BADRUL AFZAN KEKAL TERAJUI TFC BAGI MUSIM 2025/2026

Badrul Afzan Razali merupakan ketua jurulatih Terengganu FC ke-3 sejak pasukan ini diswastakan pada tahun 2020 sebagai Terengganu Football Club Sdn. Bhd. Terdahulu beliau mengantikan Tomislav Steinbruckner yang meninggalkan pasukan pada Oktober 2024. Kredit Foto – Terengganu FC

Terengganu FC (TFC) secara rasmi mengekalkan khidmat Badrul Afzan Razali sebagai ketua jurulatih utama bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2025/2026. Pengumuman ini sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan pelantikan jurulatih import, dan mengukuhkan kepercayaan kelab terhadap tenaga tempatan.

Badrul, yang sebelum ini memegang jawatan sebagai pengendali sementara selepas pengunduran Tomislav Steinbruckner pada Oktober lalu, berjaya membawa skuad Penyu menamatkan musim lalu di tangga kelima Liga Super serta mara ke separuh akhir Piala Malaysia. Prestasi tersebut menjadi asas kukuh kepada keputusan Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) untuk mengekalkan beliau bagi musim baharu ini.

Kontrak rasmi Badrul bermula 1 Julai 2025 hingga 31 Mei 2026, dan beliau telah diberikan mandat penuh untuk membentuk pasukan termasuk pemilihan barisan kejurulatihan serta pemain.

Latihan pramusim dijangka bermula pada awal Julai dengan kehadiran semua pemain termasuk tonggak import.

“Saya amat bersyukur atas kepercayaan yang diberikan. Walaupun cabaran besar menanti, saya optimis untuk membawa TFC ke tahap lebih tinggi, termasuk memburu slot ke Kejuaraan Kelab ASEAN dan Asia,” ujar Badrul dalam kenyataan media.

Musim ini juga menyaksikan beberapa muka baharu menyertai pasukan, termasuk dua pemain tempatan dan lima import, sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh skuad.

Dalam masa sama, TFC turut mengambil langkah berjimat dengan mengehadkan bilangan pemain import kepada empat orang sahaja bagi mengimbangi kos operasi

TFC TEWASKAN KDA FC TAMATKAN SAINGAN LIGA M 2024/2025

Kapten TFC Safawi Rasid meraikan kemenangan bersama penyokong di laman sendiri setelah menewaskan Kedah Darul Aman FC(KDA FC) yang berakhir dengan keputusan 3-0 sekaligus menamatkan kempen Liga Malaysia 2024/2025. Kredit Foto – Terengganu FC

Terengganu FC (TFC) menutup tirai saingan Liga Super Malaysia 2024/2025 dengan kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi terakhir yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi.

Lebih 4,000 penyokong setia skuad Penyu bersorak gembira apabila kapten pasukan, Safawi Rasid, membuka tirai jaringan pada masa kecederaan babak pertama hasil hantaran lintang Engku Muhammad Nur Shakir. Gol itu menjadi pemangkin semangat buat tuan rumah untuk terus mengasak.

Babak kedua menyaksikan dominasi berterusan TFC, dan hasilnya Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili menanduk masuk gol kedua pada minit ke-74 menerusi sepakan sudut Safawi. Walaupun beraksi dengan 10 pemain selepas Engku Shakir dilayangkan kad merah, TFC tetap garang apabila Tukhtasinov menambah gol ketiga empat minit sebelum tamat perlawanan.

Menariknya, Kedah FC sebenarnya mendahului dua jaringan awal menerusi Amirul Hisyam dan Milos Gordic, namun kedua-dua gol dibatalkan selepas semakan VAR mendapati berlaku ofsaid – —satu kelegaan besar buat kem tuan rumah.

Kemenangan ini memastikan TFC menamatkan musim di tangga kelima liga dengan 35 mata, manakala Kedah FC menamatkan kempen di kedudukan ke-11 dengan 21 mata

TFC SASAR PENAMAT MANIS DI GONG BADAK BERTEMU KEDAH

Perlawanan terakhir Liga Malaysia 2024/2025 untuk Terengganu FC di laman sendiri bertemu Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 20 April 2025. Kredit Foto – Terengganu FC

Pemain tengah berpengaruh Terengganu FC, Akram Mahinan, menegaskan bahawa tiada ruang untuk bersikap sambil lewa apabila skuad Penyu turun menentang Kedah Darul Aman FC dalam aksi terakhir Liga Super Malaysia 2024/2025 Ahad ini.

Dalam satu kenyataan kepada media, Akram berkata pasukan berazam tinggi untuk menghadiahkan kemenangan penutup kepada para penyokong yang setia berdiri di belakang pasukan sepanjang musim ini.

Akram Mahinan menyertai Terengganu FC secara rasmi pada Februari 2024 selepas meninggalkan KL City FC, dengan harapan memperkukuh jentera tengah skuad Penyu dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/2025. Kredit Foto – Terengganu FC.

“Ini perlawanan penutup. Tiada alasan nak tarik gear atau santai-santai. Kami sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi Kedah, lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri,” katanya.

Tambah beliau, musim ini penuh pancaroba, namun segala pengalaman harus dijadikan landasan kukuh untuk membina semula kekuatan yang lebih jitu bagi musim akan datang.

“Musim ini perlu jadi pengajaran. Letakkan sasaran lebih tinggi musim depan dan bina semula kekuatan,” tegasnya.

Perlawanan dijangka menjadi pentas terakhir buat beberapa pemain yang akan meninggalkan pasukan, menjadikan aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bukan sahaja sebagai saingan liga, tetapi juga detik emosional buat pasukan dan penyokong.

Ketua jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali, dijangka menurunkan kesebelasan terbaik termasuk kapten pasukan, Safawi Rasid, serta penyerang sensasi Nurillo Tukhtasinov untuk memastikan kemenangan di laman sendiri menjadi kenyataan.

TFC KEKAL DI TANGGA KE-4, BURU SLOT ASIA DALAM LIMA AKSI TERAKHIR

Terengganu FC setelah mengharungi 21 perlawanan dengan 8 kemenangan, 8 seri dan 5 kekalahan untuk berada di tangga ke-4 kedududukan Liga Malaysia 2024/2025. Kredit Foto – Terengganu FC

Terengganu FC (TFC) terus mengekalkan kedudukan keempat dalam carta Liga Super Malaysia 2024/2025 selepas mencatat keputusan seri 2-2 menentang Kuching City FC dalam aksi ke-21 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Dengan keputusan tersebut, TFC kini mengumpul 33 mata, ketinggalan tiga mata di belakang Sri Pahang FC dan dua mata di hadapan Sabah FC. Persaingan untuk kelompok tiga teratas kekal terbuka, dengan baki lima perlawanan dijangka menjadi penentu hala tuju skuad kendalian Badrul Afzan Razali.

Dalam kenyataan kepada media, Badrul mengakui anak buahnya kurang konsisten mengekalkan kelebihan dalam perlawanan:

“Kita dah mendahului dua kali, tapi gagal menutup permainan. Mata yang terlepas ini boleh beri impak besar dalam perebutan slot Asia.”

Baki jadual menyaksikan TFC perlu berdepan lawan langsung seperti Sabah FC, Sri Pahang, serta PDRM FC yang sedang bergelut keluar dari zon bawahan. Ketua pasukan, Safawi Rasid, turut menyeru penyokong terus membanjiri stadium dan menjadi pemain ke-12 dalam perjuangan menamatkan musim dengan tiket ke pentas Asia.

Dengan 33 mata dalam tangan dan sasaran minimum 45 mata untuk slot kejuaraan kelab rantau ini, setiap aksi selepas ini bakal menjadi ‘final’ buat skuad Penyu.

SABAH FC IKAT TFC 2-2 DI LAMAN SENDIRI

Aksi kapten TFC Safawi Rasid sewaktu bertemu Sabah FC di laman sendiri bagi perlawanan ke-23 Liga Malaysia musim 2024/2025. Kredit Foto – Terengganu FC.

Terengganu FC (TFC) mempamerkan semangat juang luar biasa apabila bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk mencatat keputusan seri 2-2 menentang Sabah FC dalam aksi Liga Super Malaysia 2024/2025 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Sabah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi S. Wilkin pada minit ke-19 sebelum Ifedayo Olusegun Akinade menyamakan kedudukan lima minit kemudian hasil gerakan satu-dua bersama Akhyar Rashid. Namun, pelawat kembali di depan menerusi rembatan deras Saddil Ramdani pada minit ke-44, menjadikan kedudukan 2-1 pada separuh masa pertama.

