Takraw Terengganu Gesa Pembaharuan Akar Umbi

Kejohanan Sepaktakraw Liga Ramadhan Piala Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu 2021 mempertaruhkan tiga kategori acara pertandingan iaitu regu terbuka, quadrant terbuka dan regu bakat baru telah berlangsung pada 29 April sehingga 8 Mei 2021 di Dewan Serbaguna Majlis Sukan Negeri Terengganu. Kredit Foto – Facebook.com/MSNTerengganu

Susulan perkembangan terkini perletakan jawatan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang dilepaskan oleh Datuk Ahmad Ismail, Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) mempertaruhkan sinar baharu buat gabungan baharu yang akan dibentuk bagi mengambil alih pucuk pimpinan badan induk itu.

Presiden PSNT, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman menzahirkan kepada PenyuSukan.com bahawa jawatan kuasa baharu badan induk itu perlu kembali memberi fokus pada program pembangunan di peringkat akar umbi untuk kembali memperkukuhkan kuasa sepak takraw tanah air. Perlaksanaan program pembangunan itu juga perlu melibatkan ke seluruh ahli gabungan dari setiap negeri dan bukan memberi fokus pada negeri tertentu sahaja khususnya melibatkan penganjuran. Malah perkara itu sepatutnya sudah menjadi tanggungjawab sejak sekian lama oleh pucuk pimpinan terdahulu.





Sebelum ini sebarang program pembangunan yang dilaksanan di peringkat ahli gabungan negeri seolah-olah tidak mendapat sokongan dari pihak badan induk walaupun penganjuran kejohanan-kejohanan domestik amat meriah. Rata-rata penganjuran merupakan inisiatif sama ada di kalangan ahli gabungan negeri itu sendiri, penggiat sukan sepak takraw mahupun kelolan Majlis Sukan di setiap negeri itu sendiri dalam usaha untuk menghidupkan sukan yang mempunyai peminat yang ramai.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu PSNT Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman

“Jika kita masih ingin dibuaikan ‘nostalgia-nostalgia’ zaman kegemilangan sukan sepak takraw yang lalu tetapi realiti pada hari ini situasi adalah sebaliknya. Kita tidak akan ke mana dan akan kekal di takuk lama seperti mana acuan dari kepimpinan terdahulu. Bagaimana kami di peringkat negeri untuk jelaskan pada generasi baru hasil dari program pembangunan mahupun program pencungkilan bakat yang telah kami usahakan? Tanggungjawab kami di peringkat negeri untuk memberi peluang dan ruang kepada mereka bagi beraksi di pentas tertinggi malah mewujudkan satu peluang kerjaya selaku pemain sepak takraw profesional itu sendiri.”, ujar Presiden PSNT Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman

Oleh kerana tanpa sokongan mahupun dorongan sewajarnya dari pihak badan induk, persatuan negeri gagal untuk ‘memasarkan’ atlet-atlet berkualiti ke peringkat yang lebih tinggi kerana kekurangan penganjuran kejohanan di peringkat kebangsaan untuk menempah nama. Situasi ini secara tidak langsung bakal ‘membunuh’ bakat-bakat pemain muda yang bercita-cita untuk menjadi pemain profesional di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman menekankan perlunya penganjuran liga sepak takraw secara kompetitif di setiap negeri ahli gabungan dan seterusnya penganjuran berstatus profesional di peringkat kebangsaan seperti mana format liga lain-lain sukan yang ada melibatkan pasukan-pasukan di antara negeri.

Kejohanan Sepaktakraw Liga Ramadhan Piala Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu 2021 mempertaruhkan tiga kategori acara pertandingan iaitu regu terbuka, quadrant terbuka dan regu bakat baru telah berlangsung pada 29 April sehingga 8 Mei 2021 di Dewan Serbaguna Majlis Sukan Negeri Terengganu. Kredit Foto – Facebook.com/Persatuan-Sepaktakraw-Negeri-Terengganu-975840209211272

Kesinambungan dari penganjuran peringkat negeri juga secara tidak langsung memberi peluang pada setiap pemain sepak takraw tempatan untuk beraksi di pentas tertinggi sekaligus boleh mencetuskan momentum baharu buat sukan ini. Untuk mewujudkan ekosistem penganjuran sepak takraw secara kompetitif melibatkan seluruh pasukan ahli gabungan, sememangnya badan induk kebangsaan perlu melaksanakannya dan tidak hanya meletakkan beban di bahu ahli gabungan semata-mata.

Walaupun wujudnya penganjuran kejohanan Sepak Takraw League (STL) yang dianjurkan bersama di antara PSM dan syarikat penyiaran tv swasta sejak 2014, ianya tidak memberi impak besar untuk membantu program pembangunan mahupun penganjuran di peringkat negeri. Ketandusan jumlah penganjuran kejohanan yang kompetitif secara tidak langsung telah membantutkan pembangunan sukan sepak takraw tanah air itu sendiri.

Terdahulu PSNT dalam satu kenyataan telah mengesahkan untuk menarik diri sebagai ahli gabungan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berikutan kemelut dalaman badan induk sukan sepak takraw tanah air.

SUKMA XXI SARAWAK 2024
17-24 OGOS 2024

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

SUMBANGAN

SUMBANGAN IKHLAS BAGI MENAMPUNG KOS OPERASI MENYAMPAIKAN BERITA SUKAN SEGENAP NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN.

april, 2024

No Events

X