Ulasan penuh daripada Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu Ab. Rasid Jusoh setelah Persatuan Ragbi Negeri Terengganu dinobatkan sebagai ikon produk pelancongan negeri Terengganu.
Rentetan mencipta fenomena kejayaan melakar sejarah pertama kali muncul juara Kejohanan Ragbi Piala Agong 2019 yang berusia 37 tahun penganjuran, Persatuan Ragbi Negeri Terengganu kini telah diberi penghormatan sebagai salah satu ikon produk perlancongan negeri Terengganu. Penghargaan ini telah dizahirkan sendiri oleh Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu; Ab. Rasid Jusoh dalam satu majlis sambutan ambang tahun baru bertempat di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu. Kejayaan ini secara tidak langsung mencipta satu penanda aras terbaik buat persatuan sukan ini untuk menutup kalendar 2019 dan membuka tirai tahun baru.
Baca sepenuhnya di – http://penyusukan.com/v1/ragbi-dinobatkan-ikon-pelancongan-negeri-terengganu/
Ragbi Dinobatkan Ikon Pelancongan Negeri Terengganu

Rentetan mencipta fenomena kejayaan melakar sejarah pertama kali muncul juara Kejohanan Ragbi Piala Agong 2019 yang berusia 37 tahun penganjuran, Persatuan Ragbi Negeri Terengganu kini telah diberi penghormatan sebagai salah satu ikon produk perlancongan negeri Terengganu. Penghargaan ini telah dizahirkan sendiri oleh Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu; Ab. Rasid Jusoh dalam satu majlis sambutan ambang tahun baru bertempat di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu. Kejayaan ini secara tidak langsung mencipta satu penanda aras terbaik buat persatuan sukan ini untuk menutup kalendar 2019 dan membuka tirai tahun baru.
Pemilihan selaku ikon perlancongan negeri ini juga merupakan satu tanda kerjasama strategik di antara Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu untuk merancakkan program penganjuran sukan-sukan di negeri ini selaku kuasa besar sukan tanah air. Jalinan kerjasama ini mewujudkan ‘situasi menang-menang’ kepada kedua-dua agensi ini di mana segala program pembangunan mahupun penganjuran sukan terletak di bawah Majlis Sukan Negeri Terengganu akan membawa pulangan pelancongan yang harus dimanfaat oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.
Malah pencapaian atlet – atlet ragbi anak jati kelahiran negeri ini juga tidak hanya di peringkat kebangsaan malah di peringkat antarabangsa meletakkan satu platform terbaik sebagai duta pelancongan negeri ini. Langkah ini dilihat tepat oleh kerana melalui platfom perlancongan ini juga secara tidak langsung turut membantu program pembangunan mahupun mempromosi sukan ragbi ini ke pelusuk negeri.
“Sukan ragbi dalam masa 37 tahun untuk menjadi juara Piala Agong, tahun ini menjadi juara. Jadi kita mesti tonjolkan ikon sukan ragbi kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa Terengganu mempunyai keupayaan untuk menjadi kuasa besar dalam bidang ragbi. Saya amat bersetuju kerana tepat sekali untuk menjadikan ragbi ini sebagai ikon pelancongan negeri Terengganu bersama sukan-sukan yang lain.”; ujar Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu; Ab. Rasid Jusoh yang ditemubual oleh PenyuSukan.com
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab juga turut menzahirkan tanda terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan juga Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu di atas penghargaan ini. Beliau juga turut mengulas penghargaan ini secara tidak langsung membuka mata masyarakat khususnya para peminat sukan tempatan yang memandang sinis pada sukan berpasukan ini.
Doa Buat Syamiru Aiman


Hari ini dikejutkan dengan khabar berita bekas pemain pasukan hoki THT; Syamiru Aiman Bidin dalam keadaan koma dan kini dalam pemantauan sepenuhnya doktor pakar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Menurut sumber kepada PenyuSukan.com, pada dua hari lalu Syamiru Aiman dalam keadaan lemah dan turut pengsan telah dihantar untuk rawatan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang. Setelah menerima rawatan dan keadaan beransur pulih untuk dibenarkan untuk pulang namun sekali lagi pengsan sebelum terus dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Persatuan Hoki Negeri Terengganu melalui satu hantaran status di Facebook pada jam 0649 pagi memohon kepada semua untuk mendoakan kesihatan yang baik seperti sediakala kepada beliau. Sehingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan untuk menerangkan berkaitan masalah kesihatan yang dihadapi oleh pemain hoki penuh berpengalaman ini.

Pada saingan kempen Piala Razak yang baru melabuh tirai kejohanan pada September lalu, Syamiru Aiman turut bersama membantu pasukan THT sehingga mara tempat ke-3 setelah menewaskan pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Syamiru Aiman Bidin kembali pulih seperti sedia kala dan dipermudahkan segala urusan. Amin.
TERKINI – Al-Fatihah buat Arwah Syamiru Aiman
TSG Cari Anak Jati Untuk Pelapis Baharu

Terengganu Cycling Team (TSG) kini membuka peluang kepada anak-anak jati kelahiran negeri Terengganu untuk turut sama dalam sesi pemilihan bagi membentuk pasukan lumba basikal profesional pada tahun hadapan. Melalui akademi sukan berbasikal yang dikenali sebagai ‘TSG Cycling Academy’, para pelatih bakal didedahkan dengan pelbagai siri latihan berprestasi tinggi yang dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga pengajar profesional yang berpengalaman besar.
Pujian juga harus diberikan kepada pasukan TSG yang bertaraf antarabangsa di mana memberi peluang kepada anak jati negeri ini untuk membuktikan bahawa mereka juga layak untuk berentap. Peluang ini seharusnya dimanfaat sepenuhnya khususnya kepada anak-anak muda di luar sana agar impian untuk menjadi atlet berbasikal profesional berada di landasan yang sepatutnya.

SYARAT – SYARAT KELAYAKAN
- Berumur 17 sehingga 21 tahun
- Anak kelahiran negeri Terengganu atau ibu bapa kelahiran negeri Terengganu.
- Minimum pengalaman perlumbaan selama 2 sehingga 3 tahun.
- Sihat tubuh badan
- Lelaki sahaja
KEPERLUAN YANG PERLU DIBAWA
- 2 Keping gambar terkini berukuran pasport
- Surat kebenaran ibu bapa bagi pemohon yang berumur 18 tahun ke bawah.
- Memiliki basikal sendiri (Basikal lebuhraya)
- Berpakaian lengkap termasuk helmet & glove
TARIKH & WAKTU PEMILIHAN
SESI 1 – 5 DISEMBER 2019
UJIAN WAHOO TRAINER
Lokasi: Pejabat TSG
0830 Pagi: Pendaftaran
0930 Pagi – 0400 Petang: Sesi ujian
SESI 2 – 6 DISEMBER 2019
UJIAN MASA (ITT)
Lokasi: Jalan Pulau Sekati (15km 1 Lap)
0830 Pagi: Pendaftaran
0930 Pagi – 1230 T/Hari: Sesi ujian
SESI 3 – 7 DISEMBER 2019
UJIAN PENDAKIAN (CLIMBING)
Lokasi: Perkarangan Pejabat Daerah Kuala Terengganu ke Sungai Como, Kenyir.
0830 Pagi: Pendaftaran
0930 Pagi – 0200 Petang: Sesi ujian
SEBARANG PERTANYAAN SILA HUBUNGI:
012 9455 502 ANUAR AZIZ
011 1077 4987 WAN MOHD NAZRI WAN AHMAD
019 924 6553 MOHD LUQMAN ABD RAZAK
UNTUK PENGESAHAN AWAL KEHADIRAN SILA WHATSAPP NAMA PENUH DAN UMUR DI TALIAN 011 1077 4987
redONE Penaja Utama Terengganu Football Club
Terengganu Football Club(TFC) merupakan antara pasukan bola sepak terawal yang mengumumkan penerimaan tajaan bagi musim 2020 yang akan bermula pada tahun hadapan. Syarikat telekomunikasi redONE Network Sdn Bhd(redONE) tampil selaku penaja utama bagi pasukan Liga Super dari negeri pantai timur ini setelah mementerai satu kontrak perjanjian penajaan yang telah berlangsung di di Pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hari ini.
Walaupun muncul selaku penaja utama bertaraf ‘Platinum Sponsor’, namun syarikat telekomunikasi ini tidak memberi tekanan untuk menetapkan sebarang sasaran yang perlu dicapai pada musim depan. Jumlah dan bentuk tajaan tidak dinyatakan namun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) redONE, Encik Farid Yunus menjelaskan bahawa TFC merupakan pasukan bola sepak yang menerima jumlah tajaan terbesar berbanding pasukan-pasukan lain yang pernah ditaja sebelum ini.
“Sebagai sponsor kita ini amat relax sebenarnya, dan biasanya kita tidak taja satu tahun sahaja paling kurang dua atau tiga tahun macam di negeri-negeri lain. So it’s long term takkan kita nak bagi target dia tak capai kita terminate. Itu tak in good faith. Actually tak pernah bincang ada target. Kalu top five cantik, kalu top ten what to do. Try harder next year.”; ujar Ketua Pegawai Eksekutif redONE Network Sdn Bhd; Farid Yunus
Beliau juga turut berkata jalinan kerja sama antara dua pihak ini tidak hanya memfokuskan tajaan perbelanjaan pasukan semata-mata malah turut merangkumi program keusahawanan di kalangan anak muda negeri Terengganu khususnya kepada para peminat dan penyokong pasukan ini.
Pada majlis yang sama, Timbalan Presiden PBSNT, YB Hishamuddin Abdul Karim bersama barisan kepimpinan persatuan yang lain turut menzahikan terima kasih kepada pihak penaja di atas kepercayaan yang diberikan. Beliau juga turut menjelaskan bahawa pintu penajaan sentiasa terbuka kepada memana pihak yang ingin tampil selaku rakan penaja.
“Bajet masih kekal sama sebab kita menguruskan bukan satu pasukan, kita menguruskan satu hingga lima termasuk yang baru pada waktu sekarang ini adalah pasukan futsal yang baru diperkenalkan. Semua pasukan ini kita akan jaga dan pantau.” ujar Timbalan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu merangkap Timbalan Pengerusi Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu; YB Ustaz Hishamuddin bin Abdul Karim
Ragbi Piala Agong: Terengganu Tempah Tiket Suku Akhir

