

Momentum sukan permotoran lasak pacuan empat roda di negeri Terengganu kini mencipta penanda aras baharu setelah diumumkan sebagai salah satu dari 13 acara utama di dalam kalendar acara pelancongan Terengganu bagi tahun 2026 sekaligus berada di landasan yang terbaik sebagai usaha untuk menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang kini telah bermula.
Rentetan kejayaan penganjuran edisi ke-5 Terengganu 4×4 Merdeka Challenge yang berjaya menghimpunkan sebanyak 152 jentera lumba pacuan empat roda(4×4) melibatkan 304 peserta hampir dari seluruh negara yang telah berlangsung di Bandar Kuala Nerus pada Ogos lalu dilihat sebagai faktor utama untuk diiktiraf oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu sekaligus membuka dimensi baru sebagai salah satu produk pelancongan melalui penganjuran sukan.
Menambah momentum, terkini pasukan GG 4×4 yang berpangkalan dari negeri ini juga turut telah melakar sejarah di pentas kejuaraan dunia setelah meraih podium tempat ke-3 Rainforest Challenge Grand Final 2025 yang telah melabuhkan tirai di Gua Musang, Kelantan pada 10 Disember lalu.


“Sukan lasak pacuan empat roda di negeri Terengganu ini mempunyai sejarah yang panjang sejak beberapa generasi terdahulu dan kini telah diangkat sebagai salah satu produk pelancongan negeri ini mencipta satu lembaran baru buat semua komuniti mahupun penggiat sukan lasak 4×4 ini khususnya di Terengganu.
“Secara peribadi, saya tidak melihat pengiktirafan ini ianya bersifat ekslusif sepenuhnya kepada kami selaku penganjur di mana sebenarnya ekosistem sukan ini di negeri Terengganu saling bekerjasama dengan lain-lain kelab mahupun komuniti sukan 4×4 untuk turut sama mengangkat sukan ini sebagai produk pelancongan negeri Terengganu.,” ujar Muhammad Muzzammil Mokhetar selaku pemegang taruh utama penganjuran Terengganu 4×4 Merdeka Challenge yang telah bermula sejak pada tahun 2023.
Mengulas lanjut, beliau yang juga merupakan presiden Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah(UT4x4) menjelaskan kunci kejayaan penganjuran selama ini adalah merupakan hasil kerjasama penganjuran dengan beberapa kelab tempatan seperti Kelab Terjoh! 4×4 Kuala Terengganu dan GG 4×4 yang hadir dengan pengalaman serta kepakaran masing-masing khususnya melibatkan teknikal penganjuran.


Seterusnya sebagai sebagai usaha untuk menarik lebih ramai jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini mahupun untuk mempromosikan sukan lasak pacuan empat roda ini di kalangan komuniti rekreasi, Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah(UT4x4) bersama beberapa kelab-kelab pacuan empat roda tempatan kini turut sedang merangka satu program ekspedisi sejauh 60KM menempuhi hutan belantara di Hulu Terengganu.
Pada majlis yang sama turut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris melihat kerjasama strategik di antara Jabatan Pelancongan Negeri dan Kebudayaan Negeri Terengganu bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia memberi tambah nilai yang besar untuk turut sama menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026(TMM 2026) dengan pelbagai produk pelancongan dari negeri pantai timur ini.
Untuk rekod, Terengganu 4×4 Merdeka Challenge 2026 merupakan sebahagian dari 13 acara utama dan lebih dari 100 acara sampingan yang telah diumumkan dalam satu majlis yang telah berlangsung dengan penuh meriah di sebuah hotel di sini.


















