
Arena Lawn Bowls, Kompleks Sukan Negeri Terengganu sekali lagi kembali meneruskan prestij penganjuran berstatus kebangsaan setelah berjaya menghimpunkan seramai 320 atlet lawn bowls dari 20 pasukan bertanding dari seluruh negara untuk memburu kejuaraan Kejohanan Lawn Bowls U12 & U18 Kebangsaan 2025 yang berlangsung pada 30 Mei 2025 sehingga 3 Jun 2025.
Perlis, Kedah, Kelantan, Pahang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Sarawak, Universiti Teknologi MARA(UiTM) termasuk Terengganu selaku tuan rumah merupakan di antara pasukan-pasukan yang bertanding bagi edisi penganjuran kali ini.

“Kita perlu lebih banyak lagi kejohanan seperti ini yang mempertaruhkan peringkat usia seawal 12 tahun mahupun 18 tahun ke bawah di mana bakat-bakat muda ini perlu diberi pendedahan kejohanan secara kompetitif untuk lebih matang sekaligus meletakkan program pembangunan sukan ini di landasar terbaik untuk melahirkan atlet-atlet profesional bertaraf dunia.
“Kita boleh lihat dengan jumlah penyertaan yang besar ini memberi satu penanda aras yang bagus bagi masa depan sukan lawn bowl di negara ini.
“Tidak dinafikan Terengganu sering kali di pilih menjadi tuan rumah kejohanan oleh badan induk kebangsaan di mana di Arena Lawn Bowls, Kompleks Sukan Negeri Terengganu ini telah melahirkan ramai pemain-pemain berstatus kebangsaan, namun kita juga berharap agar pemegang-pemegang taruh dari mana-mana negeri turut menjadi tuan rumah bagi penganjuran kejohanan peringkat usia ini.” ujar Presiden Persatuan Lawn Bowls Terengganu Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Menambah prestij cabaran kejuaraan adalah dengan kehadiran pemain-pemain dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor dan Sekolah Sukan Malaysia Terengganu(SSMT) di mana kedua-dua sekolah ini berstatus Sekolah Sukan Malaysia yang menghimpunkan pelapis-pelapis atlet kebangsaan.
Jumlah penyertaan yang besar untuk kejohanan peringkat umur bawah 18 tahun yang menghimpunkan hampir dari seluruh negara memberi satu penanda aras yang baik hala tuju program pembangunan sukan ini yang telah bermula seawal usia di bangku sekolah lagi di setiap negeri masing-masing.
Malah dengan perkembangan semasa pada April lalu, Nor Farah Ain Abdullah yang baru berusia 23 tahun melakar sejarah arena sukan tanah air untuk dinobatkan selaku pemain lawn bowls wanita nombor 1 dunia sekaligus memecah dominasi penguasaan daripada negara-negara bukan Asia selama ini.
Mengukuhkan lagi nama Malaysia di pentas dunia, Izzat Shameer Dzulkeple juga kini mula menjadi perhatian setelah dia kini berada di tangga kedudukan 5 terbaik dunia untuk turut sama memecah dominasi beberapa pemain ternama sebelum ini.
Pada penganjuran Kejohanan Lawn Bowls U12 & U18 Kebangsaan 2025 ini, sebanyak 8 kategori dipertandingkan iaitu Men Fours U12, Women Fours U12, Men Fours U18, Women Fours U18, Men Pairs U12, Women Pairs U12, Men Pairs U18 dan Women Pairs U18.
Untuk rekod, edisi lalu Kejohanan Lawn Bowls U12 & U18 Kebangsaan turut telah berlangsung di sini di mana pada kali ini merupakan edisi ke-6 untuk Terengganu menjadi tuan rumah.
SENARAI PASUKAN U12 LAWN BOWLS KEBANGSAAN 2025
| BIL. | NAMA PASUKAN |
|---|---|
| 1. | TUNAS TERENGGANU |
| 2. | BAKAT KEDAH |
| 3. | SELANGOR |
| 4. | SELANGOR (SKSS) |
| 5. | TUNAS TERENGGANU (SKPC 3) |
| 6. | KRBP UITM |
| 7. | JOHOR |
SENARAI PASUKAN U18 LAWN BOWLS KEBANGSAAN 2025
| BIL. | PASUKAN |
|---|---|
| 1. | HANELANG |
| 2. | SARAWAK |
| 3. | SABAH |
| 4. | PELAPIS KEDAH |
| 5. | SELANGOR |
| 6. | KELANTAN |
| 7. | PAHANG |
| 8. | SIMBA |
| 9. | SELANGOR (SMKPP) |
| 10. | PELAPIS TERENGGANU |
| 11. | SEKOLAH SUKAN MALAYSIA TERENGGANU |
| 12. | MELAKA |
| 13. | JOHOR |











Skuad boling padang negeri Terengganu yang bakal berentap dalam temasya Sukan Malaysia(SUKMA) di Perak nanti meraih pengalaman berharga setelah turut sama berentap di pentas Kejohanan Boling Padang Beautiful Terengganu Asia 2018 yang menutup tirai pada 28 Ogos 2018 lalu. Pada awalnya tanpa sebarang sasaran diletakkan di mana penyertaan pasukan ini hanya untuk mengutip pengalaman menjadi sebahagian dari program latihan mereka. Namun kemampuan skuad ini setelah meraih kejayaan selaku naib johan kutipan margin tertinggi meletakkan satu penanda aras terbaik buat pasukan ini.

Pasukan kebangsaan Malaysia B yang mengutip kutipan margin tertinggi dinobatkan selaku juara Kejohanan Boling Padang Beautiful Terengganu Malaysia Regu Campuran Asia 2018(Asian Lawn Bowls Beautiful Terengganu Malaysia Mixed Team Championship 2018). Menambah manis pasukan tuan rumah yang dibarisi oleh anak muda Terengganu yang akan berentap di temasya Sukan Malaysia(SUKMA) di Perak nanti turut meraih tempat ke-2. Kejayaan pasukan SUKMA Lawn Bowls negeri ini turut juga turut berjaya menafikan Sekolah Sukan Malaysia Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) yang berada di tempat ke-3.