Terengganu melangkah ke pusingan suku akhir dengan penuh keyakinan setelah meraih 3 kemenangan berturut-turut dalam aksi peringkat kumpulan Kejohanan Ragbi Piala Agong 2019 Edisi Ke-37. Terkini bertempat di laman sendiri, Terengganu berjaya menewaskan pasukan Kelantan selaku finalis musim lalu berkeputusan 75 berbalas 8 sekali gus memperbaiki rekod pasukan. Pada musim lalu, Terengganu telah terkandas di pusingan suku akhir setelah dinafikan oleh Kelantan.
Anak jati Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu; Muhammad Faris Abdullah mencipta sensasi perlawanan setelah mengejutkan pasukan pelawat dengan jatuhan try pertama seawal kurang seminit masa permainan. Tambahan dua mata lagi melalui tendangan conversion berjaya sempurnakan oleh pemain flyhalf Terengganu; Mohammad Nazreen Fitri Nasrudin.
Terengganu yang selesa bermain di Stadium Mini Kompleks Sukan Gong Badak yang baru dinaik taraf ini terus menambah mata untuk mendahului perlawanan. Mata pertama buat pasukan pelawat hadir di minit ke-27 melalui tendangan penalti yang disempurnakan oleh pemain scrum half; Mohamad Syarif Saiful Aazwan untuk menghukum pasukan tuan rumah yang ghairah menambah mata. Namun tuan rumah terus selesa untuk mengikat perlawanan 40 berbalas 3 pada separuh masa pertama perlawanan.
Sebaik separuh masa kedua permainan bermula, pasukan tuan rumah mengasak laju untuk menambah 5 lagi mata yang berjaya disempurnakan oleh pemain import kelahiran Fiji Iowane Teba. Iowane Teba juga merupakan antara pemain profilik yang beraksi cemerlang bersama pasukan setelah mengharungi dua perlawanan sebelum ini.
Sebanyak tambahan 35 mata berjaya diraih oleh pasukan tuan rumah manakalan pasukan pelawat hanya mampu menambah 5 mata lagi di separuh masa kedua permainan ini sekaligus menamatkan perlawanan akhir peringkat kumpulan Premier ini.
Seterusnya bagi aksi peringkat suku akhir nanti, Terengganu dijadualkan untuk berentap bersama pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 17 November 2019 nanti bertempat di padang ragbi Universiti Putra Malaysia. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama Angkatan Tentera Malaysia merupakan wakil dari kumpulan Divisyen 1 yang berjaya mara ke pusingan suku akhir.

KEPUTUSAN KEJOHANAN PIALA AGONG 2019 EDISI KE-37
(PERINGKAT KUMPULAN PREMIER)
* Melibatkan pasukan Terengganu sahaja
MINGGU PERTAMA – 5 OKTOBER 2019
Mini Stadium Majlis Daerah Kota Tinggi
JOHOR vs TERENGGANU 26-35
MINGGU KEDUA – 12 OKTOBER 2019
Stadium Suka Menanti, Alor Star
KEDAH vs TERENGGANU 00-118
MINGGU KE-3 – 20 OKTOBER 2019
Stadium Mini Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus
TERENGGANU vs KELANTAN 75-08
KEPUTUSAN MUSIM LALU (KEJOHANAN PIALA AGONG 2018)
(Peringkat Kumpulan Premier)
Kedah vs Terengganu 37-24
Johor vs Terengganu 24-08
(SUKU AKHIR)
Terengganu vs Kelantan 17-36
Ragbi Piala Agong: Hadir Tanda Sokongan!


Bersama-sama kita hadir memberi sokongan kepada pasukan ragbi 15 sepasukan negeri Terengganu untuk kekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen Kejohanan Ragbi Piala Agong 2019 Edisi Ke-37 ini.
Setelah dua perlawanan terdahulu bertandang di tempat lawan untuk meraih kemenangan, kini pulang bermain di laman sendiri untuk meraih sokongan daripada anak jati negeri Terengganu.
Kejayaan meraih 2 kemenangan terdahulu bagi perlawanan peringkat kumpulan Premier menentang Johor dan Kedah ini sedikit sebanyak memperbaiki rekod pasukan berbanding musim lalu yang tewas awal kepada kedua-dua pasukan lawan ini.
Ayuh beramai-ramai kita ke Stadium Mini Kompleks Sukan Gong Badak pada hari Sabtu(19 Oktober 2019) ini pada jam 0400 petang untuk menyaksikan perlawanan akhir peringkat kumpulan menentang pasukan Kelantan.

KEPUTUSAN KEJOHANAN PIALA AGONG 2019 EDISI KE-37
(PERINGKAT KUMPULAN PREMIER)
*Melibatkan pasukan Terengganu sahaja
MINGGU PERTAMA – 5 OKTOBER 2019
Mini Stadium Majlis Daerah Kota Tinggi
JOHOR vs TERENGGANU 35-26
MINGGU KEDUA – 12 OKTOBER 2019
Stadium Suka Menanti, Alor Star
KEDAH vs TERENGGANU 00-118 .
===========================
KEPUTUSAN MUSIM LALU
===========================
Kejohanan Piala Agong 2018
(Peringkat Kumpulan Premier)
Kedah vs Terengganu 37-24
Johor vs Terengganu 24-08
Senarai Harga Bidaan Pembinaan Velodrom Dungun
Berikut adalah senarai harga penender bagi pembinaan velodrom di Dungun, Terengganu seperti mana disiarkan di laman web Kementerian Kerja Raya (www.kkr.gov.my) pada 10 Oktober 2019.
Untuk rekod, tender sebut harga bagi pembinaan velodrom ini telah diiklankan di laman web www.kkr.gov.my pada 18 April 2019 di mana dokumen tender bernilai RM50.00 telah mula dijual mulai 23 April 2019 sehingga 7 May 2019.

Ragbi Piala Agong: Terengganu Optimis Buru Kejuaraan Sulung


Gandingan mantap antara pemain-pemain berpengalaman anak jati negeri Terengganu bersama beberapa pemain kebangsaan di pentas Asia dan juga pemain import Fiji berpengalaman besar di pentas dunia menjadi taruhan kali ini buat Persatuan Ragbi Negeri Terengganu untuk melakar kejayaan sulung dalam Kejohanan Ragbi Piala Agong 2019 edisi ke-37 nanti.
Menambah menarik pada saingan musim ini, seramai 6 bekas pemain yang pernah mewakili negeri Terengganu di pentas Sukan Malaysia(SUKMA) 2018 turut diberi peluang untuk beraksi di pentas tertinggi ini. Sekaligus menjadi penanda aras program pembangunan ragbi yang dijalankan di negeri ini. Perlaburan dan percaturan pasukan penuh berhemah kali ini adalah untuk memecah dominasi selaku pasukan yang sering berada di tangga ke-4 teratas kejohanan sejak sekian lama.

“Ribuan terima kasih kepada pengurusan ragbi negeri Terengganu kerana masih memberi kepercayaan dan peluang untuk berbakti kepada negeri saya sendiri. Sehingga kini saya masih setia bersama negeri Terengganu dan ini adalah penampilan untuk tahun ke empat saya di pentas Piala Agong.”; Pemain senior yang juga anak kelahiran Kampung Batin,Seberang Takir Kuala Terengganu; Muhammad Haikal bin Ibrahim
Anak kelahiran Kampung Bating,Seberang Takir Kuala Terengganu; Muhammad Haikal bin Ibrahim merupakan antara pemain paling senior yang masih setia menabur bakti kepada pasukan. Mula bermain sewaktu berusia 16 tahun di Kolej Vokasional Wakaf Tembusu pada tahun 2014 sekadar mengikut rakan-rakan dan riadah masa lapang,kini beliau antara ikon contoh bagi pemain-pemain ragbi di negeri ini. Penampilan antarabangsa pertama beliau adalah di pentas Asia sewaktu kejohanan ARFU U20 di Hong Kong pada 2017.

Selain itu pemain kelahiran Fiji yang juga merupakan pemain naturalisasi skuad Bunga Raya; Timoci Vunimoku membuat penampilan untuk tahun ke-3 bersama pasukan. Beliau yang berusia 34 tahun beraksi cemerlang bersama pasukan kebangsaan di pentas Kejohanan Ragbi Asia sejak 2017 akan digandingkan bersama dengan bekas pemain kebangsaan Fiji baharu iaitu Glen Cakautini. Glen Cakautini merupakan antara nama besar dalam pasukan kebangsaan Fiji yang pernah beraksi dalam beberapa siri kejohanan dunia. Manakala import Fiji berpengalaman Iowane Teba dan Josaia Tokarua juga merupakan antara muka baharu yang diketengahkan pada musim ini.

Pada saingan musim ini, skuad Piala Agong adalah di bawah bimbingan ketua jurulatih Izaimi Zainuddin yang turut dibantu oleh Nik Mohd Shahiddan Mohd Zain dan Syahir Asyraf Rosli. Pada musim lalu,Izaimi Zainuddin dan Nik Mohd Shahiddan Mohd Zain menggalas tanggungjawab selaku pembantu jurulatih bagi skuad ini manakala Syahir Asyraf Rosli merupakan pembantu jurulatih bagi pasukan Kelantan.
Untuk rekod, Izaimi Zainuddin yang lebih mesra dikenali sebagai ‘Bai’ ini juga merupakan ketua jurulatih yang telah membimbing pasukan ragbi negeri Terengganu ke pentas Sukan Malaysia(SUKMA) sejak 2017. Nik Mohd Shahiddan Mohd Zain juga turut pertama kali membimbing pasukan ragbi wanita negeri ini ke pentas SUKMA 2020 nanti.
“Cabaran terbesar adalah di peringkat kalah mati pusingan suku akhir. Kita tidak boleh memandang rendah setiap pasukan kali ini khususnya Sabah yang selesa menanti di pusingan suku akhir dengan kudrat import yang sentiasa memberi kejutan. Kelebihan buat pasukan Terengganu pada musim ini adalah mempunyai barisan pemain yang lebih berkualiti dan berdisplin berbanding musim lalu. Memberi kelebihan sekiranya perlu melakukan pertukaran taktikal.”; Ketua Jurulatih Izaimi Zainuddin.
Sehingga kini Terengganu masih mengekalkan prestasi untuk berada dalam kelompok Premier buat tahun kedua berturut-turut bersama Kelantan, Kedah dan Johor. Kelantan merupakan pasukan pendatang baharu dalam kelompok Premier setelah muncul naib juara pada edisi lalu. Kelantan yang sebelum ini beraksi di dalam kelompok Divisyen 1 mara ke pentas akhir namun berjaya dinafikan oleh Sabah selaku juara edisi ke-36.

