Seramai 1,103 jumlah kehadiran penonton di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi aksi perlawanan Liga Super Malaysia 2024/2025 di antara pasukan tuan rumah Terengganu FC(TFC) bertemu Kuala Lumpur City FC(KL City FC).
KL City FC hadir dengan reputasi pasukan bukan pilihan musim ini berjaya membuat kejutan untuk menewaskan TFC berkeputusan 2-1 sekaligus memperbaiki rekod pasukan untuk meraih kemenangan di stadium ini.
Walaupun terdahulu TFC mendahului jaringan ‘bonus’ dari luar kotak penalti oleh pemain pertahanan Safwan Mazlan di minit ke-15 namun gagal untuk membina momentun penguasaan padang.
Aksi longlai TFC di laman sendiri dihukum oleh penyerang KL City FC Paulo Josue dengan tandukan mudah untuk mengecewakan penjaga gol TFC Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin di minit-minit akhir separuh masa pertama meletakkan keputusan terikat 1-1.
Babak separuh masa kedua menyaksikan tempo permainan lebih laju buat kedua-dua pasukan untuk berhempas pulas untuk mencipta gol bagi mendahului perlawanan dengan lebih selesa.
Tambahan jaringan gol oleh pemain gantian KL City FC Patrick Alcala Reichelt di minit-84 yang awalnya dinafikan oleh pengadil perlawanan Mohd Amirul Izwan Yaacob berikutan situasi ‘off side’ namun melalui penentuan video bantuan pengadil(VAR) memberi kelebihan buat pasukan pelawat untuk mendahului perlawanan 2-1 sehingga tamat perlawanan.
TFC mencatatkan 5 kekalahan setakat ini setelah mengharungi 18 perlawanan untuk masih kekal di tangga ke-4 kedudukan liga manakal KL City FC melonjak naik ke tangga ke-7.