TFC yang tampil lebih agresif di babak kedua akhirnya memperoleh gol penyamaan menerusi sepakan percuma cantik Safawi Rasid pada minit ke-84, sekali gus menyelamatkan satu mata berharga buat skuad kendalian Badrul Afzan Razali.

Keputusan ini menyaksikan TFC kekal di tangga keempat liga dengan 34 mata, manakala Sabah FC terus mempertahankan kedudukan ketiga dengan 36 mata, menjadikan perebutan slot ke pentas Asia semakin sengit menjelang baki empat perlawanan terakhir musim ini.

TFC GAGAL PERTAHAN KELEBIHAN DIIKAT KUCHING CITY FC 2-2

Keputusan seri 2-2 di antara TFC bertemu Kuching City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 21 Februari 2025. Kredit Foto – Terengganu FC.

Terengganu FC (TFC) terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas diikat 2-2 oleh Kuching City FC dalam aksi Liga Super Malaysia 2024/2025 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Tuan rumah bermula garang apabila pemain tengah import, Manuel Ott, meledak gol pembukaan seawal minit ke-8 menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti. TFC hampir menambah jaringan menerusi beberapa percubaan Muhammad Syahmi Zamri, namun ketumpulan penyudah menyaksikan kedudukan kekal 1-0 hingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan TFC menggandakan kelebihan pada minit ke-59 apabila Ismaheel Akinade menyudahkan hantaran Ott untuk menjadikan kedudukan 2-0. Namun, kegembiraan tuan rumah tidak bertahan lama apabila dua bekas pemain TFC, Jordan Mintah dan Petrus Shitembi, masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-64 dan 65 untuk menyamakan kedudukan.

TFC cuba bangkit semula di penghujung perlawanan, termasuk satu percubaan Ott yang terkena palang pada minit ke-90, namun keputusan kekal seri hingga wisel penamat.

Keputusan ini menyaksikan TFC kekal di tangga keempat liga dengan 33 mata, manakala Kuching City terus memberi tekanan di belakang dengan 29 mata, menjadikan perebutan tempat ke pentas Asia semakin sengit.

“MEREKA KATAKAN KITA TIDAK PERNAH MENANG DI SINI” – KETUA JURULATIH KL CITY FC

“Mereka katakan kita tidak pernah menang di sini. Sekarang kami buktikan untuk memecah rekod itu. Tiada apa yang lebih mengembirakan oleh kerana kami kehilangan beberapa pemain untuk perlawanan ini namun kami tetap berikan yang terbaik pada malam ini. Kami merupakan pasukan yang bermasalah namun mereka tetap menunjukkan semangat juang yang tinggi. Saya bangga dengan mereka.” berkata ketua jurulatih KL City FC Miroslav Kuljanac dalam sidang media setelah tamat perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Miroslav Kuljanac dari Crotia yang memulakan tugas bersama pasukan bagi musim 2024 sehingga 2025 berjaya mencipta sensasi tersendiri untuk menamatkan badi pasukan selama 28 tahun untuk meraih kemenangan ke atas Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.

Kredit – https://x.com/devinder00/status/1890416379259494449

Menurut ciapan pengguna Twitter, @devinder00 mengatakan kali terakhir KL City FC meraih kemenangan di Terengganu adalah pada tahun 1997 yang lalu sewaktu kempen Liga Perdana di mana ketika itu berakhir dengan keputusan 1-0 hasil jaringan oleh Adilson Roque.

GOL KONTROVERSI KL CITY FC BENAM TFC DI LAMAN SENDIRI

Aksi longlai TFC di laman sendiri dihukum oleh penyerang KL City FC Paulo Josue dengan tandukan mudah untuk mengecewakan penjaga gol TFC Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin di minit-minit akhir separuh masa pertama meletakkan keputusan terikat 1-1.

Babak separuh masa kedua menyaksikan tempo permainan lebih laju buat kedua-dua pasukan untuk berhempas pulas mencipta gol bagi mendahului perlawanan dengan lebih selesa.

Tambahan jaringan gol oleh pemain gantian KL City FC Patrick Alcala Reichelt di minit-84 yang awalnya dinafikan oleh pengadil perlawanan Mohd Amirul Izwan Yaacob berikutan situasi ‘off side’ namun melalui penentuan video bantuan pengadil(VAR) memberi kelebihan buat pasukan pelawat untuk mendahului perlawanan 2-1 sehingga tamat perlawanan.

TFC mencatatkan 5 kekalahan setakat ini setelah mengharungi 18 perlawanan untuk masih kekal di tangga ke-4 kedudukan liga manakal KL City FC melonjak naik ke tangga ke-7.

STADIUM SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN CATAT KEHADIRAN 1,103 PENYOKONG

Seramai 1,103 jumlah kehadiran penonton di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi aksi perlawanan Liga Super Malaysia 2024/2025 di antara pasukan tuan rumah Terengganu FC(TFC) bertemu Kuala Lumpur City FC(KL City FC).

KL City FC hadir dengan reputasi pasukan bukan pilihan musim ini berjaya membuat kejutan untuk menewaskan TFC berkeputusan 2-1 sekaligus memperbaiki rekod pasukan untuk meraih kemenangan di stadium ini.

Walaupun terdahulu TFC mendahului jaringan ‘bonus’ dari luar kotak penalti oleh pemain pertahanan Safwan Mazlan di minit ke-15 namun gagal untuk membina momentun penguasaan padang.

Aksi longlai TFC di laman sendiri dihukum oleh penyerang KL City FC Paulo Josue dengan tandukan mudah untuk mengecewakan penjaga gol TFC Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin di minit-minit akhir separuh masa pertama meletakkan keputusan terikat 1-1.

Senarai nama pemain-pemain pasukan Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC yang bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus bagi saingan Liga Super 2024/2025.

Babak separuh masa kedua menyaksikan tempo permainan lebih laju buat kedua-dua pasukan untuk berhempas pulas untuk mencipta gol bagi mendahului perlawanan dengan lebih selesa.

Tambahan jaringan gol oleh pemain gantian KL City FC Patrick Alcala Reichelt di minit-84 yang awalnya dinafikan oleh pengadil perlawanan Mohd Amirul Izwan Yaacob berikutan situasi ‘off side’ namun melalui penentuan video bantuan pengadil(VAR) memberi kelebihan buat pasukan pelawat untuk mendahului perlawanan 2-1 sehingga tamat perlawanan.

TFC mencatatkan 5 kekalahan setakat ini setelah mengharungi 18 perlawanan untuk masih kekal di tangga ke-4 kedudukan liga manakal KL City FC melonjak naik ke tangga ke-7.

SUKMA 2024: JURANG 1 GOL BUAT JUARA BERTAHAN

Skuad bola sepak lelaki kontijen Terengganu hadir selaku juara bertahan di pentas temasya SUKMA Sarawak 2024. Kredit Foto – Facebook B20 Piala Presiden Terengganu

Skuad bola sepak kontijen Terengganu hadir dengan reputasi besar selaku juara bertahan bermula dengan langkah kiri setelah tewas 0-1 dinafikan Johor dalam aksi perlawanan pertama peringkat kumpulan Sukan Malaysia(SUKMA Sarawak 2024) yang telah berlangsung di Stadium Zaidi Adruce, Sibu.

Setelah terikat seri tanpa jaringan buat kedua-dua pasukan pada babak separuh masa pertama, akhirnya gol pertama milik pasukan Johor yang disempurnakan melalui tandukan oleh kapten pasukan Johor Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri pada minit ke-60 permainan.

Skuad bola sepak lelaki kontijen Terengganu hadir selaku juara bertahan untuk kembali merebut pingat emas temasya Sukan Malaysia(SUKMA Sarawak 2024). Kredit Foto – Facebook – FA of Sarawak

Jaringan itu juga kekal sehingga tamat permainan untuk menoktahkan Terengganu terlepas 3 mata perlawanan pertama bagi saingan peringkat kumpulan ini.

Seterusnya Terengganu dibawah kendalian ketua jurulatih Subri Sulong dijadualkan untuk bertemu Sabah pada 16 Ogos ini sekaligus menjadi misi wajib menang sekiranya ingin kekal terus mara ke pusingan peringkat akhir kejuaraan. Pada temasya sukan terbesar tanah air edisi ke-21 kali ini, Terengganu telah diundi di dalam kumpulan bersama Johor dan Sabah.