“Hari ini pasukan berada di landasan terbaik untuk membawa cabaran mewakili negeri Terengganu yang mana Persatuan Ragbi Negeri Terengganu kini di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Raja Muda Terengganu yang memberi begitu banyak dorongan dan semangat kepada pasukan. Persediaan untuk tahun ini adalah lebih awal berbanding tahun lalu kerana kita terpaksa bermain di pusingan awal semata-mata untuk mendapat tangga kedudukan sahaja. Secara teknikal, semua pasukan yang bertanding dalam kumpulan Premier telah layak ke pusingan suku akhir di mana tangga kedudukan hanya untuk menentukan lawan yang bakal bertemu di pusingan tersebut.”; Pengurus Pasukan Skuad Piala Agong 2019 Che Mohd Zulkarnain.

Tirai perlawanan pertama bagi aksi peringkat kumpulan akan dibuka pada 5 Oktober 2019 nanti di mana Terengganu akan bertandang ke Stadium Mini Kota Jaya, Kota Tinggi untuk bertemu Johor selaku penyandang tempat ke-4 pada musim lalu.
Pada minggu seterusnya, Terengganu sekali lagi selaku pasukan pelawat untuk berentap bersama Kedah pada 12 Oktober 2019. Bagi perlawanan ketiga peringkat kumpulan, Terengganu selaku tuan rumah akan menyantuni Kelantan di Stadium Mini Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong badak.
Tamat perlawanan peringkat kumpulan, selama hampir 4 minggu perlawanan akan terhenti bagi setiap pasukan yang beraksi dalam kumpulan Premier dan Divisyen 1 seperti mana di dalam kalendar penganjuran.
Perlawanan pusingan kedua kejohanan bagi aksi suku akhir Cup dijadualkan akan berlangsung pada 16 November 2019 dan seterusnya saingan separuh akhir pada 20 November 2019. Perlawanan akhir menentukan kejuaraan musim ini dijadualkan pada 23 November 2019 bertempat di Stadium Universiti Putra Malaysia.

JADUAL KEJOHANAN PIALA AGONG 2019 EDISI KE-37
(PERINGKAT KUMPULAN PREMIER)
*Melibatkan pasukan Terengganu sahaja
MINGGU PERTAMA – 5 OKTOBER 2019
JOHOR vs TERENGGANU
Mini Stadium Majlis Daerah Kota Tinggi
MINGGU KEDUA – 12 OKTOBER 2019
KEDAH vs TERENGGANU
Stadium Suka Menanti, Alor Star
MINGGU KE-3 – 12 OKTOBER 2019
TERENGGANU vs KELANTAN
Stadium Ragbi Terengganu, Kuala Nerus
SUKU AKHIR
16 NOVEMBER 2019
SEPARUH AKHIR
20 NOVEMBER 2019
AKHIR
23 NOVEMBER 2019
Muat turun Jadual Kejohanan Ragbi Piala Agong 2019 Edisi Ke-37
Jadual Pertandingan Sukan Negeri Terengganu (SUTERA)
Temasya Sukan Negeri Terengganu (SUTERA) yang pertama kali akan dianjurkan ini mempertandingkan 13 acara sukan bagi empat hari penganjuran yang dijadualkan bermula pada 5-9 September 2019. Badminton, berbasikal, bola sepak, bola jaring, bola tampar, lawn bowls, olahraga, pencak silat, petanque, pingpong, sepak takraw, tenis dan tenpin bowling adalah sukan yang dipertandingkan menyaksikan penyertaan seramai 1545 atlet. Setiap sukan yang dipertandingkan ini adalah terdiri dari 7 sukan wajib manakala bakinya adalah sukan pilihan yang ditentukan oleh daerah-daerah yang telah dipersetujui.
Berikut adalah jadual pertandingan seperti mana yang dikeluarkan oleh pihak penganjur.





13 Acara Sukan 1545 Atlet Berentap SUTERA 2019

Temasya Sukan Negeri Terengganu (SUTERA) yang pertama kali akan dianjurkan ini mempertandingkan 13 acara sukan bagi empat hari penganjuran yang dijadualkan bermula pada 5-9 September 2019. Badminton, berbasikal, bola sepak, bola jaring, bola tampar, lawn bowls, olahraga, pencak silat, petanque, pingpong, sepak takraw, tenis dan tenpin bowling adalah sukan yang dipertandingkan menyaksikan penyertaan seramai 1545 atlet. Setiap sukan yang dipertandingkan ini adalah terdiri dari 7 sukan wajib manakala bakinya adalah sukan pilihan yang ditentukan oleh daerah-daerah yang telah dipersetujui.
Penganjuran ini yang menyasarkan kontijen bagi setiap daerah di dalam negeri Terengganu turut menerima kontijen jemputan dari negeri Kelantan menjadikan penyertaan sebanyak 9 kontijen. Namun bagi sebarang kutipan pingat oleh kontijen jemputan ini tiada sebarang kiraan kejohanan ditetapkan oleh penganjuran. Sebagaimana syarat penyertaan SUTERA ini adalah hanya terbuka kepada rakyat negeri Terengganu sahaja atau yang bermastautin di negeri ini.
Setiap kontijen yang muncul juara juga turut ditawarkan hadiah wang tunai di mana juara pasukan keseluruhan akan membawa pulang wang berjumlah RM70,000 dan naib juara sebanyak RM45,000 manakala tempat ketiga sebanyak RM15,000. Manakala olahragawan dan olahragawati pula akan menerima RM1,000 hadiah kemenangan setiap seorang.
Penganjuran temasya ini juga secara tidak langsung mengembalikan fungsi-fungsi Majlis Sukan Daerah yang dilihat kian sepi.
MSSM Ragbi U12: Kejutan Tuan Rumah Tamatkan Kemarau Kejuaraan

Pasukan ragbi bawah 12 tahun Majlis Sukan Sekolah Negeri Terengganu(MSST) memberi kejutan untuk muncul juara dalam Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Malaysia(MSSM) 2019 yang telah berlangsung di padang Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu.
Tuan rumah hadir selaku bukan pasukan pilihan kejohanan berjaya menafikan finalis edisi lalu iaitu Majlis Sukan Sekolah Negeri Perak(MSSP) berkeputusan 22 berbalas 5. Sebelum itu, kedua-dua pasukan ini telah bertemu dalam perlawanan pembukaan di peringkat kumpulan menyaksikan tuan rumah tewas kepada pasukan dari negeri Perak ini.
Kejayaan ini sekali gus menamatkan kemarau panjang 12 tahun untuk memburu kejayaan buat pasukan MSST di pentas MSSM bawah 12 tahun. Kali terakhir pasukan tuan rumah muncul juara di pentas kebangsaan adalah pada tahun 2007. MSS Terengganu bawah 12 tahun ini juga turut berjaya menewaskan pasukan pilihan iaitu MSS Johor dalam aksi suku akhir berkeputusan 22-07.
“Yang penting! Kita menang adalah kerana semangat. Apabila bersemangat, memang anak-anak ini berhabis-habisan dan memang kita terapkan semangat. Dari segi cara permainan, game play saya rasa anak-anak ini sudah kami terapkan dengan cukup. Alhamdullilah, berjaya. Itulah, maknanya apa yang kita perlukan. Terima kasih.”, ujar Jurulatih MSS Terengganu U12 Mohd Hilmi Mohamed Yusoff yang telah membimbing pasukan ini selama 4 tahun berturut-turut sejak 2016.
Finalis edisi lalu MSS Perak U12 hadir selaku pasukan pilihan kejohanan meraih mata kemenangan cukup bergaya sepanjang kejohanan. Kutipan mata perlawanan terbesar adalah sewaktu menewaskan MSS Putrajaya dalam aksi peringkat kumpulan berkeputusan 98 tanpa balasan.
Pasukan ini juga turut meraih tuah setelah menang melalui “coin toss” berikutan keputusan perlawanan terikat 20-20 bersama MSS Selangor di peringkat separuh akhir kejohanan. MSS Selangor U12 merupakan penyandang juara edisi lalu dan juga pasukan pilihan kejohanan bagi edisi kali ini.
“Pada hari ini kami bertemu tuan rumah, Terengganu. Memang tekanan yang cukup besar walaupun kami telah mengalahkan Terengganu pada game grouping dengan kemenangan 22-10 tetapi tuan rumah memang ada kelebihan. Namun pemain kami telah bermain dengan sebaik mungkin.” ujar Jurulatih Ragbi U12 MSS Perak; Mohd Afifi Mohd Arif.
Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Malaysia 2019(MSSM 2019) telah berlangsung selama 6 hari bermula dari 3 Ogos sehingga 8 Ogos 2019. Kejohanan bertaraf kebangsaan bagi peringkat umur murid-murid sekolah ini juga turut disertai sepenuhnya oleh 3 kontijen dari Wilayah Persekutuan iaitu MSS Wilayah Persekutan Kuala Lumpur, MSS Wilayah Persekutan Putrajaya dan MSS Wilayah Persekutan Labuan.
KEJOHANAN RAGBI BAWAH 12 TAHUN 2019
PADANG RAGBI SM TEKNIK KUALA TERENGGANU
3 HINGGA 8 OGOS 2019
PERINGKAT KUMPULAN
Keputusan MSS Terengganu sahaja
3 OGOS 2019
MSS TERENGGANU vs MSS Perak 10-22
4 OGOS 2019
MSS TERENGGANU vs MSS Putrajaya 89-00
PERINGKAT AKHIR
6 OGOS 2019 – SUKU AKHIR CUP/PLATE
MSS TERENGGANU vs MSS Johor 26-17
7 OGOS 2019 – SEPARUH AKHIR CUP
MSS TERENGGANU vs MSS Sabah 41-34
8 OGOS 2019 – SEPARUH AKHIR CUP
MSS TERENGGANU vs MSS Perak 22-05
INFO PERLAWANAN – U12 TERENGGANU SAHAJA
PERINGKAT KUMPULAN
Tewas sekali dalam perlawanan pembukaan di peringkat kumpulan menentang MSS Perak. Seterusnya mencatatkan kemenangan untuk terus mara ke peringkat separuh akhir Cup/Plate.
PERINGKAT AKHIR SUKU AKHIR CUP/PLATE
Memberi kejutan untuk tewaskan MSS Johor selaku juara keseluruhan peringkat kumpulan.
PERINGKAT AKHIR SEPARUH AKHIR CUP
Tewaskan MSS Sabah untuk mara ke pusingan akhir Cup menentang MSS Perak. Untuk rekod, MSS Perak pernah menewaskan MSS Terengganu dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan
PERINGKAT AKHIR AKHIR CUP
Beri kejutan menamatkan kemarau 12 tahun kejohanan untuk muncul juara setelah menewaskan MSS Perak selaku pasukan pilihan yang juga finalis edisi lalu.
Terengganu Tuan Rumah Kejohanan Ragbi MSSM

