
HULU BERANG – Kehadiran atlet kebangsaan dan bekas atlet negara menjadi antara tarikan penganjuran sulung Little Amazon of Terengganu River Challenge (LARC) yang menyaksikan 46 peserta mengharungi perlumbaan kayak sejauh 10 kilometer di Sungai Hulu Berang, di sini, Ahad lalu.
Kejohanan yang menawarkan empat kategori itu turut menerima penyertaan pendayung dari Johor, Negeri Sembilan dan Lembah Klang, dengan kategori Lelaki Elit menampilkan beberapa peserta berpengalaman di peringkat profesional.

Pengarah perlumbaan, Mohd Najib Alias, berkata laluan sungai yang diklasifikasikan sebagai Kelas 1 itu tetap memberikan cabaran kepada peserta menerusi keadaan arus deras, selekoh berliku dan pelbagai halangan semula jadi.
“Bukan mudah untuk menamatkan kayuhan sejauh 10 kilometer di laluan ini. Selain faktor ketahanan fizikal, peserta juga perlu berdepan keadaan air cetek di beberapa lokasi yang menuntut tenaga tambahan sebelum tiba di garisan penamat,” katanya.
Beliau berkata, sambutan positif terhadap penganjuran pertama itu membuka peluang kepada pihaknya untuk memperkenalkan beberapa kategori baharu pada edisi akan datang.




Sementara itu, bekas jurulatih kebangsaan, Muhammad Hakimi Abdullah yang muncul naib juara kategori Campuran Elit, menyifatkan LARC sebagai platform penting dalam usaha memperkasa sukan kayak negara.
Katanya, Malaysia mempunyai potensi besar untuk mencipta kejayaan di peringkat Asia dan Olimpik, namun pembangunan bakat akar umbi perlu diperkukuhkan menerusi penganjuran lebih banyak kejohanan kompetitif di peringkat domestik.

“Hulu Berang mempunyai kelebihan dari segi akses logistik, kemudahan yang sesuai serta menawarkan pengalaman perlumbaan yang unik. Lokasi ini wajar dikekalkan dalam kalendar pertandingan kayak negara,” katanya.
Muhammad Hakimi pernah mengetuai skuad kanu negara sebagai jurulatih pada Sukan SEA 2011, 2013 dan 2015.
Dalam keputusan pertandingan, pasangan pemenang pingat perak Kejohanan Dunia Persekutuan Kanu Antarabangsa (ICF) 2024 di Filipina, Hassan Al Basri Ali dan Muhammad Mustakim Zulkarnain, mengungguli kategori Lelaki Elit dengan catatan satu jam 15 minit 53 saat.
Pasangan tuan rumah terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala Kamikaze Buga menduduki tempat ketiga.
Kategori Terbuka Lelaki dimenangi Mohammad Zulhaiqal Mohd Nasri dan Muhammad Aizat Ishak dengan catatan satu jam 16 minit dua saat.
Bagi kategori Campuran Elit, gandingan Tuan Muhammad Hidzam Tuan Dolah dan Nur Sarah Adiba Suhaimi muncul juara dengan masa satu jam 15 minit empat saat, manakala Nur Aina Natasha Riduan dan Ahmad Haziman Ahmad Rozi menguasai kategori Campuran Terbuka.
Perlumbaan menggunakan kayak jenis duduk di atas dua tempat duduk (SOT Double) itu bermula dari Jenoba Camp Site, Belukar Bukit sebelum berakhir di CBT Kalang Rengas.