Untuk rekod pada penganjuran SUKMA MSN 2022 lalu, Johor tersingkir di peringkat suku akhir setelah dinafikan Wilayah Persekutuan pada penentuan penalti 5-4 setelah terikat 1-1 di Stadium UiTM, Shah Alam.

Manakala ketika itu Terengganu telah mencipta kejutan sekaligus menamatkan penantian selama 12 tahun untuk skuad bola sepak merangkul pingat emas ‘ibu segala pingat’ setelah menewaskan Pulau Pinang berkesudahan 2-0 pada perlawanan akhir SUKMA edisi ke-20 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur ketika itu.

Marin Pilj Kian Selesa Bersama Terengganu FC

Pemain tengah kelahiran Croatia, Marin Pilj, menjadi awang import ketujuh dan terakhir Terengganu FC (TFC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2024/25. Kredit – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

Pemain import baharu Terengganu FC (TFC), Marin Pilj, tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri sejak menyertai pasukan itu musim ini.

Kehadiran rakan senegara, Ivan Mamut dan pengendali, Tomislav Steinbruckner, ujarnya banyak membantu untuk mengenali lebih dekat budaya di bumi Darul Iman.

Menurut Pilj, dia juga terkejut melihat kualiti pemain tempatan dalam pasukan TFC yang jauh lebih baik berbanding sangkaan sekaligus menambah keyakinannya.

“Ketika menerima tawaran TFC, saya tiada pengetahuan langsung tentang bola sepak di Malaysia dan saya membuat kajian selain bertanyakan kepada Mamut dan jurulatih.

“Mereka mengatakan perkara yang positif mengenai Liga Malaysia (Liga M) dan itu yang mendorong saya datang serta menolak tawaran beberapa kelab di Croatia.

“Saya sering keluar ke bandaraya ini bersama Mamut dan peminat melayan kami dengan sangat baik, jadi saya tidak sabar untuk beraksi,” ujarnya sewaktu ditemui.

Menyifatkan dirinya pemain serba boleh di bahagian tengah, Pilj juga mengakui reputasi Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai gergasi Liga M menjadi satu-satunya maklumat pada peringkat awal.

“Saya menyaksikan video final tahun lalu ketika TFC tewas dan memang JDT pasukan yang handal, tetapi melihat kualiti pasukan musim ini, kami boleh memberi cabaran.

“Sasaran saya untuk membantu TFC sekurang-kurangnya membaiki pencapaian musim lalu dan memburu satu trofi untuk dibawa pulang,” tambahnya.

Pemain Import Tidak Ganggu Fokus Akram Mahimam Bersama TFC

Muhammad Akram Mahinan meneruskan karier sebagai pemain bola sepak bersama Terengganu FC bagi musim 2024 ini di mana sebelum ini beliau beraksi sebagai pemain tengah bersama Kuala Lumpur City FC(KL City FC). Kredit Foto – Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

Kehadiran tiga awang import di posisi tengah tidak melemahkan semangat Akram Mahinan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama Terengganu FC (TFC) musim ini.

Menurut pemain berpengalaman itu, beliau optimis masih mampu memikat barisan kejurulatihan meskipun menyedari saingan sengit untuk berada dalam perancangan pasukan.

Akram menjelaskan, keputusan untuk berhijrah ke Pantai Timur adalah untuk mencuba cabaran baharu dan itu yang akan dilakukan bekas tonggak Harimau Malaya berkenaan.

“Sudah tentu saya harus bersaing dengan (Manny) Ott, Nurillo (Tukhtasinov) dan Marin (Pilj) yang baru tiba untuk posisi tengah tetapi jurulatih tentu ada percaturan tersendiri dalam setiap perlawanan.

“Saya melihat ini adalah persaingan positif yang hanya menguntungkan TFC kerana semua pemain pasti akan beri yang terbaik ketika latihan dan kami juga akan melalui musim yang panjang.

“Jadi saya juga tidak terkecuali, mahu beri lebih 100 peratus komitmen kepada TFC dan membuktikan kemampuan untuk berada dalam kesebelasan utama,” katanya ketika ditemui.

Akram yang juga bekas pemain KL City FC dan Kedah sebelum ini turut antara muka baharu memperkuatkan skuad Penyu menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.

Pengendalinya, Tomislav Steinbrucker, menyifatkan pengalaman dimiliki pemain berkenaan merupakan aset terpenting yang mampu memberi impak kepada TFC terutama di posisi tengah.

“Beliau (Akram) adalah pemain tempatan terbaik yang tahu peranan di posisi itu dan kehadirannya akan memberi kestabilan kepada pasukan terutama ketika bertahan dan menyerang,” katanya.

Marin Pilj Tutup Kuota Pemain Import TFC Musim 2024

Pemain tengah kelahiran Croatia, Marin Pilj, menjadi awang import ketujuh dan terakhir Terengganu FC (TFC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2024/25.

Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner, berkata, pemain berusia 28 tahun itu sah menjadi milik TFC dengan kontrak setahun sehingga pengujung musim ini.

Menurut beliau, kehadiran Pilj melengkapkan barisan pemain TFC dengan kekuatan seimbang di semua posisi bagi mengharungi musim 2024/25 yang panjang.

PenyuSukan – Terengganu FC 2024 Marin Pilj. Kredit Foto – Facebook.com/footballclubterengganu

“Kemasukan beliau (Pilj) sudah tentu memperkemaskan lagi kualiti pemain dan saya gembira melihat muka-muka baharu dalam bilik persalinan.

“Ini adalah awang import terakhir pasukan dengan beberapa pemain tempatan pula dipinjamkan bagi mencari minit permainan seperti Arif Fadzilah Abu Bakar dan Zueasyraf Zulkieflie.

“Pilj pemain yang mampu mengetuai posisi tengah selain turut memiliki kepakaran bola mati, jadi saya harap dia dapat memberi impak kepada TFC,” katanya ketika ditemui.

Sebelum ini, TFC telah diperkuatkan Argzim Redzovic (Montenegro), Matthew Steenvordeen (Belanda), Nurillo Tukhtasinov (Uzbekistan) dan Manuel Ott (Filipina).

Turut mengisi kuota awang import ialah penyerang berasal Nigeria, Ismaheel Akinade dan Ivan Mamut, juga dari Croatia.

Sebelum menyarung jersi TFC, Pilj ialah tonggak NK Varazdin dalam Liga Croatia dengan 18 penampilan musim ini membantu kelab itu berada di kedudukan kelapan liga.

“Saya merancang untuk menguji keserasian pemain dengan mengadakan siri perlawanan pemanas badan di Lembah Klang penghujung bulan ini,” jelas Steinbruckner.

Manuel Ott Pulang Ke Terengganu Bagi Saingan Musim 2024

Bekas pemain Terengganu FC pada musim 2022, Manuel Gelito Ott(tengah) telah diumumkan secara rasmi oleh TFC untuk kembali bersama pasukan bagi saingan Liga Malaysia musim 2024 ini. https://www.facebook.com/footballclubterengganu

Setelah semusim bersama Terengganu FC(TFC) pada tahun 2022 dah musim seterusnya berhijrah ke Kedah Darul Aman FC(KDA FC), kini Manuel Ott kembali membarisi pasukan TFC di bawah kendalian ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner bagi kempen Liga Malaysia(Liga M) musim 2024 ini.

Khidmat pemain tengah berusia 32 tahun itu ternyata masih ditagih skuad Penyu yang tidak menunggu lama untuk menyambar tonggak kebangsaan Filipina berkenaan untuk mengisi kuota Asean.

Pengesahan kehadiran pemain berusia 32 tahun itu dibuat menerusi pengumuman di media sosial rasmi TFC hari ini sekaligus mengesahkan desas-desus kepulangan Ott ke Pantai Timur.

Walaupun Manuel Gelito Ott meninggalkan TFC pada musim 2022, bekas pemain kebangsaan Filipina kelahiran Jerman ini masih menjadi pilihan ketua jurulatih TFC Tomislav Steinbruckner untuk kempen Liga Malaysia musim 2024 ini. Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

Jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner, berkata, beliau optimis pemain berkenaan tidak akan memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan rentak permainan Sang Penyu.

Menurut Steinbruckner, Ott merupakan pilihan terbaik untuk mengisi kuota awang import Asean yang sebelum ini milik penyerang Thailand, Adisak Kraisorn dan Omid Nazari (Filipina).