Seramai 694 atlet dan pegawai pasukan ragbi seluruh negara akan berkampung di negeri ini untuk berentap dalam Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Malaysia 2019(MSSM 2019) yang akan berlangsung selama 6 hari bermula dari 3 Ogos sehingga 8 Ogos 2019. Kejohanan ragbi Majlis Sukan Sekolah(MSS) yang bertaraf kebangsaan bagi peringkat umur murid-murid sekolah ini juga turut disertai sepenuhnya oleh 3 kontijen dari Wilayah Persekutuan iaitu MSS Wilayah Persekutan Kuala Lumpur, MSS Wilayah Persekutan Putrajaya dan MSS Wilayah Persekutan Labuan.
Pada penganjuran kali ini, MSS Sarawak dan MSS WP Labuan hanya menghantar pasukan bawah 18 tahun sahaja manakala sebaliknya buat MSS Sabah hanya menghantar pasukan bawah 12 tahun.
Perlawanan pembukaan kejohanan menyaksikan pasukan tuan rumah bawah 18 tahun menentang pasukan MSS Johor pada 3 Ogos 2019 seawal jam 0830 pagi bertempat di di padang ragbi Kompleks Sukan Gong Badak.
Manakala perlawanan pembukaan bagi kategori bawah 12 tahun akan berlangsung pada jam 0830 pagi di antara pasukan MSS Wilayah Putrajaya menentang MSS Perlis.

Sebanyak 2 venue pertandingan akan digunakan mengikut kategori umur yang dipertandingkan melibatkan sebanyak 76 perlawanan bagi kedua-dua kategori sehingga ke peringkat akhir.
Pada edisi lalu, pasukan ragbi U18 MSS Johor telah merangkul juara manakala MSS Kedah selaku naib juara. Untuk rekod, kali terakhir pasukan tuan rumah U18 muncul juara adalah pada 2015 dan 2006. Manakala pada tahun 2016, MSS Terengganu U18 berjaya meraih naib juara.
Muat turun maklumat Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Malaysia 2019 – MAKLUMATSIARANRAGBIMSSM2019.docx
YDP PRNT Dilantik Timbalan Presiden KRM Baharu

Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu; Amir Amri Muhammad terus diberi mandat menerajui kepimpinan induk Kesatuan Ragbi Malaysia(KRM) setelah dipilih untuk menggalas tugas sebagai timbalan presiden untuk pemilihan badan induk baharu bagi penggal 2019-2022.
Kerusi Timbalan Presiden KRM menyaksikan perebutan satu lawan satu di mana Amir Amri berjaya menewaskan pencabar tunggal iaitu Datuk Tamunif Mokhtar dengan perbezaan sebanyak 9 undi menjadikan jumlah keseluruhan undi sebanyak 27 milik wakil dari Persatuan Ragbi Negeri Terengganu ini.

Untuk rekod, pada penggal terdahulu Amir Amri dengan jayanya memikul tanggung jawab sebagai naib presiden bagi penggal 2016 sehingga 2019. Selain itu beliau juga turut dilantik sebagai pengurus pasukan bagi pasukan ragbi lelaki 7 sepasukan di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan kini baharu sahaja menamatkan tugas selaku pengurus pasukan bagi pasukan ragbi lelaki 15 sepasukan yang berentap dalam Kejohanan Ragbi Asia 2019.

“Terima kasih di atas kepercayaan yang telah diberikan untuk saya terus berada di dalam kepimpinan Kesatuan Ragbi Malaysia. Kejayaan ini tidak semestinya hanya untuk saya malah sudah tentu untuk masa depan sukan ragbi di negeri Terengganu ini juga. InsyAllah, dengan segala perancangan terdahulu mahupun yang akan datang sudah pasti demi kemajuan sukan ragbi negeri ini juga”; ujar Amir Amri Muhammad kepada PenyuSukan.com sejurus tamat pemilihan kepimpinan baharu Kesatuan Ragbi Malaysia sewaktu ditemui di Kejohanan KRS Ladies 7s yang berlangsung di Padang Utara, Petaling Jaya.

Penggal 2019 – 2022
Presiden
YB Dato Shahrul Zaman Bin Yahya
Timbalan Presiden
En. Amir Amri Bin Mohamad
Naib Presiden
1. En. Mohamad Fahmy Bin Abd Jalil
Pengarah Pertandingan
2. En. Mohd Zaki Bin Shahran
Pengarah Publisiti & Pemasaran
Ahli Majlis
1. En. Lee Nyuk Fah
Pengarah Kejurulatihan
2. Dr. Ahmad Naim Bin Ismail
Pengarah Prestasi Tinggi
3. En. Mohd Khairunizam Bin Mohd Isa
Pengarah Pembangunan
4. En. Ahmad Effendy Bin Abd Razak
Pengarah Pengadilan
Naib Presiden Kehormat
1. YBhg. Tan Sri Dato Wira Hj Abd Halim Bin Hj Karim
2. En. Velayuthan Tan Kim Song
3. En. Louis Jarau
4. SAC Abdul Ghani Bin Mohd Ji
Setiausaha Agung Kehormat
1. En. Amrul Hazarin Bin Hamidon
Penolong Setiausaha Agung Kehormat
1. En. Mohd Khairulizuan Bin Shuhaimi
Bendahari Kehormat
1. YBhg. Datuk Ahmad Zaki Zahid
Ahli Lembaga Pengarah
1. Mr. Louis Jarau
Pengarah Perundangan & Peraturan
2. YB Tuan Noor Amin Ahmad (MP Kangar)
Pengarah Perhubungan Kerajaan
3. Dr Nik Haziman bin Wan Hamat
Pengarah Kebajikan Pemain & Perubatan
4. Cik Hazeline Aasyiqeen Binti Jaafar
Pengarah Ragbi Wanita
5. En. Norhisham bin Ibrahim
Pengarah Latihan & Pendidikan
Safares Lakar Kejutan Tewaskan Atlet Kebangsaan

Atlet sukan pelayaran negeri Terengganu; Alif Safares mencipta sensasi tersendiri setelah memberi kejutan tewaskan atlet kebangsaan dalam Kejohanan KFC–Tunku Laxamana Regatta Terbuka Port Dickson Edisi Ke 21. Mempertaruhkan perlumbaan kategori bot International 420 yang juga merupakan acara kegemaran buat atlet anak jati Pulau Duyong ini ternyata tuah milik beliau. Pelayar Muhammad Syafie Ali dan Muhammad Fauzi Kaman Shah merupakan atlet kebangsaan sepenuh masa di bawah program PODIUM yang berjaya dinafikan oleh pelayar negeri Terengganu ini.
Safares memberi amaran awal pada perlumbaan pusingan pembukaan dengan meraih tempat kedua di belakang pelayar Muhammad Syafie Ali setelah menafikan seorang lagi pelayar kebangsaan Muhammad Fauzi Kaman Shah di tempat ketiga. Muhammad Syafie Ali sememangnya tidak memberi laluan mudah kepada Safares namun mereka berdua ini sentiasa merebut tempat pertama dan kedua sepanjang kejohanan perlumbaan ini yang telah berlangsung selama dua hari.

Tiga kali meraih tempat pertama, dua kali tempat kedua dua kali untuk tempat ketiga dalam 7 pusingan perlumbaan Kejohanan KFC–Tunku Laxamana Regatta Terbuka Port Dickson Edisi Ke 21 melayakkan Alif Safares dinobatkan juara sekaligus membuktikan atlet negeri mampu memberi kejutan kepada atlet kebangsaan. Kejayaan ini juga secara tidak rasmi meletakkan beliau di kedudukkan teratas dalam tangga kedudukan semasa atlet-atlet pelayaran dalam negara. Kejayaan ini juga sekaligus berjaya mempertahaankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut setelah pertama kali berbuat sedemikian dalam penyertaan sulung edisi lalu.
Kejohanan KFC–Tunku Laxamana Regatta Terbuka Port Dickson yang telah berlangsung pada 5 hingga 7 Julai 2019 merupakan kejohanan tahunan bertaraf kebangsaan di mana menawarkan kutipan mata bagi setiap atlet yang bertanding. Kejohanan penuh prestij ini telah disertai oleh atlet-atlet kebangsaan dan beberapa pelayar profesional dari luar negara secara tidak langsung memberi cabaran sengit. Optimist, Laser Radial, Laser 4.7, Int 420, Bic Techno dan RS-One antara kategori yang menjadi taruhan bagi atlet-atlet negeri ini.

