Terkini THT menepati ramalan untuk memborong sebanyak mungkin jumlah gol untuk dijadikan bekalan kejuaraan setelah sekali lagi meraih kemenangan buat kali ke-4 berturut-turut untuk menafikan Nurinsafi HT/Sports berkesudahan 6-1 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. Kemenangan ini sekaligus memperkukuhkan kedudukan liga di tangga kedua dengan jurang 1 mata di belakang UniKL selaku pendahulu liga.
Pada aksi perlawanan ke-6 buat pasukan, Faizal Saari terus cemerlang untuk membuat kejutan pada seawal minit pertama permainan untuk menghadiahkan gol sulung melalui jentera pukulan sudut penalti. Keghairahan THT menguasai perlawanan sememangnya memberi tekanan demi tekanan untuk terus menghukum kesilapan Nurinsafi HT/Sports sekaligus menghadiahkan dua lagi gol melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh pasangan adik beradik iaitu Mohd Fitri Saari di minit ke-24 dan sekali lagi buat Faizal Saari selang empat minit kemudian sehingga tamat separuh masa pertama.
Dua minit setelah separuh masa kedua berlangsung, gawang lawan terus bocor dengan ledakan gol padang jitu oleh Syarman Mat Tee yang pertama kali berjaya menyumbang gol buat musim ini. Namun THT yang kian leka setelah mendahului 4-0 untuk membelasah pasukan bukan pilihan musim di tangga tercorot ini turut dibocori dengan jaringan gol padang oleh Aiman Haqim Badulhisham di minit ke-37.
Tidak mahu peristiwa perlawanan lalu berulang, THT kembali bangkit menguasai perlawanan sekaligus mudah untuk Faizal Saari terus menerjah jaringan gol padang sekaligus terus menambah koleksi gol selaku penjaring terbanyak kejuaraan setakat ini. Tempo Nurinsafi HT/Sports yang kian hilang rentak sekali lagi memberi peluang buat THT untuk menjarakkan jurang yang bijak diambil oleh Muhammad Noor Firdaus Rosdi melalui jaringan gol padang di minit ke-49. Jaringan gol itu juga menjadi pengikat buat kedua-dua pasukan berkeputusan 6 gol milik THT selebihnya milik pasukan yang berpangkalan di utara tanah air.
“Perlawanan seterusnya bertemu TNB kita kena main bermatian setiap minit untuk menang. Kita juga mengharapkan perlawanan Maybank nanti berkeputusan seri atau mampu mencuri mata dari UniKL sekaligus mampu memberi peluang buat THT untuk muncul juara liga.” ujar pemain senior THT Mohd Faizal Saari yang turut menyumbang gol untuk membantu pasukan menewaskan Nurinsafi HT/Sports.
“Gol sulung teramat penting buat fokus pasukan hari ini. Cukup untuk 3 mata penuh hari ini di mana kita tidak mahu beri tekanan buat pasukan sekaligus mengurangkan risiko kecederaan dan rehat yang cukup sebelum bertemu TNB nanti.”, ujar ketua jurulatih K. Rajan sejurus tamat perlawanan.
Perkembangan terkini ini sekali lagi meletakkan gergasi hoki pantai timur dengan jumlah terkumpul jaringan terbanyak liga iaitu 30 gol untuk terus kekal dikedudukan tangga ke-2 LHM 2021. Seterusnya bagi aksi terakhir perebutan kejuaraan liga nanti akan berhadapan dengan TNB yang berada di tangga ke-4 liga, di atas kertas kemenangan seharusnya milik THT.
THT terus memperkukuh kedudukan liga setelah mencatatkan 5 rekod kemenangan berbanding TNB yang hanya dengan 3 rekod kemenangan setakat ini namun jurang 3 mata liga buat kedua-dua pasukan ini seharusnya tidak diambil mudah oleh THT untuk terus fokus memburu kejuaraan liga yang diletakkan sasaran pada musim ini. Begitu juga aksi seterusnya buat pendahulu liga UniKL yang dijadualkan untuk bertemu Maybank yang kini ditangga ketiga liga dengan bekalan 13 mata, sekiranya UniKL gagal untuk mengekalkan momentum kemenangan sudah semestinya THT bakal dinobatkan selaku juara musim ini.
KEPUTUSAN PERLAWANAN (PERINGKAT KUMPULAN)
23 Mac 2021 0600 Petang
THT vs NURINSAFI HT / SPORTS 06-01
KEPUTUSAN TERDAHULU (PERINGKAT KUMPULAN)
21 Mac 2021 0800 Malam
THT vs TNB THUNDERBOLTS 03-02
18 Mac 2021 0800 Malam
MAYBANK vs THT 02-04
16 Mac 2021 0800 Malam
THT vs UITM 04-00
11 Mac 2021 0600 Petang
THT vs UNIKL 02-04
11 Mac 2021 0600 Petang
SABAH vs THT 00-11
Kredit – Youtube Malaysian Hockey Confederation