“Penghijrahan Ott adalah keputusan terbaik bagi kedua-dua pihak, saya kenal beliau sejak 2022 ketika menjadi Pengarah Teknikal TFC di bawah kendalian ketua jurulatih terdahulu.

“Dia (Ott) pemain yang berkualiti dan pengalamannya dalam Liga M sejak beberapa tahun lalu diyakini mampu memberi kekuatan di bahagian tengah bersama pemain lain.

“Saya gembira dengan kemasukannya dan berharap akan memberi impak bersama Nurillo Tukhtasinov dan seorang lagi muka baharu, Akram Mahinan,” katanya kepada rakan media di Terengganu.

Ott memulakan kariernya bersama kelab ramaja Bundesliga Jerman, TSV 1860 sebelum berkelana ke Asia Tenggara bersama kelab Filipina, Ceres La Salle dan United City serta Ratchaburi FC.

Pemain itu kemudian beraksi untuk Melaka pada 2021 dan menyerlah bersama TFC pada 2022 di bawah kendalian jurulatih ketika itu, Nafuzi Zain sebelum kedua-duanya berhijrah ke KDA, tahun lalu.

Namun masalah tunggakan gaji yang melanda dikatakan menjadi antara punca penghijrahan besar-besaran tonggak import KDA dengan Ott turut menamatkan kontrak secara persetujuan bersama.

Akhyar Rashid Perlukan Minit Permainan Bersama TFC

Pemain kelahiran Kedah Akhyar Rashid dipinjamkan oleh Johor Darul Takzim (JDT) kepada Terengganu FC(TFC) bagi kempen saingan Liga Malaysia(Liga M) musim 2024 ini. Turut dipinjamkan oleh JDT kepada TFC adalah pemain kelahiran Dungun, Safawi Rasid(tiada dalam gambar). Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

Saya hanya mahu sertai Terengganu FC (TFC), itu kata pemain sayap, Akhyar Rashid, berkenaan keputusannya untuk mencari minit permainan bagi musim 2024/25.

Menurut Akhyar, dia menyedari perlu berada dalam kesebelasan utama lebih kerap bagi terus berada dalam perancangan lebih besar bersama Harimau Malaya.

Malah beliau mengakui cadangan pengendali negara, Kim Pan Gon turut mendorongnya membuat keputusan untuk menyertai TFC musim ini.

“Sudah tentu saya mahu beraksi lebih kerap lebih-lebih lagi untuk kekal dalam perancangan jurulatih Pan Gon menjelang kelayakan Piala Dunia, bulan depan.

“Beliau (Pan Gon) ada menasihatkan saya agar mencari minit permainan jadi saya membuat keputusan untuk mencari kelab baharu secara pinjaman.

“Saya hanya menghubungi CEO TFC, tiada kelab lain, dan beliau juga menyambut baik hasrat untuk menyarung jersi Sang Penyu,” katanya kepada pemberita yang hadir ketika sesi latihan sulung, petang semalam.

Jelas Akhyar, 25, keputusan meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan mudah apatah lagi kelab gergasi itu serba lengkap namun harus membuat keputusan demi perkembangan kariernya

“Saya juga tahu Safawi (Rasid) akan ke TFC, jadi saya pun berbincang dengan ahli keluarga dan mereka pun bersetuju mengenai perpindahan ini,” katanya.

TFC Tamatkan Kempen Liga Super 2023 Di Kedudukan Tangga Ke-6

Terengganu FC menamatkan kempen Liga Super musim 2024 ini di kedudukan tangga ke-6 liga dengan kutipan 40 mata setelah meraih kemenangan terakhir untuk menewaskan Perak FC berkesudahan 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 18 Disember 2023. Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

Terengganu FC (TFC) mengesahkan tempat keenam dalam kempen Liga Super 2023 selepas menewaskan Perak 3-0 pada aksi terakhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.

Naib juara Piala Malaysia itu memerlukan tujuh minit untuk memecahkan kebuntuan berpunca kesilapan penjaga gol Perak, Farhan Abdul Majid sebelum Ivan Mamut mudah menolak masuk gol pertama TFC.

TFC kemudian melebarkan jaringan apabila hantaran lintang Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim dari sebelah kanan ditanduk kemas Engku Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-17.

Pintu gol pelawat nyaris dibolosi buat kali ketiga pada minit ke-23 mujur kali ini Farhan lebih tangkas menepis percubaan Sony Norde yang masuk di kawasan berbahaya di sebelah kiri.

Barisan kesebelasan utama Terengganu FC untuk menewaskan Perak FC berkesudahan 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 18 Disember 2023 sekaligus menutup kempen Liga Super musim ini untuk di kedudukan tangga ke-6 liga. Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu
Statistik penuh perlawanan terakhir buat Terengganu FC dalam kempen Liga Super 2023 setelah menafikan Perak FC berkesudahan 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Terengganu pada 18 Disember 2023. Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

Kedudukan 2-0 kekal ke bilik persalinan setelah sepakan Norde pada minit ke-44 hasil gerakan dengan Mamut melambung tinggi sebelum pengadil meniup wisel tamat separuh masa.

Bersambung babak kedua Perak memiliki peluang pertama menyaksikan voli pemain gantian, Shivan Pillay Asokan minit ke-47 mudah ke dakapan penjaga gol TFC, Syed Nasrulhaq Syed Bidin.

Aksi makin rancak giliran skuad Peteh mengasak namun percubaan Nik Sharif Haseefy minit ke-48 diselamatkan penjaga gol disusuli rembatan Mamut minit ke-51 tinggi melepasi sasaran.

TFC dihidangkan peluang terbaik minit ke-57 menyaksikan percubaan berturut-turut Norde dan Engku Nur Shakir melantun menggegar palang untuk menyelamatkan gawang Perak.

Norde terus kempunan untuk menjadi pencetak gol malam ini apabila sepakan leretnya minit ke-61 terkena tiang ketika penjaga gol Perak sudah tertewas di posisinya.

Gol ketiga dicari-cari TFC menjelma minit ke-81 apabila Norhakim Hassan bijak melepasi perangkap offside sebelum menggelecek penjaga gol untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat dengan TFC kembali naik ke kedudukan keenam mengumpul 40 mata manakala Perak terpaksa akur di tempat ke-11 memungut 22 mata.

Terengganu FC(TFC) menamatkan saingan kempen Liga Super musim 2023 ini di kedudukkan tangga ke-6 liga setelah mengharungi 26 perlawanan untuk 11 kemenangan, 7 seri dan 8 kekalahan sekaligus menutup kalendar musim 2023 ini dengan kutipan 40 mata. Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

Liga Super 2023: Aksi Penutup Buat TFC Di Laman Sendiri Bertemu Perak FC

Terengganu FC (TFC) mahu menjadikan aksi penutup tirai Liga Super menentang Perak sebagai pengubat luka setelah mengharungi kempen mengecewakan musim ini.

Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner, berkata, TFC wajib menghadiahkan kemenangan kepada penyokong setia yang tidak jemu memberikan sokongan.

Ketua Jurulatih Terengganu FC Tomislav Steinbruckner. Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

“Sejujurnya saya risau reaksi pemain selepas kalah final Piala Malaysia namun melihat persembahan ketika menewaskan Bali United,  ada sebab untuk saya rasa gembira.

“Kami mahu menutup musim 2023 dengan tiga mata dan saya yakin pemain juga bawa misi sama apatah lagi ini perlawanan terakhir buat beberapa daripada mereka.

“Walaupun berputih mata dalam Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala AFC tapi pemain sudah beri yang terbaik jadi motivasi itu akan diteruskan,” katanya sewaktu ditemui.

TFC kini di kedudukan ketujuh dengan 37 mata ketinggalan satu mata di belakang KL City yang seri 0-0 dengan Sri Pahang, malam tadi.

Kemenangan ke atas Perak malam ini akan membawa TFC kembali memintas KL City sekaligus menjadi penamat saingan liga domestik dan AFC musim ini

Sementara itu Steinbruckner mengakui fokusnya sudah terarah kepada persiapan membentuk pasukan 2024 dengan perbincangan kontrak baharu berjalan positif.

“Saya dan pihak pengurusan kelab sudah beberapa kali berbincang tawaran lanjutan kontrak dan saya harap semuanya berjalan lancar untuk dimuktamadkan segera.

“Sasaran sudah tentu tinggi namun dengan kehadiran pemain lebih berkualiti saya yakin dapat membawa TFC meraih keputusan cemerlang musim depan,” katanya.