“Saya sangat gembira dapat tewaskan dua atlet kebangsaan walaupun saya tidak beraksi bersama regu pelayaran sebenar saya. Bukan mudah bagi saya untuk menerima cabaran dari atlet bertaraf kebangsaan ini namun saya membuktikan yang saya mampu untuk bersaing walaupun gugup. Terima kasih kepada barisan jurulatih saya yang tidak pernah berputus asa dan memberi kepercayaan kepada saya. Saya amat bersyukur kerana berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum sampai ke Port Dickson ini.” ujar Alif Safares kepada PenyuSukan.com
186 Sertai Program Pembangunan Hoki Terengganu

Program Pembangunan Hoki PHNT – MSST 2019 julung kalinya telah diadakan oleh Persatuan Hoki Negeri Terengganu(PHNT) dengan kerjasama Majlis Sukan Sekolah Terengganu(MSST) untuk mencungkil bakat-bakat baharu dari seluruh negeri Terengganu. Program selama dua hari bermula pada 21 Jun 2019 sehingga 22 Jun 2019 ini berjaya menarik seramai 186 peserta seawal usia di bangku sekolah rendah.
Bertempat di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, ketua jurulatih Pasukan Hoki Terengganu (THT), I. Vikneswaran bersama empat pemain dari pasukan Terengganu Hockey Team(THT) turut memberi komitmen menyumbang tenaga dan ilmu sepanjang program ini.

Menambah menarik bekas kapten The Speedy Tigers yang juga anak jati negeri Terengganu; Mohd Shahrun Nabil Abdullah juga turut hadir menyumbang bakti sepenuhnya demi pembangunan sukan hoki di negeri ini.
Jumlah kehadiran dari pelbagai peringkat usia, kualiti kejurulatihan dan komitmen setiap ahli persatuan menjadi penanda aras kejayaan program ini. Malah untuk dalam tempoh 20 tahun sejarah pembangunan hoki di negeri ini boleh dikatakan ini adalah program pembangunan berskala besar pertama kali dianjurkan.

Kerjasama yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu, Majlis Sukan Sekolah Terengganu dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu khususnya menyediakan logistik dan penginapan secara tidak langsung merealisasikan kejayaan program ini.
“Yang pastinya program ini berjaya! Kerana kita lihat daripada wajah muka mereka dan maklumbalas mereka sangat berpuas hati. Ini sesuatu yang sangat positif dan hasil dari program ini kita akan lihat dalam masa akan datang khususnya dalam kejohanan peringkat umur.” ujar I. Vikneswaran selaku perancang utama program pembangunan ini.
“Majoriti penyertaan bukan dari mereka yang elit atau pernah bermain dalam sebarang kejohanan. Malah ada diantara mereka pertama kali memegang kayu hoki setelah hadir ke program ini. Ada juga mereka sememangnya meminati sukan ini tetapi tiada ruang dan peluang selama ini. Ini yang kami mahupun untuk program pembangunan ini. Bukan hanya untuk mencungkil bakat malah memberi peluang untuk mereka untuk menimba ilmu agar minat mereka tidak terus pudar.”; ujar Timbalan Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu kepada PenyuSukan.com
Open Fun Fly Paragliding Bukit Maras

Persatuan Luncur Udara Negeri Terengganu (PLUT) dengan kerjasama Hiking Maras Committee akan menganjurkan satu cara sukan lasak dikenali sebagai ‘Open Fun Fly Paragliding Bukit Maras 2019’ di Bukit Maras Paragliding & Recreational Park, Mukim Kuala Nerus, Terengganu Darul Iman bermula dari 28 hingga 30 Jun 2019, jam 11.00 pagi hingga 7.00 petang setiap hari.
Acara ini bertujuan untuk memperkenalkan sukan paragliding kepada orang ramai terutamanya golongan belia disamping mempromosikan Bukit Maras sebagai sebuah tapak luncur udara atau paragliding terkenal di rantau ini. Acara ini akan disertai oleh lebih 70 pilot terdiri daripada berbagai negara termasuklah dari Thailand, Canada, Singapore, Spain, USA, France, Iran, Indonesia, Philippines, Germany dan juga Malaysia sebagai tuan rumah.
Sehubungan dengan itu, pihak penganjur menjemput orang ramai khususnya dari Daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu serta pihak media supaya mengambil peluang ini untuk datang melihat sendiri pertunjukkan paragliding ini yang julung kalinya diadakan di Bukit Maras yang melibatkan jumlah peserta yang besar. Disamping itu juga ada persembahan sampingan seperti silat gayung, badut dan cabutan bertuah bagi memeriahkan lagi acara.
Orang ramai juga diberi peluang untuk sama merasai pengalaman terbang bebas seperti burung melalui slot tandem paragliding dengan harga promosi RM150 bersama dengan pilot professional kami yang berdurasi antara 10 hingga 15 minit. Salinan video akan diberikan secara percuma sebagai kenang-kenangan.
Sebarang pertanyaan sila hubungi 0122956302(Anuar Ngah)
PRNT Sampaikan Perutusan Hari Raya
Perutusan Hari Raya AidilFitri 1440H/2019M yang disampaikan oleh Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu Amir Amri Muhammad juga merangkap naib presiden Kesatuan Ragbi Malaysia dan terkini selaku pengurus pasukan Bunga Raya 15 sepasukan membawa cabaran Kejohanan Ragbi Asia (ARC) yang sedang berlangsung.
Pelumba BMX Terengganu Berlatih Di Korea

Tiga pelumba basikal lasak BMX anak jati negeri Terengganu telah disenaraikan untuk menyertai kem latihan BMX di Korea Selatan. Menambah manis buat pelumba penuh berpengalaman Saniy Syahmi Mohd Safiee di mana ini adalah kali kedua berpeluang untuk menjalani latihan di World Cycling Center (WCC), Korea Selatan. Selain pelumba muda Ahmad Zuhri Husin, Eddyna Nasuhar Zainal Abidin merupakan pelumba wanita tunggal dari negeri ini yang turut tersenarai.
Kem latihan selama 19 hari bertempat di World Cycling Center (WCC), Korea Selatan bakal bermula pada 6 sehingga 24 Jun 2019 nanti turut akan disertai beberapa pelumba profesional antarabangsa. Perkara ini telah disahkan melalui satu surat rasmi yang dikeluarkan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia(PKBM) bertarikh 28 Mei 2019.
Untuk rekod, sebelum ini Siti Shahirah Hashim merupakan pelumba BMX wanita negeri Terengganu yang pertama diberi peluang untuk menimba pengalaman di negara Korea pada tahun 2017.
Barisan Jurulatih dan Pelumba Basikal Lasak BMX
*Program Latihan Antarabangsa World Cycling Center (WCC), Korea Selatan 6-24 Jun 2019
|
  BIL. Â
|
  JAWATAN Â
|
NAMA
|
| Â Â 1. | Â JURULATIH | Â Â MUZAINI BIN MUSAÂ Â |
| Â Â 2. | Â JURULATIH | Â Â EDDI ABU HANIPAHÂ Â |
| Â Â 3. | Â JURULATIH | Â Â MUHAMMAD AIM FAUZI |
| Â Â 4. | Â PELUMBA | Â Â SANIY SYAHMI MOHD SAFIEEÂ Â * |
| Â Â 5. | Â PELUMBA | Â Â AHMAD ZUHRI HUSINÂ Â * |
| Â Â 6. | Â PELUMBA | Â Â EDDYNA NASUHAR ZAINAL ABIDINÂ Â * |
| Â Â 7. | Â PELUMBA | Â Â ATHIRAH J SAMÂ Â |
| Â Â 8. | Â PELUMBA | Â Â SITI QAMARIYANA MAT SALI |
*Pelumba Anak Jati Terengganu

Bekas Atlet Paralimpik Negara Rayu Bantuan

Menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, marilah kita bersama-sama membantu apa termampu kepada bekas atlet paralimpik negara, Azman Mohamed Salleh bersama enam sekeluarga yang kini menghitung hari tinggal di Kampung Rhu Tapai, Setiu. Beliau yang berusia 47 tahun merupakan antara bekas atlet paralimpik yang telah menyumbang pingat kepada negara di pentas antarabangsa khususnya dalam acara lontar peluru, lempar cakra dan lembing.
Namun setiap kejayaan itu seolah-olah tidak bermakna setelah mengenangkan nasib sekeluarga bersama isteri, Siti Faizura Zulkapeli, 31, dan empat anak berumur tujuh bulan hingga 10 tahun yang bakal kehilangan tempat berteduh. Menurut laporan akhbar tempatan, rumah yang kini disewa sejak tujuh tahun yang lalu terpaksa dikosongkan selewat-lewatnya selepas Aidilfitri nanti berikutan pemilik kediaman itu tidak mahu lagi menyewakan rumah berkenaan.

Tanpa sebarang pekerjaan tetap di samping kecacatan fizikal dengan kudung kaki hingga paras peha akibat kemalangan jalan raya suatu ketika dulu memaksa Azman untuk bergantung sepenuhnya pada motosikal roda tiga untuk mencari rezeki. Malah beliau juga turut membuat kerja sambilan menjadi deejay di majlis-majlis dengan bayaran tidak menentu untuk menampung kehidupan.
Bapa kepada empat anak ini juga turut bergantung pada bantuan RM400 sebulan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat tahunan dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Sesungguhnya Siti Faizura Zulkapeli pula menunaikan tanggungjawab sepenuhnya sebagai isteri untuk memberi perhatian penuh kepada anak-anak mereka khususnya anak ketiga mereka yang berusia empat tahun juga merupakan orang kurang upaya(OKU) fizikal.

