Kekangan perbelanjaan pasukan pada musim ini menjadi faktor utama buat Terengganu membuat keputusan hanya menghantar pasukan lelaki bagi beraksi di pentas tertinggi sukan hoki tanah air ini.
Terdahulu dalam satu kenyataan pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu(PHNT), Mohd Fikri Harun turut menjelaskan bahawa ketandusan pemain hoki wanita berpengalaman untuk beraksi di pentas tertinggi di samping faktor kesuntukkan masa bagi persiapan pasukan menjadi halangan pada musim ini.
“Jumlah tajaan dari kerajaan negeri Terengganu berkurangan berbanding pada tahun lepas walaubagaimana pun di pihak kerajaan tetap hadir memberi komitmen. Pihak persatuan harus melakukan sesuatu yang mengikut apa yang kerajaan impikan dan insyAllah saya cukup yakin pihak persatuan mampu untuk berbuat sedemikian. Antara kesan pengurangan komitmen tajaan daripada kerajaan negeri kepada pasukan hoki Terengganu pada tahun ini adalah kita tidak dapat menghantar pasukan wanita untuk beraksi. Keputusan ini berkaitan dengan situasi kewangan semasa buat pasukan. Itu antara apa yang kita lakukan penyesuaian dengan belanjawan yang ada.” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri YB Ustaz Wan Sukairi Abdullah yang ditemui PenyuSukan.com sewaktu hadir di program Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Penaja dan Pemain Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) bagi musim 2021.
Selain TLHT, penyandang juara Hockademy KL yang membuat penampilan pertama kali pada edisi lalu juga turut berbuat sedemikian untuk menarik diri bagi kejuaraan 2021 ini. Dua slot kekosongan ini telah diisi oleh pasukan hoki wanita baharu iaitu UniKL Ladies dan Young Tigress yang membuat penampilan pertama.
Berdasarkan rekod pencapaian sepanjang penyertaan di pentas LHWM, pelaburan bagi pasukan hoki wanita negeri ini tidak pernah mengecewakan. Pada musim lalu walaupun berakhir di tangga kedudukan kedua tangga liga, TLHT berjaya mencipta sensasi kejuaraan dengan menewaskan pendahulu liga sekaligus mencalar rekod tanpa kalah UniKL dalam perlawanan ke-7 mereka di Stadium Hoki Batu Buruk.
Setelah masuk tahun ke-3 penubuhan, musim 2019 merupakan musim kemuncak buat pasukan hoki wanita Terengganu ini apabila merangkul juara berganda setelah dinobatkan selaku juara LHWM 2019 dan juga juara bersama Piala Vivian May Soars 2019. Pada musim ini juga TLHT turut berentap bersama pasukan Liaoning Infinite Space HC (LISHC) merupakan kelab dari China selaku juara Liga China 2018 yang pertama kali menyertai LHWM.
Manakala pada tahun pertama penubuhan pasukan hoki wanita ini berjaya membuktikan untuk muncul juara liga LHWM 2017 dengan rekod tanpa kalah setelah mengharungi 10 perlawanan melibatkan 6 pasukan termasuk TLHT yang berentap ketika itu.
TLHT juga telah diberi penjenamaan semula pada tahun 2020 dengan memperkenalkan logo tersendiri di mana sebelum ini menggunakan logo Persatuan Hoki Negeri Terengganu sebagai imej di mana-mana penyertaan kejohanan.