Tiga Import TFC Akan Digugurkan

Reaksi peminat Terengganu FC(TFC) yang hadir sendiri ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin untuk memberi sokongan sewaktu perlawanan bertemu Johor Darul Ta’zim(JDT) yang berakhir dengan keputusan 3-1 memihak kepada pasukan pelawat. Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

Sekurang-kurangnya tiga awang import Terengganu FC (TFC) akan digugurkan sebagai persiapan pasukan itu menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Perubahan itu antara penstrukturan semula membabitkan pemain asing Sang Penyu yang hanya akan mengisi lima daripada sembilan kuota dibenarkan.

Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim, ianya diambil sebagai langkah penjimatan menghadapi aksi 2024/25.

Beliau berkata, TFC juga mahu memastikan hanya pemain berkualiti memperkuatkan pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner itu terutamanya pemain import.

Hishamuddin Abdul Karim dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu(PBSNT) berkuat kuasa pada 8 Oktober 2023 bagi mengantikan Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merupakan Menteri Besar Terengganu. Keputusan itu diputuskan sendiri oleh Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang merujuk pada Statut PBSNT yang memberi kuasa kepada Presiden untuk memilih penganti. Untuk rekod, Hishamuddin Abdul Karim juga merupakan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu bagi penggal 2023-2027.- Kredit Foto – https://www.facebook.com/profile.php?id=100092671772786

“Proses mengenalpasti pemain yang akan dibawa sudah pun dimulakan Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan termasuk status jurulatih TFC II, TFC III dan TFC IV.

“Buat masa ini kita sahkan status jurulatih skuad Liga Super iaitu Steinbruckner dahulu dan langkah seterusnya adalah membentuk barisan pemain di semua posisi.

“Namun dalam keghairahan itu TFC sudah ada asas yang kukuh iaitu pemain muda sebagai tulang belakang pasukan dan hanya perlu diperkuatkan tonggak import berkualiti.

“Sebagai langkah berjimat-cermat, kita akan kurangkan kepada lima atau enam pemain import sahaja bergantung cadangan ketua jurulatih,” katanya sewaktu ditemui.

Musim ini TFC diperkuat bek tengah, Argzim Redzovic dan Sardor Kulmatov, peman tengah, Habib Haroon, Nurillo Tukhtasinov, Sony Norde dan Omid Naziri.

Turut membarisi jentera serangan ialah Ivan Mamut, Adisan Kraisorn dan Jordan Mintah yang diturukan pangkat ke pasukan TFC II gara-gara perselisihan faham.

Pengurangan awang import ini dikatakan antara usaha Sang Penyu mendapatkan pemain tempatan berkualiti dengan khabar angin mengaitkan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid dengan pasukan itu musim depan.

“Desas-desus berkenaan tidak boleh jawab lagi, tunggu kita sahkan dahulu,” tambah Hishamuddin ketika ditanya tentang kehadiran tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) tersebut.

Habib Haroon Belum Putus Untuk Bersama TFC

Kapten pasukan Terengganu FC Habib Haroon sewaktu memanas badan sebelum aksi perlawanan ke-3 peringkat kumpulan Piala AFC 2023 bermula untuk bertemu pasukan dari Indonesia; Bali United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Terengganu pada 13 Disember 2023. Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

Masa depan kapten Terengganu FC (TFC), Habib Haroon, masih samar sama ada kekal bersama naib juara Piala Malaysia itu atau sebaliknya untuk saingan musim depan.

Pemain tengah berusia 23 tahun itu sedang menimbang beberapa perkara sebelum menerima tawaran lanjutan kontrak daripada TFC yang masih menagih khidmatnya.

Dalam masa sama Habib mengakui turut dirisik kelab tempatan selain pasukan luar negara termasuk dari negaranya dalam Liga Bahrain, Oman dan Arab Saudi.

“Pihak pengurusan ada menawarkan lanjutan kontrak yang akan tamat hujung bulan ini tetapi saya masih memikirkannya dan belum membuat sebarang keputusan.

“Kelab dari Indonesia juga ada menyatakan minat jadi saya sedang meneliti dari semua sudut untuk menentukan pasukan yang akan diwakili pada musim depan.

“Secara peribadi hati saya berat untuk meninggalkan TFC dan 70 peratus saya fikir mahu kekal kerana Terengganu adalah rumah kedua dan selesa di sini.

“Tetapi dalam bola sepak kadang-kadang perubahan boleh berlaku,” katanya kepada pemberita.

Sejak menyertai TFC pada 2021, Habib menjadi nadi skuad Peteh di posisi tengah muncul naib juara Liga Super dan Piala FA pada 2022 sebelum beraksi di pentas akhir Piala Malaysia, minggu lalu.

Masa depannya menjadi perbualan setelah dilaporkan tidak berpuas hati dikeluarkan ketika TFC memburu gol penyamaan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), 8 Disember lalu.

Habib kemudian hilang lilitan kapten pada pertemuan Piala AFC menentang Bali United, Rabu lalu, dengan tanggungjawab itu sebaliknya diberikan kepada pemain sayap, Sony Norde.

Tomislav Steinbruckner memulakan karier pertama bersama Terengganu FC(TFC) sejak diswastakan sebagai entiti sebagai sendirian berhad selaku Pengarah Teknikal pada Mac 2022 sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan bagi mengantikan Nafuzi Zain untuk saingan kempen musim 2023. – Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

“Memang saya menukar kapten ekoran insiden itu, dia (Habib) tidak sepatutnya bertindak demikian namun kami berbincang mengenainya dan semuanya baik,” kata pengendali, Tomislav Steinbruckner.

Nasib Ketua Jurulatih Tomislav Steinbruckner Menjadi Perhatian Peminat

Ketua jurulatih Terengganu FC(TFC) bagi musim 2023 ini, Tomislav Steinbruckner yang kini berusia 56 tahun berasal dari Croatia. Pada musim lalu sewaktu TFC di bawah kendalian ketua jurulatih Nafuzi Zain, Tomislav Steinbruckner telah dilantik selaku pengarah teknikal TFC malah pada tahun 2015 beliau juga merupakan ketua jurulatih T-Team. Tomislav Steinbruckner ditawarkan kontrak selaku ketua jurulatih pasukan selama satu musim yang akan berakhir pada 31 Disember 2023. Kredit Foto – Facebook.com/footballclubterengganu

Masa depan pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, sama ada kekal melatih kelab itu atau sebaliknya akan menjadi perhatian menuju penutup tirai tahun ini.

Prestasi hambar kedudukan keenam Liga Super yang berbaki satu perlawanan selain sekadar mara ke separuh akhir Piala FA menyaksikan jurulatih berusia 57 tahun itu gagal menepati sasaran dilletakkan.

Kekalahan di final Piala Malaysia, Jumaat lalu, pula melengkapkan kekecewaan TFC tatkala peluang melepasi peringkat kumpula Piala AFC tampak semakin pudar kecuali keajaiban berlaku.

Bagaimanapun beberapa kelab penyokong menyifatkan Steinbruckner wajar diberi peluang untuk kekal membimbing TFC pada 2024 bagi meneruskan kesinambungan dari musim ini.

Presiden Kelab Penyokong Bolasepak TFC, Mohd. Isa Che Ariffin, berkata, sentuhan pengendali berasal Croatia itu tetap ditagih dengan syarat membawa masuk tonggak tempatan dan import lebih berkualiti.

Ujarnya, Steinbruckner berjaya membawa TFC ke pentas akhir Piala Malaysia dalam musim pertamanya bersama kelab itu dan separuh akhir Piala FA dengan pilihan pemain yang terhad.

“Dengan membawa masuk pemain lebih berkualiti dan bukan sekadar pelengkap, kami yakin Steinbruckner boleh membentuk sebuah pasukan mantap berbanding yang sedia ada.

“Gugurkan pemain import yang sekadar menjadi ‘penumpang’ dalam pasukan dan cari pengganti yang mampu menyumbang keepada pasukan termasuk tonggak tempatan.

“Daripada awang import yang ada, hanya Ivan Mamut, Habib Haroon dan Nurillo Tukhtasinov wajar dikekalkan selain pemain tempatan diketuai Shahrul Nizam Roshasni,,” katanya sewaktu ditemui.

Nada sama turut disuarakan Pengerusi Kelab Penyokong Bola Sepak dan Futsal Terengganu, Mohd. Juslihadi Mohamad, yang menyifatkan Steinbruckner berada dalam kelas tersendiri musim ini.

