nanti.”; ulas Faizal Razali selaku atlet sukan elektronik yang kini terlibat dalam persiapan pasukan ke SUKMA Johor 2020 nanti.