Terengganu Hockey Team(THT) meletakkan sasaran awal untuk membawa pulang satu dari tiga piala yang dipertaruhkan dalam kempen Liga Hoki Malaysia(LHM) edisi ke-34 musim ini. Keputusan yang telah diperhalusi oleh setiap pemegang taruh gergasi hoki pantai timur ini setelah mengambil kira cabaran persediaan pasukan yang agak terganggu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) sepanjang tempoh pandemik COVID-19 yang masih belum bernoktah.
Pada musim ini hanya dua piala menjadi sasaran THT yang beraksi tanpa kudrat import sepenuhnya iaitu Piala LHM dan Piala TNB setelah Piala Sumbangsih telah ditempah untuk perebutan di antara pasukan Tenaga Nasional Berhad(TNB) dan Universiti Kuala Lumpur(UniKL).
“Kita fokus pada saingan satu piala dulu yang utama iaitu piala liga dan seterusnya bagi Piala TNB kita akan pikirkan kemudian. Keputusan meletakkan sasaran satu piala memandangkan ketiadaan import pada musim ini jadi saingan adalah terbuka. Untuk meletakkan satu atau dua dan sebagainya adalah satu benda baharu. Ini adalah kerana setelah 10 tahun MHL berjalan ini adalah kali pertama ketiadaan import.”, ujar Pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu Mohd Fikri Harun kepada PenyuSukan.com
Menambah beban THT musim ini, kekangan kewangan pasukan turut memaksa gergasi hoki pantai timur ini untuk membuat percaturan lebih berhati-hati khususnya pemilihan pemain dalam membentuk pasukan yang terbaik. Rentetan ini memaksa juga memaksa Persatuan Hoki Negeri Terengganu(PHNT) untuk mengugurkan penyertaan Terengganu Ladies Hockey Team(TLHT) di mana keputusan ini merupakan pertama kali dilakukan sejak penubuhan pasukan hoki wanita ini.
Walaupun sedemikian, tanpa kehadiran kudrat import dari setiap pasukan bertanding pada musim ini dilihat mampu untuk memberi saingan yang lebih seimbang kepada setiap pemain tempatan. Situasi ini sekaligus meletakkan Terengganu optimis bagi memburu kejuaraan sekaligus memperbaiki rekod musim lalu yang berada di tangga ke-3 liga dan bergelar finalis Piala TNB dan Piala Sumbangsih.
LHM mempertaruhkan perebutan tiga piala kejuaraan termasuk Piala TNB dan Piala Sumbangsih bagi pasukan lelaki manakala bagi pasukan wanita mempertaruhkan dua perebutan piala iaitu Piala Liga dan Piala Vivian May Soars.
Pada musim ini, LHM memperkenalkan format perlawanan baharu di mana setiap pasukan akan berentap secara saingan liga satu pusingan sahaja, di mana pasukan di tangga teratas liga akan dinobatkan selaku juara Liga Hoki Malaysia 2021 nanti.
Skuad penyu kini di bawah kendalian bekas jurulatih remaja kebangsaan piala dunia, K Rajan akan membuka tirai perlawanan menentang Sabah pada Khamis ini. Sebanyak 7 perlawanan padat saingan awal liga perlu ditempuhi sebelum mara ke pusingan akhir perebutan Piala TNB sekaligus menutup tirai kempen musim ini.