Katanya, Steinbruckner memiliki falsafah bola sepak tersendiri selain berani meletakkan kepercayaan kepada ramai pemain muda TFC dalam kesebelasan utamanya.

“Dengan bajet yang mungkin berkurang pada 2024, TFC perlu mendapatkan tonggak import yang benar-benar berkualiti kerana kami tidak mahu mereka sekadar tangkap muat seperti tahun ini.

“Kurangkan pengambilan awang import yang tidak berfungsi sebaliknya fokus menambah kekuatan seimbang di bangku simpanan agar pasukan ada barisan 23 pemain yang handal,” katanya.

Piala Malaysia 2023: Penyokong Mahukan Perlawanan Berkualiti

Barisan penyokong Terengganu FC(TFC) dari Kampung Wakaf Dua, Bukit Payung kini dalam persediaan ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 9 Disember 2023 ini. Kredit Foto – Agensi

Jangan rosakkan kualiti perlawanan denga mutu pengadilan yang buruk, cukup padang saja yang buruk, itu harapan penyokong Terengganu FC (TFC) menjelang final Piala Malaysia, malam ini.

Salah seorang penyokong, Muda Mat Ali, 62, berkata, penyokong kedua-dua pasukan mahu menyaksikan perlawanan menarik sambil diadili pegawai perlawanan yang berkelayakan.

Menurut Muda, penyokong TFC membawa harapan besar dari jauh untuk memberi sokongan kepada pasukan kesayangan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jelasnya, pengadil tidak seharusnya mencuri perhatian dengan membunuh kerancakan permainan apatah lagi tiada teknologi video bantuan pengadil (VAR) seperti dirancang Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

 Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

“Penyokong boleh terima apa jua keputusan sama ada kalah atau menang kerana itu adat pertandingan namun kami datang dari jauh mahu menyaksikan 90 minit yang berkualiti.

“Tanpa bantuan teknologi VAR, tugas lebih berat menanti pegawai terutama perlawanan akhir dan sebagai penyokong, saya harap pengadil tidak berat sebelah kepada mana-mana pasukan” katanya.

Dia ditemui bersama hampir 150 penyokong TFC dari Kampung Wakaf Dua dekat Bukit Payung, Marang, semalam, sebelum bertolak ke ibu negara bagi memberi sokongan kepada skuad Sang Penyu.

Muda menjelaskan, pihaknya akan hadir dengan bertemakan kain batik sebagai kelainan dan memeriahkan suasana perlawanan akhir bersama beberapa kelab penyokong yang lain.

Katanya yang juga penyokong tegar TFC, kunjungan ke stadium keramat negara itu merupakan acara wajib penduduk kampung berkenaan setiap kali pasukan Sang Penyu melangkah ke final.

“Tema kain batik untuk disarung bersama jersi juga memang menjadi identiti kami sebagai tanda sokongan kepada negeri kesayangan dengan harapan dapat membawa pulang trofi Piala Malaysia.

“Memang kelebihan jelas memihak JDT namun pasukan ‘adik’ iaitu TFC II sudah membuktikan pasukan ‘underdog’ juga boleh muncul juara setelah mengalahkan JDT II dalam final Piala MFL,” katanya.

Akhir Piala Malaysia: “Turun tanpa tekanan” – Ketua Jurulatih TFC

Tomislav Steinbruckner memulakan karier pertama bersama Terengganu FC(TFC) sejak diswastakan sebagai entiti sebagai sendirian berhad selaku Pengarah Teknikal pada Mac 2022 sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan bagi mengantikan Nafuzi Zain untuk saingan kempen musim 2023. – Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

Terengganu FC (TFC) memasang tekad untuk memberikan tentangan sengit kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.

Ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner, berkata, beliau mahu skuad Penyu turun dengan rentak positif bagi menyekat kemaraan JDT yang memburu kejuaraan ‘quadruple’ buat tahun kedua berturut-turut.

“Kami akan turun tanpa sebarang tekanan kerana di atas kertas, kelebihan jelas memihak JDT. Jika mereka membariskan pasukan kedua sekalipun, masih terlalu kuat untuk pihak lawan.

“Namun kami tetap ada motivasi dan tahu ‘ramuan’ yang diperlukan untuk melakar kejutan, malah tiada istilah mustahil dalam kamus bola sepak saya,” katanya sewaktu ditemui pada hari ini.

Kem TFC diraikan dalam majlis ringkas di Lapangan Terbang Sultan Mahmud sebelum berlepas ke ibu negara dihadiri Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim.

Ketua Jurulatih Terengganu FC Tomislav Steinbruckner. Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

Tambah Steinbruckner lagi, tempoh 20 minit pertama Jumaat nanti akan menjadi antara faktor paling penting untuk melihat sama ada TFC mampu menyekat kemaraan JDT atau sebaliknya.

Katanya, Sang Penyu perlu tampil lebih garang dan tidak membenarkan penguasaan bola didominasi JDT terutama bahagian tengah yang menjadi ‘enjin’ kedua-dua pasukan.

“Pemain-pemain harus bermain agresif dari awal permainan kerana TFC mahukan sesuatu daripada perlawanan ini dan tidak akan memberi laluan mudah kepada pasukan lawan.

“Mungkin dibantu sedikit faktor tuah dan nasib yang menyebelahi kami, pelbagai kemungkinan boleh berlaku malah kami bersedia jika berlanjutan ke masa tambahan atau penalti,” katanya.

Liga Super 2023: Sabah Musnahkan TFC Di Laman Sendiri

Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

Sabah ‘memusnahkan’ kami dengan corak permainan tersusun sejak minit pertama, itu reaksi awal jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner setelah dijinakkan 0-4, malam tadi.

Malah jurulatih berasal Croatia itu bagaikan hilang kata-kata menyaksikan aksi longlai anak-anak buahnya sambil mengakui TFC tewas di tangan pasukan lawan yang lebih baik.

Menurut Steinbruckner, antara punca kekalahan itu adalah faktor krisis kecederaan dialami TFC memaksa beliau merombak kesebelasan utama terutama benteng pertahanan.

“Pihak lawan lebih pantas dalam setiap perebutan, malah melakukan gerakan lebih baik berbanding kami menyebabkan TFC tewas penguasaan bola, saya tidak boleh berkata apa-apa malam ini (semalam).

“Ini persembahan paling buruk TFC dan selepas membuat pertukaran pada babak kedua, kelebihan masih milik Sabah dengan kualiti pemain simpanan memisahkan kami,” katanya kepada pemberita.

Pada perlawanan itu, TFC tumpas empat gop tanpa balas di tangan Sabah hasil voli menarik Ramon Machado minit keenam, Sadiil Ramdani (m-29), Miguel Cifuentes (m-40) dan Jefri Firdaus Chew (m-48).

TFC bagaimanapum turun tanpa tonggak pertahanan antaranya Azam Azmi Murad, Shahrul Nizam Roshasni dan Alif Zakaria sambil pemain sayap, Norhakim Hassan menjadi ‘bidan terjun’ di posisi bek kanan.

“Malam ini (semalam) menunjukkan mereka penting kepada pasukan saya, namun ia tidak boleh dijadikan alasan punca kami mudah ditundukkan di laman sendiri tetapi saya kecewa,” katanya.

Sabri Abas Dilantik CEO Baharu Terengganu Football Club Sdn. Bhd.

Mohd Sabri Abas dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif(CEO) Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd setelah diumumkan secara rasmi pada 9 Oktober 2023 bagi mengantikan Ab Rasid Jusoh yang melaksanakan tugas tersebut sejak Oktober 2020. Terdahulu Mohd Sabri Abas merupakan Ketua Pegawai Operasi(COO) yang pertama sejak TFC diswastakan bermula pada tahun 2020 yang juga menyaksikan AB Rasid Jusoh selaku CEO pertama pasukan bola sepak Terengganu ini. Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

Perkembangan terkini sebuah entiti pasukan bola sepak Terengganu yang berdaftar sebagai sendirian berhad sejak pada tahun 2020 menyaksikan Mohd Sabri Abas kini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif(CEO) baharu seperti mana diumumkan secara rasmi pada 9 Oktober 2023 lalu. Sabri Abas yang memulakan karier sebagai Ketua Pegawai Operasi(COO) di awal penubuhan Terengganu Football Club (TFC) Sdn. Bhd. mengantikan Ab Rasid Jusoh setelah menjawat jawatan selaku CEO sejak Oktober 2020 lalu.

