Setelah mencipta sensasi tersendiri dengan meraih pingat perak dan gangsa di pentas temasya Sukan Malaysia(SUKMA Sarawak 2024) lalu, skuad ragbi Terengganu kini mengambil keputusan bagi persiapan pasukan lebih awal dalam tempoh dua tahun sebelum SUKMA 2026 membuka tirai di Selangor nanti. Percaturan ini dilihat tepat pada masanya memandangkan negeri ini mempunyai jumlah yang besar bakat-bakat muda pemain ragbi hasil dari program pembangunan setempat yang telah bermula seawal usia di bangku sekolah.
Tidak ingin mempersia-siakan bakat yang terpendam ini, Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) selaku pemegang taruh utama berjaya menarik 105 penyertaan dalam 4 siri program pencarian bakat baru(Talent Identification – TID) setelah menjelajah ke beberapa daerah dalam negeri Terengganu ini.
Perkembangan ini secara tidak langsung memberi penanda aras yang baik buat pemegang-pemegang taruh program pembangunan sukan ragbi khususnya melibatkan beberapa buah sekolah dalam negeri Terengganu yang mampu melahirkan bakat-bakat baharu untuk diketengahkan mewakili negeri ke peringkat yang lebih tinggi.
“Ada di antara peserta ini sanggup menempuh perjalanan yang jauh untuk hadir menyertai program pencarian bakat sukan ragbi ini malah ada di antara mereka sanggup hadir pada pemilihan seterusnya setelah tidak terpilih pada siri pemilihan terdahulu. Juga tidak dinafikan ada di antara mereka yang turut hadir mencuba nasib adalah dari lain-lain negeri selain dari dalam negeri Terengganu ini.
“Kami sedia maklum malah sebelum itu turut menerima maklum balas awal daripada pelbagai pihak termasuk ibu bapa peserta untuk sekali lagi mengadakan siri program pemilihan berikutan terdapat prospek-prospek bakat ini terpaksa memberi fokus untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) 2024 yang akan tamat pada Februari 2025 ini.” ujar Muhammad Azmeen Mohd Yusoff selaku pegawai penyelaras sukan MSNT.
Manakala buat pengurus pasukan Enche Mohd Amirulmukminin Sulaiman menzahirkan tanda terima kasih kepada entiti-entiti pasukan ragbi khususnya bekas-bekas pelajar sekolah yang sentiasa memberi sokongan untuk melaksanakan program pembangunan ragbi di tempat masing-masing dan seterusnya cuba berusaha untuk menempatkan pelatih-pelatih mereka untuk mewakili negeri Terengganu di pentas temasya SUKMA 2026 di negeri Selangor pada tahun hadapan.
“Tanpa usaha sama di antara pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu melalui Bahagian Teknologi Sukan(BTS MSNT) selaku rakan teknikal pemilihan dan juga persatuan-persatuan ragbi peringkat daerah mahupun guru – guru sukan di sekolah masing-masing termasuk Atadalta Consultancy selaku rakan penaja program ini sudah tentu kita tidak dapat menghimpunkan seramai 105 peserta dari seluruh negeri ini.
“Boleh saya katakan jumlah peserta kali ini adalah yang terbesar sejak saya menguruskan skuad ragbi ini bermula pada 2017.” ujar Enche Mohd Amirulmukminin Sulaiman yang membuat penampilan pertama selaku pengurus pasukan pada SUKMA Perak 2018 lalu.
Seterusnya, program latihan skuad ragbi ini dijadualkan untuk bermula seawal suku pertama pada tahun ini bertempat di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Terengganu di Kuala Nerus.
Selain merangka program latihan dan pembangunan sukan ragbi ini, MSNT dan PRNT juga turut bersama membantu pelatih-pelatih skuad ragbi ini dalam urusan penempatan tempat tinggal mahupun persekolahan termasuk lain-lain keperluan kebajikan bagi setiap atlet berprestasi tinggi ini.