Untuk rekod, sejak 2008 sehingga 2016 Azman sepenuh masa aktif dalam sukan olahraga untuk mewakili negara ke pentas antarabangsa. Selain beberapa siri kejohanan antarabangsa, Sukan Para ASEAN, Sukan Atlet Berkerusi Roda dan Kudung Antarabangsa (IWAS) beliau juga turut pernah mewakili Terengganu dalam kejohanan PARALIMPIAD di Perlis pada 2014.
Marilah kita menyumbangkan apa termampu kepada mereka sekeluarga ini, Amin.
Bank: BANK SIMPANAN NASIONAL
No. Akaun: 0110029000649716
Penama: AZMAN BIN MOHAMED SALLEH
Facebook – https://www.facebook.com/azmanmohamedsalleh.bajaks
Kakitangan MSNT Meninggal Sewaktu Solat Tarawih

Warga kerja Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) dan seluruh penggiat mahupun peminat sukan di negeri ini telah dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Abdul Ghani Ngah pada bulan mulia ini(2 Ramadhan 1440).
Kakitangan MSNT yang berusia 56 tahun ini telah meninggal dunia setelah rebah sewaktu menunaikan solat sunat Tarawih di Surau Simpang Kem Seberang Takir, Kuala Nerus kira-kira jam 9.30 malam tadi.
Beliau yang berkhidmat sebagai pemandu Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu turut berkesempatan menunaikan solat bersama di surau berkenaan yang turut dihadiri oleh para atlet. Menurut laporan akhbar, sewaktu kejadian Abdul Ghani dalam tugasan untuk membawa Pengarah MSNT memantau program latihan atlet di bulan Ramadhan ini.
Abdul Ghani disahkan meninggal dunia setelah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Seberang Takir untuk rawatan.
Bersama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham Abdul Ghani Ngah yang telah pulang ke rahmatullah. Sama-sama kita doakan semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.
MAKSAK Terengganu Tempa Sejarah

Alhamdulillah, 12 April 2019, Tepat jam 6.15 pagi, Lt. Kol (PA) Che Adam A. Rahman berjaya sampai di Puncak tertinggi Gunung Kinabalu bersama Misi MAKSAK SOLO DE KINABALU 2019. Dengan lengkap berbusana bersongket Terengganu, Tuan Adam dengan penuh bersemangat berdiri di puncak (Low’s Peak) setinggi 13,400 kaki (4095M) dari paras laut bersama kain rentang dan bendera MAKSAK Terengganu.
Misi yang cukup bermakna ini melibatkan cabaran 2 hari 1 malam pendakian yang bermula dari Timpohon Gate, Taman Kinabalu, Ranau. Rintangan cuaca suhu yang sejuk dan berangin, kecuraman laluan serta cabaran udara nipis altitud tinggi, Alhamdulillah Tuan Adam berjaya menempuh cabaran dan meraikan kejayaan ini bersama hampir 90 orang pendaki tempatan dan dari pelbagai negara lain.

Semoga pendakian ini menjadi inspirasi kepada seluruh penjawat awam di Malaysia untuk bergerak aktif, mencabar diri, mencipta sesuatu kelainan dalam diri khususnya dalam memartabatkan perkhidmatan awam di Malaysia.
Misi ini juga boleh dianggapkan bersifat serampang dua mata, yg mana di samping beliau mengibarkan panji MAKSAK Terengganu serta MAKSAK Malaysia, utk julung kalinya dalam sejarah negeri dan negara, beliau turut mengibarkan panji Terengganu Maju Berkat Sejahtera, dan panji APM bersempena sambutan Hari Ulangtahun Pertahanan Awam yang ke 67.

Projek julung kali ini adalah ilham daripada YB Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu, Dato’ Haji A. Rahman Yahya yang mahu melihat salah satu dimensi cabaran baharu kepada pegawai kanan kerajaan yang berkhidmat di negeri Terengganu ini. Untuk rekod, pencapaian ini merupakan kejayaan sulung yang belum pernah disempurnakan oleh mana-mana pegawai kanan jabatan mahupun agensi berkaitan sama ada di dalam negeri Terengganu mahupun dari seluruh negara.
MAKSAK Terengganu menaja sebahagian besar kos misi ini dengan peruntukan sebanyak RM4500.00 meliputi kos tempahan pakej pendakian, makan minum, kos latihan termasuk pengurusan dan sebagainya. Selebihnya ditanggung oleh peserta misi ini sendiri.
*MAKSAK(Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia) merupakan platform rasmi bagi pegawai dan kakitangan kerajaan negeri mahupun Persekutuan untuk bergerak aktif dalam bidang sukan, rekreasi serta kebajikan kepada semua warga kerja.
Terengganu Young Turtles: Skuad Elit Takraw SUKMA 2020
Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) giat mempersiapkan pasukan sepak takraw bertaraf elit untuk menghadapi temasya Sukan Malaysia(SUKMA) pada tahun 2020 nanti. Persiapan awal ini sememangnya menjadi sebahagian dari program pembangunan sukan yang dikelolakan oleh MSNT sejak sekian lama.
Skuad elit yang dijenamakan sebagai Terengganu Young Turtles dibarisi pemain seawal usia 17 tahun sehingga 20 tahun merupakan atlet sepenuh masa di bawah kendalian 3 jurulatih berpengalaman besar.
Mohd Futra Abd Ghani dan Mohd Yusof Chik yang merupakan bekas regu emas negara dan juga jurulatih kelahiran Thailand, Vitaya Boontai merupakan jurulatih sepenuh masa yang dilantik untuk membentuk skuad ini. Malah penubuhan skuad ini juga tidak hanya meletakkan SUKMA 2020 sebagai hala tuju di mana jangka masa panjang untuk turut melahirkan pemain bertaraf kelas dunia yang mampu memikul tugas pasukan negara suatu hari nanti. Sekaligus mampu menjadikan sukan sepak takraw satu kerjaya sepenuh masa untuk setiap atlet yang telah mengorbakan masa mereka sejak dari awal.
“Kejohanan Terbuka Shah Alam nanti menjadi ujian pertama buat pasukan ini di mana kejohanan itu bakal disertai oleh pemain-pemain profesional. Itu yang kita mahukan sebagai pendedahan kepada regu Young Turtles ini. “; ujar Muhd Futra Abd. Ghani selaku ketua jurulatih Terengganu Young Turtles
Skuad muda ini menyasarkan penyertaan dalam sebarang kejohanan bertaraf 5 bintang peringkat senior sama ada di dalam negeri mahupun di luar negara demi memastikan skuad ini berjaya mencapai penanda aras yang ditetapkan. Perancangan rapi telah dibuat sejak awal di mana pasukan ini akan sentiasa berentap secara kompetitif sepanjang tahun. Lima pemain yang terpilih membarisi skuad Young Turtle ini ialah Ahmad Syazwan Ramzi; Muhammad Aidil Haikal Ghani; Alif Mursyid Rusli; Muhammad Hasmadi Wahab dan Mohammad Fareez Azrai Othman.
“Kita telah tetapkan penanda aras yang tinggi perlu dicapai untuk setiap pemain dalam skuad elit ini. Halatuju penubuhan skuad ini bukan hanya untuk mewakili negeri ke SUKMA nanti malah ke peringkat lebih tinggi sebagai pasukan profesional ke peringkat antarabangsa. Tanggungjawab kami tidak hanya kepada pasukan malah kepada pihak penaja.”; ujar Che Kamaruzaman Yusof selaku Presiden Terengganu Young Turtles kepada PenyuSukan.com
Terengganu Young Turtles yang baru ditubuhkan ini juga turut menerima tajaan dari beberapa syarikat korporat sekaligus bakal melancarkan setiap program yang telah diatur. Selain tajaan wang tunai untuk menampung perbelanjaan pasukan termasuk elaun pemain selama setahun, skuad ini juga turut menerima tajaan sebuah bas dan kelengkapan sukan untuk keperluan pasukan ini.
Liga Layar Terengganu Terima Kunjungan MSS Pahang

Seramai 52 murid-murid sekolah dari beberapa daerah sekitar negeri Pahang telah berkampung selama 4 hari bertempat di Duyong Marina Resorts, Pulau Duyong, Kuala Terengganu untuk turut serta bersama dalam program Kejohanan Liga Layar Terengganu LLT-TSDP Siri 3 2019. Kejohanan yang telah berlansung pada 28 sehingga 3 Mac 2019 lalu telah dijadikan platform oleh Majlis Sukan Sekolah Negeri Pahang(MSS Pahang) bagi menganjurkan Sirkit 1 Sukan Pelayaran MSS Pahang. Jalinan kerjasama program pembangunan akar umbi di antara dua negeri ini dilihat satu langkah yang terbaik demi masa depan sukan pelayaran ini.
Rata-rata peserta yang hadir adalah murid-murid sekolah seawal usia darjah 1 sehingga tingkatan 3 merupakan bakat-bakat yang telah dicungkil melalui program pembangunan yang dijalankan oleh MSS Pahang. Berpusat di SK Cherating tidak memberi halangan untuk adik-adik cilik ini yang rata-rata hadir dari daerah-daerah seperti Kuantan, Pekan, Maran Jerantut malah ada yang sejauh dari Bentong, Bera dan Rompin.

MSS Pahang kini dalam rangka mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Kejohanan Pelayaran Majlis Sukan Sukan Sekolah Malaysia(MSSM) yang dijangkan akan diadakan pada bulan Ogos nanti.
Terengganu menjadi negeri singgahan kedua buat kontijen dari Jabatan Pendidikan Negeri Pahang ini di mana sebelum ini turut menganjurkan program yang sama di Port Dickson, Negeri Sembilan. Jalinan program kerjasama dan juga merupakan siri kejohanan sukan pelayaran bagi negeri Pahang ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan kos penganjuran di samping memberi pendedahan dan cabaran berbeza bagi setiap atlet. Kelebihan ini juga turut memberi pendedahan kepada atlet untuk bersaing dalam kelompok yang lebih besar di antara dua negeri hasil dari program latihan yang berbeza. Oleh yang sedemikian sekaligus memberi pengalaman kepada setiap peserta untuk beraksi di peringkat kebangsaan.