Dalam satu kenyataan pada 8 Oktober 2023, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishammuddin Abdul Karim menjelaskan walaupun pasukan bola sepak Terengganu FC telah diswastakan namun ianya masih menerima sumber kewangan terbesar dari pihak kerajaan negeri meletakkan situasi secara lazim untuk mengisi kekosongan jawatan-jawatan yang ada dari kumpulan pegawai tadbir negeri Terengganu.

Ab Rasid Jusoh yang juga merupakan penjawat awam Kerajaan Negeri Terengganu kini dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pengurusan) di mana terdahulu sebelum menjawat sebagai CEO pasukan bola sepak ini beliau merupakan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu. Begitu juga dengan Mohd Sabri Abas adalah merupakan penjawat awam Kerajaan Negeri Terengganu di mana terdahulu sebelum menyertai TFC merupakan Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu.

Walaupun masih berbaki beberapa aksi perlawanan domestik dan aksi tumpuan perlawanan antarabangsa peringkat kumpulan di pentas Piala Asia merupakan di antara sisa-sisa momentum musim ini yang perlu diselesaikan oleh Mohd Sabri Abas sebagai bekalan percaturan hala tuju pasukan untuk musim hadapan yang dilihat lebih mencabar.

Hishamuddin Abdul Karim Kembali Terajui PBSNT Sebagai Presiden

Hishamuddin Abdul Karim dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu(PBSNT) berkuat kuasa pada 8 Oktober 2023 bagi mengantikan Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merupakan Menteri Besar Terengganu. Keputusan itu diputuskan sendiri oleh Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang merujuk pada Statut PBSNT yang memberi kuasa kepada Presiden untuk memilih penganti. Untuk rekod, Hishamuddin Abdul Karim juga merupakan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu bagi penggal 2023-2027.- Kredit Foto – https://www.facebook.com/profile.php?id=100092671772786

Setelah membuat keputusan mengejut untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden I Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu(PBSNT) pada 1 Januari 2021 lalu, kini Hishamuddin Abdul Karim kembali untuk menerajui badan induk sukan bola sepak negeri ini sebagai Presiden berkuat kuasa pada 8 Oktober 2023.

Lantikan ini telah disahkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Kali 1/2023 di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu setelah merujuk kepada Status PBSNT di mana Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar selaku Presiden PBSNT terdahulu mempunyai hak untuk memilih mana-mana individu selaku peneraju badan induk ini.

Perkembangan ini dilihat bakal memberi perubahan besar pada jajaran baharu perkembangan sukan bola sepak sama ada dari peringkat akar umbi yang menjadi tanggungjawab hakiki PBSNT sehingga percaturan pasukan Terengganu FC(TFC) yang diurus sepenuhnya di bawah entiti swasta Terengganu Football Club Sdn. Bhd(TFC Sdn. Bhd.) di mana jawatan selaku Presiden PBSNT juga diberi kuasa sebagai pemegang taruh utama selaku Pengerusi Lembaga Pengarah TFC Sdn. Bhd. Seterusnya sudah pasti beberapa rombakan akan berlaku sama dalam masa terdekat dan sudah pasti tumpuan adalah berarah pada jawatan Ketua Pegawai Eksekutif(CEO) TFC yang kini menjadi perbualan hangat di platform-platform media sosial.

Terdahulu, Hishamuddin Abdul Karim memulakan karier beliau sebagai pemegang taruh bola sepak Terenganu setelah dilantik sebagai Timbalan Presiden I PBSNT pada Ogos 2018 di mana ketika itu juga beliau menjawat jawatan di dalam Kerajaan Negeri Terengganu selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu. Setelah melakukan beberapa penstrukturan di dalam pasukan dan TFC mula selesa sebagai satu jenama pasukan bola sepak yang setanding dengan beberapa pasukan ternama lain, Hishamuddin Abdul Karim membuat kejutan untuk meletakkan jawatan di dalam PBSNT sebelum musim 2021 bermula.

Profil Hishamuddin Abdul Karim yang dikeluarkan sewaktu kempen Pilihanraya Negeri 2023(PRU DUN 15). Kini Hishamuddin Abdul Karim mengalas tanggungjawab lebih besar selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu. Kredit Foto – https://www.facebook.com/ustazhak

Pada satu kenyataan kepada pemberita, rentetan perletakan jawatan itu beliau menyatakan ada pihak menganggap jawatan yang disandang di dalam PBSNT merupakan batu loncatan untuk membina pengaruh politik. Oleh itu Hishamuddin Abdul Karim mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan bagi memberi fokus sepenuhnya tanggungjawab hakiki sebagai wakil rakyat sekaligus memberi peluang kepada mana-mana individu yang lebih layak untuk memegang jawatan itu. Untuk rekod, seperti mana termaktub di dalam statut PBSNT, jawatan Timbalan Presiden I PBSNT merupakan jawatan khas yang boleh dilantik oleh Presiden PBSNT. Manakala jawatan Presiden PBSNT merupakan jawatan yang tidak dipertandingkan kerana dikhaskan kepada sesiapa yang dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu.

Hishamuddin Abdul Karim(tiga dari kiri) selaku Timbalan Presiden I PBSNT ketika itu merupakan individu penting untuk menyakinkan entiti telekomunikasi selaku penaja utama pasukan TFC setelah mementerai kontrak perjanjian penajaan telah berlangsung di di Pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pada 31 Oktober 2019. Kredit Foto – Facebook.com/footballclubterengganu

Walaupun kini Hishamuddin Abdul Karim juga mengalas tanggungjawab lebih besar selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu dilihat sebagai individu berkaliber untuk menentukan hala tuju sukan bola sepak negeri ini di mana sewaktu menyandang Timbalan Presiden PBSNT beliau merupakan individu yang membuka pintu kemasukkan penaja-penaja besar kepada pasukan yang baru diswastakan dan juga memainkan peranan penting dalam proses baik bulih Stadium Sultan Zainal Abidin(SSZA) dengan melakukan beberapa rundingan bersama pakar dari luar negara. Malah mungkin banyak lagi perkara-perkara yang tidak dikongsikan secara peribadi kepada PenyuSukan dalam usaha beliau untuk memartabatkan perkembangan sukan dalam negeri Terengganu.

Liga Super: Tommy Pertahan Keputusan Rombakan Pemain

Tomislav Steinbruckner memulakan karier pertama bersama Terengganu FC(TFC) sejak diswastakan sebagai entiti sebagai sendirian berhad selaku Pengarah Teknikal pada Mac 2022 sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan bagi mengantikan Nafuzi Zain untuk saingan kempen musim 2023. – Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

Jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, mempertahankan tindakan merombak kesebelasan utama Sang Penyu meskipun diaibkan 0-4 oleh Selangor, malam tadi.

Malah beliau menyifatkan barisan pemain diturunkan sudah memberi persembahan 100 peratus dengan lima pertukaran dibuat pada kesebelasan utama bertemu The Red Giant.

Menurut Tomislav, bukan kekalahan itu yang menjadi kebimbangan sebaliknya tahap kecederaan beberapa pemain tonggak menjelang aksi Kumpulan G Piala AFC pada Rabu nanti.

Bercakap kepada media, pengendali berasal Croatia itu mengakui keutamaan kini lebih terarah kepada Piala AFC berbanding Liga Super selain separuh akhir Piala Malaysia bertemu KL City FC.

Selangor FC hadir selaku pasukan pelawat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menafikan Terengganu FC 4-0 bagi aksi Liga Super pada 29 September 2023. Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

“Saya tidak boleh berasa marah dengan aksi (semalam) memandangkan turun tanpa tonggak antaranya Sony Norde, Engku Nur Shakir Engku Yacob, penjaga gol, Mohd. Suhaimi Husin dan beberapa lagi.

“Gol kedua dan keempat Selangor mungkin terlalu mudah terhasil dan boleh dielakkan namun pemain-pemain telah cuba memberikan prsembahan terbaik mereka di atas padang.

“Tahniah kepada Selangor, mereka memang layak memenangi perlawanan ini. Apa yang saya lihat, TFC mula hilang keyakinan selepas dibolosi gol pertama,” katanya sewaktu ditemui.

Menurut Steinbruckner, beliau berharap isu kecederaan pemain utamanya dapat diatasi sebelum ke Indonesia bagi menurunkan pasukan terbaik memburu kemenangan kedua di pentas Asia.

“Kepadatan jadual ialah cabaran yang harus ditempuhi, jadi kami perlu memilih untuk member keutamaan antara Liga Super, Piala Malaysia atau Piala AFC,’ ujarnya.