“Pertama sekali ingin saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menerima kami malah turut membantu menyediakan bot-bot untuk kejohanan. Walaupun tanpa kelengkapan lain seperti set pelayaran namun ianya sudah amat membantu meringankan bebanan kos logistik kepada kami. Kami hanya perlu membawa lain-lain kelengkapan pelayaran yang diperlukan yang sememangnya kami tersedia ada. Sukan ini sememangnya memerlukan kos penganjuran yang tinggi oleh yang sedemikian jalinan kerja sama ini merupakan salah satu serampang dua mata yang terbaik.”; ujar Khairul Azizi bin Abdul Aziz selaku Pegawai Teknik & Pembangunan Sukan(PTPS) Pelayaran Negeri Pahang dan juga merupakan Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Cherating, Pahang.
Beliau juga turut mengulas bahawa lokasi penganjuran yang terletak di pintu muara Sungai Terengganu merupakan lokasi terbaik untuk program pembangunan sukan pelayaran ini berikutan kawasan yang luas dan perairan yang tenang tanpa ombak besar. Kelebihan ini sememangnya menjadi satu faktor terbaik untuk memberi pendedahan awal kepada pelayar-pelayar muda yang baru menceburi sukan ini.
Anak Jati Terengganu Pertama Wakili Malaysia Ke PES SEA Finals

Atlet sukan elektronik negeri Terengganu; Muhammad Rafiq Firdaus membuka tirai kalendar arena sukan elektronik dengan langkah kanan setelah layak untuk mewakili Malaysia ke ke pentas akhir Kejohanan PES South East Asia(SEA) Finals (Road to Asia) di Bangkok, Thailand pada 3 Mac 2019 ini. Menambah manis anak jati dari Kampung Tasik, Setiu ini merupakan anak jati pertama dari negeri Terengganu yang layak mewakili negara untuk berentap di pentas antarabangsa sukan elektronik ini.
Berusia 19 tahun kini dikenali sebagai ‘FL|Rafiq’ (FL adalah merupakan nama ‘clan’ bagi FourLife) meraih slot mewakili negara setelah muncul juara dalam kejohanan PES 2019 yang baru tamat pada 24 Februari 2019 lalu di Epicenter, Sungai Buloh, Selangor. Selain layak mendapat slot untuk mewakili negara, Rafiq juga selaku juara turut meraih tiket penerbangan dan juga penginapan untuk meneruskan pejuangan di Bangkok nanti.

Kejohanan PES 2019 anjuran PES Malaysia ini merupakan acara tumpuan terbesar menghimpunkan atlet-atlet seluruh negara untuk merebut slot mewakili negara ke Bangkok nanti. Untuk rekod, pada Oktober tahun lalu Rafiq telah mencipta kejutan untuk muncul juara acara tahunan sukan elektronik terbesar iaitu Kejohanan Selangor Cyber Games 2018 setelah menewaskan pasukan pilihan kejohanan.

Kejohanan PES South East Asia(SEA) Finals sememangnya menjadi satu pentas sukan elektronik paling berpretij di negara rantau Asia Tenggara yang menjadi idaman bagi setiap atlet untuk layak bertanding. Penganjuran sulung pada tahun 2016 hanya melibatkan 4 negara sahaja iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam. Kini masuk edisi penganjuran ke-4 memperlihatkan pertambahan beberapa negarai seperti Singapura, Myanmar, Kemboja dan Laos menjadikan keseluruhan 8 negara yang bertanding.
Pada tahun ini diperkenalkan sistem kedudukan kutipan mata bagi setiap atlet yang ingin berentap di pentas terakhir kejohanan ini. 2 atlet yang memperolehi kutipan mata tertinggi secara automatik berjaya meraih slot untuk mewakili negara manakala 2 atlet lagi bakal ditentukan melalui slot ‘wildcard’. Kedudukan kutipan mata terkini boleh dilihat di – https://www.pesmalaysia.com/rank.php?platform=1
Sebarang perkembangan terkini Kejohanan PES South East Asia(SEA) Finals (Road to Asia) boleh dilihat di – https://www.facebook.com/sea.pes
Sukan Terengganu (Sutera) Pada September

Temasya Sukan Terengganu (Sutera) dijadualkan bakal berlangsung pada 5 September sehingga 9 September 2019 nanti melibatkan beberapa venue pertandingan sekitar negeri ini yang akan diputuskan nanti.
Penganjuran kali ini juga turut menerima suntikan dana RM 1 juta dari pihak Kerajaan Negeri Terengganu sebagai usaha menggalakkan golongan belia khususnya membudayakan aktiviti bersukan.
Penganjuran SUTERA yang diadakan secara dwi tahunan berselang seli dengan penganjuran Sukan Malaysia(SUKMA) melibatkan beberapa acara sukan seperti bola, hoki, sepak takraw, badminton, pingpong dan sebagainya.
Pemilihan atlet dalam setiap acara sukan akan bermula di peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sebelum layak ke peringkat Dewan Undangan Negeri(DUN) sebelum terpilih untuk mara ke peringkat daerah.
Menambah menarik penganjuran temasya sukan ini juga akan sepenuhnya mematuhi syariah yang pertama kali diadakan di mana turut bercadang menjemput negeri Kelantan dan Pahang sebagai kontijen jemputan.
“Untuk tahun ini, ia akan berlangsung pada 5 hingga 9 September dan merupakan pertandingan sukan dwi tahunan yang kita buat untuk Terengganu. Ini bermakna pada 2019 kita akan jayakan untuk SUTERA dan tahun 2020 bagi SUKMA. Begitulah seterusnya, ia akan bergilir. SUTERA 2019 juga akan menjadi sukan patuh syariah pertama yang diadakan dan kita akan berusaha untuk menjayakannya sebaik mungkin,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah sewaktu berucap menggulung perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14, di Wisma Darul Iman.
Terus Berlayar Di Tasik Gong Badak

Rentetan maklum balas positif yang diterima, program pengenalan sukan pelayaran yang dijadualkan berakhir pada 26 Disember 2018 lepas kini akan tetap diteruskan sehingga pada satu tarikh. Program ‘My Try layar de Tasik’ yang pertama kali berlansung di tasik rekreasi Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus ini kini dilihat mampu menjadi satu daya tarikan terbaharu buat pengunjung. Program anjuran Persatuan Pelayaran dan Luncur Layar Negeri Terengganu bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu ini tidak hanya terbuka kepada bakat-bakat muda untuk pencarian atlet malah terbuka kepada orang ramai yang ingin mencuba.
Ketua jurulatih yang mengendalikan program ini; Abdul Rani Idris memaklumkan kepada PenyuSukan.com bahawa pihak pengurusan Kompleks Sukan Gong Badak telah bersetuju tentang perkara ini. Hal ini sudah pasti secara tidak lansung memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak di mana program ini bukanlah berasaskan keuntungan namun demi hala tuju masa depan sukan itu sendiri. Bayaran RM10 yang dikenakan untuk pengalaman belayar selama 60 minit di samping ilmu pelayaran yang disampaikan oleh jurulatih bertauliah dan berpengalaman besar adalah amat berbaloi.

Tasik yang terletak berhampiran dengan Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu semenangnya satu lokasi strategik dengan pelbagai kemudahan untuk para pengunjung. Sebelum ini sukan pelayaran sering diadakan di kawasan berhampiran laut di mana mungkin membataskan peluang kepada orang ramai yang ingin mencuba pertama kali. Walaupun cabaran belayar di tasik mungkin berbeza di lautan namunya ianya bertepatan dengan objektif asal program ini untuk memberi pendedahan awal kepada orang ramai.
Sebarang maklumat lanjut sila hubungi – abdulraniidris@gmail.com atau lawati https://www.msiasailing.org . Sebarang perkembangan terkini juga boleh dilihat di laman Facebook Rasmi – Facebook.com/TerengganuWindsurfingSA
Badang Pemecah Rekod Terima Ganjaran Sebuah Skuter

Sensasi kejayaan Muhammad Darul Najmi bin Dollah setelah memecah rekod kejohanan temasya Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 baru-baru ini tidak hanya terhenti di situ sahaja. Terkini atlet berusia 21 tahun ini telah menerima ganjaran sebuah skuter Yamaha Ego Avantiz bernilai RM5,700.00 dalam satu majlis meraikan kejayaan skuad angkat berat Terengganu Hanelang yang berentap di temasya SUKMA Perak tidak lama dahulu.
Pada temasya SUKMA Perak 2018 dalam acara 69kg clean and jerk, Darul Najmi berjaya memadamkan rekod yang dicipta oleh Mohd Hafifi Mansor dengan bebanan 164kg di mana melebih 1kg dari rekod terdahulu yang diangkat di SUKMA Perlis 2016. Kejayaan manis ini juga sudah pasti tidak akan dilupakan memandangkan ianya adalah penampilan terakhir di pentas temasya SUKMA atas dasar faktor umur. Walaupun sedemikian, atlet berpengalaman besar yang pertama kali beraksi secara kompetitif sejak berusia 11 tahun dan 4 kali penyertaan di pentas SUKMA sudah pasti tidak akan menamatkan karier sebagai atlet begitu sahaja.

“Amat berterima kasih kepada bapa angkat kepada persatuan angkat berat ini.. sebab hadiahkan sebuah motor ini.. saya amat-amat bersyukur .. sememangnya macam tidak percaya kerana dalam beberapa kejohanan sebelum SUKMA Perak saya lansung tidak mengutip sebarang emas.. Tetapi setelah itu, saya berjaya mendapat emas dan memecahkan rekod”, ujar Darul Najmi dalam nada sebak.
Pada temasya SUKMA Perak 2018, sasaran yang diletakkan hanya pingat perak bagi acara snatch dan pingat gangsa bagi acara clean & jerk. Namun pemuda ini berjaya memberikan kejutan untuk aksi terakhir di pentas SUKMA sekaligus membantu kontijen Terengganu Hanelang dalam misi ‘Win Back Mission‘ untuk muncul juara keseluruhan.
“Profesor Kangkung” Sukan

OLEH ARNAZ M. KHAIRUL
Kini wujud watak mistik “Profesor Kangkung” dalam sukan…Faktanya tonggang terbalik, malah menipu.
Sekolah Sukan diwujudkan di bawah Kementerian Pendidikan pada tahun 1996 adalah untuk memberi tempat kepada pelajar-pelajar yang lebih menunjukkan potensi dalam arena sukan, bukan akademik. Jadi fokusnya sukan, penyerapan ke dalam Sekolah Sukan pun berdasarkan pencapaian sukan.
Atas kesedaran adanya kepincangan dari segi pembangunan berterusan (continuous development) setelah tamat persekolahan akibat dari kelemahan dalam pengurusan, perancangan, pentadbiran dan pembangunan di bawah persatuan-persatuan yang sepatutnya bertanggungjawab, maka program yang memberikan option lanjutan akademik telah diperkenalkan dengan kerjasam UM dan UPM lebih 10 tahun lalu.
Mungkin angka-angka ada yang diputar-belit tapi yang nyata, sudah lama ada program untuk memudahkan athlet melanjutkan pelajaran melalui program pra-u di BJSS dan SSMBP.
Sepertimana manusia lain yang melalui proses pendidikan, ia terpulang kepada individu itu sendiri samada mahu mengambil peluang. Dan yang telah mengambil peluang-peluang tersedia, yang kini sudah makin berkembang dengan program sukan melibatkan lebih banyak universiti, nyata jalan hidup mereka berbeza dengan yang tidak mengambil peluang.
Mungkin sistem pendidikan kita perlu dikaji semula, ya. Kerana ada pensyarah yang tidak mengkaji secara mendalam dan memahami sistem dan eco-system sukan kita secara menyeluruh demi memahami apa sebenarnya yang perlu ditambahbaik.
Sekali lagi saya nyatakan, kelemahan sukan tanahair tidak berpunca dari Sekolah Sukan, malah dengan adanya sistem bersekolah sukanlah athlet remaja kita dapat dididik dan digilap dengan lebih fokus.
Jika ada yang perlu ditambah baik, ialah kemudahan dan infrastruktur serta support-systems seperti kelengkapan dan tenaga kerja sains sukan bagi lebih membantu perkembangan athlet remaja di sekolah sukan.
Janganlah pula tiba-tiba ada idea yang memesongkan sekolah sukan dari matlamat asasnya iaitu pembangunan sukan.
Untuk fokus kepada bidang akademik sudah ada sekolah-sekolah khusus.
Janganlah kerana ada pihak yang perlu menonjolkan diri atau membodek untuk membuka pintu ke pejabat menteri setelah hebat mengutuk kerajaan sekarang sewaktu mereka tidak berkuasa dulu, sekolah sukan pula menjadi mangsa.
Seluruh sukan negara telah anda politikkan dan rosakkan. Janganlah satu-satunya sistem yang selama ini terlindung dari bahana politik sukan pula anda cemari. Cukup-cukuplah….
Sekian.
Arnaz M. Khairul adalah peminat sukan & akademik sepanjang hayat di mana turut pernah menjadi wakil AIJC (Association Internationale des Journalistes du Cyclisme) di peringkat Asia Tenggara yang mempercayai perkembangan sukan di Malaysia menuju pengkorporatan, jauh dari kebergantungan terhadap sumbangan dan penglibatan politik.
Sukan Elektronik: Tiada Halangan Dari Kerajaan Negeri Terengganu

Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu tidak mempunyai halangan untuk menyekat perkembangan sukan elektronik yang kini menjadi satu fenomena baru di kalangan belia. Malah pihak kerajaan negeri juga turut telah memberi sokongan penuh kepada Persatuan Sukan Elektronik Negeri Terengganu (ESM Terengganu) bagi memastikan persatuan sukan ini mampu berdaya saing dengan persatuan sukan elektronik dari negeri – negeri lain.
ESM Terengganu merupakan badan sukan elektronik negeri Terengganu yang telah berdaftar dengan Pesuruh Jaya Sukan Malaysia pada 22 September 2015.
“Sebarang usaha dari pelbagai pihak yang memberi manfaat kepada belia amat dialu-alukan dan di pihak kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk membantu.”; ujar YB Ustaz Hishamuddin; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu yang ditemui sewaktu progam Bengkel Pengenalan E-Sports Negeri Terengganu yang telah berlansung pada 22 Oktober 2018.

Beliau juga turut mengulas bahawa potensi sukan ini tidak hanya memfokuskan kepada aktiviti acara sukan berkenaan malah mampu untuk memberi peluang keusahawanan kepada para belia di negeri ini. Wujudnya persatuan sukan elektronik di negeri ini dilihat mampu untuk memberi ruang kepada belia-belia terlibat dalam suatu perkara yang membawa kemanfaatan dari terlibat aktiviti yang tidak sihat.

Untuk rekod, kerajaan negeri Terengganu melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu telah memberi tajaan logistik dan lain-lain sokongan kepada ESM Terengganu bagi menghadapi Kejohanan Sukan Elektronik Kebangsaan 2018 yang lalu.
Progam Bengkel Pengenalan E-Sports Negeri Terengganu yang telah berlansung melibatkan beberapa agensi kerajaan juga memberi gambaran tepat tentang perkembangan sukan ini secara tidak lansung mampu merapatkan jurang di antara komuniti sukan elektronik.

“ESM Malaysia(Persatuan Sukan Elektronik Malaysia) selaku badan induk peringkat kebangsaan yang mengawal selia sukan ini telah menyediakan satu garis panduan pusat sukan elektronik agar agensi-agensi berkaitan mendapat gambaran sepenuhnya bagaimana pusat sukan ini beroperasi. Gambaran tepat mampu untuk mengelakan pandangan negatif terhadap sukan ini yang sering timbul di kalangan pihak berkuasa khususnya masyarakat.”; ujar En Rini Bin Ramli selaku Setiausaha Agung Persatuan Sukan Elektronik Malaysia sewaktu ditemui di program bengkel sukan elektronik ini.
Beliau turut mengulas bahawa ESM Malaysia juga turut menjadi rujukan beberapa pihak berkuasa tempatan di beberapa negeri dalam memastikan setiap pusat sukan elektronik yang diperiksa berdaftar dengan persatuan induk ini atau tidak. Sekiranya berdaftar dengan persatuan induk ini sudah pasti pusat berkenaan tidak melanggar sebarang peraturan yang ditetapkan. Umumnya terdapat segelintir ‘pusat sukan elektronik’ yang tidak berdaftar menyalahgunakan nama persatuan ini untuk kegiatan yang menyalahi peraturan pihak berkuasa tempatan.
Berikut adalah garis panduan untuk pusat-pusat sukan elektronik yang dikeluarkan oleh pihak Persatuan Sukan Elektronik Malaysia.
a) Pusat/syarikat haruslah berdaftar sebagai ahli bersekutu Persatuan Sukan Elektronik Malaysia.
b) Pusat/syarikat haruslah berdaftar dengan SSM.
c) Pusat/syarikat haruslah mendapat lesen/surat kebenaran untuk beroperasi dari pihak berkuasa tempatan dan jabatan bomba.
d) Pusat/syarikat haruslah mempunyai sekurang-kurangya 8 set konsol/50 set komputer yang mempunyai “minimum specs” untuk permainan sukan elektronik.
e) Pusat Sukan Elektronik haruslah mempunyai permainan-permainan sukan elektronik yang di iktiraf. Berikut adalah permainan-permainan sukan elektronik yang di iktiraf:
i) DOTA 2 by Valve
ii) FIFA series by EA Sports
iii) Pro Evolution Soccer series by Konami
iv) Counterstrike: Global Offensive by Valve
v) League Of Legend by Riot Games
vi) Street Fighter series by Capcom
vii) Tekken series by Konami
viii) Playerunknown’s Battleground(PUBG) by Bluehole
ix) Fortnite by Epic Games
x) Starcraft 2 by Blizzard
xi) Hearthstone by Blizzard
xii) Overwatch by Blizzard
xiii) Call of Duty series by Activision
xiv) Rocket League by Psyonix
xv) Mobile Legends by Moonton
xvi) Arena of Valor by Garena
xvii) Pokemon by Nintendo
f) Pusat/syarikat haruslah mempunyai persekitaran yang bersih, ceria, terang, sihat dan selamat sepanjang masa.
Untuk sebarang matlumat lanjut, boleh hubungi setiausaha persatuan Rinie di 017-3020087 atau emel rinie@esportsmalaysia.org
SUKMA2018: Terengganu Sampaikan RM995,000 Insentif ‘Win Back Mission’

Kejayaan kontijen Terengganu Hanelang untuk muncul juara di pentas Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 mendapat penghargaan dari pihak kerajaan negeri ini setelah menerima ganjaran berjumlah RM995,000 dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Menteri Besar YAB. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar. Majlis telah berlansung dengan jayanya bertempat di Dewan Arena, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu Gong Badak, Kuala Nerus pada 23 Oktober 2018 turut dihadiri oleh pegawai-pegawai tertinggi kerajaan negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan tanda terima kasih kepada seluruh pihak khususnya ahli-ahli yang berhormat, pegawai-pegawai kerajaan, bapa dan jabatan angkat, Majlis Sukan Negeri Terenganu, persatuan-persatuan dan pegawai-pegawai sukan yang telah berganding bahu untuk membantu kontijen Terengganu Hanelang muncul juara. Beliau turut berkata bahawa setiap ahli kontijen selayaknya menerima lebih dari apa yang diterima dari pihak kerajaan negeri hari ini namun nilai tersebut apa yang termampu disediakan buat masa ini.
Pakej umrah merupakan ganjaran bonus telah diberikan kepada Azreen Nabila binti Alias setelah dinobatkan selaku Anugerah Atlet Wanita Terbaik SUKMA XIX Perak 2018 dan juga Nur Aisyah Mohamad Zubir yang dinobatkan sebagai Atlet Paling Cemerlang Terengganu.

Kedua-dua atlet anak jati negeri Terengganu ini mencipta sensasi di temasya kejohanan SUKMA Perak 2018 di mana Azreen Nabila berjaya memecah rekod kejohanan yang berusia 10 tahun dalam acara 100 meter wanita manakala Nur Aisyah Mohamad Zubir merangkul ke semua pingat emas dalam semua acara berbasikal yang dise
Kejayaan misi ‘Win Back Mission’ merampas kembali kejuaraan kembali mengukir sejarah sukan di negeri ini setelah kali terakhir berbuat sedemikian pada SUKMA edisi ke-15 di tahun 2012. Pada 2008, negeri Terengganu yang menjadi pasukan tuan rumah untuk penganjuran SUKMA edisi ke-12 turut telah berjaya menjadi juara keseluruhan dan sekaligus menjadi kuasa besar pencapaian sukan di dalam negara. Sebanyak 56 pingat emas, 51 pingat perak, 53 pingat gangsa menjadikan keseluruhan 160 pingat telah berjaya dituai sepanjang 15 hari kejohanan yang telah berlansung sekali gus berjaya menafikan kontijen Sarawak yang menjadi penyandang juara keseluruhan pada edisi lalu.