Aksi Pemain Terengganu FC Ivan Mamut Tendang Tiang Bendera

Lihat sepenuhnya – https://youtu.be/y_WK1b2oy4o

Aksi penyerang Terengganu FC(TFC) juga merupakan import dari Crotia, Ivan Mamut menendang tiang bendera setelah menjaringkan gol ke-2 milik TFC pada minit ke-41 separuh masa pertama permainan bagi saingan suku akhir Piala FA 2023 bertemu Kelantan FC pada 27 Mei 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus. Setelah menafikan Kelantan FC berkesudahan 4-2 di laman sendiri kini TFC mara ke pusingan separuh akhir untuk bertemu KL City.

Ucapan Perwakilan Kongres Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu 2022

Pada Kongres Tahunan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu(PBSNT) 2022, perwakilan daripada salah satu ahli gabungan PBSNT kembali membangkitkan cadangan yang telah dikemukakan pada kongres terdahulu di mana meohon untuk turut diberi keistimewaan untuk turut sama menyaksikan perlawanan yang melibatkan pasukan Terengganu FC(TFC) khususnya di laman sendiri.

Selain itu juga perwakilan turut menyentuh tentang sumbangan kewangan dari badan induk negeri kepada ahli-ahli gabungan yang terdiri daripada persatuan-persatuan bolasepak di peringkat daerah di mana hanya menerima sebanyak RM 10,000.00 bagi tahun 2021 dan 2022. Turut difahamkan bahawa pasukan Tajin City FC dari Hulu Terengganu telah membelanjakan hampir RM 60,000.00 untuk menyertai liga Terengganu Football League(TFL) yang pertama kali dianjurkan oleh PBSNT pada tahun lalu.

Perwakilan juga memberi bayangan bahawa kemungkinan banyak pasukan-pasukan tidak dapat meneruskan aksi untuk musim seterusnya berikutan kekangan kewangan.

Kongress Tahunan PBSNT 2022 telah berlangsung pada 26 Disember 2022 lepas bertempat di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu telah dihadiri oleh Presiden PBSNT Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merupakan Menteri Besar Terengganu.

Untuk rekod, PBSNT mempunyai 10 ahli gabungan yang terdiri daripada Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Terengganu, Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Nerus, Persatuan Bolasepak Daerah Setiu, Persatuan Bolasepak Daerah Besut, Persatuan Bolasepak Daerah Hulu Terengganu, Persatuan Bolasepak Daerah Marang, Persatuan Bolasepak Daerah Dungun, Persatuan Bolasepak Daerah Kemaman, Persatuan Bolasepak Melayu Terengganu dan Persatuan Pengadil Bolasepak Negeri Terengganu.

Habib Haroon Tolak Tawaran Untuk Kekal Bersama TFC

Habib Haroon. Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

Pemain import, Habib Haroon, sanggup menolak tawaran lumayan daripada beberapa kelab Liga Malaysia (Liga M) untuk terus menyarung jersi Terengganu FC (TFC), musim depan.

Menurut tonggak kelahiran Bahrain itu, keputusan kekal di bumi Terengganu adalah keputusan yang mudah selain didorong kepercayaan daripada jurulatih, pihak pengurusan dan penyokong.

Habib juga tidak mahu melepaskan peluang membuat penampilan dalam Piala AFC selepas menjadi tunjang utama TFC musim ini dengan tiga gol dalam Liga Super.

“Sebaik jurulatih (Tomislav Steinbruckner) menyatakan masih mahukan khidmat saya bagi membentuk pasukan 2023, saya tidak berfikir panjang untuk terus kekal bersama TFC.

“Lagipun saya sangat selesa berada di kelab ini terutama melihat kepercayaan diberikan pengurusan dan penyokong yang sangat luar biasa. Jadi saya mahu membalasnya dengan aksi lebih baik.

“Walaupun ada beberapa tawaran menarik daripada kelab Liga M yang lain serta kelab luar negara, saya gembira di TFC,” jelasnya yang menyambung kontrak selama setahun sehingga Disember 2023.

Pemain kelahiran Bahrain itu merupakan awang import tunggal dikekalkan TFC setelah Pape Diakite, Manuel Ott, Petrus Shitembi, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche digugurkan daripada pasukan.

Musim ini, Habib bergandingan mantap bersama Ott dan Shitembi di bahagian tengah sekaligus membantu TFC muncul naib juara Liga Super, Piala FA dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

Nasib Pemain Import TFC Masih Samar

Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

Status pemain import Terengganu FC (TFC), Argzim Redzovic, Luke Woodland dan Jordan Mintah bersama pasukan itu musim depan tetap 50-50 meskipun masih berbaki kontrak setahun.

Dengan hanya beraksi untuk TFC II dalam Liga Premier musim ini, nasib tiga pemain terbabit untuk kekal nampak tipis masing-masing bergelut dengan masalah prestasi dan kecergasan.

Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner, mengakui belum membuat keputusan mengenai masa depan tiga pemain itu sama ada dapat memikat hatinya untuk berada dalam skuad.

Tomislav Steinbruckner memulakan karier pertama bersama Terengganu FC(TFC) sejak diswastakan sebagai entiti sebagai sendirian berhad selaku Pengarah Teknikal pada Mac 2022 sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan bagi mengantikan Nafuzi Zain untuk saingan kempen musim 2023. – Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

Menurut Steinbruckner, fokus utama kini adalah mencari pengganti kepada Pape Diakite, Manuel Ott, Petrus Shitembi, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche yang tidak lagi bersama TFC.

“Itu adalah tugas pertama sebaik saya dilantik ketua jurulatih yang baharu kerana TFC kehilangan majoriti tonggak import serta tempatan termasuk Faisal Abdul Halim.

“Woodland, Redzovic dan Mintah masih terikat kontrak dan saya akan lihat situasi itu. Namun sebagai ketua jurulatih, saya mahu pemain yang sesuai dengan gaya bola sepak kami.

“Jika mendapatkan penyerang baharu, situasi pasti sukar buat Mintah. Belum pasti lagi sama ada dia akan kekal, dipinjamkan atau ditamatkan kontrak,” katanya ketika ditemui.

Setakat ini hanya pemain tengah Bahrain, Habib Haroon disahkan kekal selain kehadiran bekas tonggak Melaka United, Sony Norde bagi memperkuatkan jentera serangan TFC.

Julai lalu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan format baharu Liga Super 2023 dengan membenarkan sehingga sembilan pemain import melibatkan semua pasukan bertanding.

Namun peraturan pemain import di tengah padang masih kekal dengan lima pemain termasuk seorang Asia dan seorang Asean manakala seorang lagi di bangku simpanan.

“Dengan penstrukturan semula Liga Super, akan ada pertambahan pasukan dan jumlah perlawanan. Piala AFC pula bermula September dan ditambah Piala FA serta Piala Malaysia.

“Kami memerlukan skuad yang betul-betul bersedia menghadapi musim 2023 dan tugas pertama saya adalah mendapatkan pemain baharu yang lebih baik,” tegas Steinbruckner.

TFC Lantik Tomislav Steinbruckner Sebagai Ketua Jurulatih Bermula Musim 2023

Ketua Jurulatih Terengganu FC Tomislav Steinbruckner. Kredit Foto – https://www.facebook.com/footballclubterengganu

Jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner sah dilantik selaku pengendali baharu Terengganu FC (TFC) bagi menghadapi saingan musim depan.

Ketua Pegawak Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh, berkata, perlantikan bekas jurulatih T-Team itu dibuat untuk tempoh setahun sehingga Disember 2023.

Menurut beliau, Steinbruckner yang juga pemegang lesen jurulatih UEFA Pro adalah individu paling layak mengisi kekosongan ditinggalkan Nafuzi Zain.

“Sejak menjadi pengarah teknikal TFC musim ini, beliau telah membuat analisis terhadap kekuatan pasukan dan kualiti barisan pemain sedia ada.

“Meskipun menyedari cabaran getir untuk melatih TFC, kami optimis Steinbruckner mampu membawa pasukan ini ke tahap lebih baik dalam kempen domestik dan Asia tahun depan.

“Dengan pengalaman yang ada juga beliau diyakini tidak ada masalah untuk memberi khidmat terbaik kepada kelab,” katanya pada majlis memperkenalkan jurulatih di sini, hari ini.

Untuk rekod, Steinbruckner, 56, pernah membimbing kelab Croatia, NK Novigrad, NK Orsijek dan Bijelo Brdo selain turut membawa T-Team meraih tempat ketiga Liga Premier pada 2015.

X